Memaparkan catatan dengan label politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label politik. Papar semua catatan

Isnin, Januari 03, 2011

Mentarbiyyah Golongan Oportunis Politik

Daripada sumber yang dipercayai, Dato’ Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu kini sedang membahagikan kawasan-kawasan balak antara 50 hingga 100 ekar kepada para Ketua Bahagian yang menyokongnya. Ini mungkin disebabkan petunjuk yang diperolehinya bahawa beliau tidak mungkin menjadi MB lagi pada penggal akan datang (selepas PRU-13).

Jika benar maklumat ini, ia merupakan satu lagi episod malang bagi rakyat Terengganu. Hak rakyat telah dijadikan sebagai hak kumpulan/kroni mereka. Golongan oportunis politik ini sememangnya sentiasa mencari peluang untuk mengaut kekayaan bagi memenuhi poket nafsu mereka. Inilah bahananya apabila majoriti rakyat tiada kesedaran politik dan tidak peka dengan apa yang berlaku. 

SLOGAN KOSONG?

Allah berlaku adil pada rakyat ini. Bumi yang ramai para ulama dan auliya ini dikurniakan pelbagai kekayaan hasil buminya. Namun, apa yang rakyat perolehi? Walaupun menjadi negeri pengeluar minyak dan gas terkaya di negara ini, Terengganu masih mempunyai kadar kemiskinan tegar, miskin dan mudah miskin yang ketara.

Dalam sidang DUN Terengganu 8 April 2010, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Ashaari Idris berkata Terengganu masih ditangga kedua kategori rakyatnya mudah miskin. Manakala, kategori rakyat miskin juga masih kekal ditangga ketiga dan miskin tegar ditempat kelima. Ia berdasarkan kajian terbaru agensi terbabit.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk membaiki segala kepincangan dengan pelbagai perubahan yang dilakukan. Pada April 2009, Najib telah memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang antara tujuannya ialah untuk mentransformasikan kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat. Dalam masa yang sama enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ditonjolkan, antaranya untuk membanteras rasuah (penyelewengan) dan mempertingkatkan taraf kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah.

Malah dalam ucapan sulung selepas secara rasmi dilantik Perdana Menteri ke-6 tanggal 3 April 2009, beliau berikrar untuk melaksanakan satu transformasi besar untuk negara dengan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”

Namun untuk merubah manusia bukan senang. Mereka bukan enjin yang dapat dikawal hanya dengan memetik suisnya atau dibuang mana-mana komponen yang menganggu sistem. 

Manusia mempunyai jiwa, akal dan nafsu yang sentiasa berbolak-balik dalam diri mereka. Syaitan pula sebagai musuh sentiasa mencari ruang untuk menyelinap dalam jiwa manusia bagi melencongkan mereka kepada kejahatan. 

Nabi Nuh a.s siang dan malam selama 950 tahun berdakwah dan mentarbiyyah umatnya, namun hanya mampu menarik seramai 70 orang untuk mengikuti baginda a.s. Ini bukan bermakna dakwah Nabi Nuh a.s tiada berkesan, tetapi menunjukkan begitu keras sekali jiwa manusia untuk menerima seruan yang bertujuan mengubah kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi mereka sudah selesa dengan budaya tersebut dan tidak mahu membuka diri untuk mendengar seruan kebaikan.

Dengan ucapan berapi-api sekalipun di Perhimpunan Agung UMNO, ia tidak akan mampu mengubah sifat tamak haloba, penting diri, dengki, dendam dan takbur yang begitu tebal bersarang dalam jiwa para pemimpin dan ahlinya. 

Syarahan para ulama yang mampu menggetarkan jiwa para pendengarnya, kadang kala hanya mampu memberi kesedaran untuk tempoh seminggu atau sebulan sahaja. Kemudian nafsu atau tabiat lama akan menguasai mereka kembali. Inikan pula syarahan ahli politik yang bergantung pada semangat dan retorik semata-mata, tentulah lebih sukar lagi.

PROSES TARBIYYAH AGAMA

Mentarbiyyah manusia memerlukan masa yang panjang. Walaupun disertakan kesabaran, keilmuan, kerohanian dan keikhlasan, namun ia bukan jaminan mereka yang dididik itu akan berubah dan dapat dibentuk seperti yang dimahukan. Malah kadangkala mereka yang ditarbiyyah itu boleh menjadi musuhnya disebabkan tidak tahan dengan proses tarbiyyah yang dilalui, terutama mereka yang kaya atau yang berilmu.

Justeru, ada di kalangan ulama sufi yang berijtihad bahawa untuk mengubah tabiat manusia dan membentuk mereka, ia memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 40 hari. Ini berdasarkan proses kejadian manusia itu sendiri saat di dalam kandungan ibunya. Ia juga disandarkan kepada khalwah para Nabi-Nabi a.s yang mengambil masa 40 hari.

Jemaah Tabligh turut menjadikan 40 hari sebagai keutamaan dalam membentuk diri kepada kebaikan seperti istiqamah solat jemaah dan tahajud. Kalau di pondok atau madrasah, biasanya para pelajar yang baru masuk tidak dibenarkan pulang ke rumah sebelum mencapai tempoh 40 hari. Ini kerana mereka meyakini bahawa jika seorang itu dapat melakukan sesuatu secara istiqamah selama 40 hari, ia akan menjadi tabiat dalam kehidupannya di luar nanti.

Dalam konteks UMNO, untuk mentarbiyah kembali pemimpin dan ahlinya, tidak cukup sekadar ucapan yang berdegar-degar dalam Perhimpunan Agung. Kesannya hanya sedikit dan bersifat sementara walaupun semangat mereka dilihat berkobar-kobar di dalam dewan. Tetapi apabila mereka pulang, nafsu kejahatan kembali menguasai diri. Mereka akan tetap meletakkan kepentingan diri, kroni dalam perjuangan melebihi kepentingan agama, bangsa dan negara. 

Lagipun, jika hanya ia seorang berubah sedang dilihatnya kawan-kawan di sekelilingnya tidak berubah, kerjaya politiknya tiada akan ke mana dan ia akan rugi jika tiada mengambil kesempatan bila ada peluang (untuk nafsu dan perut).

Saya sendiri melihat bagaimana satu syarikat Bumiputera yang hebat terpaksa gulung tikar akibat tiada dibayar hutang oleh manusia yang dilihat sebagai pejuang bangsa. Didalam TV wajahnya terpampang sebagai dermawan yang prihatin dengan golongan miskin, tetapi dibelakang tabir, dia adalah seorang yang kaya dengan penipuan jutaan ringgit terhadap sesama bangsa. Sebab itulah kadang-kadang saya tidak mampu menonton berita di TV kerana meluat melihat wajah-wajah para munafik yang tersenyum menunjukkan lakonan wajah mulia mereka di hadapan masyarakat!

Para pemimpin UMNO perlu kembali kepada pentarbiyyahan agama, bukannya sekadar asyik membakar semangat Melayu. Kebanyakan mereka sudah terbiasa dengan budaya penipuan, rasuah, makan harta yang haram dan sebagainya. Ia ibarat penyakit “SAKA” yang diwarisi dari satu generasi ke generasi, tiada sedikitpun rasa bersalah. 

