Memaparkan catatan dengan label qaidah fiqh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label qaidah fiqh. Papar semua catatan

Khamis, Januari 13, 2011

Aplikasi Qaidah Fiqh dalam Kehidupan Masa Kini - (4/4)

JANJI ALLAH ITU BENAR

Pengalaman seorang sahabat yang pernah melalui ujian sebegini membuktikan kebenaran janji Allah,  apabila seorang hamba itu benar bertaqwa dan tawakal, akan datang pertolongan Allah kepadanya.

Didorong rasa kejahilan dan lalai, beliau mengambil keputusan mendalami agama di pondok dan meninggalkan persekolahannya. Ketika itu ayah, keluarga dan sahabat handai semua datang kepadanya memberi nasihat agar dia memikirkan masa depannya... bagi mereka perlu ada pelajaran tinggi dalam akademik untuk mendapat kerja yang baik untuk jaminan masa depan, pelajaran agama tiada menjamin masa depan apalagi pengajian agama di pondok. 

Segala tohmahan ditulikan, dia hanya yakin pada Allah. Baginya jika dia benar mencapai cinta Allah dan Rasul, hidupnya akan lebih terjamin dan bahagia lebih daripada orang lain. Dia yakin Allah tiada akan menzalimi hambaNya yang ingin menyucikan diri kepadanya. Dalam tanganNya segala kekuasaan dan yang lain adalah bayangan sahaja.

Kenapa dia perlu diajar bergantung hidup, rezeki dan masa depan pada bayang bukannya kepada Tuan bayang-bayang. Dia katakan pada dirinya, "Jika ada dalam hatiku pergantungan yang lain dari Allah, maka aku adalah sejahat-jahat hamba di hadapan Allah, aku akan hentikan segala ibadah kerana ia adalah kepuraan sahaja di mata manusia yang tiada nilai disisi Allah."

Apabila ibunya merayu agar menyambung lagi pelajarannya ke universiti, ia hanya berkata : “Masa depan saya di tangan Allah dan kepadaNya ibu serahkan saya sebagaimana Ibu Nabi Musa a.s. menyerahkan anaknya pada Allah apabila menghanyutkan ke sungai Nil dalam bakul, sesungguhnya Allah tiada akan membiarkan kesempitan dan kesengsaraan pada hamba yang berbaik sangka, yakin dan beribadah padaNya.” 

Akhirnya ibu menerima hujahnya dan dia hanya memohon doa dan restu ibunya untuk menyerahkannya pada Allah sebagaimana keyakinan ibu Nabi Musa a.s yang menyerahkan anaknya kepada Allah dengan keyakinan Allah akan menjaganya.

Dengan keimanan dan keyakinan yang tinggi pada Allah, kesabaran dan ketabahan mengharungi ujian beberapa lama, akhirnya Allah membenarkan janjinya. DiberiNya pelbagai kemudahan kepadanya. Dimurahkan rezekinya untuk keperluan harian, memiliki rumah dan beberapa buah kenderaan bahkan ramai pula yang sedia berkhidmat dalam menjaga urusan keluarganya. Dia kini menjadi salah seorang anak kebanggaan ibu bapanya dengan pelbagai kurniaan Allah padanya.

Inilah kekuasaan dan jaminan rezeki Allah kepada hambaNya yang ramai manusia ragu dengannya kerana virus muktazilah dan qadariah telah meresap dalam minda dan jiwa mereka. Mereka meletakkan hukum akal (muktazilah) dan hukum kuasa diri (qadariah) melebihi hukum Ketuhanan. Semoga Allah bebaskan diri kita, masyarakat dan ummah seluruhnya dari syirik dan akidah-akidah yang batil serta kembali kepada akidah yang haq (Ahli Sunnah wal Jamaah).

Kisah sahabat ini dipaparkan sebagai teladan buat kita. Dia mengatakan bahawa Allah memberi pelbagai kemudahan kepadanya dalam apa jua urusan kehidupan dunia bukan kerana dia alim atau banyak ibadah, tetapi sebagai hadiah kerana dia sentiasa yakin dan berbaik sangka pada Allah. Ianya satu jawaban pada mereka yang bergantung masa depan anak pada sekeping sijil dan berbimbang-bimbang dengan jaminan Allah. Allah tiada akan menzalimi hambaNya dan membiarkan kita berseorangan dalam kehidupan jika kita benar yakin dan tawakal padaNya. 

Bukan cerita ini untuk meringankan terhadap kepentingan ilmu dunia, tetapi untuk menyatakan tentang jaminan rezeki berada di langit bukan di bumi. Pelajarilah apa jua ilmu kerana manusia mempunyai pelbagai cita-cita dalam kehidupan, jadikan ia sebagai perjuangan dengan diniatkan agar ilmunya dapat memberi sumbangan pada Negara, manusia dan agamanya, bukan demi menjamin rezeki masa depannya. Ketidakyakinan pada rezeki Allah boleh membawa kepada kerosakan aqidah tanpa disedari kerana syak terhadap kekuasaan Allah.

