Isnin, Mei 03, 2010

Ustaz Mustaffa Kamal & Ikatan Pendidikan Tauhid Tasawuf (IPTAF) - Cerita di Sebaliknya...

Hasil daripada perjuangan Abuya mengembangkan Pengkajian Tauhid Tasawwuf di Aceh dan Indonesia, maka ada di kalangan sahabat-sahabat saya yang bersemangat telah mendaftar suatu badan bernama Ikatan Pendidikan Tauhid Tasawwuf (IPTAF) sebagai wadah NGO untuk perjuangan di Malaysia.

Ustaz Mustaffa Kamal
Walaupun sudah lama didaftarkan, ia hanya aktif apabila diterajui Ustaz Mustaffa Kamal bin Hamzah kira-kira setahun lalu. Beliau yang saya kenali adalah seorang pendakwah yang gigih, petah berbicara, agak keras pendiriannya dan agresif dalam dakwahnya. Beliau amat meminati bidang fekah pada awalnya.

Ketika mahu mengadakan lawatan ke Aceh bersama rombongan Guru-Guru ITMAM (Kesatuan Madrasah Islamiyah) pada pertengahan 2008, beliau mahu ikut serta rombongan walaupun ada bantahan di kalangan sahabat-sahabat yang meragui kecenderungan aliran ilmunya pada ketika itu.

Saya tiada mengenali bagaimana pegangannya ketika itu, namun tetap bersangka baik dan mengharapkan kebaikan. Akhirnya beliau turut serta melawat Aceh, menziarahi dayah-dayah (pondok-pondok) dan bermuzakarah dengan para Guru dayah.

Syeikh Yusuf Al-Hasani
Selepas pulang dari Aceh, hubungan saya dengan beliau bertambah akrab dan keterbukaan ilmunya terhadap tasawwuf mula terserlah. Kedatangan Syaikh Yusuf bin Muhyiddin al-Bakhour al-Hasani (bekas Mufti Kanada) mengadakan Daurah Kitab Haqaiq Tasawuf di madrasahnya selama 3 hari lebih lagi menambah cintanya pada Tauhid Tasawuf. Malah beliau telah mendapat keizinan menyampaikan kitab tersebut dan mendapat ba’iah Tarekah Syaziliyah daripada Syaikh Yusuf.

Habib Umar Al-Hafiz
Kemudian beliau menyatakan kerinduannya pada saya untuk ke Yaman menimba ilmu dengan Habib Umar Al-Hafiz. Saya menghubungi Baba Abd. Aziz untuk mendapat maklumat bagaimana ke sana memandangkan Baba Aziz mempunyai jaringan perhubungan dan kenalan yang ramai di luar negara.

Alhamdulillah pada tahun tersebut Habib Umar mengadakan Daurah Tahunan selama 40 hari di tempatnya di Darul Mustafa, Hadramaut, Yaman. Maka akhirnya Ustaz Mustaffa Kamal bersama beberapa sahabat dari ITMAM bertolak ke Yaman dan mengikuti Daurah Tahunan tersebut dengan jayanya.
Sebaik pulang dari Yaman, Ustaz Mustaffa Kamal banyak menunjukkan perubahan sikap baik dari sudut ilmu, syarahan dan khutbah Jumaatnya. Malah sesetengahnya sampai menitiskan air mata mendengar syarahannya.

Syeikh Nuruddin Marbu
Al-Banjari
Saya hanya mengetahui perkembangan beliau secara jauh kerana ketika itu saya merantau ke Indonesia selama beberapa bulan. Saya mengetahui beliau juga mengikuti daurah Syaikh Nuruddin Marbu Al-Banjari di Bogor, Indonesia dalam Ilmu Hadis dan Usul Fiqh. Ketika itu saya ada bersama di majlis Muwasolah Habib Umar di Bogor, Indonesia.

Apabila pulang ke Terengganu, beliau datang menziarahi saya dan menyatakan hasratnya untuk muzakarah kitab Hikam dan bersuhbah rohani dengan saya. Saya sekadar menyambung barakah salasilah Tarekah Syathariyah kepadanya dan membimbing pengajian kitab Hikam dan Minhajul Abidin beliau.

Salah satu Majlic Cinta Rasulullah sallaLlahu 'alaihi
wassalam di Ribath Al-Hidayah Ghazaliyah. Beliau
juga adalah Mudir Ribath tersebut
Melihat pada potensinya yang mempunyai akhlak, keilmuan, kepimpinan dan dihormati masyarakat, para sahabat mencadangkan agar diserahkan wadah NGO IPTAF kepadanya untuk dipimpin. Apabila diutarakan padanya, Ustaz Mustaffa Kamal terus bersetuju kerana baginya, dengan wadah IPTAF beliau boleh bergerak bebas menyampaikan method dakwah yang diingininya dengan lebih meluas kepada segenap kelompok masyarakat.