Tabiat ini dapat dilihat apabila mereka menubuhkan Parti Semangat 46 atau PKR kini. Mereka yang bermasalah kebanyakannya bekas ahli UMNO. Bukan senang untuk mereka meninggalkan tabiat mereka walaupun jiwa berkobar-kobar untuk memperjuangkan kebenaran.

AZAB BAGI MEREKA YANG TIADA AMANAH 

Hanya agama yang dapat menyembuhkan penyakit ini. Apabila hati dihubung kembali pada Allah dan akhirat, ia akan melemahkan nafsu sehingga akhirnya nafsu dapat dikawal kembali. Jika para pemimpin UMNO tiada serius mendidik dirinya dan pengikutnya pada agama, saya tak yakin mereka akan dapat mengubah tabiat mereka walaupun beribu slogan yang mereka laungkan. 

Ketika UMNO lemah, ramai para pemimpinnya sudah berkira-kira untuk berpindah parti. Tetapi apabila melihat ia kembali kuat dibawah pimpinan Dato’ Sri Najib, mereka kini melaung ikrar janji setia sampai ke titisan darah terakhir.

Sebenarnya mereka bersama UMNO bukan kerana prinsip perjuangan, tetapi lebih kepada kepentingan diri. Mereka lihat dengan kekuatan UMNO dibawah PM sekarang, mereka masih berpeluang untuk menyuburkan lagi nafsu keangkuhan, ketamakan dan sukakan sanjungan. Itulah hakikatnya walaupun saya tak nafikan ada di kalangan mereka yang ikhlas memperjuangkan agama dan bangsa. 
“Takutlah wahai pemimpin kepada Allah. Sesungguhnya azab yang pedih menunggu para pemimpin yang tiada amanah. Kita semua akan ditanya tentang kepimpinan di hadapan Allah. Sedangkan para Nabi-Nabi a.s bergetar lutut mereka di Padang Mahsyar untuk menjawab soal kepimpinan, bagaimanakah kamu wahai para pemimpin yang banyak merompak harta rakyat demi keuntungan politik dan kekayaan dirimu? Bertaubatlah sebelum terlambat, sesungguhnya Allah amat mencintai hambaNya yang bertaubat dan membersihkan diri!”
"... Sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah." (QS 38: 26)

Ahad, November 07, 2010

Akhlak Tasawuf Tunjang Politik Alaf Baru

Satu rakaman temuramah bertajuk “Ustaz Mohd Nor Deris Menjawab Harakahdaily” ditunjuk pada saya. Beliau membuat pelbagai tuduhan pada Tuan Guru Nik Abd Aziz (TG) (yang tak sanggup saya tulis disini )dan turut menggelar Pakatan Rakyat (PR) sebagai ‘Tentera Ahzab’ yang bersekongkol untuk menghancurkan ‘Gerakan Islam’ yang dipimpin oleh UMNO.

Apabila mendengar apa yang diceritakan, ia memperlihatkan seolah-olah TG tiada berakhlak dan dia lebih berakhlak. Saya amat musykil adakah benar dakwaannya itu dan adakah benar TG akan layan orang seperti ini.
Syukur pada keesokan hari, anak saya telah menunjukkan pula rakaman “Mohd Nor Deris Kurang Ajar dengan Tok Guru” yang memaparkan peristiwa sebenar yang berlaku semasa TG dan rombongan menziarahi bekas Adun Galas, Omar Mohamad semasa kempen pilihanraya Dun Galas baru-baru ini  

Apabila melihat kepada rakaman itu, barulah saya ketahui bahawa apa yang diceritakan ustaz itu berlawanan dengan peristiwa sebenar. Memang berlaku sedikit kekecohan, namun sikap ustaz itu yang menyerang TG dengan kata-kata kesat dan nada kuat memperlihatkan tiada akhlaknya, dan amat berlainan dengan apa yang diceritakan. 

Dia mendakwa TG dalam kerasukan, walhal sebenarnya dialah yang seperti kerasukan hingga terpaksa ditenangkan Datuk Mohd Amar. Mohd Amar memperingatkan kepadanya bahawa mereka berada di rumah orang dan tak sepatutnya berkelakuan demikian. TG hanya diam di kerusi dan berbual dengan tuan rumah tanpa memperdulikannya. Namun dia terus-terusan melontarkan kata-kata kejian kepada TG. 

Sebenarnya bagi saya, jika TG marah padanya pun, itu amat patut kerana dia adalah sahabat TG yang mengkhianati TG. Apatah lagi di atas sikapnya yang biadab tidak mahu bersalam ketika TG menghulur tangan untuk bersalam, malah mengeluarkan kata-kata kesat yang tak sepatutnya. 

Namun kemarahan TG padanya tiada berpanjangan dan memperlihatkan akan sikap seorang yang dapat mengawal dirinya ketika marah. Orang seperti ustaz begini tiada patut dihormati dan perlu dibuang jauh-jauh kerana mengkhianati sahabat, perjuangan dan prinsipnya sendiri. 

[Mohd Nor, pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya pada awal 1980an adalah ahli PAS dan sering memberikan ceramah atas pentas PAS. Namun pendekatannya sentiasa keras terhadap Umno dan antaranya sering memaki dan mengkafirkan Umno. Beliau kemudiannya keluar PAS bersama dengan Wan Ismail dan menubuhkan kumpulan Islah kerana tidak bersetuju dengan tindakan PAS bekerjasama dengan parti Melayu Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh. (Wan Ismail lebih dikenali dengan nama Wan Ismail Jirat kerana sering menggunakan perkataan jirat iaitu tanah perkuburan Cina apabila merujuk kepada kubur yang bakal didiami apabila pemimpin Umno mati nanti.) Selepas itu, Mohd Nor bersama rakannya Mustafa Kadir menyertai Umno pula sehingga kini walaupun Umno adalah sasaran utama mereka ketika berada dalam PAS.
Sumber : MalaysiaKini]

Akhirnya beliau bertemu “hidayah” bahawa golongan yang dikafirkan dahulu (Umno) rupanya ‘pejuang Islam’ yang sebenar. Inilah lawak antarabangsa golongan spesis seperti ustaz ini yang bersepah di bumi Malaysia hari ini. Apa yang menghairankan, mereka tak malu menggunakan ayat Allah (yang digunakan untuk mengkafirkan orang UMNO dulu) yang sekarang menggunakan ayat yang sama mengkafirkan orang-orang PAS pula.

[Dahulu juga dia membenci UMNO dan pernah mengeluarkan fatwa yang bersalaman dengan orang UMNO adalah haram. Paling dahsyat beliau juga pernah memberitahu apabila bertemu dengan orang UMNO maka hendaklah memalingkan muka dan jangan memandang pun wajah mereka. Menurut sumber lagi, beliau pernah menggunakan bendera UMNO sebagai kain alas untuk mandi kerana bencinya yang mendalam pada UMNO. Sumberjilfityan]

Apa saya perhatikan, kebanyakan para penceramah sama ada dari golongan Tuan Guru, ustaz atau orang biasa dalam PAS yang lantang mengkafirkan UMNO, akhirnya memasuki UMNO. Saya tiada jawaban memikirkan bagaimana ia boleh berlaku kerana jika diukur pada percakapan mereka dahulu amat mustahil mereka akan masuk ke dalam UMNO. Namun tiada yang mustahil apabila dikehendaki oleh Allah. 