Firman Allah :

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُ ۥ مَخۡرَجً۬ا (٢) وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُ ۥۤۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمۡرِهِۦۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّشَىۡءٍ۬ قَدۡرً۬ا‌‌‌

“Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (at-Thalaq: 1-2)


FAHAMI QAIDAH FIQH DAN APLIKASIKAN DENGAN BIJAKSANA

Kita jangan terlalu terikut dengan budaya Barat sehingga mahu menyamakan taraf lelaki dan perempuan. Hukum bagi wanita dengan lelaki dalam menuntut ilmu dan pekerjaan tetap berbeza dengan mengambil kira situasi seseorang, suasana dan bentuk pekerjaan tersebut. Seperti hukum kahwin yang mana ada mereka yang haram kahwin, ada yang wajib, ada yang sunat dan ada yang makruh berdasarkan illat yang ada. Namun bila illat sudah tiada, maka hukum akan berubah pula. 

Begitu juga dalam hal yang lain. Wanita lebih sesuai dengan kerjaya sebagai pendidik, doktor untuk perempuan, perniagaan, kaunseling atau lainnya yang menepati fitrah wanita dan keperluan semasa kehidupan. Namun dalam masa yang sama juga perlu menilai suasana tempat kerja, walau kerja tersebut halal sekalipun. Contohnya seperti guru perempuan yang muda dan cantik, mengajar di sekolah lelaki dewasa yang liar atau dihantar ke kawasan yang tiada menjamin keselamatannya, maka hukumnya berubah jika membawa mudharat
Hukum ibadah tiada berubah, tetapi hukum kehidupan semasa sentiasa berubah mengikut perubahan dunia. Justeru perlu sentiasa meneliti dan membuat kajian agar tidak terjerumus dalam dosa haram dan syubhat. 

Dalam sesuatu perkara itu, hukum tiada sama antara seorang pemimpin dengan orang bawahan, antara guru dengan murid, antara ulama dan orang awam, antara dewasa dan kanak-kanak, antara lelaki dan perempuan, antara baligh dan tiada baligh, antara orang pemikiran matang dan tiada matang, antara kemahuan dan keperluan, antara kaya dan miskin, antara sihat dan uzur, antara musafir dan orang bermukim dan lain-lain lagi. Kita jangan terlalu jumud tetapi dalam masa yang sama jangan terlalu liberal dalam hal hukum.

Qaidah fiqh menyatakan :

لاَ يُنْكَرُ تَغَيُّرُ الأحْكاَمِ بِتَغَيُّرِ الأزْمَانِ

“Tidak boleh disangkal berlaku perubahan hukum dengan sebab perubahan masa”

Hukum yang dihasilkan dari qaidah ini adalah ijtihad. Kalimah al-ahkam dalam kaedah ini masih tidak jelas maksud  yang dikehendaki, maka ulama fiqh telah memperluaskan lagi makna kaedah tersebut supaya lebih tepat iaitu :

لا ينكر تغير الأ حكا م المبنية  علئ المصلحة و العرف بتغير الزمان         

"Berubahnya hukum didasarkan maslahah dan ‘uruf kerana berubahnya waktu tidak diingkari” 

Maka maslahah, ‘uruf tiada sama antara seorang dengan seorang lain, justeru hukum fiqh antara seorang dengan seorang lain juga berbeza dan juga banyak perbezaan pendapat dikalangan ulama dalam masalah tertentu. 

Apa yang penting, kita membicarakan tentang hukum bukan untuk menghukum orang lain, tetapi untuk menghukum diri sendiri. Jauhilah perbuatan menghukum orang lain kerana hukum antara kita dengan sahabat kita tidak sama, haram pada kita tetapi mungkin tidak pada mereka. Ia perlu dilihat secara keseluruhan. Berbaik sangka adalah sebaik-baik pakaian. 

Ramai yang mahu menjadi malaikat dengan menguatkan hukum pada diri mereka, tetapi akhirnya menjadi syaitan dengan sibuk menghukum orang lain apabila merasa diri mereka amat baik dan mulia di sisi Allah.

Akhir kalam, kita bukan sahaja perlu meneliti nafsu, perlu sentiasa muraqabah dan musyahadah dalam menghancurkan muktazilah, qadariah dan syirik-syirik yang lain, tetapi juga perlu meneliti segala tindakan kita dalam kehidupan; adakah berada dalam  haram, syubhat, makruh harus, sunat dan wajib. 

Kita wajib memahami hukum dan memahami kaedah fiqh dengan baik agar kehidupan tidak menjadi terlalu sukar sehingga tiada boleh bersama dengan arus kemajuan, tetapi tidak pula terlalu mudah sehingga tiada sedar berada dalam dosa yang besar. Mereka yang warak meninggalkan khilaf,  syubhah, berpegang pada hukum 'azhimah dan tiada mudah mengambil rukhsah setiap masa kecuali tiada jalan lain lagi untuk dilakukan. Jauhi ijtihad untuk kesenangan nafsu tetapi berijtihadlah atas dasar memudahkan urusan kehidupan, dakwah dan tarbiyyah demi mencapai kecintaan Allah dan Rasul. 