Namun dalam waktu yang sama, saya melahirkan kebimbangan akan berlakunya pertembungan budaya dakwah yang beliau dokongi dengan pihak PAS, pihak kerajaan dan badan-badan dakwah lainnya. Ini kerana method dakwah Tauhid Tasawwuf secara terbuka amat baru bagi masyarakat di sini.

Tasawwuf lebih dikenali masyarakat kini sebagai ajaran sesat, golongan anti dunia, anti perjuangan, asyik dengan zikir tanpa memperdulikan masyarakat dan lain-lain. Mereka tidak kenal tasawwuf dalam konteks ilmu yang menjadi salah satu dasar rukun Ad-Deen. Namun Ustaz Mustfafa Kamal mempunyai perkiraan sendiri dan mempunyai ‘team’ pendukungnya yang kuat. Beliau menyatakan sanggup menghadapi apa jua mehnahnya nanti dan sanggup berkorban demi membawa perubahan masyarakat daripada belenggu dakwah hukum kepada dakwah sufiah.

Bermula saat itu, Ustaz Mustaffa Kamal mula memimpin IPTAF dengan didukung kuat oleh kalangan anak muridnya dan dibantu segelintir daripada sahabat dan muhibbin saya yang mempunyai anggapan baik bersama IPTAF dibawah pimpinan Ustaz Mustaffa Kamal.

Sahabat dan para muhibbin tahu saya kurang bersetuju jika bergerak pada satu wadah yang nanti akan memperlihatkan kekuatan @ dianggap seperti satu jamaah tertentu, yang dibimbangi akan berlakunya pertembungan dan permasalahan di kemudian hari.

Walaupun begitu, saya tetap berpegang pada prinsip untuk tidak mencampuri urusan dakwah dan strategi mereka kerana menghormati apa yang ada pada mereka. Saya sekadar memberi nasihat demi kebaikan semua pihak. Dalam masa yang sama, saya akan tetap mendukung mereka apalagi jika menghadapi permasalahan dengan perjuangan mereka dengan doa dan nasihat.

Ustaz Mustaffa Kamal dalam dalam majlis bersama
Abuya Amran Waly di Meulaboh, Aceh
IPTAF kini mempunyai struktur kepimpinannya sendiri di kalangan murid-murid Ustaz Mustaffa dalam membuat keputusan dan tindakan. Saya sendiri tiada haq untuk membatalkan perancangan dan keputusan mesyuarat mereka, malahan tidak semuanya dalam pengetahuan saya.

Method dakwah Tauhid Tasawwuf Ustaz Mustafa Kamal tiada sama dengan method Pengkajian Tauhid Tasawwuf Syaikh Abuya Amran Waly di Aceh. Ustaz Mustaffa Kamal lebih cenderung kepada method tasawwuf Hadrat Maut yang menumpukan pembangunan jiwa insan bermula membina ikatan cinta dengan Rasulullah sallalLahu ‘alaihi wassalam dan menekan Iman, Islam dan Ihsan secara bersepadu. Method Abuya Amran Waly pula lebih menumpukan perbahasan ilmu yang mendalam dalam dzauk Tauhid Syuhudiah dan Tauhid Wujudiah yang Muwahhid.

al faqir Tokku

Sains Alamiah dan Hukum KeTuhanan (Bahagian 2/3)

Sumber blog : Interaksi dengan Allah - al faqir Abi Ahmad

Sambungan bahagian 1...

SAINS FIZIKAL DALAM TAKLUK QUDRAT DAN IRADAT ALLAH

Stastik Penting Matahari
  • Jarak bumi - matahari: 150 juta km
  • Bahan Komposisi Matahari: 74% Hydrogen, 25% Helium, 1% lain (ikut jisim).
  • Sinar Matahari: ~ 4 x 10³³ erg/s. [secerah 4 trillion trillion mentol 100-watt ]
  • Umur matahari: 4.5 billion tahun.


Matahari berjalan mengikut jalan yang telah ditentukan Allah sebagaimana setiap satu zarah itu wujud dan bergerak dengan kehendak Allah. Undang-undang atau sunnatullah adalah landasan ghaib alam bergerak. Jika Allah tidak menghendaki sesuatu yang lain maka alam ini akan tetap wujud dalam bentuk yang sentiasa sama. Api akan sentiasa membakar. Pisau tajam akan terus menghiris. Pemecahan atom akan langsung menghasilkan ledakan tenaga super. Tabiat alam ini seolah-olah tetap dan abadi. Kesempurnaan wujud alam serta kerumitan undang-undang fizikal ini memberikan bukti bahawa ia memang dicipta oleh satu kuasa yang maha Bijaksana dan Maha Teliti. Tidak mungkin ia wujud dengan sendirinya dengan sistem sehebat dan seteliti yang berjalan ini. Kehebatan dan kerumitan ini jelas dilihat dalam buku-buku yang merakamkan kajian dan penemuan rahsia alamiah seperti fizik, astro fizik, micro biologi, kimia, kejuruteraan bendalir dan lain-lain.