Bagi saya inilah adalah kafarah Allah di dunia kepada mereka yang bersifat cepat menghukum, bukan berdakwah. Segala apa yang dimaki hamun atau dihukum kepada pihak itu selama ini telah kembali pada mereka sendiri. (Jika Saidina Umar al-Khattab r.a ada sekarang, rasanya kepala ustaz-ustaz seperti ini semua sudah tiada kerana sikap munafik mereka. Justeru, saya mengambil peringatan untuk diri dan ikhwan agar tidak bersikap seperti mereka dalam dakwah dan perjuangan.

KASYAF

Apa yang melucukan, ustaz ini mengaku ia kasyaf sehingga dapat melihat tangan TG itu ‘tangan syaitan’. Bagi saya kasyaf ustaz itu hanya auta sahaja untuk menyedapkan cerita, bukannya benar apa yang didakwa. Jika benar ia dikurniakan kasyaf sekalipun, haram atasnya menghukum orang berdasarkan kasyaf, ilham, mimpi atau fiarasat. Dalam disiplin akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, orang memiliki pengetahuan dengan jalan kasyaf, hanya sebagai rahsia dirinya dan tiada boleh dihebahkan apalagi mahu dijadikannya sebagai sandaran hukum

Syaikh Ahmad al-Sirhindi (971H/1563M - 1034H/1624M) menyatakan dalam kitabnya Al-Maktubat, “Jika berhimpun ilmu kasyaf para wali dan ilmu para ulama, maka wajib berpegang kepada ilmu para ulama syariah yang lebih menghampiri kebenaran hukum.”

POLITIK ALAF BARU

Pada generasi muda, saya amat menyeru agar menuju kepada politik alaf baru berdasarkan akhlak, hujah, perpaduan, keterbukaan dan idea. Kita wajib menolak jauh-jauh golongan seperti ini yang tiada akan membawa sedikitpun kebaikan dalam perubahan politik yang dicita-citakan. Politik sentimen mengajak benci pada kaum dan mengapi-apikan semangat Melayu dan Islam adalah tiada wajar diperjuangkan oleh mereka yang memahami Islam (yang syumul) yang dibawa oleh Baginda sallaLLahu ‘alaihi wassalam. Kita kini perlu menuju kepada kehidupan agama yang menyeru kepada prinsip perpaduan sejagat, hormat menghormati dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat demi kebaikan Negara.

Saya amat sedih melihat bagaimana TG yang begitu banyak berjasa mencorak warna Islam di Malaysia sehingga Islam diterima pelbagai kaum kini, diperlakukan seperti itu

Pernah seorang India beragama Hindu yang menjadi perwakilan Dewan Himpunan Penyokong  PAS menziarahi saya di madrasah memberitahu, bahawa dia dan para sahabatnya mengenali Islam apabila mengunjungi TG Nik Aziz di rumahnya Pulau Melaka. Mereka datang untuk mendapat gambaran tentang Islam PAS, tetapi apa yang mengejutkan ialah apabila TG yang juga seorang Menteri Besar datang kepada mereka sambil menuang air kepada setiap orang dan amat menghormati mereka dalam perbincangan yang dibuat. 

Hingga kini TG menjadi ikon kepada non-Muslim untuk mengenali Islam yang bersifat terbuka, toleransi, kasih sayang, rendah diri, amanah, progresif, zuhud dan lainnya. TG Nik Aziz adalah seorang ulama yang menghimpun padanya kebijaksanaan politik, kefahaman ilmu dan sifat tasawwuf. Ia menjadi begitu indah apabila kebijaksanaan dalam siasah, keilmuan fiqh ditunjang oleh akhlak tasawwuf. Bagi TG, jika tiada tasawwuf maka tiada Islam kerana fiqh menjaga fizikal, tasawwuf menjaga urusan rohani. Maka tasawwuf adalah komponen yang penting bagi Islam itu sendiri. 

TUAN GURU NIK AZIZ DAN TASAWUF
Dalam satu wawancara dengan Ummahonline.com, satu soalan mengenai kepentingan tasawuf dalam perjuangan Islam diajukan. Tuan Guru menjawab :
"Tidak ada tasawuf, maka tidak ada Islam. Islam adalah menjaga tubuh. Oleh kerana tubuh manusia ini ada ruh; maka Islam yang menjaga tubuh, manakala iman pula menjaga ruh. Iman yang kita sebut ini juga diistilahkan juga sebagai tasawuf. Tasawuf menguasai rohani, manakala fiqh menguasai fizikal. Pelakuan fizikal dalam sembahyang kita adalah urusan fiqh, jadi samada ia khusyuk atau tidak itu ia adalah urusan tasawuf. Maka tidak boleh sekali-kali Islam berpisah daripada tasawuf. Oleh yang demikian, tasawuf adalah amat penting serta menjadi komponen bagi Islam itu sendiri. Kerana aspek keikhlasan adalah kerja tasawuf, bukannya kerja fiqh."
Sumber : Ummahonline]
Dalam buku Saya Pun Melayu karya Datuk Zaid Ibrahim, dicatatkan satu petikan wawancara majalah Off The Edge (2008) dengan TG Nik Aziz dimana TG berkata :
“Tasawwuf adalah rempah dan hati Islam, kerana tubuh manusia itu terdiri dari jisim dan ruh. Jisim yang ada di luar iaitu solat, puasa.. ini semua urusan Islam. Inilah yang kita kata urusan fiqah. Tapi ikhlas, tawadhu’, zuhud.. ini semua urusan ruh. Yang kita nak bersihkan ruh kita. Macamana nak bersihkan ruh kita. Kalau kita berzikir, taubat, istighfar, jangan marah, jangan kedekut, ini urusan dalam.. mana fiqah boleh nak urus? Islam mesti ada tasawwuf, kerana nak ikhlas. Kalau kita sembahyang kepada Allah, tapi hati kita masih berkata-kata, Tuhan tak terima sembahyang kita. Hati kita mesti ikhlas dulu. Nah, itu tasawwuf. Ikhlas bila kita ingat pada Allah, ingat pada malaikat yang ada di kiri kanan kita. Itu tasawwuf. (m.s 310- 311)

PENUTUP

Kita perlu menerima hakikat tiada manusia yang sempurna melainkan Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wassalam. Justeru setiap kita punya kelemahan dan kekurangan, kadangkala terkhilaf dalam sesuatu perkara, hatta Tuan Guru sendiri. Namun yang penting kita harus sentiasa menyantuni setiap kesilapan manusia dengan penuh kasih sayang dan hikmah, bagaikan teguran seorang anak kepada ayah dalam apa keadaan jua.

