Selasa, Februari 01, 2011

Majlis Maulidur Rasul صلى الله عليه وسلم di Zawiyah Syeikh Abd Malik

 
"Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Muhammad), niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." (Ali 'Imran : 31)

Tidak lama lagi kita akan menyambut hari kelahiran HabibuLlah, Muhammad صلى الله عليه وسلم. Seluruh alam bergembira menyambut kelahiran Baginda صلى الله عليه وسلم dengan bertasbih dan tahmid memuji Allah SWT serta mengucap salam ke atas Baginda صلى الله عليه وسلم

Bahawa merayakan hari keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم, melambangkan satu kegembiraan dan kebahagiaan terhadap junjungan kita Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Malah orang kafir (Abu Lahab) juga mendapat manfaat dengan kegembiraan ini.

Telah disebutkan di dalam kitab sahih al-Bukhari, bahawa Abu Lahab telah diringankan siksaannya pada tiap-tiap hari Isnin kerana ia telah membebaskan hambanya Tsuwaibah, apabila hambanya itu membawa khabar akan keputeraan Nabi صلى الله عليه وسلم.

Nabi صلى الله عليه وسلم sendiri menganggap hari kelahirannya sebagai hari yang istimewa sehingga menjadi asas untuk baginda صلى الله عليه وسلم berpuasa sunat pada hari Isnin. Sabda Baginda صلى الله عليه وسلم :

أَنَّ رَسُوْلَ الله صَلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الإِثْنَيْنِ، فَقَالَ: فِيْهِ وُلِدْتُ، وَفِيْهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ (رواه الإمام مسلم في الصحيح في كتاب الصيام)

"Padanya (hari Isnin) aku dilahirkan dan padanya (hari Isnin wahyu pertama) diturunkan kepadaku." (Syarah Sahih Muslim, Imam Nawawi Jld 8 H: 235)

Mengagungkan dan membesarkan syiar-syiar Islam adalah suatu suruhan dan ajaran yang jelas seperti yang termaktub pada firman Allah SWT yang bermaksud : 

Dan sesiapa yang memuliakan syiar (tanda-tanda) Tuhan, sesungguhnya ia adalah suatu manifestasi dari hati yang bertakwa kepada Allah.” (al-Hajj: 32)

Tiadalah syiar Allah yang paling utama melainkan Rasulullah صلى الله عليه وسلم !

Menyambut maulid Nabi صلى الله عليه وسلم membawa kita berselawat dan mengucapkan salam kepada Nabi صلى الله عليه وسلم, yang mana hal ini sangat dituntut sebagaimana firman Allah Ta'ala:

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلاَئِكَـتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِيِّ يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ صَلُّواْ عَلَيْهِ وَسَلِّمُواْ تَسْلِيماً


“Sesungguhnya Allah dan MalaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang
 yang beriman shalawatlah keatasnya dan salamlah dengan sebaik-baik salam.” (Surah al-Ahzab : 56)

Telah berkata Sultan Ahli ‘Arifin Jalaluddin al-Suyuti di dalam kitabnya : "Tidak ada suatu rumah atau masjid atau tempat yang dibacakan di dalamnya mengenai Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم melainkan malaikat mengelilingi ahli tempat tersebut dan Allah menebarkan rahmatNya kepada mereka."

Katanya lagi, "Tidak ada seorang muslim yang dibacakan di dalam rumahnya Maulid Nabi
صلى الله عليه وسلم. melainkan Allah mengangkat kemarau, waba’, kebakaran, bala, hasad dengki dan dijauhkan pencuri dari ahli rumah tersebut. Maka apabila ia mati, Allah akan mempermudahkan baginya menjawab soalan Munkar dan Nakir."

Manakala Syeikh Yusuf al-Qardawi dalam fatwanya berkata :
“Ada di kalangan umat Islam yang mengatakan bahawa menyambut atau meraikan apa-apa hari kebesaran Islam, sambut Maal Hijrah, Maulid Nabi صلى الله عليه وسلم, Israk wal Mikraj atau apa-apa yang berkaitan adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat dan setiap yang sesat tempatnya adalah neraka. Ini adalah tidak benar secara mutlak. Apa yang tidak dibenarkan ialah sambutan yang disertai dan bercampur dengan maksiat dan mungkar, tetapi jika peluang ini kita jadikan sebagai untuk mempertingkatkan lagi ingatan kepada Nabi صلى الله عليه وسلم, menjejaki peribadi Nabi صلى الله عليه وسلم yang agung dan risalah kenabian yang kekal yang menjadi rahmat ke seluruh alam, maka di manakah bid’ah dan sesatnya?" (Sumber : Fatwa al-Qardawi
Justeru, marilah kita hidupkan bulan Maulud yang bakal tiba dengan penuh kegembiraan, kecintaan dan kesyukuran. Syiarkan kegembiraan menyambutnya di tempat masing-masing mengikut kemampuan sama ada secara besar-besaran atau kecil-kecilan. Ajarkan anak-anak, para remaja, para umat ini agar mencintai Baginda صلى الله عليه وسلم. 

Allah mencipta hamba dan Allah telah mengutus Baginda صلى الله عليه وسلم sebagai cahayaNya kepada insan. Sesiapa yang berpaling dari cahaya Baginda صلى الله عليه وسلم, mereka menuju kegelapan dunia dan akhirat. Syiarkan kecintaan, syiarkan kasih sayang pada Baginda صلى الله عليه وسلم sehingga ia menerjah ke dalam jiwa insan yang lain pula. Jangan peduli kepada yang mengata, jangan peduli pada yang memandang sinis… Mereka menzahirkan cinta dengan cara mereka, kita dengan cara kita, mereka ada hujah dan kita ada hujah, namun kita tiada mahu berhujah kerana mereka tidak akan mahu mendengar.
Demi Allah, majlis yang memuji Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah majlis yang mulia kerana memuji dan memuliakan Baginda صلى الله عليه وسلم. Siapa yang menghidupkannya, yang menghadirinya adalah golongan yang dicintai Allah SWT.
Syiarkan kecintaan kepada Baginda صلى الله عليه وسلم agar seluruh alam tahu bahawa bumi ini tiada pernah terpadam daripada dihuni oleh para pencintanya. Selawat dan salam untukmu wahai Habibullah صلى الله عليه وسلم !