Matahari telah wujud 4.5 billion tahun yang lepas dan menjalankan tugasnya dengan sempurna sehingga hari ini. Ramalan mengatakan bahawa ia akan terus berkhidmat kepada alam selama 5 billion tahun lagi sehingga stok hydrogen dan heliumnya kering. Siapakah yang memulakan pembakaran hydrogen dan helium pada awal wujudnya? Jika matahari menghampiri bumi lebih dekat dari 150 juta km,(jaraknya dalam orbit) bumi ini akan menjadi terlampau panas untuk dihuni makhluk hidup. Matahari adalah termasuk makhluk yang tidak mempunyai akal dan kemahuan sendiri. Para saintis yang menolak hukum penciptaan dan hukum taqdir sebenarnya kebingungan mencari kekuatan yang mengawal matahari yang terus kekal dengan tabiatnya selama berjuta tahun. Sila lihat ayat yang digunakan oleh salah satu laman web mereka, ' It is not known exactly what causes this repeatable behavior' (adalah tidak diketahui secara tepat apa yang menyebabkan tabiat yang berulang-ulang ini terjadi)


Siapakah yang menentukan tabiat matahari yang tidak berakal dan tiada kemahuan ini? Akal yang waras tidak boleh menolak wujud satu kuasa yang mempunyai kehendak (iradah) yang telah mencipta dan mengawal matahari selama 4.5 billion tahun.

Matahari dan tabiatnya adalah satu contoh makhluk. Setiap saat ia berada dalam ta’luk kehendak Allah. Allah mnugkin akan menukarkan sifatnya kepada sejuk dan bahkan Allah boleh menghilangkan wujud matahari itu sendiri pada saat yang akan datang. Hukum mumkin ini adalah satu hak eksklusif Allah dalam mengatur penciptaan dan perjalanan alam. Allah menetapkan satu undang-undang tabii alam ini dan Dia berkuasa dan boleh menjalankan alam ini diluar dari undang-undang ini.Bahkan Allah tidak pernah terikat untuk terus menjalankan alam ini mengikut sunnahNya yang sedia ada ini. Kejadian di luar dari hukum tabiat alam dinamakan sebagai perkara yang mencarik adat dalam kitab usuluddin. Api

Nabi Ibrahim as telah mendengar perintah Allah dan melanggar tabiatnya membakar lalu ia menjadi sejuk dan selamat buat Nabi Allah Ibrahim. Besi menjadi lembut di tangan Nabi Allah Daud as. Nabi Sulaiman as boleh menjadikan angin sebagai kenderaan. Nabi besar akhir zaman, Saidina Muhammad saw banyak kali, dengan izin Tuhannya, melakukan perkara yang melanggar hukum tabiat alam. Makanan yang secukupnya untuk dua orang cukup untuk lebih empat puluh orang. Unta yang tidak pernah bercakap boleh bertutur dengan fasih kepada Baginda saw. Tentera Nabi saw menyeberangi sungai Furat tanpa jambatan menyanggah sifat fizik air. Wali Songo menukarkan tanah menjadi emas dengan jalan yang sama. Doa dikabulkan Tuhan lalu alam bergerak keluar dari tabiatnya. Tabiatnya hanyalah hukum kebiasaan yang selalu berlaku. Tetapi setiap saat hanya Allah sahaja yang menentukan perjalanan alam ini. Taqdir yang berlaku adalah manifestasi kepada sifat kudrat dan iradat Allah yang memerintah matahari dan setiap zarah alam ini.

Sains Alamiah (fizikal)yang dikaji dalam pelbagai bidang merupakan satu anak tangga yang membuka pintu tauhid. Setiap ilmu itu adalah sebenarnya ilmu tauhid. Namun, sedihnya guru-guru yang mnegajarnya telah membuang Allah dari muka surat buku-buku mereka. Lalu warga dunia telah disesatkan dan diheret ke jurang kehancuran.

TAUHID AHLI BADAR
 
Fakta Perang Badar

(sila rujuk kitab kisah para sahabat II, allamah raisulmuhaddisin Maulana Muhammad Zakaria al-Kandahlawi)
  • Kekuatan Pihak Muslim: 313 lelaki / 3 ekor kuda / 70 unta / 6 atau 9 batang lembing / 8 bilah pedang
  • Kekuatan Pihak Quraisy: lebih seribu orang lelaki / 700 ekor unta / 100 kuda / peralatan senjata yang lengkap / alat muzik & penyanyi wanita
Kehebatan Ahli Badar