Kita mahu agar permata yang dianugerahkan Allah kepada umat Islam ini bersinar di atas paksi galaksi yang benar. Cinta, menghampiri dan doa akan membawa keberkatan, kekuatan dan pengampunan Allah daripada menghentam kesalahan dan menyebarkan keaiban. 

Ya Allah, Engkau berilah kesabaran dan kekuatan dalam jiwa Tuan Guru dalam menghadapi segala kejahatan dan fitnah, kekalkan kelembutan jiwanya dan berlapang dada ia dalam menerima nasihat kebenaran. Amin.

Isnin, Ogos 09, 2010

Malaysia Perlu Menuju Kepada Dua Gagasan Parti Politik

Allah mencipta alam ini dengan perseimbangan untuk mewujudkan keharmonian alam. Dunia ini juga ada perseimbangan kuasa apabila wujud dua kuasa besar dunia iaitu Amerika dan Rusia yang sentiasa bersaing. Perseimbangan ini juga perlu wujud dalam politik Malaysia demi kebaikan pada negara dan rakyat. Rakyat mesti berani keluar dari terus dikuasai oleh satu parti politik tertentu sahaja sehingga menyebabkan mereka menjadi angkuh dan berlagak bagaikan Raja Bersiung.

Sistem demokrasi diwujudkan untuk memberi kuasa pada rakyat dalam mengawal parti-parti yang memerintah. Mewujudkan budaya taksub pada parti tanpa menilai dasar yang dijalankan, kecekapan pengurusan, amanah dalam perlaksanaan, kebaikan pada agama, keamanan rakyat dan lainnya akan menghancurkan masa depan negara dan merugikan rakyat. Amal ma'aruf nahi mungkar wajib dijalankan, bermula daripada individu, keluarga, masyarakat dan pemerintahan demi mewujudkan keharmonian kehidupan insan dalam segala aspek.

Justeru Islam mengajar kita hanya wajib taat pada Allah dan Rasul sahaja tanpa ada bantahan. Namun terhadap pemimpin di kalangan manusia, kepatuhan tiada mutlak dan melibatkan syarat-syarat yang ditetapkan. Kebijaksanaan politik perlu dipupuk pada rakyat ketika remaja lagi agar mereka menyedari kepentingan diri mereka terhadap masa depan negara.

Kelantan boleh dianggap 'Universiti Politik' kerana rakyatnya pandai mengajar orang politik bagaimana untuk berpolitik secara jujur. Mereka tiada terikat sepenuhnya dengan mana-mana parti tetapi mendukung prinsip "apa kebaikan parti itu pada mereka". Baik Pas atau Umno perlu berhati-hati dengan kesedaran politik rakyat Kelantan yang mana mereka boleh berubah dengan sekelip mata jika dilihat dasar atau perangai pemimpin yang menyusahkan mereka.

Ramai ahli politik yang tertipu dengan rakyat Kelantan. Mereka tidak menunjukkan zahir sikap mereka pada mana-mana parti, bahkan mereka boleh bersama dengan sebarang aktiviti mana-mana parti. Kadang kala sikap zahir mereka terhadap parti tertentu tidak menggambarkan pegangan mereka yang sebenar. Mereka yang berada dalam UMNO boleh memangkah PAS, begitu juga mereka dalam PAS boleh memangkah UMNO jika tidak bersetuju dengan sesuatu isu.

Kaum Cina juga adalah golongan yang bijak politik. Mereka bukan golongan fanatik pada parti MCA, GERAKAN atau DAP, mereka adalah golongan yang bijak dalam menuntut kemahuan mereka dengan orang-orang politik.

Mana-mana parti yang dilihat dapat memberi apa yang mereka mahu, mereka akan bersatu menyokongnya walaupun baju di tubuh mereka MCA, GERAKAN atau DAP. Maka parti-parti kaum Cina amat takut pada kaumnya dan berlumba-lumba memberi yang terbaik pada kaum mereka. Kesedaran politik kaum India juga sudah mula kelihatan sehingga mereka sudah berani mengajar Presiden MIC sendiri dan pengikutnya apabila melihat sudah tidak mampu membela mereka.

Kebijaksanaan rakyat Kelantan kini telah menular pada Selangor, Kedah, Perak, Terengganu dan Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sarawak dan negeri-negeri yang lain. Sikap ini amat memberi kebaikan pada rakyat dan menggerunkan parti-parti politik yang memerintah sehingga ramai pemimpin UMNO kini tidak tidur malam disebabkan takut dosa-dosa mereka akan dihukum oleh rakyat nanti.

Rakyat sudah mula memahami bahawa dalam sistem demokrasi, kuasa rakyat adalah raja yang patut digeruni dan parti politik adalah khadam yang perlu mematuhi. Kesedaran "Kuasa Politik" ini sudah lama dimiliki oleh negara-negara Eropah, Jepun, Korea, Filipina, Thailand, Indonesia dan lainnya. Para pemimpin negara-negara tersebut akan meletak jawatan jika adanya penyelewengan atau skandal kerana tidak sanggup berdepan dengan persoalan dari rakyat.

Sesetengah golongan Melayu dan India di Malaysia kini masih berada dalam lingkaran ketaksuban kepada parti walaupun persekitarannya sudah berubah kepada pemikiran baru. Jiwa mereka mahu perubahan tetapi penuh keraguan kerana tiada kemerdekaan. Ini disebabkan mentaliti pemikiran mereka sudah lama diperbodohkan oleh Umno dan BN. Umno melakukan pelbagai penyelewengan dan kejahatan pada orang Melayu dan rakyat, namun kerana tiada kesedaran, dan homework yang dilakukan oleh rakyat secara serius, mereka terus senang ditipu dan diperbodohkan dengan pelbagai slogan dan program.

Kejahatan yang paling besar dilakukan oleh UMNO pada bangsa Melayu ialah menjadikan mereka tiada daya fikir dan tiada jiwa yang berani. Mereka mahu rakyat ini terus berada antara bodoh dan cerdik, jika terlalu cerdik atau bodoh akan menyusahkan mereka. Justeru itu mereka merangka sistem pendidikan yang menjadikan rakyat yang cerdik-cerdik bodoh, mereka cerdik dalam bidang mereka tapi bodoh dalam bidang lain malah langsung tiada kepekaan dengan politik.

Segala pintu maklumat yang lain daripada mereka akan dikawal dengan pelbagai akta, mereka mahu rakyat terus menerima maklumat daripada berita yang dikawalnya seperti saluran RTM, TV3, Utusan Malaysia, Berita Harian dan lainnya. Dengan cerdik bodoh ini, rakyat terus menyembah para pemimpin mereka tanpa mengetahui penyelewengan mereka atau buat tak tahu walaupun tahu.

Rakyat perlu keluar dari pemikiran ini dengan mendukung kewujudan "Dua Gagasan Parti Politik". Penyatuan UMNO dengan PAS yang sedang diusahakan oleh golongan tertentu hanya membawa kembali kepada kemunduran dan pemandulan pemikiran politik rakyat Malaysia. Iklim politik Malaysia mengkehendaki dua gagasan parti yang tetap meletakkan orang Melayu Islam mengetuainya dan kaum lain tiada dipinggirkan.

