Rabu, Ogos 25, 2010

Jiwa Muraqabah Adalah "PERMATA Negara"

Kisah 1

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Dinar r.a bahawa pada suatu hari beliau berjalan dengan Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. dari Madinah dan menju ke Makkah. Di tengah perjalanan mereka berjumpa dengan seorang budak gembala yang sedang turun dari tempat pengembalaan dengan kambing-kambingnya yang banyak.

Khalifah ingin menguji sifat amanah budak pengembala tersebut. Khalifa berkata, “Wahai pengembala, juallah kepada ku seekor anak kambing dari ternakan ini.” Jawab budak gembala, “Aku ini hanya seorang budak hamba sahaya.” Maka berkata Khalifah lagi, “Katakan saja pada tuanmu, anak kambing itu telah dimakan oleh serigala.” Budak gembala itu menjawab, “Kalau begitu dimana Allah?”

Jawaban anak muda yang ringkas tersebut meremangkan bulu roma dan menyebabkan air mata Khalifah Umar r.a menitis. Kemudia beliau telah membeli hamba pengembala itu dan memerdekakannya.

Kisah 2

"Khalifah Umar al-Khattab r.a sangat terkenal dengan kegiatannya meronda pada malam hari di sekitar daerah kekuasaannya. Pada suatu malam beliau mendengar dialog seorang anak perempuan dan ibunya, seorang penjual susu yang miskin.

Kata ibu, “Wahai anakku, segeralah kita tambah air dalam susu ini supaya terlihat banyak sebelum terbit matahari”. Anaknya menjawab, “Kita tidak boleh berbuat seperti itu ibu, Amirul Mukminin pasti melarang dan akan menghukum kita jika berbuat begitu.”

Si ibu masih mendesak, “Tidak mengapa, Amirul Mukminin tidak akan tahu lebih-lebih lagi di malam gelap begini”. Balas si anak, “Mungkin ibu benar… Tapi jika Amirul Mukminin tidak tahu, Tuhan Amirul Mukminin tetap tahu!”

Umar r.a yang mendengar dialog tersebut kemudian menangis. Betapa mulianya hati anak gadis itu.

Ketika pulang ke rumah, Umar r.a menyuruh anak lelakinya, Asim menikahi gadis itu.

Kata Umar, "Semoga lahir dari keturunan gadis ini bakal pemimpin Islam yang hebat kelak yang akan memimpin orang-orang Arab dan Ajam.”
(Asim yang taat tanpa banyak tanya segera menikahi gadis miskin tersebut. Pernikahan ini melahirkan anak perempuan bernama Laila yang lebih dikenal dengan sebutan Ummu Asim. Ketika dewasa Ummu Asim menikah dengan Abdul Aziz bin Marwan yang melahirkan Khalifah Umar bin Abdul-Aziz yang hebat itu.)

Dua peristiwa di atas adalah contoh ‘modal insan’ yang hebat hasil dari pendidikan Risalah Islam. Mereka bukan sekadar beriman kepada Allah tetapi memiliki IHSAN (Muraqabah) dengan merasai Allah sentiasa bersama di mana mereka berada. Mereka telah mencapai hakikat ayat, “Dan Dia bersama kamu di mana kamu berada (dan melihat apa yang kamu perbuat)…” (Al-Hadid : 4)

Antara ayat-ayat lain yang menggambarkan sifat ini ialah :

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya…” (Qaf : 16)

“Tidakkah engkau memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia lah yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dia lah yang keenamnya, dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Ia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada…” (Al-Mujadalah : 7)

Mereka memiliki makrifat pada Allah bukan sekadar pada ilmu tetapi pada Dzauk dan Syuhud. Makrifat martabat inilah yang dikehendaki dalam tarbiyah para Syaikh Tasawwuf pada qalbi murid-muridnya.

Saidina Umar r.a amat memuliakan golongan yang mencapai makrifat tingkat ini dimana pemuda pengembala kambing tersebut dimerdekakan dan anak perempuan penjual susu tersebut dijadikan menantunya.

Mereka yang memiliki jiwa Makrifat Ihsan (Muraqabah) ini adalah ‘Permata Negara’. Merekalah yang disabda Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam (dalam menjawab soalan Malaikat akan maksud Ihsan) iaitu “Kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya, ataupun merasa Allah melihat dirimu.” (Petikan hadis Bukhari & Muslim yang diriwayatkan Saidina Umar al-Khattab r.a)

Jika Makrifat Ihsan ini dimiliki oleh Sultan, para ulama, para menteri, para penjawat awam, para usahawan, para profesional, para pelajar, para ibu bapa, para suami isteri, anak-anak dan lainnya, nescaya akan berlakunya keharmonian dalam masyarakat dan mewujudkan negara yang hebat.

Mereka (golongan di atas) akan memiliki sifat amanah, tawadhu’, berani, ikhlas dan bertanggungjawab. Golongan ini apabila diberikan sesuatu tugas nescaya akan dilaksanakan dengan baik sama ada berseorangan atau di khalayak ramai. Bahkan, negara akan mampu mengharungi apa jua cabaran jika makrifat Ihsan ini dimiliki para rakyatnya.

Persoalan yang sentiasa diajukan, kenapa berlaku dan berleluasanya pelbagai permasalahan sosial di kalangan masyarakat Islam hari ini? Adakah mereka tiada pengetahuan dan keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat?

Begitu juga kenapa ada ulama su’ (ulama jahat) yakni ulama yang menjual agama untuk kepentingan diri dan pemerintah? Sebenarnya mereka ada pengetahuan tentang Allah namun mereka tiada memiliki jiwa yang mencapai muraqabah dengan Allah. Di sinilah peranan pembinaan muraqabah dalam jiwa setiap insan agar terpancarnya cahaya ketakwaan dan perasaan malu kepada Allah.

Muraqabah bagaikan polis di dalam diri mereka yang mengawal dari perlakuan yang salah. Dengan itu, permasalahan rasuah, penipuan, penyelewengan, kecurian, zina, dadah serta beberapa permasalahan sosial masyarakat masa kini akan dapat diatasi.

Para pejuang Islam wajib memilikinya kerana ia adalah sumber kekuatan dalam mengharungi bahtera dakwah.
 
Diceritakan ketika para anggota Ikhwanul Muslimin (yang diasaskan oleh Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna) ditangkap dan mahu dibicarakan di mahkamah tentera, ada anggota yang resah kerana merasakan mereka tidak akan mendapat keadilan sepenuhnya, maka kegelisahan itu dilihat oleh Syaikh Mustafa Masyhur lalu dikatakan pada mereka, “Wahai sahabatku, janganlah kamu bimbang… Apakah mahkamah boleh meletakkan kita di tempat yang tiada Allah?”

Perkataan tersebut telah memberi kelegaan pada jiwa-jiwa mereka. Ia jawaban dari seorang Syaikh yang memiliki jiwa muraqabah mengingatkan mereka bahawa Allah sentiasa bersama di mana mereka berada. Jiwa yang dihidupkan dengan muraqabah itu telah menjadikan mereka tenang dalam menghadapi apa jua hukuman.

Seorang Raja yang memiliki muraqabah, sentiasa bersyukur pada Allah dan tidak sombong dengan kekuasaan yang dimiliki. Mereka menjaga para menteri dan rakyat di atas amanah Allah, tidak sibuk mengumpul kekayaan, menghabiskan khazanah negeri dengan hobi-hobi yang membazir, menyusahkan rakyat dengan gelagat keangkuhan dan sebagainya.

Seorang Menteri yang memiliki muraqabah akan menggunakan kuasa mereka dengan penuh tanggungjawab sebagai hamba Allah. Mereka menjaga rakyat daripada perkara-perkara yang merosakkan iman dan akhlak, mereka berlaku adil dalam pembahagian ekonomi, dalam pemerintahan, dalam membuat keputusan dan mendengar rintihan suara rakyat.

Seorang Ulama yang memiliki muraqabah akan takut akan amanah dalam menyampaikan ilmu, bersikap ‘wallahu ‘alam’ dalam ilmu yang tiada ia ketahui, tiada mengejar kemasyhuran, jawatan, kekayaan dan pengikut. Jiwa muraqabahnya akan menjadikannya amat berhati-hati dalam mengeluarkan fatwa, amat merendah diri, menghormati pendapat orang lain, berani dalam menyampaikan kebenaran, tiada merendah diri pada golongan yang zalim, memimpin ummah agar berada dalam kebenaran Islam serta lainnya.

Seorang Hartawan yang memiliki muraqabah akan sentiasa bersyukur dan merendah diri, membantu golongan fakir dan miskin, menjauhi pembaziran, menggunakan kekayaan dalam perkara yang memberi manfaat pada agama dan kebaikan ummah.

Golongan Miskin yang memiliki muraqabah akan sentiasa redha, sabar dan bersyukur dengan apa takdir Allah padanya. Ia memandang kemiskinannya mempunyai hikmah tertentu di sisi Allah, mereka tiada merungut, tiada meminta-minta, tiada menipu dan tiada mencuri. Mereka akan berusaha sedaya mungkin mencari rezeki dengan penuh ketabahan dan kemuliaan. Mereka tiada merasa hina dengan kemiskinan, malah merasa tenang dengan apa jua kurnia Allah padanya.