Ahli Badar adalah sahabat-sahabat Rasulullah saw yang keluar bersama-sama Baginda Nabi saw untuk menyekat kafilah dagang Abi Sufyan yang kecil. Tiada dalam fikiran 313orang manusia hebat ini bahawa mereka sedang menuju kepada taqdir peperangan. Mereka tidak menyangka bahawa Abu Sufyan telah dapat menghidu gerakan mereka dan menghantar utusan memhon bantuan dari musyrikin Mekah. Bila ditanya oleh Rasulullah bahawa mereka akan menghadapi pasukan yang besar dari Mekah mereka tetap tidak berganjak untuk bersama-sama Baginda Nabi saw. Bahkan bila mereka sudah mengetahui kekuatan sebenar musuh pun mereka tetap berkata kami akan bersamamu wahai Nabi Allah. Mereka benar-benar yakin untuk menghadapi pedang musyrikin dengan pelepah tamar. Mereka tidak gentar berjalan dan berlari menghadapi tentera berkuda quraisy Mekah. Dunia telah meyaksikan bagaimana kulit mereka bergeser dengan baju besi dan perisai Mekah. Keyakinan yang tinggi terselinap di bawah kulit mereka bahawa pasukan mereka tidak kan dipersia-siakan Allah.

Ahli Badar percaya bahawa Allah lah yang mengenggam segala ka inat (makhluk). Segala ka inat tidak memberi bekas. Pedang tidak akan melukakan kulit mereka tanpa izin Allah. Perisai musuh akan tembus dengan tebasan pelepah tamar mereka jika dikehendaki Allah. Bilangan seribu bukanlah bergerak dengan kudrat lain dari kudrat Allah. Tetap semuanya bergerak dengan kekuatan yang datang dari sumber yang sama dengan kekuatan yang mengalir dalam darah, otot dan sendi mereka. Jika kekuatan itu menyebelahi mereka maka hilanglah segala kelebihan yang ada pada bilangan tentera dan keampuhan senjata serta kekebalan baju besi. Bila tabiat alam ditukar oleh Allah untuk memberi kelebihan kepada pihak ahli Badar, maka berlakulah seribu satu kejaiban dalam peperangan ini sehingga sejarah mencatat kemenangan kepada pihak Nabi dan sahabat ahli badar.

Ahli Badar berpegang kepada hukum tauhid atau hukum ketuhanan. Mereka yakin matahari pun tunduk kepada kekuasaan dan kehendak Allah. Mereka amat yakin bahawa Allah adalah sumber kepada segala taqdir. Alam ini berjalan di atas ketentuan Allah pada setiap saat. Mereka yakin bahawa Allah akan membantu mereka sehingga Allah telah memberi kemenangan kepada pelepah tamar ke atas mata pedang. 313 orang mengatasi 1000orang. Pasukan perang serba lengkap kalah kepada pasukan patroli yang kecil. Keyakinan ahli badar ini perlu diamati dan diambil panduan. Amat mudah untuk kita mengagumi dan berkata mari kita ikut sunnah ahli badar.dalam keyakinan bertauhid kita. Namun hakikatnya, untuk mencapai darjah atau maqam iman yang sedemikian tinggi bukanlah hanya dengan sebutan dan perbahasan semata-mata.

Bersambung... [ JALAN MENCAPAI TAUHID AHLI BADAR ]

Ahad, Mei 02, 2010

Kenangan dan Kerinduanku pada AHLILLAH 2 : Tuan Guru Imam Ibrahim

Tuan Guruku, Syaikh Imam Ibrahim bin Ngah telah pulang ke rahmatullah pada Isnin, 5 Oktober 2009 di rumahnya di Kg Beladau Kolam, Kuala Terengganu. Walaupun lebih setengah tahun telah berlalu, namun pemergiannya itu masih merenggut jiwaku dengan kasih sayangnya. Darinya aku mendapat sambungan ijazah sanad Tarekah Syathariyyah jalur Syaikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) dan beliau mengamanahkan aku untuk memba’iahkan kepada orang-orang lain.

Aku mendapat kasih sayang seorang ayah darinya. Tuan Guru dihormati masyarakat setempat kerana kealimannya dan disebabkan juga beliau murid kanan kepada ulama masyhur di situ iaitu Tuan Guru Hj Nih Musa, keturunan Tok Pulau Manis yang ke-8.

Tuan Guruku amat kuat menyokong perjuangan PAS dan memegang beberapa jawatan sama ada di peringkat kawasan dan cawangan. Setiap kali selesai majlis ilmu dengannya, perbincangan topik politik akan mengambil tempat kerana itulah kegemarannya. Bahkan gambar Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dan Tuan Guru Hj. Abd. Hadi Awang (Presiden PAS) digantung dalam bilik tidurnya kerana beliau amat mencintai perjuangan mereka.

Datuk Hj. Harun Taib (Ketua Dewan Ulama PAS Pusat) juga sentiasa menziarahinya sewaktu hayatnya bagi membincangkan masalah ilmu dan isu-isu politik tempatan. Kelantangannya dalam memperjuangkan Islam dalam wadah Pas tidak disenangi oleh masyarakat setempat dan saudara maranya sehingga jawatan Imam masjid telah ditarik balik oleh Pihak Berkuasa Agama atas aduan-aduan pihak terbabit. Namun pada masa yang sama, Tuan Guru juga menjadi pilihan mereka sebagai Imam jika ada kematian dan menyembelih lembu jika ada kenduri.