Mana-mana gagasan politik yang tiada meletakkan orang Melayu Islam sebagai kuasa utama, maka gabungan tersebut akan ditolak oleh rakyat Melayu Islam. Begitu juga jika gagasan itu tidak menghimpun bersama parti kaum lain, ia juga akan ditolak oleh kaum lain.

Orang Melayu tiada kerugian apa-apa apabila berlakunya penukaran kepada Pakatan Rakyat, yang rugi hanya Melayu dalam UMNO. Jika PAS dan UMNO disatukan, kuasa Melayu yang memimpin dua gagasan parti di negara ini tidak akan wujud, ia hanya memberi kebaikan pada pemerintah tetapi bukan pada rakyat untuk diberi kuasa membuat pilihan.

Perpecahan orang Melayu dalam politik tidak boleh dianggap merugikan malah amat menguntungkan mereka apabila dua golongan ini bersaing dalam memberi kebaikan pada orang Melayu Islam dan kaum lain. Apa yang penting perpecahan politik tidak dibawa dalam bentuk emosi kemarahan sehingga membawa perpecahan dan kelemahan bangsa seperti memulau makan kenduri, tidak bertegur sapa, kafir mengkafir, menghentikan bantuan, menyekat peluang kerja, menahan projek, menahan royalti dan lainnya.

Sikap politik sempit dan tidak matang ini yang perlu diperbetulkan antara pendukung kedua pihak, bukannya perlu pergabungan parti. Perbezaan pendapat boleh menjadi rahmat jika pandai menanganinya secara positif dan ianya akan membawa kemajuan kepada bangsa Melayu Islam di negara ini.

Kita perlu bangunkan budaya fikir dan berani membuat perubahan di kalangan rakyat dengan menggerakkan seluruh rakyat supaya prihatin pada politik demi masa depan mereka. Jika hanya ada satu parti yang perlu dipilih tanpa ada persaingan untuk rakyat membuat pilihan, ia akan merugikan rakyat kerana terpaksa memilih mereka walaupun setuju atau tidak setuju.

Sistem demokrasi hanya wujud pada nama tetapi tak wujd dalam perlaksanaan yang sebenarnya. Ia akan menyebabkan budaya fikir rakyat akan lemah sehingga akan menjadi golongan yang tiada minat dengan politik. Pemimpin akan terus dapat melakukan penyelewengan tanpa takut kerana rakyat tiada pilihan yang diberi seperti TNB yang rakyat terpaksa menerima apa jua kenaikan tarif elektrik yang mereka tentukan.

Penggabungan PAS dan UMNO hanya akan menyemarakkan lagi api perkauman dan dibimbangi akan merebak menjadi barah yang tiada mampu dikawal lagi sehingga membawa bahaya pada negara. Saingan Gagasan dua parti politik yang mempunyai dasar dan corak pentadbiran yang berlainan menjadikan rakyat mempunyai pilihan dan akan menjadi kuasa yang digeruni oleh kedua Gagasan Politik tersebut.

Rakyat perlu memiliki nilai agama, akhlak yang tinggi serta memperbanyakkan dialog terbuka antara dua gagasan parti ini agar dapat memberi peluang kepada rakyat menilai siapakah yang sepatutnya diserahkan pentadbiran negara ini.

Politik yang meletakkan parti sebagai 'raja' yang wajib dipatuhi rakyat dengan taktik menakutkan dengan pelbagai ugutan dan ancaman perlu dibuang pada era dunia penuh maklumat ini. Iklim politik yang meletakkan orang Melayu Islam sebagai kuasa politik utama perlu dipertahankan namun gagasan parti politk serta dasar-dasar dan pengurusan negara perlu ada penilaian semula.

Kewujudan dan perseimbangan dua kuasa gagasan rakyat amat memberi kebaikan jika rakyat bijak menggunakannya. Mereka bagaikan puteri yang menjadi rebutan dua jejaka. Marilah kita berganding bahu mendukung pembinaan kuasa rakyat di atas landasan prinsip ajaran Allah dan Rasul demi masa depan Agama, Negara dan Rakyat.

Rakyat Malaysia perlu berterima kasih pada kebijaksanaan Dato' Seri Anwar Ibrahim, keterbukaan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, ketegasan Dato' Seri Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan dukungan pimpinan DAP yang telah berjaya mewujudkan Pakatan Rakyat, sehingga membawa keseimbangan kepada senario politik negara dan memberi cabaran kepada Barisan Nasional.

Dengan kewujudan Pakatan Rakyat, rakyat kini sudah mula mempunyai pilihan sehingga pihak pemerintah hari ini sudah mula pandai dengan ayat "muhasabah, berubah jika kita tidak mahu diubah," Dato' Seri Perdana Menteri mula turun padang dan lainnya.

Maka lahirlah slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" dan "Satu Malaysia."

Pihak pemerintah mula menyedari perlu kepada penyatuan Melayu Islam dengan Pas. Mereka mula gerun dengan suara rakyat dan mula membaiki kelemahan pemimpin dan pengurusan.

Kepada generasi baru, marilah kita mengenang jasa UMNO dan BN sebagai gagasan parti yang ada jasa dalam permodenan Malaysia, namun sudah sampai masanya UMNO berehat dengan memberi peluang kepada Gagasan Parti Politik Alaf Baru mentadbir negara ke arah yang lebih baik.

Kereta BN hanya mampu dibawa 100 kilometer sejam, jika dipecut lagi akan menyebabkan pecah enjinnya bahkan mungkin tercabut tayar dan pintunya kerana sudah uzur. Kita perlu menukar kepada kereta baru yang mampu bergerak sejauh 200 kilometer sejam kerana keadaan lebuh raya dan had laju kini telah berubah.

Kereta UMNO tak mampu lagi untuk meneruskannya. Jika diteruskan juga, akan membawa lebih banyak kerosakan kepada kereta tersebut dan lebuh raya boleh tercemar dengan asap-asap hitam busuk yang keluar melalui ekzosnya. Ia perlu dimasukkan dalam bengkel dalam tempoh tertentu untuk baik pulih sebelum kerosakannya terus bertambah.

Marilah Kita Berubah dan Merubah!... Kepada Allah Jua Kita Bertawakkal...

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ‌ۗ

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri". (Surah Ar-Ra'd ayat 11)

"Membina Kesedaran Kuasa Rakyat"

Selasa, Ogos 03, 2010

Isu Penyatuan UMNO - PAS (bahagian 2/2)

MEREKA DAPAT UNTUNG, RUGI DITANGGUNG RAKYAT

Majoriti pemimpin UMNO kini dari pemimpin tertinggi sehingga peringkat cawangan adalah peniaga yang mencari untung bermodalkan harta rakyat. Mereka tiada keberanian untuk berniaga dengan wang sendiri, mereka menjadikan projek yang berselindung atas nama projek rakyat sebagai perniagaan yang boleh mencapai keuntungan jutaan ringgit. Jika projek tersebut berjaya, mereka memperolehi keuntungan, jika gagal, kerugian tersebut akan ditanggung oleh rakyat. Kekayaan negara akan berlegar hanya pada golongan mereka.Justeru untuk menjadi jutawan dengan harta rakyat ini, mereka berhempas pulas untuk mendapat jawatan kerana ianya akan membuka ruang untuk mencapai cita-cita tersebut.