Penjawat Awam yang memiliki muraqabah akan sentiasa jujur, amanah, tiada curi tulang, tiada rasuah, tiada menyeleweng dalam tugas-tugas mereka walaupun apa posisi atau jawatan yang disandangnya. Mereka takut untuk menyeleweng dalam (pengurusan) masa dalam menjalankan tugas kerana setiap jam dalam tugas mereka dibayar dengan duit rakyat.

Para Pelajar yang memiliki muraqabah akan bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu sama ada ilmu agama atau ilmu dunia. Mereka mengetahui jika mahu dimuliakan sama ada dunia atau akhirat, mereka perlu memiliki ilmu. Namun jiwa muraqabah menuntut mereka bukan sekadar berjuang untuk kemuliaan dirinya tetapi berjuang untuk kemuliaan umat Islam. Mereka perlu membebaskan umat ini dari kehinaan, kemunduran, kelemahan dan kejahilan dengan mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang ilmu. Mereka perlu belajar demi membangunkan ummah ini kembali kepada kegemilangan tamadun Islam agar dunia mendapat kerahmatan.

Muraqabah adalah perasaan Allah sentiasa bersama kita walau di mana kita berada. Ia adalah maqam yang akan melahirkan peribadi insan-insan yang mulia lagi hebat. Negara perlu membina rakyatnya agar memiliki muraqabah agar bakat-bakat yang mereka miliki dalam apa jua bidang benar-benar dapat memberi manfaat, kekuatan dan kebaikan pada agama, rakyat dan negara.

Risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam bukannya melahirkan golongan yang pasif, menjauhi masyarakat, asyik dengan muraqabah tanpa memperdulikan sekeliling. Atau sekadar berada di serambi masjid, gunung-gunung atau pondok-pondok kecil, mengabaikan tanggungjawab dan hanya mahu melahirkan ahli ilmu agama sahaja.

Ulama-ulama tasawwuf yang benar-benar memahami Risalah Islam akan mendidik semua lapisan masyarakat dari pelbagai golongan untuk dibangunkan jiwa mereka mencapai muraqabah tanpa diperintah meninggalkan kerjaya dan bakat-bakat mereka miliki. Dari pendidikan yang berasaskan tarbiyyah Ad-Din yakni Iman, Islam, Ihsan dan al-Hikmah, insya Allah akan lahirlah “Permata-Permata Negara” yang diistilahkan oleh Pak Mohammad Natsir dalam buku Fiqhud Dakwah, mereka yang “Kakinya di bumi tetapi hatinya di langit”!

Isnin, Ogos 23, 2010

Mendidik 'HATI NEGARA' dengan Tazkirah, Zikir dan Mujahadah

“Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati.” (riwayat Al-Bukhari)

Para Ulama Tasawwuf menjadikan hadis di atas sebagai pedoman dalam pembinaan akhlak insan yang baik, dengan menekankan proses pembinaan hati sebagai asas utama. Dalam membentuk hati yang baik, mereka menekankan tiga aspek iaitu ‘Tazkirah, Zikir dan Mujahadah’. Namun dalam penyempurnaan kebaikan seorang insan di sisi Allah, mereka tiada boleh sekadar mementingkan kesucian qalbinya semata-mata, malah mereka perlu melangkah ke arah pembinaan hubungan yang baik dengan sesama insan.

Risalah Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam menekankan dua aspek iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Risalah Islam menyempurnakan risalah yang dibawa para Nabi a.s sebelumnya.

Bersabda Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam : “Perumpamaanku, bila dibandingkan dengan Nabi-Nabi yang terdahulu adalah ibarat mendirikan sebuah bangunan, diselesaikan dan dihiasinya kecuali satu bahagian yang belum dipasang. Maka masuklah orang banyak ke dalamnya dan semua takjub melihatnya tetapi mereka berkata, ‘kalaulah tidak ketinggalan memasang bahagian yang kosong ini, alangkah sempurnanya bangunan ini’.” Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam menyatakan bahawa, “maka aku mengisi bahagian yang kosong itu, aku datang dan menutup generasi para Nabi a.s.” (riwayat Bukhari)

Membiarkan ruang kosong pada satu bahagian bangunan walaupun kelihatan indah sekalipun, akan menyebabkan ketidakstabilan pada bangunan tersebut. Maka risalah Islam bukan semata-mata menekankan aspek perhubungan insan dengan Allah tetapi menyempurnakan perhubungan tersebut dengan membina perhubungan dengan sesama insan.

Maka untuk mewujudkan kestabilan masyarakat, mereka perlu dipimpin oleh pemerintah yang adil agar lahirnya keseimbangan dan keharmonian. Nilai masyarakat akan runtuh jika mereka dipimpin oleh pemerintah yang tiada mengambil Islam sebagai dasar yang menghubungkan manusia dengan Allah dan menghubungkan manusia dengan manusia, di atas peraturan-peraturan yang ditetapkan Allah.

Dasar Islam akan memberi kerahmatan kepada semua rakyat pelbagai kaum sama ada Muslim atau non-Muslim. Hak rakyat yang dididik dalam Islam adalah memberi kebebasan bersuara dalam menegur dan menasihati pemerintah demi menuntut keadilan dan memastikan hak mereka terjamin.

Islam menghormati kebebasan bersuara dalam menegur kepincangan pemerintah. Islam mendukung demokrasi terpimpin, bukannya demokrasi Barat yang meletakkan kuasa rakyat penentu segalanya. Bahkan, Islam sudah memiliki prinsip-prinsip yang jelas berdasarkan wahyu Allah dalam memimpin manusia tanpa boleh diubah lagi. Demokrasi hanya diperlukan dalam bentuk perlaksanaan prinsip, ia bukannya untuk mengubah prinsip wahyu. Islam menghormati demokrasi tetapi Islam bukan demokrasi, Islam adalah Islam dengan ruh kebebasan tersendiri yang dipimpin oleh wahyu.

Di Malaysia, walaupun sistem demokrasi tidak sepenuhnya hidup dalam memberi hak kebebasan dan keadilan, namun umat Islam wajib memanfaatkan ruang yang ada dalam menunaikan hak sesama insana demi membina pemerintah yang benar-benar dapat membela nasib mereka.

Dalam konteks sistem demokrasi, HATI yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah rakyat dan anggota badan adalah pemerintah. Ini kerana kuasa rakyat boleh menentukan kebaikan dan keburukkan sesebuah pemerintahan. Justeru itu, ‘Hati Negara’ ini perlu dibangunkan juga dengan tiga aspek tersebut iaitu tazkirah, zikir dan mujahadah.
Tazkirah ialah rakyat wajib diberi faham politik, zikir ialah mendidik rakyat memahami tanggungjawab mereka dengan Allah dalam amal ma’ruf dan nahi mungkar, mujahadah ialah mengajak rakyat berani melakukan perubahan serta sanggup berkorban demi kebaikan ummah.
Pemimpin yang tiada takwa dan menjadikan Islam sebagai dasar, akan membina persekitaran masyarakat dengan budaya yang tidak baik. Maka jika hari ini kita dan anak-anak kita selamat daripada kerosakan akhlak, belum tentu lagi anak cucu kita akan datang selamat dari kerosakan budaya yang sedang merebak bagaikan barah.

Ramai para ulama dan pendakwah bertungkus lumus mendidik manusia kepada Allah, namun ia tak akan mampu sepenuhnya mengubah masyarakat ini jika tiada dibantu oleh pemerintah. Dengan kuasa yang ada pada pemerintah, mereka perlu sepenuhnya menyekat perkara-perkara yang boleh merosakkan jiwa dan akhlak masyarakat.
Namun apa yang dibimbangkan, bukan sahaja mereka tiada membantu usaha-usaha dakwah, tetapi menghancurkan usaha dakwah tersebut dengan program-program yang merosakkan.

Rakyat sebagai ‘Hati Negara’ dalam sistem demokrasi perlu disedari semua pihak bahawa di tangan mereka boleh menentukan kebaikan atau kerosakan masa depan sesebuah negara dan generasi akan datang. Undi mereka wajib berhubung dengan sifat kehambaan kepada Allah dan sebagai umat Rasulullah sallaLlahu alaihi wassalam. Maka nasihat para ulama yang benar amat diperlukan agar undi yang diberikan benar-benar dalam rangka ibadah demi membangunkan pemerintah dan ummah yang diredhai oleh Allah.

Dalam kewajiban kita mentarbiyah hati sendiri, kita tidak boleh mengabaikan kewajiban mentarbiyah ‘Hati Negara’ ini agar menjadi baik. Apabila baik ‘Hati Negara’ (rakyat), maka akan lahirlah anggota (pemerintah) yang baik, pemerintah yang baik akan melahirkan persekitaran masyarakat yang baik, yang akhirnya membawa kestabilan kepada negara. Marilah kita menjadi hamba yang baik dengan Allah dan hamba yang baik dalam memberi kebaikan kepada sesama insan dan negara.

Allah akan tidak mengubah nasib satu kaum jika kaum tersebut tidak sanggup mengubah diri mereka terlebih dahulu.