Tuan Guru hidup dengan kitab, zikir dan perjuangan. Wajahnya sentiasa senyum redha dalam kesakitan dengan pelbagai penyakit hingga ke akhir hayatnya.

Beberapa bulan sebelum Tuan Guru meninggal, al-marhum tidak membenarkan aku keluar negara kerana faktor kesihatannya yang tidak begitu stabil. Kecintaanku padanya membuat aku akur dengan permintaan tersebut sehingga Tuan Guru meninggal. Kulihat saat itu wajahnya penuh dengan penuh cahaya ketenangan.

Almarhum sedang asyik mendengar qasidah yang
disampaikan anak-anak Ribath Syeikh Abd Malik
di rumahnya suatu ketika dahulu 
Berita pemergian Tuan Guru tersebar dengan cepat. Berbondong-bondong manusia datang dari pelbagai tempat, dalam dan luar Terengganu. Hinggakan ketika solat jenazahnya di rumah, kayu galang di bahagian tengah rumahnya patah disebabkan ramainya orang untuk menyembahyangkan jenazah Tuan Guru. Akhirnya solat jenazah terpaksa disambung lagi di Masjid Beladau Kolam kerana masih ramai yang menunggu giliran untuk bersolat jenazah.

Semoga tenanglah diri Tuan Guru bersemadi dengan ruh jihad yang dicintainya sepanjang hayatnya.

Al-Fatihah.

al faqir Tokku

Kenangan dan Kerinduanku pada AHLILLAH 1 : Syaikh Abu Dahlan Tanoh Abee, Aceh

Pemergian Syaikh Abu Dahlan Tanah Abe, Aceh ke sisi Kekasihnya empat tahun dahulu amat ku rasakan. Hingga kini masih segar dalam ingatan saat-saat bersama al-marhum. Dengannya aku mendapat bimbingan ilmu rohani dan diangkat menjadi Khalifah Tarekahnya iaitu Tarekah Syathariyah, disaksikan sahabatku dan khalifahnya Prof Madya Dr. Mohd Syukri Yeoh Abdullah (PhD.UKM - Fellow Penyelidik Kanan/Pensyarah Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM) dan Ustaz Tengku Mohd Fouzy Jumat, ulama dan Ahli Majlis Fatwa Singapura.

Syaikh Abu Dahlan atau nama sebenarnya Tgk H Muhammad Dahlan Al-Fairusi Al-Bagdadi (63) yang biasa disapa dengan Abu Tanoh Abee, merupakan Pimpinan Dayah (Pondok) Tgk Chiek Tanoh Abee, Seulimuen, Aceh Besar dan seorang besar di sana. Beliau meninggal dunia sekitar pukul 13.45 (WIB), Sabtu 18 November di Rumah Sakit Fakinah Kota Banda Aceh setelah beberapa tahun melawan penyakit jantung yang dideritainya.

Beliau merupakan ulama generasi kesembilan dari keturunan langsung Shaikh Fairus, yang mendirikan Dayah (pondok) Tanoh Abee pada tahun 1627 M. Shaikh Fairus sendiri adalah seorang ulama Sunni yang memiliki asal-usul dari Baghdad, dan menjadi pengembang Islam di Aceh melalui Tarekah Shattariyyah yang diajarkannya.

Kematiannya menjadi bahan berita TV dan akhbar di Indonesia sehingga dikhabarkan ratusan ribu manusia datang menziarahi jenazahnya.

Kata Umi (isteri Syaikh Abu Dahlan), sehingga hari ketujuh pemergian Abu, manusia belum putus-putus datang menziarahi dari seluruh Indonesia dan luar negara. Antara kisah masyhur yang diperkatakan mereka hingga kini ialah berlakunya gegaran kecil di bumi Aceh saat jenazahnya dimasukkan ke liang lahad sehingga selamat disemadikan.

Pesantrennya menjadi tempat kunjungan pelbagai pihak dari kebanyakan universiti di dunia. Mereka datang untuk kajian terhadap manuskrip-manuskrip (kitab-kitab lama) yang berada dalam perpustakaan Tanoh Abee yang tiada diperolehi di tempat-tempat lain kerana dicuri dan dimusnahkan oleh pihak Belanda waktu penjajahan dahulu.

Malahan, akibat tsunami yang melanda pada 24 Disember 2004 yang memusnahkan beberapa lembaga penyimpan dokumen bersejarah Aceh, maka semakin ramai yang datang berkunjung ke tempat beliau untuk tujuan pengkajian dan sebagainya. Jumlah naskah koleksi di Dayah Tanoh Abee ini dianggap sebagai yang terbesar di Asia Tenggara untuk kategori koleksi lembaga tradisional semacam Dayah ini.