Bergabung saat mereka dalam kemabukan ini tiada akan memberi manfaat. Ibarat orang sedang mabuk, mereka tidak akan menerima apa jua nasihat ketika itu. Cara yang selamat ialah dengan menghentikan mereka minum dengan mengurung mereka di pusat-pusat pemulihan sehingga ketagihan mereka hilang, kemudian barulah boleh diberi nasihat.

Jika kita kasih kepada saudara Melayu kita dalam Umno, marilah kita hentikan kerosakan yang dilakukan dengan menghentikan mereka dari terus memerintah Malaysia ini. Ia menepati hadis di atas di mana Nabi صلى الله عليه وآله وسلم menyuruh kita membantu golongan yang zalim dengan kita menghentikan kezaliman mereka. Moga dengan mereka berehat atau kehilangan kuasa dan tiada peluang membina kekayaan, mereka menjadi golongan yang insaf dan membaiki diri.

BERANI MELAKUKAN PERUBAHAN

Kita mesti berani melakukan perubahan dengan membuang segala belenggu pemikiran yang sudah lama diikat dengan pelbagai fobia ciptaan UMNO dengan memberi kuasa pula pada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negara ini ke arah yang lebih baik.

UMNO akan tetap menunjukkan wajah prihatin pada masyarakat dengan budaya subsidi dan duit ihsan. Ianya tidak lain melainkan mahu orang Melayu tetap berjalan dengan bertongkat pada UMNO. Orang Melayu tidak akan diajar berjalan sendiri tanpa tongkat kerana jika orang Melayu sudah pandai berjalan sendiri, mereka tidak akan memerlukan UMNO lagi.

Hanya dengan duit ihsan RM600 setahun, pemikiran dan jiwa orang Melayu terus diikat dengan tongkat sakti mereka sehingga mereka sanggup menjadi bangsa yang miskin, pasif dan tidak berdaya maju. Budaya ini menyebabkan kekayaan negara akan terus dimiliki sesiapa sahaja yang pandai merebut peluang sama ada orang Cina, Jepun, Indonesia, Kemboja atau lainnya kerana mereka tiada tongkat UMNO.

UMNO tetap akan melemahkan orang Melayu dengan tongkat, keangkuhan dan ketamakan yang mana dengan budaya ini jika dikekalkan, orang Melayu satu masa akan merempat di negara sendiri.

Kepada para sahabat saya yang masih terkhilaf dengan permasalahan ilmu sehingga merasa kurang senang dengan PAS lalu mengambil sikap berdiam diri dan ada yang menentang cara terang-terangan, saya memberi nasihat agar kita perlu memiliki pertimbangan bijak demi kebaikan kepada Agama dan Negara.

Kita tidak boleh menyelesaikan dua perkara yang besar dalam satu masa. Isu politiknya kita mesti menghentikan pemerintahan BN demi kebaikan rakyat dan generasi akan datang. Adapun isu khilaf ilmu kita selesaikan dengan cara muzakarah di kalangan ulama dengan tidak melibatkan orang awam dan pendirian politik.
Ibarat melihat masjid yang terbakar, terdapat di sana golongan yang kita tidak senang dengan ilmunya sedang berusaha memadamkan api… bagaimana sikap dan keutamaan kita pada ketika itu? Mendiamkan diri walaupun masjid terbakar kerana tidak setuju dengan golongan tersebut, sedangkan dalam golongan tersebut ada mereka yang sama pendirian ilmunya dengan kita atau bersama memadamkan api dahulu barulah kita mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan permasalahan?

Saya meyakini bahawa ketuanan Melayu tidak akan terjejas apabila Pakatan Rakyat memerintah. Kaum Cina dan India mengetahui bahawa mereka tidak boleh memilki kekuasaan politik tanpa orang Melayu. Perlembagaan juga menghalang mereka untuk menjadi kuasa yang tertinggi di Malaysia kerana ia perlu kepada persetujuan Yang Dipertuan Agung. Apa yang mereka mahu hanyalah pemerintahan Melayu yang berlaku adil kepada mereka.

Seorang pensyarah universiti menegaskan yang Melayu tetap akan menjadi majoriti berdasarkan kepada populasi kaum Melayu pada setiap tahun. Statistik ini menyakinkan beliau.

Justeru kita wajib mewujudkan pemerintahan Melayu yang berteraskan Islam, bukannya kebangsaan. Ia akan memadamkan bara api perkauman sebagaimana yang ditunjuk oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dalam mentadbir Madinah.

PAS MEMIMPIN MELAYU

Saya amat meyakini kepimpinan PAS dan Melayu dalam PKR juga sudah mengambil kira segala hal demi memberi kebaikan pada semua rakyat tanpa merombak dasar-dasar kerajaan kini jika ia mempunyai kebaikan pada orang Melayu, negara dan Islam.

Tahalluf politik mereka adalah bersyarat dimana ianya terikat dengan perjanjian. Mana-mana parti yang melanggar perjanjian apabila memerintah, maka dengan sendirinya tahalluf itu akan terbatal. Antara tiga parti dalam Pakatan Rakyat, PAS adalah parti yang paling tersusun, keahlian yang ramai dan pengaruh yang besar pada orang Melayu.

PAS sudah mampu menggantikan UMNO dalam menerajui kepimpinan Melayu berteraskan Islam. Kepimpinan ulama dan pejuang Islam lebih memberi kebaikan yang besar kerana menyambung perlaksanaan Rasulullah SAW dalam siasah dan pentadbiran.

Justeru itu pemikiran ‘takut’ akibat ajaran UMNO perlu dibuang jika mahu menjadi rakyat yang bijak serta benar-benar menggunakan kuasa yang dibenarkan dalam sistem demokrasi demi kebaikan pada negara.

Kita sebagai rakyat diberi kuasa pemilihan lima tahun sekali untuk menilai keupayaan mana parti dalam mentadbir, bukannya kita memberi kuasa mutlak yang tiada boleh digantikan selama-lamanya. Jika UMNO wujud di Jepun, Korea atau negara-negara maju yang lain, UMNO sudah lama dikuburkan oleh rakyatnya dengan pelbagai penyelewengan yang dilakukan.

Mereka yang suka dengan cara yang sama walaupun telah 50 tahun lamanya adalah mereka yang tiada memiliki jiwa besar dan berani melakukan perubahan ke arah yang baik.

Kita tidak boleh menafikan di sana ada jasa dan kebaikan yang dilakukan UMNO. Kita perlulah menghargainya, namun dasar-dasarnyanya tiada boleh kita terima dan kerosakan partinya tiada lagi dapat diubati. Keuzurannya itu memerlukan mereka berehat untuk mereka membuat rawatan.