Firman Allah :
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang mengubahnya." (Ar-Ra'ad: 11)

Rabu, Ogos 18, 2010

7 Sifat Peribadi Yang Menunjangi Kemajuan Negara dan Tamadun Manusia

Sabda Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam :

“Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya. Mereka adalah :


1. Pemimpin yang adil
2. Anak muda yang sentiasa beribadah kepada Allah
3. Seorang yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid
4. Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah
5. Seorang yang berzikir kepada Allah di tempat yang sunyi kemudian mencucur air matanya
6. Seorang lelaki yang dirayu oleh seorang wanita bangsawan lagi rupawan lalu ia menjawab, “Sesungguhnya aku takut pada Allah!”, dan
7. Seorang yang mengeluarkan sedekah lantas disembunyikan sampai tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diperbuat oleh tangan kanannya.” (Bukhari dan Muslim)

Masyarakat Islam mutakhir ini menghadapi berbagai krisis moral sama ada di kalangan ahli politik, ahli agama, profesional, usahawan, pelajar, remaja, ibu bapa, golongan muda dan lainnya.

Hadis Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam di atas yang menyebut tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah di Padang Mahsyar adalah sifat-sifat peribadi manusia yang tinggi nilai kerohaniannya dan mulia darjatnya di sisi Allah. Sifat-sifat peribadi yang mulia ini adalah merupakan tiang yang kukuh dalam menunjangi kekuatan sebuah negara dan masyarakat. Apabila tiang-tiang ini runtuh, maka negara itu akan menuju kepada kehancuran tamadun manusia, kesejahteraaan dan keharmonian masyarakat akan bertukar kepada kacau bilau dan ketakutan.

Golongan Pertama : Pemimpin yang Adil

Negara akan kukuh dan maju jika pemimpin adalah golongan yang adil dalam pentadbirannya yang tidak meletakkan kepentingan diri, kroni dan kaum sebagai penentu dalam setiap keputusan yang dibuatnya. Keadilan yang ditegakkan seorang pemimpin ialah keadilan dalam segala bidang sama ada bidang hukum, bidang hak asasi manusia, bidang politik, bidang ekonomi ataupun bidang kemasyarakatan. Yang penting ia meliputi segala sistem kehidupan manusia.

Keadilan yang dijalankan pemimpin melahirkan masyarakat yang bersatu, taat dan harmoni. Keadilan Khalifah Umar bin Abdul Aziz r.a telah membawa rakyat kepada pembebasan daripada kemiskinan dan rasuah. Beliau berlaku adil pada dirinya dalam menjaga harta rakyat sehingga sanggup hidup dalam kesusahan.

Keadilan menyebabkan harta rakyat benar-benar sampai pada rakyat, bukannya berlegar di kalangan golongan tertentu sahaja. Di zaman yang penuh dugaan ini, ramai golongan politik mempunyai impian untuk menjadi pemimpin yang adil jika diberi kekuasaan, namun ramai yang tewas dengan nafsu apabila silauan harta mula terbuka. Justeru itu bukan sahaja kita perlu menaikkan tokoh yang adil, tetapi kita juga perlu mewujudkan satu mekanisme politik, ketelusan perundangan dan kesedaran rakyat agar ia dapat mengawal seorang pemimpin agar berlaku adil.

Segala mekanisme dan peranan ini wujud di Amerika, Britain, Jepun, Korea dan beberapa negara lain. Keadaan ini menyebabkan seseorang pemimpin tidak boleh bertindak sesuka hati mereka, melainkan mereka mesti berlaku adil pada rakyatnya (walaupun mereka terutamanya Amerika dan Britain banyak berlaku tidak adil kepada masyarakat antarabangsa).
Kealpaan rakyat akan menyebabkan pemimpin boleh melakukan apa sahaja asalkan keselesaan mereka terjaga. Firaun dapat mengaku dirinya Tuhan lantaran kejahilan ratusan ribu rakyatnya walaupun beliau hanyalah seorang diri dan seorang manusia yang sama sifat dengan mereka.

Golongan Kedua : Golongan Muda yang menghabiskan usia mudanya dengan ibadah

Golongan muda yang terdidik dengan ibadah akan mempunyai akhlak dan pemikiran yang bersih dari budaya yang merosakkan. Mereka akan hidup dalam masyarakat dan mengawal negara ke arah citarasa mereka yang murni. Mereka menjadi golongan muda yang terkawal dari kerosakan yang dibawa arus kemajuan dunia dan mempunyai jatidiri yang hebat walau dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.
Ibu bapa dan semua lapisan masyarakat akan merasa selamat dan tenang apabila generasi muda ini berada dalam kelompok mereka. Generasi ini adalah aset yang amat penting kepada negara dalam memastikan negara terpelihara dari kerosakan dan terus harmoni dari satu generasi ke generasi yang lain.

Golongan Ketiga :Golongan yang terikat hatinya dengan Masjid

Masjid adalah institusi memupuk ilmu, akhlak, persaudaraan dan kerohanian. Apabila jiwa-jiwa dapat diikat dengan masjid, maka budaya-budaya yang disuburkan masjid akan hidup subur pula dalam masyarakat. Lahir masyarakat yang berilmu, mempunyai akhlak yang mulia, persaudaraan yang jitu dan ketakwaan yang tinggi.
Dengan nilai-nilai ini, negara berada dalam suasana yang amat bersatu, aman dan baik. Golongan ini mampu menjadi penasihat dan memerhatikan antara satu sama lain dan juga kepada para pemimpin. Apabila nilai-nilai yang menjadi budaya ini diserap dalam sektor-sektor awam atau badan korproat, nescaya ia akan melahirkan budaya kerja yang sihat sehingga boleh membawa kemajuan kepada negara.
Kemajuan Jepun dan Korea dimulakan dengan menanamkan nilai-nilai yang tinggi dalam jiwa rakyatnya sehingga budaya tersebut mampu menjadikan mereka berjaya dalam apa jua bidang yang diterokai. Amat malang sekali budaya Islam diamalkan oleh golongan yang tiada iman, tetapi budaya rendah diamalkan oleh golongan yang Al-Quran ada di tangan mereka.

Golongan Keempat :Mereka yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah

Mereka adalah golongan yang menjadikan asas pertemuan mereka adalah cinta pada Allah dan berpisah kerana Allah. Mereka memupuk budaya cinta sesama insan dan cinta kepada kebaikan.
Apabila ahli politik bertemu, mereka membincang dan merangka tindakan-tindakan yang akan memberi kebaikan pada agama dan rakyat. Apabila bertemu para ulama, mereka berbincang tentang ilmu dan dakwah yang membawa kebaikan kepada manusia. Apabila bertemu ahli korporat, mereka berbincang kaedah untuk menjana pendapatan dalam membantu kemajuan negara dan kebaikan masyarakat.
Dua pasangan yang mahu berkahwin juga berdasarkan cinta pada Allah, bukan nafsu semata-mata. Pertemuan keluarga diadakan untuk merapatkan silaturrahim kerana Allah, bukannya untuk tunjuk menunjuk atau cela mencela dan begitulah seterusnya. Mereka menjadikan apa jua bentuk kehidupan mereka di dunia adalah kerana Allah demi kehidupan mereka di akhirat.
Golongan ini tiada memisahkan sedikit pun setiap langkah mereka dengan Allah dan Hari Akhirat. Mereka adalah golongan yang mencari kebaikan di dunia dan kebaikan akhirat.

Golongan Kelima : Mereka yang berzikir di tempat yang sunyi lalu mengalir air mata

Mereka adalah golongan yang ikhlas, menyembunyikan kebaikan namun hati mereka amat cinta dan takut pada Allah. Golongan seperti ini ialah mereka yang tiada berebut untuk mencipta nama, mengejar jawatan, menunjuk-nunjuk amal kebaikan atau kealiman mereka. Hubungan mereka dengan Allah tersembunyi, mereka hidup dengan nilai-nilai akhlak yang tinggi walaupun sebagai ahli politik, usahawan, profesional, berpangkat tinggi dalam sektror-sektor awam atau swasta, atau apa jua bidang yang lain kerana jiwa yang dipupuk dengan ikhlas dan tawadhu.

Mereka adalah golongan yang menjauhi rasuah, melakukan setiap kerja dengan mengutamakan redha Allah daripada redha manusia, menjauhi pujian dan tiada bersifat menunjuk-nunjuk.
Golongan Keenam : Seorang lelaki diajak perempuan berzina, ia mengatakan takut kepada Allah

Masyarakat yang menghalalkan zina akan menghancurkan tamadun manusia. Anak-anak yang lahir daripada budaya bebas, sistem keluarga yang hancur dan status yang tidak jelas pasti menjejaskan masyarakat dan negara.