Selama puluhan tahun Abu menjadi semacam “khadam” yang menjaga dan merawat tidak kurang dari 3,500 teks-teks klasik keagamaan dalam bentuk manuskrip. Kecintaan Abu pada ilmu membuatkan dirinya seringkali terkurung dalam bilik perpustakaan bawah tanahnya dalam masa yang lama untuk menyusun kembali helaian-helaian manuskrip yang telah tercabut, disamping memulihara keadaan kitab-kitab tersebut.

Semoga Allah menempatkan Abu di kalangan para kekasihNya.

Al-Fatihah.

Info tambahan :

  • Terdapat juga laporan dalam Al-Jazeera tentang kematian Abu serta berlakunya gempa bumi ketika saat kematian dan pengebumian jenazah. Ini disahkan sendiri beberapa pihak dari Malaysia yang menziarahi almarhum. Walllahu ‘alam
  • Almarhum Abu juga dikenali kerana telah berjaya menyusun semula 9,000 naskah manuskrip dari kurun ke 16 yang terlonggok di zawiyah beliau.
  • Almarhum pernah diminta oleh Bahagian Sejarah Negeri Melaka untuk mengesahkan maqam Syaikh Syamsuddin al-Sumatrani di Kg. Ketek, Melaka.
  • Almarhum juga pernah ditemuramah dalam rancangan Jejak Rasul TV3.
Berita rujukan:
al faqir Tokku

Aku Hanya Memberi Nasihat, Pilihan di Tanganmu...

Aku berpegang pada prinsip menghormati dan tiada mencampuri gerak kerja dakwah para sahabat dan muhibbin dalam usaha mereka menyampaikan apa yang mereka pelajari dariku dalam Kuliah Ad-Deen. Buatlah pilihan yang tepat demi kebaikan diri, suasana dan masyarakat.

Aku hanya memberi nasihat jika diminta, namun keputusan yang baik adalah dari diri sendiri. Apa yang penting hormatilah apa yang ada pada orang lain, jangan ada niat memusuhi sesiapa jua walaupun dirimu dimusuhi. Teruskan dakwah “Kesedaran Fitrah KeTuhanan dan Kehambaan” jika kamu mempunyai kesedaran bahawa ia penting untuk disampaikan. Tiada sesiapa yang memaksa dirimu, hanya dirimu sahaja tahu jawaban kenapa kamu perlu lakukannya.

Kita wajar menjalankan tanggungjawab berdasarkan kekuatan dan kepakaran diri yang dianugerah Illahi. Ibarat mendirikan bangunan, walaupun masing-masing fokus dalam kepakaran yang dimiliki, namun ianya hanya menuju ke satu matlamat iaitu membangunkan bangunan yang diimpikan itu.

Betapa indahnya alam ini apabila ia dihuni manusia yang memiliki kesedaran Ketuhanan, kesedaran kehambaan, kesedaran kepentingan sesama insan dan kesedaran kepada merahmati alam.

Sesungguhnya Al-Quran adalah bicara Allah SWT kepada insan, kalamnya mengetuk sirr, ruh, qalbu, akal dan seluruh tubuhmu kepada satu kesedaran bahawa kamu adalah hamba pilihanNya yang dicipta untuk mengenal, mencintai dan beribadah kepadaNya dengan sesuci-sucinya tanpa ada sesuatu yang lain daripada DiriNya. KalamNya menyedarkan tentang hakikat kehidupan dan dimanakah penghujung kehidupan ini.

Sesungguhnya amat rugilah mereka yang memiliki Al-Quran namun tiada menyedari bahawa Al-Quran adalah untuk DIRINYA!

Sabtu, Mei 01, 2010

Pendidikan Ad-Deen 'Memandulkan' Potensi Insan ??

Ramai insan berjaya dimandulkan oleh para guru atau jemaah yang berkepentingan dalam menjaga kekuasaan dan pengaruh mereka dengan pelbagai adab dan budaya yang mengikat pemikiran murid mereka.

Sememangnya adab kepada golongan yang berjasa seperti ibu bapa, guru, pemimpin, sahabat dan lainnya adalah tuntutan Allah SWT.

Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam bersabda :

مَن لمَ يَشكُرِ النَّاسَ لمَ يَشكُرِ اللهَ

“Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak mensyukuri Allah”. (Hadith riwayat Ahmad dan At-Tirmizi)

Adab berterima kasih wajib dididik agar mereka menjadi manusia yang bersyukur. Maka hendaklah dibangunkan jiwa dengan wahyu Allah yang penuh mukjizat agar lahirnya insan yang berterimakasih kepada mereka yang berjasa.

Namun, jika seorang guru terlampau mendisiplinkan adab berguru terhadap muridnya, ia akan membawa kepada budaya lakonan murid yang bukan datang dari jiwa mereka. Sedangkan Madrasah Ad-Deen adalah madrasah pembangunan kesedaran jiwa, bukannya madrasah tentera.