Kita sebagai kuasa rakyat wajar memberi peluang kepada Parti Alaf Baru (Pakatan Rakyat) yang menepati dasarnya dengan perubahan dunia dan jiwa generasi baru hari ini. Isu peribadi dalam Pakatan Rakyat seperti isu Anwar dan lainnya bukan menjadi isu bagi kita kerana perjuangan kita sebagai rakyat bukan mahu menaikkan individu, tetapi mahu menaikkan ma’aruf dan menghapuskan kemungkaran demi menunaikan tuntutan dan kewajiban agama.

HARAPAN

Apa yang diharapkan, Pakatan Rakyat akan mewujudkan masyarakat yang harmoni dan mengeratkan hubungan antara rakyat apabila mencapai kemenangan, bukan menjadikannya sebagai kesempatan untuk membalas dendam, mengumpul harta, tidak berlaku adil sebagaimana perangai UMNO dan BN.

Marilah kita sama-sama membina kuasa rakyat yang kuat agar dapat mengajar orang politik berpolitik demi kebaikan semua. Masyarakat Islam generasi sahabat sentiasa prihatin apa yang dilakukan oleh pemimpin, mereka akan terus menegur dan membantah jika dilihat ada perkara yang meragukan.

Pernah para sahabat mempertikaikan bagaimana Saidina Umar r.a boleh membuat jubah sedangkan kain yang dibahagikan tidak boleh membuat jubah. Maka Saidina Umar r.a memberitahu bahawa anaknya Abdullah r.a telah memberi bahagian kainnya untuknya sehingga boleh membuat jubah. Inilah masyarakat yang dikehendaki oleh Islam, mereka berpegang pada prinsip amal ma’aruf dan nahi mungkar dalam kehidupan demi menjaga kebaikan agama, negara, pemimpin dan rakyat.

Inilah pandangan saya dan diharap para sahabat dapat menilai dengan dada yang lapang dan fikiran yang terbuka, walaupun mungkin ada percanggahan pendapat.

Hanya Allah yang kita maksudkan dan keredhaanNya yang kita cari.

Al faqir illaLlah
Ibrahim Mohamad
Khadam Syathariyah
Pulau Manis, K. Terengganu

Isu Penyatuan UMNO - PAS (Bahagian 1)

Artikel ini merupakan surat yang dikirim Walid kepada para sahabat beliau di kalangan para pimpinan NGO, Madrasah & Pondok, Pertubuhan Silat, Mahasiswa, Tarekah Tasawuf dan beberapa institusi lain bagi menyatakan pandangan dan pendiriannya terhadap isu Penyatuan UMNO - PAS.

Saya rasa ada baiknya ianya dikongsi bersama dengan teman-teman dan para muhibbin sekelian kerana perkara ini berkait dengan manhaj perjuangan Walid dan penting juga untuk kita memahami isu ini dengan sebaik-baiknya.

Kandungan penuh surat ini disiarkan dalam dua bahagian. :. Ibadur Rahman

****************************************
Assalamualaikum kepada para sahabat yang dikasihi,

Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda di depan sahabat yang bermaksud :

“Berikan pertolongan kepada saudaramu sama ada yang zalim atau dizalimi”.
Sahabat hairan lantas bertanya: “Kami faham jika kami memberikan pertolongan kepada saudara kami yang dizalimi tapi bagaimana pula memberikan pertolongan kepada saudara kami yang menzalimi?”
Baginda memberikan penjelasan dengan sabdanya: “Kalian halang dia daripada berbuat zalim, dengan itu kalian telah memberikan pertolongan kepadanya.” (Hadis Bukhari)

Sikap tolong-menolong amat digalakkan Islam. Pertolongan yang kita berikan kepada saudara kita akan membawa pulangan yang lebih kepada kita. Sabda Nabi صلى الله عليه وآله وسلم maksudnya: “Allah SWT sentiasa menolong orang selagi orang itu sentiasa menolong saudaranya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Bahkan memberikan pertolongan adalah sedekah yang paling baik. Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda maksudnya: “Pertolongan kamu terhadap orang lemah adalah sedekah yang paling afdal.” (Hadis riwayat Ibnu Abi al-Dunia)

Permasalahan Agama dan Negara adalah dua perkara yang wajib diketahui dan diambil berat oleh setiap Muslim. Sikap tiada kesedaran dan prihatin terhadap perkara-perkara tersebut akan membawa kehancuran pada agama dan negara.

ISU PENYATUAN UMNO – PAS

Kita kini dihangatkan dengan isu penyatuan UMNO dan PAS. Ramai sahabat yang datang bertemu saya dan mengajukan persoalan ini untuk mengetahui pandangan dan sikap saya dalam isu tersebut.

Pada dasarnya saya amat bersetuju dengan apa jua penyatuan, namun saya tidak bersetuju dengan penyatuan UMNO-PAS pada masa ini. Saya melihat ia hanyalah strategi politik UMNO untuk menguatkan kedudukannya bagi mengekalkan kuasa dan mengumpul kekayaan. Dicipta pelbagai slogan provokasi untuk membangkitkan rasa gerun di kalangan orang Melayu konon orang Melayu akan kehilangan kuasa, mereka akan menjadi hamba di tanah air sendiri, masa depan mereka terancam dan kemuncaknya mereka akan kehilangan kuasa majoriti di negara sendiri. Dengan alasan ini maka UMNO melaungkan slogan demi survival bangsa dan agama Islam maka orang Melayu wajib bersatu… bersatu untuk menyokong UMNO!

Ini adalah teknik ‘reverse psychology’ atau ‘saikologi songsang’ UMNO apabila menyedari kedudukan mereka kian kritikal dan terancam. Teknik ‘Saikologi Songsang’ (SS) ialah sebutan bagi kata-kata atau tindakan yang dilakukan dengan sengaja yang bertujuan mendapatkan tindakbalas atau reaksi yang bertentangan. Bagi kaum Cina, ia bukan perkara baru kerana kaedah ini merupakan strategi yang ke-32 dari 36 strategi peperangan yang diamalkan oleh orang-orang China sejak tahun 219 sebelum masihi (SM) lagi. (rujukan: Wikipedia)

Maka UMNO menggunakan taktik ini dengan mencipta pelbagai slogan provokasi untuk menimbulkan rasa gerun di kalangan orang Melayu, mengapi-apikan semangat perkauman dan bertujuan memecahkan kesatuan di dalam Pakatan Rakyat (PR).

USAH TERPERANGKAP

Pada mereka yang cintakan kebaikan dan perubahan seharusnya tidak terperangkap dengan lagu-lagu lama yang dimainkan kembali oleh UMNO seperti isu akan hilang kuasa Melayu dan sebagainya apabila PR menguasai negara ini.

Saya melihat UMNO tidak ubah seperti karektor penjahat dalam filem-filem Bollywood. Di depan masyarakat para penjahat ini bagaikan dewa dengan menolong orang miskin, menderma, mendirikan kuil-kuil dan sebagainya, namun di belakang mereka adalah penyamun, merampas harta dengan penipuan, membunuh, merogol, mendera, melakukan kacau bilau dan sebagainya. Kejahatan mereka hanya dapat disedari oleh beberapa hero sahaja namun tiada ramai yang akan percaya pada hero tersebut apabila diberitahu hakikat sebenarnya.