Masyarakat barat yang hidup tanpa mengambil nilai status kekeluargaan akan menuju kehancuran tamadun manusia, walaupun maju dalam tamaddun kebendaan. Ketidakseimbangan yang berlaku akan membawa kekacauan dalam struktrur kehidupan masyarakat sehingga seorang bapa atau ibu tiada hak untuk menegur atau mengawal anak-anak mereka. Ia ibarat membina generasi haiwan berakal yang boleh bertindak ganas sesama sendiri pada bila-bila masa apabila kemahuan mereka tidak dihiraukan

Malaysia sudah mula menuju kepada kehidupan gaya bebas ini sehingga anak-anak menjadi mangsa sama ada semasa mereka lahir atau apabila dewasa. Istilah ‘ibu bapa’ akan hilang dalam kamus pemikiran anak-anak zina dan peratus mereka yang membesar dengan nilai-nilai keimanan dan akhlak yang tinggi amat sedikit.

Bagaimana negara akan kuat jika lahir anak-anak yang tiada memahami nilai kasih sayang malah membenci kehidupan beragama atau beretika yang dianggap sebagai mengongkong kebebasan mereka? Negara juga akan berada dalam keadaan amat lemah kerana mereka tidak akan mempunyai jati diri untuk mempertahankan negara terutama bila sampai masa negara menuntut pengorbanan mereka.

Kebebasan wanita kini yang begitu hebat adalah punca terbukanya pintu zina. Peratusan tertinggi punca berlaku zina adalah disebabkan dari sikap perempuan sendiri. Mengajak zina bukan bermakna ajakan dengan mulut secara terbuka, tetapi secara berpakaian yang amat terdedah, tutur kata yang menggoda, bebas bergaul dengan lelaki atau lainnya adalah seruan kepada kaum lelaki untuk berzina dengannya.

Lelaki yang amat nipis imannya pada zaman ini akan mudah jatuh dalam godaan ini. Sifat lelaki memang ‘memburu’ tetapi jika buruannya liar, maka sukar untuk mereka mencapai hajatnya. Namun jika buruannya amat jinak, maka amat bodoh lah sang harimau tidak makan sang kambing yang berlegar-legar berhampiran tempat tidurnya!

Namun jika lelaki itu dapat menahan dirinya walaupun ada peluang untuk melakukannya kerana takut pada Allah, mereka adalah golongan yang benar imannya, amat dicintai oleh Allah dan Rasul, bahkan ia menjadi pemangkin kekuatan pada negara serta dapat menyelamatkan masyarakat daripada berleluasanya zina.

Hari ini kes pembuangan bayi kerana kebebasan zina bagaikan tiada terkawal. Walaupun ketegasan undang-undang akan dijalankan (seperti mensabitkan kesalahan bunuh kepada mereka yang membuang bayi), namun ia bukan penyelesaian yang utama sekiranya langkah-langkah punca zina tidak dikawal.

Dalam sistem pemerintahan sekular yang tiada meletakkan Islam sebagai dasar dalam pentadbirannya, ia tidak akan mampu memberi rawatan kepada masalah ini. Ini kerana pintu berlakunya zina seperti budaya kebebasan pergaulan lelaki dan perempuan tanpa sempadan tiada ditutup sama ada dalam sistem pendidikan, ekonomi, hiburan, pakaian dan lainnya.

Kerajaan bagaikan ayah bagi anak-anak. Sebagaimana kita mengawal anak-anak kita di rumah daripada rosak, begitu juga kerajaan wajib menjaga rakyatnya agar tiada rosak, segala pintu yang membawa kepada kerosakan wajib dikawal. Kita wajib membangunkan negara di atas nilai budaya kita berlandaskan prinsip Al-Quran, bukannya mengamalkan segala budaya Barat yang tiada pedoman.

Golongan Ketujuh : Orang yang menderma dimana tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibuat tangan kanannya

Inilah masyarakat Islam yang wujud di Madinah di bawah pentadbiran Khulafa Ar-Rasyidin. Ramai golongan yang kaya membayar hutang golongan miskin di kedai-kedai, memikul gandum pada waktu malam untuk dihantar ke pintu rumah orang miskin tanpa mahu diketahui identiti mereka.
Alangkah indahnya masyarakat ini apabila orang kaya bukan memikirkan untuk berlagak angkuh kepada golongan miskin, tetapi sentiasa berfikir untuk membantu orang-orang di bawahnya. Ia lahir daripada sifat syukur yang terpancar daripada takwa kepada Allah.

Sifat ini boleh merapatkan jurang perbezaan antara si kaya dan si miskin sehingga wujud masyarakat yang bersih daripada kemiskinan yang tegar dan berkasih sayang. Sifat mereka akan membawa penyelesaian terhadap permasalahan sosial yang disebabkan kemiskinan dan membantu negara dalam memacu kemajuan.
Tujuh sifat ini ialah bunga-bunga yang menyegarkan taman, bukan sahaja dengan keindahannya tetapi juga dengan kewangian baunya. Mereka adalah pemangkin negara dan pengukuh masyarakat yang dinamik. Negara boleh mencapai tamadun yang hebat di atas nilai-nilai modal insan yang tinggi akhlak dan kerohaniannya.

Masyarakat seperti ini hanya akan terbina apabila Islam dijadikan dasar oleh masyarakat dan kerajaaan yang menekankan kepada aspek kemajuan dunia tanpa memisahkan kemajuan kerohanian. Islam meletakkan pembinaan kemajuan kerohanian adalah lebih utama kerana ia adalah asas yang penting kepada kebaikan dalam mencapai kemajuan dunia. Tanpa asas kerohanian yang kuat, kemajuan negara akan menuju kemunduran aspek manusiawi sehingga masyarakat tiada menemui ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan.

Segalanya hancur ; Anak tiada menghormati ibu bapa, ibu bapa mengabaikan anak-anak, murid –murid menyaman para guru, para guru tiada keikhlasan dalam mendidik, para korporat sombong dengankekayaan, berlumba-lumba menunjuk kekayaan dengan rumah dan kenderaan yang hebat tanpa memperdulikan orang di sekelilingnya yang memerlukan pertolongan.

Ahli politik pula hidup untuk mencari peluang kekayaan dan menyeleweng harta rakyat, para ahli agama menjual ilmu mereka untuk mencapai kekayaan duniawi, golongan muda hanya mahu keseronokan dan hiburan, masyarakat hidup dalam api dendam, bermusuhan, benci membenci dan lain-lain lagi. Mereka bagaikan parasit-parasit yang akan meruntuhkan negara dan menghancurkan institusi keluarga dan masyarakat.

Sesungguhnya tujuh golongan di atas bukan sahaja mendapat perlindungan Allah di Hari Akhirat tetapi mereka juga adalah golongan yang akan menjadikan negara ini mendapat perlindungan Allah sehingga Allah membuka pintu rezeki dan keampunanNya.
Firman Allah :

"Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari perkara yang menyusahkannya) serta memberikannya rezeki dari jalan yang tiada disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, Allah cukuplah baginya..." (At-Thalaq: 2-3)

Selasa, Ogos 10, 2010

Ramadhan : Puasa Martabat Syariat, Tarekat, Hakikat dan Makrifat

Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam bersabda :

"Ramadhan telah datang kepada kamu yang merupakan bulan berkat dan Allah telah mewajibkan puasa dalam bulan ini. Semua pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup serta dibelenggu syaitan. Ia mempunyai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan dan sesiapa yang tiada bertemunya, ia sangat rugi.” (Imam Ahmad dan An-Nasai)

Ramadhan kini datang kembali. Ada sahabat kita yang telah kembali kepada Allah tanpa sempat bersama dengan Ramadhan kali ini. Kita yang dapat bersama Ramadhan lagi ini pun belum tentu dapat menemuinya lagi di tahun akan datang. Mungkin Ramadhan ini adalah yang terakhir dalam kehidupan kita di alam yang fana ini.

Ramadhan begitu istimewa di sisi Allah dalam kurniaan kepada hamba-hambaNya. Kita bukan kekasih Allah yang dapat melihat dengan kasyaf terhadap perubahan alam dan langit pada bulan Ramadhan, namun kita mengetahui ia amat istimewa melalui sabda-sabda Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam dan tulisan para ulama.

Persiapan diri dalam mengharungi Ramadhan amatlah penting agar kemuliaannya tidak berlalu begitu sahaja. Kita tidak mahu menjadi golongan yang sekadar mendapat lapar dan dahaga, tetapi kita perlu mencapai hakikat yang dikehendaki Allah.

Mari kita mengharungi puasa dengan mencapai maqam Syariat, Tarekat, Hakikat dan Makrifat.

Pada maqam Syariat, kita menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkannya. Pada maqam Tarekat, kita berpuasa pada qalbi dengan menghilangkan ingatan yang lain, hanya kepada Allah semata-mata serta memelihara gerak nafsu, pandangan, pendengaran, perkataan, perbuatan dari perkara-perkara yang diharamkan.

Puasa pada martabat Hakikat, menenggelamkan diri dalam kecintaan dengan berpuasa cinta yang lain melainkan hanya pada Allah dan Rasul. Manakala puasa pada maqam Makrifat ialah dengan membuka cahaya Syuhudiah pada mata hati sehingga berpuasa dari memandang yang lain melainkan Allah.

Puasa pada perut adalah amalan syariat, diamalkan pada bulan ramadhan. Puasa pada qalbi, ruh dan sirr adalah amalan para Salik, Ahli Khawwas, Ahli Khawwas al-Khawwas yang tiada baginya bulan tertentu, diamalkan sepanjang kehidupan mereka demi menyempurnakan maqam kehambaan.

Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan mendalamkan perasaan Kehambaan, Syukur dan Cinta!

Cukuplah wahai sahabat menghitung-hitung amal dan bergembira dengannya. Allah tiada memandang pada bilangan amal yang zahir semata-mata, melainkan memandang kepada hakikat yang dicapai pada qalbinya.

Apa maknanya amal tanpa mencapai hakikat kerana ia tiada akan membawa apa-apa perubahan jiwa dalam mencapai kehambaan. Jangan jadikan puasa sebagai ritual ibadah semata-mata, namun hendaklah masuk ke pintu Ramadhan bagaikan masuk ke pintu madrasah pembinaan rohani untuk menghasilkan iman yang bergetar hatinya apabila menyebut nama Allah.

Firman Allah SWT :

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (al-Baqarah : 183)

Madrasah Ramadhan, masuknya melalui pintu kerahmatan dan keluar melalui pintu keampunan sehingga menemui mutiara ketakwaan. Mutiara takwa disematkan ke dalam qalbu dalam setiap detik nafas kehidupan sehingga memancar kilauannya yang membawa kepada lautan dzauk, asrar, hal, fana dan maqam.

Titiskan air mata bersama dengan taubat penyesalan kerana tiada menghargai Ramadhan yang menjelma dalam kehidupan yang lalu. Sematkan azam, kuatkan hemah agar kali ini kita dapat mencapai mutiara-mutiara yang indah dalam rahsia lautan Ramadhan kurnia Dzat Yang Maha Agung.

Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam bersabda :

“Semua amalan anak Adam adalah untuk mereka sendiri kecuali puasa, ia adalah untukku dan Akulah yang memberikan ganjarannya…” (Bukhari dan Muslim)

Isnin, Ogos 09, 2010

Malaysia Perlu Menuju Kepada Dua Gagasan Parti Politik

Allah mencipta alam ini dengan perseimbangan untuk mewujudkan keharmonian alam. Dunia ini juga ada perseimbangan kuasa apabila wujud dua kuasa besar dunia iaitu Amerika dan Rusia yang sentiasa bersaing. Perseimbangan ini juga perlu wujud dalam politik Malaysia demi kebaikan pada negara dan rakyat. Rakyat mesti berani keluar dari terus dikuasai oleh satu parti politik tertentu sahaja sehingga menyebabkan mereka menjadi angkuh dan berlagak bagaikan Raja Bersiung.

Sistem demokrasi diwujudkan untuk memberi kuasa pada rakyat dalam mengawal parti-parti yang memerintah. Mewujudkan budaya taksub pada parti tanpa menilai dasar yang dijalankan, kecekapan pengurusan, amanah dalam perlaksanaan, kebaikan pada agama, keamanan rakyat dan lainnya akan menghancurkan masa depan negara dan merugikan rakyat. Amal ma'aruf nahi mungkar wajib dijalankan, bermula daripada individu, keluarga, masyarakat dan pemerintahan demi mewujudkan keharmonian kehidupan insan dalam segala aspek.

Justeru Islam mengajar kita hanya wajib taat pada Allah dan Rasul sahaja tanpa ada bantahan. Namun terhadap pemimpin di kalangan manusia, kepatuhan tiada mutlak dan melibatkan syarat-syarat yang ditetapkan. Kebijaksanaan politik perlu dipupuk pada rakyat ketika remaja lagi agar mereka menyedari kepentingan diri mereka terhadap masa depan negara.

Kelantan boleh dianggap 'Universiti Politik' kerana rakyatnya pandai mengajar orang politik bagaimana untuk berpolitik secara jujur. Mereka tiada terikat sepenuhnya dengan mana-mana parti tetapi mendukung prinsip "apa kebaikan parti itu pada mereka". Baik Pas atau Umno perlu berhati-hati dengan kesedaran politik rakyat Kelantan yang mana mereka boleh berubah dengan sekelip mata jika dilihat dasar atau perangai pemimpin yang menyusahkan mereka.

Ramai ahli politik yang tertipu dengan rakyat Kelantan. Mereka tidak menunjukkan zahir sikap mereka pada mana-mana parti, bahkan mereka boleh bersama dengan sebarang aktiviti mana-mana parti. Kadang kala sikap zahir mereka terhadap parti tertentu tidak menggambarkan pegangan mereka yang sebenar. Mereka yang berada dalam UMNO boleh memangkah PAS, begitu juga mereka dalam PAS boleh memangkah UMNO jika tidak bersetuju dengan sesuatu isu.

Kaum Cina juga adalah golongan yang bijak politik. Mereka bukan golongan fanatik pada parti MCA, GERAKAN atau DAP, mereka adalah golongan yang bijak dalam menuntut kemahuan mereka dengan orang-orang politik.

Mana-mana parti yang dilihat dapat memberi apa yang mereka mahu, mereka akan bersatu menyokongnya walaupun baju di tubuh mereka MCA, GERAKAN atau DAP. Maka parti-parti kaum Cina amat takut pada kaumnya dan berlumba-lumba memberi yang terbaik pada kaum mereka. Kesedaran politik kaum India juga sudah mula kelihatan sehingga mereka sudah berani mengajar Presiden MIC sendiri dan pengikutnya apabila melihat sudah tidak mampu membela mereka.

Kebijaksanaan rakyat Kelantan kini telah menular pada Selangor, Kedah, Perak, Terengganu dan Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sarawak dan negeri-negeri yang lain. Sikap ini amat memberi kebaikan pada rakyat dan menggerunkan parti-parti politik yang memerintah sehingga ramai pemimpin UMNO kini tidak tidur malam disebabkan takut dosa-dosa mereka akan dihukum oleh rakyat nanti.

Rakyat sudah mula memahami bahawa dalam sistem demokrasi, kuasa rakyat adalah raja yang patut digeruni dan parti politik adalah khadam yang perlu mematuhi. Kesedaran "Kuasa Politik" ini sudah lama dimiliki oleh negara-negara Eropah, Jepun, Korea, Filipina, Thailand, Indonesia dan lainnya. Para pemimpin negara-negara tersebut akan meletak jawatan jika adanya penyelewengan atau skandal kerana tidak sanggup berdepan dengan persoalan dari rakyat.

Sesetengah golongan Melayu dan India di Malaysia kini masih berada dalam lingkaran ketaksuban kepada parti walaupun persekitarannya sudah berubah kepada pemikiran baru. Jiwa mereka mahu perubahan tetapi penuh keraguan kerana tiada kemerdekaan. Ini disebabkan mentaliti pemikiran mereka sudah lama diperbodohkan oleh Umno dan BN. Umno melakukan pelbagai penyelewengan dan kejahatan pada orang Melayu dan rakyat, namun kerana tiada kesedaran, dan homework yang dilakukan oleh rakyat secara serius, mereka terus senang ditipu dan diperbodohkan dengan pelbagai slogan dan program.

Kejahatan yang paling besar dilakukan oleh UMNO pada bangsa Melayu ialah menjadikan mereka tiada daya fikir dan tiada jiwa yang berani. Mereka mahu rakyat ini terus berada antara bodoh dan cerdik, jika terlalu cerdik atau bodoh akan menyusahkan mereka. Justeru itu mereka merangka sistem pendidikan yang menjadikan rakyat yang cerdik-cerdik bodoh, mereka cerdik dalam bidang mereka tapi bodoh dalam bidang lain malah langsung tiada kepekaan dengan politik.

Segala pintu maklumat yang lain daripada mereka akan dikawal dengan pelbagai akta, mereka mahu rakyat terus menerima maklumat daripada berita yang dikawalnya seperti saluran RTM, TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian dan lainnya. Dengan cerdik bodoh ini, rakyat terus menyembah para pemimpin mereka tanpa mengetahui penyelewengan mereka atau buat tak tahu walaupun tahu.

Rakyat perlu keluar dari pemikiran ini dengan mendukung kewujudan "Dua Gagasan Parti Politik". Penyatuan UMNO dengan PAS yang sedang diusahakan oleh golongan tertentu hanya membawa kembali kepada kemunduran dan pemandulan pemikiran politik rakyat Malaysia. Iklim politik Malaysia mengkehendaki dua gagasan parti yang tetap meletakkan orang Melayu Islam mengetuainya dan kaum lain tiada dipinggirkan.

Mana-mana gagasan politik yang tiada meletakkan orang Melayu Islam sebagai kuasa utama, maka gabungan tersebut akan ditolak oleh rakyat Melayu Islam. Begitu juga jika gagasan itu tidak menghimpun bersama parti kaum lain, ia juga akan ditolak oleh kaum lain.

Orang Melayu tiada kerugian apa-apa apabila berlakunya penukaran kepada Pakatan Rakyat, yang rugi hanya Melayu dalam UMNO. Jika PAS dan UMNO disatukan, kuasa Melayu yang memimpin dua gagasan parti di negara ini tidak akan wujud, ia hanya memberi kebaikan pada pemerintah tetapi bukan pada rakyat untuk diberi kuasa membuat pilihan.