Dalam Tasawwuf, kepatuhan murid kepada gurunya adalah wajib dalam perkara perintah amalan, mujahadah dan larangan dalam perkara yang membahayakan rohaniahnuya, Namun dalam masalah kefahaman dalam bidang-bidang ilmu yang lain, seperti dakwah, siasah, urusan dunia dan lainnya, para Mursyid yang Haq amat menghormati kelebihan yang ada pada murid dan mendidik serta membimbing mereka sehingga menjadi hebat dengan potensi yang dimiliki mereka itu.

Para Mursyid ini adalah pewaris Nabi, bersama dengan mereka akan membawa kesedaran potensi dan pembangunan jiwa, akal dan emosi dengan penuh keindahan.

Kehebatan Imam Al-Ghazali, Syaikh Ibnu ‘Atha’illah, Imam Asy-Syafie, Imam Ahmad bin Hambal (rahimahullah ‘alaihim) dan lainnya semakin meningkat dan teratur apabila mereka berada di bawah dagu Syaikh Murabbi yang benar.

Tasawwuf yang haq tiada membawa kepada kemandulan potensi, malah ia adalah ruh kepada kemajuan potensi manusia. Manusia bukan sekadar dididik dengan iman dan kepatuhan hukum semata-mata, mereka perlu dididik dengan keikhlasan dan kecintaan dalam keimanan dan kepatuhan itu.

Tanpa tasawwuf, kepatuhan insan pada Allah hakikatnya tiada disertai pembangunan jiwa yang segar, sebaliknya mereka diikat dengan peraturan dan ancaman azab atau janji nikmat Allah semata-mata. Kesedaran jiwa sebagai hamba yang wajib bersyukur tiada dibangunkan dalam jiwa mereka dalam beribadah. Tasawwuf tiada menentang kemajuan insan, namun ia mencantikkan kemajuan tersebut dengan akhlak kehambaan yang suci.

Namun hari ini, tasawwuf hampir lumpuh dengan penyelewengan yang dilakukan oleh para pencinta tasawwuf sendiri. Ditangan mereka potensi manusia ‘terbunuh’, jawatan (pangkat) khalifah, syaikh menjadi rebutan. Manakala adab kepatuhan ditekankan untuk kepuasan nafsu dan kepentingan duniawi mereka. Sifat dengki, fitnah, mengkritik, mengintai kelemahan orang lain, mendabik dada dengan takbur, mendakwa-dakwa akan ketinggian maqam, merendah-rendahkan perguruan lain, menjauhi daripada kemajuan dunia, mengasingkan kelompok daripada masyarakat dan dakwah adalah sifat-sifat yang menghancurkan ruh tasawwuf.

Tasawwuf mereka hanya ada pada kulit dalam bentuk pendakwaan dan amalan ikutan, bukannya benar-benar melalui proses tasawwuf di bawah dagu pewaris Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam yang hakiki. Salah kefahaman dan pembawaan seperti ini akhirnya menimbulkan fitnah kepada keseluruhan bidang ilmu tasawwuf sehingga permata kebenaran dilihat kepalsuan juga…

Wallahu ‘alam.

Sains Alamiah dan Hukum KeTuhanan - (Bahagian 1/3)

Tulisan ini adalah karya al faqir Abi Ahmad. Sila ke blog beliau di Interaksi dengan Allah untuk membaca tulisan penuh.

MUQADDIMAH

Saya merasa sangat bertuah kerana berada di bawah didikan seorang guru yang amat mendalam ilmunya dan amat terbuka kepada perkembangan zaman. Walidku membawa bicara yang amat berbeza dan segar untuk memahami ilmu tauhid. Sesungguhnya ilmu tauhid adalah ilmu yang hidup. Ia hidup dalam setiap bidang ilmu. Penulis belajar tauhid yang berdasarkan ilmu usuluddin Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam wajah yang lebih sezaman. Media sains fizikal adalah satu pentas yang amat menarik kerana ia membicarakan hal-ehwal makhluk Allah. Dunia akademik perdana (mainstream) berkembang dalam fahaman atheisme.

Penemuan dalam bidang astronomi banyak memberi keyakinan bahawa alam ini memang dicipta. Hukum masa, ruang dan jirim sebenarnya banyak membuka rahsia pengenalan kepada sifat-sifat alam yang dicipta ini (makhluk). Pengenalan kepada sifat alam ciptaan juga membuka ilmu tentang sifat-sifat Tuhan yang menciptanya. Dalam perguruan saya dengan Syaikhuna Tokku, saya telah memahami pelajaran usuluddin lewat bicara quantum fizik dan beberapa bidang sains lain. Tulisan ini adalah percubaan saya untuk mengutarakan mutiara-mutiara yang saya dapati dari beliau. Apa yang dibicarakan adalah dari kefahaman penulis dan penulis amat suka jika mendapat maklum balas dari semua pihak.