Dalam konteks UMNO sebagai contoh, merekalah hero dalam melaungkan 1Malaysia untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian di kalangan masyarakat majmuk di negara ini, namun dalam masa yang sama mereka membangkitkan isu-isu perkauman yang sensitif, menanam kebencian antara kaum, menakut-nakutkan orang Melayu jika PR memerintah dan sebagainya. Bahkan bukan lagi menjadi rahsia umum bahawa kursus Biro Tata Negara (BTN) adalah medan mereka menjayakan agenda tersebut sehingga menjadi perbahasan hangat di Parlimen satu waktu dulu.

Saya melihat bahawa kekacauan yang berlaku kepada negara sehingga membawa kepada pelbagai permasalahan seperti keruntuhan agama, kerosakan akhlak generasi muda, kelemahan orang Melayu, perpecahan masyarakat, sifat benci, dendam antara kaum, kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB), hilangnya rezab Tanah Melayu, dasar pendidikan yang celaru, kehancuran sistem kehakiman, budaya rasuah, agama menjadi sampingan dan lainnya adalah berpunca dari dasar UMNO sebagai peneraju Barisan Nasional (BN).

Siapakah yang menggagalkan DEB? Tidak lain adalah UMNO yang menyerahkan projek-projek yang diperolehi dari kerajaan kepada tauke-tauke Cina (projek Ali Baba). Siapakah yang mengkayakan Tan Sri Vincent Tan, Tan Sri Ananda Krisnan (sekadar menyebut beberapa nama) dan yang lainnya kalau bukan UMNO?

Siapakah yang menghilangkan tulisan jawi di sekolah-sekolah, menjual tanah rezab orang Melayu, menjadikan mahkamah bahan ketawa masyarakat dunia, mengikat lidah para mahasiswa, mengikat lidah para ahli agama dan mufti-mufti kalau tidak UMNO?

Penyakit rasuah bukan sahaja menjadi budaya dalam struktur organisasi kerajaan tetapi turut berjangkit ke peringkat pemilihan pemimpin hatta di peringkat cawangan sekalipun. Jika parti sendiri telah bergelumang dengan rasuah, perpecahan dan kerosakan akhlak, bagaimana parti itu mampu untuk mentadbir dan mengendalikan pemerintahan yang bersih dari rasuah, perpecahan masyarakat dan membina akhlak negara?

MEMBINA DAN MERUNTUH

Kita tak menafikan UMNO banyak meluluskan bajet kewangan dalam menguatkan syiar agama dan dakwah seperti JAKIM, Pejabat Agama, Perkim, Tabung Haji dan lainnya namun dalam masa yang sama UMNO juga meluluskan program-program yang merosakkan agama.

Bagaimana rakyat akan menjadi baik jika baja dan racun diletakkan bersama? Ibarat pohon yang diletakkan baja tetapi dalam masa yang sama, serangga yang merosakkan pohon juga diletakkan sama. Ini satu kerja bodoh namanya.

Pemerintahan UMNO dicanang menjadikan perjuangan agama, bangsa dan negara sebagai dasar utamanya, tapi selepas lebih 50 tahun apakah yang kita terima daripada perjuangan mereka? Adakah agama semakin kuat? Adakah orang Melayu semakin kuat kini?

Realitinya jelas di hadapan mata kita. Semakin lama dibiarkan UMNO memerintah, agama dan bangsa Melayu semakin lemah. Slogan perjuangan hanya tinggal laungan saja dimana hakikat yang sebenar mereka tiada kemampuan lagi untuk menguatkan agama dan orang Melayu. Perjuangan mereka hanyalah untuk kekuasaan dan kekayaan.

Hal ini disedari oleh kebanyakan pemimpin UMNO yang jujur dan ikhlas. Tun Mahathir sendiri menyatakan bahawa penyakit dalam UMNO tidak boleh lagi dapat diubati, kerana busuknya sudah sampai ke perut.

Memang ada program pembangunan untuk kebaikan rakyat yang dirancang atau dijalankan oleh kalangan pemimpin UMNO yang jujur dan ikhlas, namun kerana penyelewengan yang lebih hebat dilakukan oleh majoriti pemimpin UMNO lain, menyebabkan banyak program tersebut yang tidak mencapai matlamatnya.

Justeru, saya menyeru kepada semua sahabat yang memimpin apa jua pertubuhan atau Madrasah atau Tasawwuf agar menyedari hakikat ini. Kita perlu mempunyai keberanian menunaikan hak rakyat sebagaimana yang dituntut Islam. Ketaatan pada pemimpin adalah bersyarat selagi mereka berada dalam ketaatan pada Allah dan Rasul dengan mengamalkan sifat amanah, adil, mengajak berkasih sayang semua kaum, kebebasan, cekap dalam pengurusan dan melaksanakan ajaran Allah. Jika mereka melanggar dasar tersebut, maka kita sebagai rakyat wajib menukar mereka dengan golongan lain yang lebih baik untuk melaksanakan dasar-dasar tersebut.

KUASA RAKYAT

Kita rakyat adalah tuan kepada negara ini, orang politik hanyalah sebagai pemegang amanah rakyat dalam menguruskan negara kita. Jika mereka dilihat tiada mampu mentadbir dengan apa yang kita inginkan, maka kita sebagai tuan boleh menukar mereka dengan pentadbir yang lain. Kita tidak boleh taksub dengan mana-mana pentadbir, kita masyarakat Islam hanya boleh taksub kepada Al-Quran dan Sunnah. Mana-mana pemimpin atau parti yang dilihat mampu mengamalkan dasar-dasar Al-Quran, maka merekalah yang wajib kita angkat sebagai pemimpin untuk menguruskan negara ini.

Pada hemat saya, penggabungan Pakatan Rakyat yakni PAS, PKR dan DAP menepati prinsip Islam yakni untuk menegakkan keadilan, amanah, kasih sayang sesama kaum dan menentang penyelewengan pengurusan harta rakyat. PAS, PKR dan DAP bersetuju berpegang pada prinsip-prinsip yang sama dan itulah prinsip yang selari dengan hukum Allah, yang wajib diutamakan dari keutamaan yang lain. Ia menepati Fiqh Awlawiyyat yakni mengutamakan perlaksanaan hukum Allah yang menepati kehendak dan keperluan semasa dengan tetap akan melaksanakan hukum-hukum yang lain apabila tiba masa yang sesuai.

Penggabungan PAS-UMNO tidak boleh dijalankan pada waktu ini kerana semua prinsip tersebut telah dilanggar UMNO. Dasar UMNO meletakkan kebendaan mengatasi agama, sedangkan dasar PAS meletakkan agama mengatasi kebendaan. Jika bergabung dengan PAS, UMNO akan dapat memanjangkan lagi talian hayat mereka untuk terus menyambung kerja-kerja buruk mereka. Mengharapkan mereka insaf dengan idea penyatuan tersebut adalah amat sukar kerana perangai buruk sudah menjadi tabiat mereka sehingga jika orang UMNO tidak menyeleweng harta rakyat, ia dianggap amat ganjil.
Bersambung...