Perpecahan orang Melayu dalam politik tidak boleh dianggap merugikan malah amat menguntungkan mereka apabila dua golongan ini bersaing dalam memberi kebaikan pada orang Melayu Islam dan kaum lain. Apa yang penting perpecahan politik tidak dibawa dalam bentuk emosi kemarahan sehingga membawa perpecahan dan kelemahan bangsa seperti memulau makan kenduri, tidak bertegur sapa, kafir mengkafir, menghentikan bantuan, menyekat peluang kerja, menahan projek, menahan royalti dan lainnya.

Sikap politik sempit dan tidak matang ini yang perlu diperbetulkan antara pendukung kedua pihak, bukannya perlu pergabungan parti. Perbezaan pendapat boleh menjadi rahmat jika pandai menanganinya secara positif dan ianya akan membawa kemajuan kepada bangsa Melayu Islam di negara ini.

Kita perlu bangunkan budaya fikir dan berani membuat perubahan di kalangan rakyat dengan menggerakkan seluruh rakyat supaya prihatin pada politik demi masa depan mereka. Jika hanya ada satu parti yang perlu dipilih tanpa ada persaingan untuk rakyat membuat pilihan, ia akan merugikan rakyat kerana terpaksa memilih mereka walaupun setuju atau tidak setuju.

Sistem demokrasi hanya wujud pada nama tetapi tak wujd dalam perlaksanaan yang sebenarnya. Ia akan menyebabkan budaya fikir rakyat akan lemah sehingga akan menjadi golongan yang tiada minat dengan politik. Pemimpin akan terus dapat melakukan penyelewengan tanpa takut kerana rakyat tiada pilihan yang diberi seperti TNB yang rakyat terpaksa menerima apa jua kenaikan tarif elektrik yang mereka tentukan.

Penggabungan PAS dan UMNO hanya akan menyemarakkan lagi api perkauman dan dibimbangi akan merebak menjadi barah yang tiada mampu dikawal lagi sehingga membawa bahaya pada negara. Saingan Gagasan dua parti politik yang mempunyai dasar dan corak pentadbiran yang berlainan menjadikan rakyat mempunyai pilihan dan akan menjadi kuasa yang digeruni oleh kedua Gagasan Politik tersebut.

Rakyat perlu memiliki nilai agama, akhlak yang tinggi serta memperbanyakkan dialog terbuka antara dua gagasan parti ini agar dapat memberi peluang kepada rakyat menilai siapakah yang sepatutnya diserahkan pentadbiran negara ini.

Politik yang meletakkan parti sebagai 'raja' yang wajib dipatuhi rakyat dengan taktik menakutkan dengan pelbagai ugutan dan ancaman perlu dibuang pada era dunia penuh maklumat ini. Iklim politik yang meletakkan orang Melayu Islam sebagai kuasa politik utama perlu dipertahankan namun gagasan parti politk serta dasar-dasar dan pengurusan negara perlu ada penilaian semula.

Kewujudan dan perseimbangan dua kuasa gagasan rakyat amat memberi kebaikan jika rakyat bijak menggunakannya. Mereka bagaikan puteri yang menjadi rebutan dua jejaka. Marilah kita berganding bahu mendukung pembinaan kuasa rakyat di atas landasan prinsip ajaran Allah dan Rasul demi masa depan Agama, Negara dan Rakyat.

Rakyat Malaysia perlu berterima kasih pada kebijaksanaan Dato' Seri Anwar Ibrahim, keterbukaan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, ketegasan Dato' Seri Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan dukungan pimpinan DAP yang telah berjaya mewujudkan Pakatan Rakyat, sehingga membawa keseimbangan kepada senario politik negara dan memberi cabaran kepada Barisan Nasional.

Dengan kewujudan Pakatan Rakyat, rakyat kini sudah mula mempunyai pilihan sehingga pihak pemerintah hari ini sudah mula pandai dengan ayat "muhasabah, berubah jika kita tidak mahu diubah," Dato' Seri Perdana Menteri mula turun padang dan lainnya.

Maka lahirlah slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" dan "Satu Malaysia."

Pihak pemerintah mula menyedari perlu kepada penyatuan Melayu Islam dengan Pas. Mereka mula gerun dengan suara rakyat dan mula membaiki kelemahan pemimpin dan pengurusan.

Kepada generasi baru, marilah kita mengenang jasa UMNO dan BN sebagai gagasan parti yang ada jasa dalam permodenan Malaysia, namun sudah sampai masanya UMNO berehat dengan memberi peluang kepada Gagasan Parti Politik Alaf Baru mentadbir negara ke arah yang lebih baik.

Kereta BN hanya mampu dibawa 100 kilometer sejam, jika dipecut lagi akan menyebabkan pecah enjinnya bahkan mungkin tercabut tayar dan pintunya kerana sudah uzur. Kita perlu menukar kepada kereta baru yang mampu bergerak sejauh 200 kilometer sejam kerana keadaan lebuh raya dan had laju kini telah berubah.

Kereta UMNO tak mampu lagi untuk meneruskannya. Jika diteruskan juga, akan membawa lebih banyak kerosakan kepada kereta tersebut dan lebuh raya boleh tercemar dengan asap-asap hitam busuk yang keluar melalui ekzosnya. Ia perlu dimasukkan dalam bengkel dalam tempoh tertentu untuk baik pulih sebelum kerosakannya terus bertambah.

Marilah Kita Berubah dan Merubah!... Kepada Allah Jua Kita Bertawakkal...

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ‌ۗ

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri". (Surah Ar-Ra'd ayat 11)

"Membina Kesedaran Kuasa Rakyat"

Selasa, Ogos 03, 2010

Isu Penyatuan UMNO - PAS (bahagian 2/2)

MEREKA DAPAT UNTUNG, RUGI DITANGGUNG RAKYAT

Majoriti pemimpin UMNO kini dari pemimpin tertinggi sehingga peringkat cawangan adalah peniaga yang mencari untung bermodalkan harta rakyat. Mereka tiada keberanian untuk berniaga dengan wang sendiri, mereka menjadikan projek yang berselindung atas nama projek rakyat sebagai perniagaan yang boleh mencapai keuntungan jutaan ringgit. Jika projek tersebut berjaya, mereka memperolehi keuntungan, jika gagal, kerugian tersebut akan ditanggung oleh rakyat. Kekayaan negara akan berlegar hanya pada golongan mereka.Justeru untuk menjadi jutawan dengan harta rakyat ini, mereka berhempas pulas untuk mendapat jawatan kerana ianya akan membuka ruang untuk mencapai cita-cita tersebut.

Bergabung saat mereka dalam kemabukan ini tiada akan memberi manfaat. Ibarat orang sedang mabuk, mereka tidak akan menerima apa jua nasihat ketika itu. Cara yang selamat ialah dengan menghentikan mereka minum dengan mengurung mereka di pusat-pusat pemulihan sehingga ketagihan mereka hilang, kemudian barulah boleh diberi nasihat.

Jika kita kasih kepada saudara Melayu kita dalam Umno, marilah kita hentikan kerosakan yang dilakukan dengan menghentikan mereka dari terus memerintah Malaysia ini. Ia menepati hadis di atas di mana Nabi صلى الله عليه وآله وسلم menyuruh kita membantu golongan yang zalim dengan kita menghentikan kezaliman mereka. Moga dengan mereka berehat atau kehilangan kuasa dan tiada peluang membina kekayaan, mereka menjadi golongan yang insaf dan membaiki diri.

BERANI MELAKUKAN PERUBAHAN

Kita mesti berani melakukan perubahan dengan membuang segala belenggu pemikiran yang sudah lama diikat dengan pelbagai fobia ciptaan UMNO dengan memberi kuasa pula pada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negara ini ke arah yang lebih baik.

UMNO akan tetap menunjukkan wajah prihatin pada masyarakat dengan budaya subsidi dan duit ihsan. Ianya tidak lain melainkan mahu orang Melayu tetap berjalan dengan bertongkat pada UMNO. Orang Melayu tidak akan diajar berjalan sendiri tanpa tongkat kerana jika orang Melayu sudah pandai berjalan sendiri, mereka tidak akan memerlukan UMNO lagi.

Hanya dengan duit ihsan RM600 setahun, pemikiran dan jiwa orang Melayu terus diikat dengan tongkat sakti mereka sehingga mereka sanggup menjadi bangsa yang miskin, pasif dan tidak berdaya maju. Budaya ini menyebabkan kekayaan negara akan terus dimiliki sesiapa sahaja yang pandai merebut peluang sama ada orang Cina, Jepun, Indonesia, Kemboja atau lainnya kerana mereka tiada tongkat UMNO.

UMNO tetap akan melemahkan orang Melayu dengan tongkat, keangkuhan dan ketamakan yang mana dengan budaya ini jika dikekalkan, orang Melayu satu masa akan merempat di negara sendiri.

Kepada para sahabat saya yang masih terkhilaf dengan permasalahan ilmu sehingga merasa kurang senang dengan PAS lalu mengambil sikap berdiam diri dan ada yang menentang cara terang-terangan, saya memberi nasihat agar kita perlu memiliki pertimbangan bijak demi kebaikan kepada Agama dan Negara.