SAINS FIZIKAL DALAM SKOP HUKUM ADAT

Hukum adat adalah hukum yang ditentukan melalui kebiasaan yang dilihat, diperhati atau dikaji. Kebiasaan yang berlaku dalam alam ini diperhatikan dan ditetapkan hukumnya. Contohnya, kebiasaan pada pisau adalah ia menghiris. maka dikeluarkan hukum bahawa pisau wajib menghiris pada hukum adat. Api pula kebiasaannya adalah membakar. Kebiasaan boleh juga disebut sebagai tabiat. Di mana tabiat air ialah ia mencuci, menghilangkan haus dan juga memberi kesegaran. Tabiat atom apabila dipecahkan akan mengeluarkan tenaga yang hebat. Sebenarnya, Hukum adat adalah sunnatuLlah pada alam ini. Alam ini berjalan mengikut kehendak Allah yang menjadi tabiat alam. Hukum adat juga adalah hukum fizik alami. Alam ini hidup dan berjalan di atas undang-undang yang jelas dan hampir tetap (sentiasa KONSTAN). Di sebalik setiap detik yang berlalu, hukum ini berjalan melaksanakan taqdir Allah. Manusia belajar memahami undang-undang ini dan hidup selari dengannya untuk mengelakkan akibat-akibat yang tidak disenangi seperti mereka mengelakkan diri dari memakan bahan beracun atau yang mempunyai virus merbahaya.

PENEMUAN TENAGA ATOM

Nuclear energy is released by the splitting (fission) or merging together (fusion) of the nuclei of atom(s). The conversion of nuclear mass to energy is consistent with the mass-energy equivalence formula ΔE = Δm.c², in which ΔE = energy release, Δm = mass defect, and c = the speed of light in a vacuum (a physical constant). Nuclear energy was first discovered by French physicist Henri Becquerel in 1896, when he found that photographic plates stored in the dark near uranium were blackened like X-ray plates, which had been just recently discovered at the time 1895.

(rujuk:http://en.wikipedia.org/wiki/Nuclear_energy)

Manusia juga mengkaji undang-undang ini untuk mengeluarkan potensi alam mengikut acuan yang dikehendaki. Saintis nuklear fizik mengkaji tabiat atom, menemui rahsianya dan menghasilkan tenaga atom. Setelah menemui (stumble upon?) rahsia pemecahan atom mereka membuat ramalan bahawa bila atom dipecahkan tenaga yang hebat akan dihasilkan. Lalu tajribah (eksperimen) dilakukan berulang kali untuk membuktikan bahawa penemuan itu terjadi mengikut ramalan mereka. Maka timbullah formula yang terhasil dari penemuan rahsia tabiat alamiah ini. Dan manusia melihat tenaga nuklear sebagai satu kenyataan yang boleh ditiru dan dikeluarkan bila-bila masa dan di mana sahaja.

Apa sahaja kajian, tajribah dan penemuan dalam sains fizikal sebenarnya tidak terlepas dari hakikat bahawa semuanya berjalan di atas kehendak dan qudrat Allah. Ia kembali kepada bicara hukum adat dalam kitab-kitab usuluddin. Namun ilmuan hari ini gagal mengaitkan sains fizikal ini dengan hukum ketuhanan Allah. Mereka gagal melihat 'tangan Allah' dalam fenomena alam. Berbeza dengan para ilmuan di zaman Umayyah, Abbasiyah, Othmaniyah dan yang sepertinya. Sarjana Sains dan Tauhid seperti Al Khawarizmi, Ibnu Nafis, Al Kindi dan lain-lain menggali lubuk alam dan menemui rahsia undang-undang Allah di dalamnya. Kekaguman mereka tentang perjalanan alam membawa mereka sujud di kaki Allah yang Maha Pencipta. Lalu hati mereka bertambah khusyuk dalam ubudiah kerana makin jelas dan terang bagaimana hebatnya ilmu Allah. Mereka mengajak manusia mengeEsakan Allah melalui kajian dan penemuan mereka. Dan mereka menghadiahkan umat manusia dengan teknologi yang penuh dengan nilai kasih sayang dan tidak membawa kerosakan kepada manusia dan alam.

Keadaan berbeza kita lihat berlaku di zaman ini. Saintis aliran utama (mainstream) menguasai pentas keilmuan dunia dan mereka meletakkan asas ilmu mereka pada paksi athiesm (rujuk God Delusion, Dr R. dawkin) sehingga mereka boleh percaya bahawa manusia berasal dari beruk. Dan mereka membawa umat manusia lari dari tauhid dan kasih sayang Allah.

Mereka terlupa, sengaja lupa atau memang dihijab Allah untuk memahami bahawa semua yang berlaku ini masih berada dalam kekuasaan mutlak Allah.

Bersambung... [ SAINS FIZIKAL DALAM TAKLUK QUDRAT DAN IRADAT ALLAH ]