Kita tidak boleh menyelesaikan dua perkara yang besar dalam satu masa. Isu politiknya kita mesti menghentikan pemerintahan BN demi kebaikan rakyat dan generasi akan datang. Adapun isu khilaf ilmu kita selesaikan dengan cara muzakarah di kalangan ulama dengan tidak melibatkan orang awam dan pendirian politik.
Ibarat melihat masjid yang terbakar, terdapat di sana golongan yang kita tidak senang dengan ilmunya sedang berusaha memadamkan api… bagaimana sikap dan keutamaan kita pada ketika itu? Mendiamkan diri walaupun masjid terbakar kerana tidak setuju dengan golongan tersebut, sedangkan dalam golongan tersebut ada mereka yang sama pendirian ilmunya dengan kita atau bersama memadamkan api dahulu barulah kita mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan permasalahan?

Saya meyakini bahawa ketuanan Melayu tidak akan terjejas apabila Pakatan Rakyat memerintah. Kaum Cina dan India mengetahui bahawa mereka tidak boleh memilki kekuasaan politik tanpa orang Melayu. Perlembagaan juga menghalang mereka untuk menjadi kuasa yang tertinggi di Malaysia kerana ia perlu kepada persetujuan Yang Dipertuan Agung. Apa yang mereka mahu hanyalah pemerintahan Melayu yang berlaku adil kepada mereka.

Seorang pensyarah universiti menegaskan yang Melayu tetap akan menjadi majoriti berdasarkan kepada populasi kaum Melayu pada setiap tahun. Statistik ini menyakinkan beliau.

Justeru kita wajib mewujudkan pemerintahan Melayu yang berteraskan Islam, bukannya kebangsaan. Ia akan memadamkan bara api perkauman sebagaimana yang ditunjuk oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dalam mentadbir Madinah.

PAS MEMIMPIN MELAYU

Saya amat meyakini kepimpinan PAS dan Melayu dalam PKR juga sudah mengambil kira segala hal demi memberi kebaikan pada semua rakyat tanpa merombak dasar-dasar kerajaan kini jika ia mempunyai kebaikan pada orang Melayu, negara dan Islam.

Tahalluf politik mereka adalah bersyarat dimana ianya terikat dengan perjanjian. Mana-mana parti yang melanggar perjanjian apabila memerintah, maka dengan sendirinya tahalluf itu akan terbatal. Antara tiga parti dalam Pakatan Rakyat, PAS adalah parti yang paling tersusun, keahlian yang ramai dan pengaruh yang besar pada orang Melayu.

PAS sudah mampu menggantikan UMNO dalam menerajui kepimpinan Melayu berteraskan Islam. Kepimpinan ulama dan pejuang Islam lebih memberi kebaikan yang besar kerana menyambung perlaksanaan Rasulullah SAW dalam siasah dan pentadbiran.

Justeru itu pemikiran ‘takut’ akibat ajaran UMNO perlu dibuang jika mahu menjadi rakyat yang bijak serta benar-benar menggunakan kuasa yang dibenarkan dalam sistem demokrasi demi kebaikan pada negara.

Kita sebagai rakyat diberi kuasa pemilihan lima tahun sekali untuk menilai keupayaan mana parti dalam mentadbir, bukannya kita memberi kuasa mutlak yang tiada boleh digantikan selama-lamanya. Jika UMNO wujud di Jepun, Korea atau negara-negara maju yang lain, UMNO sudah lama dikuburkan oleh rakyatnya dengan pelbagai penyelewengan yang dilakukan.

Mereka yang suka dengan cara yang sama walaupun telah 50 tahun lamanya adalah mereka yang tiada memiliki jiwa besar dan berani melakukan perubahan ke arah yang baik.

Kita tidak boleh menafikan di sana ada jasa dan kebaikan yang dilakukan UMNO. Kita perlulah menghargainya, namun dasar-dasarnyanya tiada boleh kita terima dan kerosakan partinya tiada lagi dapat diubati. Keuzurannya itu memerlukan mereka berehat untuk mereka membuat rawatan.

Kita sebagai kuasa rakyat wajar memberi peluang kepada Parti Alaf Baru (Pakatan Rakyat) yang menepati dasarnya dengan perubahan dunia dan jiwa generasi baru hari ini. Isu peribadi dalam Pakatan Rakyat seperti isu Anwar dan lainnya bukan menjadi isu bagi kita kerana perjuangan kita sebagai rakyat bukan mahu menaikkan individu, tetapi mahu menaikkan ma’aruf dan menghapuskan kemungkaran demi menunaikan tuntutan dan kewajiban agama.

HARAPAN

Apa yang diharapkan, Pakatan Rakyat akan mewujudkan masyarakat yang harmoni dan mengeratkan hubungan antara rakyat apabila mencapai kemenangan, bukan menjadikannya sebagai kesempatan untuk membalas dendam, mengumpul harta, tidak berlaku adil sebagaimana perangai UMNO dan BN.

Marilah kita sama-sama membina kuasa rakyat yang kuat agar dapat mengajar orang politik berpolitik demi kebaikan semua. Masyarakat Islam generasi sahabat sentiasa prihatin apa yang dilakukan oleh pemimpin, mereka akan terus menegur dan membantah jika dilihat ada perkara yang meragukan.

Pernah para sahabat mempertikaikan bagaimana Saidina Umar r.a boleh membuat jubah sedangkan kain yang dibahagikan tidak boleh membuat jubah. Maka Saidina Umar r.a memberitahu bahawa anaknya Abdullah r.a telah memberi bahagian kainnya untuknya sehingga boleh membuat jubah. Inilah masyarakat yang dikehendaki oleh Islam, mereka berpegang pada prinsip amal ma’aruf dan nahi mungkar dalam kehidupan demi menjaga kebaikan agama, negara, pemimpin dan rakyat.

Inilah pandangan saya dan diharap para sahabat dapat menilai dengan dada yang lapang dan fikiran yang terbuka, walaupun mungkin ada percanggahan pendapat.

Hanya Allah yang kita maksudkan dan keredhaanNya yang kita cari.

Al faqir illaLlah
Ibrahim Mohamad
Khadam Syathariyah
Pulau Manis, K. Terengganu

Isu Penyatuan UMNO - PAS (Bahagian 1)

Artikel ini merupakan surat yang dikirim Walid kepada para sahabat beliau di kalangan para pimpinan NGO, Madrasah & Pondok, Pertubuhan Silat, Mahasiswa, Tarekah Tasawuf dan beberapa institusi lain bagi menyatakan pandangan dan pendiriannya terhadap isu Penyatuan UMNO - PAS.

Saya rasa ada baiknya ianya dikongsi bersama dengan teman-teman dan para muhibbin sekelian kerana perkara ini berkait dengan manhaj perjuangan Walid dan penting juga untuk kita memahami isu ini dengan sebaik-baiknya.

Kandungan penuh surat ini disiarkan dalam dua bahagian. :. Ibadur Rahman

****************************************
Assalamualaikum kepada para sahabat yang dikasihi,

Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda di depan sahabat yang bermaksud :

“Berikan pertolongan kepada saudaramu sama ada yang zalim atau dizalimi”.
Sahabat hairan lantas bertanya: “Kami faham jika kami memberikan pertolongan kepada saudara kami yang dizalimi tapi bagaimana pula memberikan pertolongan kepada saudara kami yang menzalimi?”
Baginda memberikan penjelasan dengan sabdanya: “Kalian halang dia daripada berbuat zalim, dengan itu kalian telah memberikan pertolongan kepadanya.” (Hadis Bukhari)

Sikap tolong-menolong amat digalakkan Islam. Pertolongan yang kita berikan kepada saudara kita akan membawa pulangan yang lebih kepada kita. Sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم maksudnya: “Allah SWT sentiasa menolong orang selagi orang itu sentiasa menolong saudaranya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Bahkan memberikan pertolongan adalah sedekah yang paling baik. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda maksudnya: “Pertolongan kamu terhadap orang lemah adalah sedekah yang paling afdal.” (Hadis riwayat Ibnu Abi al-Dunia)

Permasalahan Agama dan Negara adalah dua perkara yang wajib diketahui dan diambil berat oleh setiap Muslim. Sikap tiada kesedaran dan prihatin terhadap perkara-perkara tersebut akan membawa kehancuran pada agama dan negara.

ISU PENYATUAN UMNO – PAS

Kita kini dihangatkan dengan isu penyatuan UMNO dan PAS. Ramai sahabat yang datang bertemu saya dan mengajukan persoalan ini untuk mengetahui pandangan dan sikap saya dalam isu tersebut.

Pada dasarnya saya amat bersetuju dengan apa jua penyatuan, namun saya tidak bersetuju dengan penyatuan UMNO-PAS pada masa ini. Saya melihat ia hanyalah strategi politik UMNO untuk menguatkan kedudukannya bagi mengekalkan kuasa dan mengumpul kekayaan. Dicipta pelbagai slogan provokasi untuk membangkitkan rasa gerun di kalangan orang Melayu konon orang Melayu akan kehilangan kuasa, mereka akan menjadi hamba di tanah air sendiri, masa depan mereka terancam dan kemuncaknya mereka akan kehilangan kuasa majoriti di negara sendiri. Dengan alasan ini maka UMNO melaungkan slogan demi survival bangsa dan agama Islam maka orang Melayu wajib bersatu… bersatu untuk menyokong UMNO!

Ini adalah teknik ‘reverse psychology’ atau ‘saikologi songsang’ UMNO apabila menyedari kedudukan mereka kian kritikal dan terancam. Teknik ‘Saikologi Songsang’ (SS) ialah sebutan bagi kata-kata atau tindakan yang dilakukan dengan sengaja yang bertujuan mendapatkan tindakbalas atau reaksi yang bertentangan. Bagi kaum Cina, ia bukan perkara baru kerana kaedah ini merupakan strategi yang ke-32 dari 36 strategi peperangan yang diamalkan oleh orang-orang China sejak tahun 219 sebelum masihi (SM) lagi. (rujukan: Wikipedia)

Maka UMNO menggunakan taktik ini dengan mencipta pelbagai slogan provokasi untuk menimbulkan rasa gerun di kalangan orang Melayu, mengapi-apikan semangat perkauman dan bertujuan memecahkan kesatuan di dalam Pakatan Rakyat (PR).

USAH TERPERANGKAP

Pada mereka yang cintakan kebaikan dan perubahan seharusnya tidak terperangkap dengan lagu-lagu lama yang dimainkan kembali oleh UMNO seperti isu akan hilang kuasa Melayu dan sebagainya apabila PR menguasai negara ini.

Saya melihat UMNO tidak ubah seperti karektor penjahat dalam filem-filem Bollywood. Di depan masyarakat para penjahat ini bagaikan dewa dengan menolong orang miskin, menderma, mendirikan kuil-kuil dan sebagainya, namun di belakang mereka adalah penyamun, merampas harta dengan penipuan, membunuh, merogol, mendera, melakukan kacau bilau dan sebagainya. Kejahatan mereka hanya dapat disedari oleh beberapa hero sahaja namun tiada ramai yang akan percaya pada hero tersebut apabila diberitahu hakikat sebenarnya.

Dalam konteks UMNO sebagai contoh, merekalah hero dalam melaungkan 1Malaysia untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian di kalangan masyarakat majmuk di negara ini, namun dalam masa yang sama mereka membangkitkan isu-isu perkauman yang sensitif, menanam kebencian antara kaum, menakut-nakutkan orang Melayu jika PR memerintah dan sebagainya. Bahkan bukan lagi menjadi rahsia umum bahawa kursus Biro Tata Negara (BTN) adalah medan mereka menjayakan agenda tersebut sehingga menjadi perbahasan hangat di Parlimen satu waktu dulu.

Saya melihat bahawa kekacauan yang berlaku kepada negara sehingga membawa kepada pelbagai permasalahan seperti keruntuhan agama, kerosakan akhlak generasi muda, kelemahan orang Melayu, perpecahan masyarakat, sifat benci, dendam antara kaum, kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB), hilangnya rezab Tanah Melayu, dasar pendidikan yang celaru, kehancuran sistem kehakiman, budaya rasuah, agama menjadi sampingan dan lainnya adalah berpunca dari dasar UMNO sebagai peneraju Barisan Nasional (BN).

Siapakah yang menggagalkan DEB? Tidak lain adalah UMNO yang menyerahkan projek-projek yang diperolehi dari kerajaan kepada tauke-tauke Cina (projek Ali Baba). Siapakah yang mengkayakan Tan Sri Vincent Tan, Tan Sri Ananda Krisnan (sekadar menyebut beberapa nama) dan yang lainnya kalau bukan UMNO?

Siapakah yang menghilangkan tulisan jawi di sekolah-sekolah, menjual tanah rezab orang Melayu, menjadikan mahkamah bahan ketawa masyarakat dunia, mengikat lidah para mahasiswa, mengikat lidah para ahli agama dan mufti-mufti kalau tidak UMNO?

Penyakit rasuah bukan sahaja menjadi budaya dalam struktur organisasi kerajaan tetapi turut berjangkit ke peringkat pemilihan pemimpin hatta di peringkat cawangan sekalipun. Jika parti sendiri telah bergelumang dengan rasuah, perpecahan dan kerosakan akhlak, bagaimana parti itu mampu untuk mentadbir dan mengendalikan pemerintahan yang bersih dari rasuah, perpecahan masyarakat dan membina akhlak negara?

MEMBINA DAN MERUNTUH

Kita tak menafikan UMNO banyak meluluskan bajet kewangan dalam menguatkan syiar agama dan dakwah seperti JAKIM, Pejabat Agama, Perkim, Tabung Haji dan lainnya namun dalam masa yang sama UMNO juga meluluskan program-program yang merosakkan agama.

Bagaimana rakyat akan menjadi baik jika baja dan racun diletakkan bersama? Ibarat pohon yang diletakkan baja tetapi dalam masa yang sama, serangga yang merosakkan pohon juga diletakkan sama. Ini satu kerja bodoh namanya.

Pemerintahan UMNO dicanang menjadikan perjuangan agama, bangsa dan negara sebagai dasar utamanya, tapi selepas lebih 50 tahun apakah yang kita terima daripada perjuangan mereka? Adakah agama semakin kuat? Adakah orang Melayu semakin kuat kini?

Realitinya jelas di hadapan mata kita. Semakin lama dibiarkan UMNO memerintah, agama dan bangsa Melayu semakin lemah. Slogan perjuangan hanya tinggal laungan saja dimana hakikat yang sebenar mereka tiada kemampuan lagi untuk menguatkan agama dan orang Melayu. Perjuangan mereka hanyalah untuk kekuasaan dan kekayaan.

Hal ini disedari oleh kebanyakan pemimpin UMNO yang jujur dan ikhlas. Tun Mahathir sendiri menyatakan bahawa penyakit dalam UMNO tidak boleh lagi dapat diubati, kerana busuknya sudah sampai ke perut.

Memang ada program pembangunan untuk kebaikan rakyat yang dirancang atau dijalankan oleh kalangan pemimpin UMNO yang jujur dan ikhlas, namun kerana penyelewengan yang lebih hebat dilakukan oleh majoriti pemimpin UMNO lain, menyebabkan banyak program tersebut yang tidak mencapai matlamatnya.

Justeru, saya menyeru kepada semua sahabat yang memimpin apa jua pertubuhan atau Madrasah atau Tasawwuf agar menyedari hakikat ini. Kita perlu mempunyai keberanian menunaikan hak rakyat sebagaimana yang dituntut Islam. Ketaatan pada pemimpin adalah bersyarat selagi mereka berada dalam ketaatan pada Allah dan Rasul dengan mengamalkan sifat amanah, adil, mengajak berkasih sayang semua kaum, kebebasan, cekap dalam pengurusan dan melaksanakan ajaran Allah. Jika mereka melanggar dasar tersebut, maka kita sebagai rakyat wajib menukar mereka dengan golongan lain yang lebih baik untuk melaksanakan dasar-dasar tersebut.

KUASA RAKYAT

Kita rakyat adalah tuan kepada negara ini, orang politik hanyalah sebagai pemegang amanah rakyat dalam menguruskan negara kita. Jika mereka dilihat tiada mampu mentadbir dengan apa yang kita inginkan, maka kita sebagai tuan boleh menukar mereka dengan pentadbir yang lain. Kita tidak boleh taksub dengan mana-mana pentadbir, kita masyarakat Islam hanya boleh taksub kepada Al-Quran dan Sunnah. Mana-mana pemimpin atau parti yang dilihat mampu mengamalkan dasar-dasar Al-Quran, maka merekalah yang wajib kita angkat sebagai pemimpin untuk menguruskan negara ini.

Pada hemat saya, penggabungan Pakatan Rakyat yakni PAS, PKR dan DAP menepati prinsip Islam yakni untuk menegakkan keadilan, amanah, kasih sayang sesama kaum dan menentang penyelewengan pengurusan harta rakyat. PAS, PKR dan DAP bersetuju berpegang pada prinsip-prinsip yang sama dan itulah prinsip yang selari dengan hukum Allah, yang wajib diutamakan dari keutamaan yang lain. Ia menepati Fiqh Awlawiyyat yakni mengutamakan perlaksanaan hukum Allah yang menepati kehendak dan keperluan semasa dengan tetap akan melaksanakan hukum-hukum yang lain apabila tiba masa yang sesuai.

Penggabungan PAS-UMNO tidak boleh dijalankan pada waktu ini kerana semua prinsip tersebut telah dilanggar UMNO. Dasar UMNO meletakkan kebendaan mengatasi agama, sedangkan dasar PAS meletakkan agama mengatasi kebendaan. Jika bergabung dengan PAS, UMNO akan dapat memanjangkan lagi talian hayat mereka untuk terus menyambung kerja-kerja buruk mereka. Mengharapkan mereka insaf dengan idea penyatuan tersebut adalah amat sukar kerana perangai buruk sudah menjadi tabiat mereka sehingga jika orang UMNO tidak menyeleweng harta rakyat, ia dianggap amat ganjil.
Bersambung...