WaLlahu ‘alam.
__________________
Nota :
  • Illat ialah sesuatu yang kerananya disyariatkan hukum.
  • 'Azhimah ialah hukum hakam syara' yang disyariatkan secara umum pada permulaaan.
  • Rukhsah ialah hukum hakam yang disyariatkan sebagai kelonggaran disebabkan wujudnya keuzuran tertentu.

Rabu, Januari 12, 2011

Aplikasi Qaidah Fiqh dalam Kehidupan Masa Kini - (3/4)

Mungkin dalam aspek penambahbaikan sistem pendidikan di Malaysia, Iran boleh dijadikan sebagai contoh. Selepas berlakunya Revolusi Iran pada 1978 (sebuah revolusi yang mengubah kerajaan Iran daripada sistem pemerintahan monarki kepada sistem Republik Islam melalui kuasa rakyat), pihak kerajaan Iran telah meletakkan keutamaan agama melebihi akademik. Segala pengajian akademik wajib berteraskan ilmu para sarjana Islam, menanamkan kecintaan pada agama yang kuat dan mempelajari ilmu dunia adalah matlamat jihad. Iran berjaya melahirkan ramai tokoh sains fizik yang hebat tanpa perlu keluar dari negaranya untuk belajar ilmu dengan orang Barat. 

Kaum Yahudi juga mewajibkan anak-anak mereka mendalami agamanya sejak usia kecil. Pelajaran akademik bukan tidak diajarkan langsung tetapi ia bukan keutamaan ketika itu. Apabila usia anak mereka menganjak ke umur 13 tahun, barulah tumpuan serius diberikan kepada pelajaran akademik dan ilmu-ilmu yang lain.
Pendidikan kaum Yahudi itu sebenarnya menciplak modul pendidikan Islam yang menekankan aspek aqidah, ibadah, akhlak, memahami Al-Quran dan kendiri pada peringkat pembesaran anak-anak. Justeru, perbandingan di atas bukan mahu mengangkat Iran atau Yahudi, tetapi ada sesuatu yang wajar dimuhasabah dalam soal ‘jatidiri’ pendidikan di negara kita hari ini.

Di Malaysia sendiri pada peringkat rendah, penekanan asas yang diberi ialah 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Manakala ilmu-ilmu lain dipelajari sekadar asas sahaja. Maka alangkah baiknya jika di peringkat rendah itu ditekankan aqidah rukun Iman yang enam dengan jitu berlandaskan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) dan penekanan kepada adab/akhlak Islam, disamping penekanan pada 3M. 

Peperiksaan UPSR ditukarkan pada penilaian pengetahuan agama, pengamalan ibadah, hafalan Al-Quran, akhlak dan aktiviti lain disamping 3M. Jika tiada lulus kefahaman agama dan akhlak serta Al-Quran, maka tiada boleh naik ke sekolah menengah. Adapun di sekolah menengah barulah bermula pengajian akademik secara tersusun selepas anak-anak sudah mantap agamanya.

MENGAPA PENDIDIKAN RIBATH (MADRASAH)?

Perkara ini yang sebenarnya saya cuba terapkan dalam sistem Ribath yang dibangunkan. Pada peringkat 7 tahun hingga 12 tahun adalah pendidikan aqidah, rohaniah, amalan, hafalan Al-Quran dan akhlak, disamping belajar membaca, menulis dan mengira. 

Selepas umur 12 tahun, barulah anak-anak ini dikembangkan bakat mereka mengikut kecenderungan dan potensi diri mereka. Jika potensi dan minat anak serta ibu bapa kepada jurusan ilmu agama untuk menjadi ulama, maka ia akan dimasukkan ke Ribath Menengah selama 2 tahun, menyambung pengajian di Surabaya 3 tahun dan Mekah 3 tahun. Saya mahu menggabungkan pendidikan saya dengan sanad keilmuan Abuya Sayyid Muhammad bin Alwi al-Maliki al-Hasani.

Begitu juga saya sedang berfikir untuk mewujudkan Ribath Menengah (aliran akademik) apabila melihat anak-anak dan ibu bapa mereka cenderung pada akademik. Jika tak mampu, maka saya akan mencari sekolah sahabat-sahabat saya dari kalangan ASWJ yang mendirikan sekolah Islam akademik untuk disambungkan pengajian anak-anak ribath. Tetapi di sini bertembung pula dengan kadar yuran yang mahal sedangkan kebanyakan anak-anak didik ribath dari golongan berpendapatan sederhana. 

Bagi perempuan umur 13 tahun, mereka hanya akan belajar di Ribath dalam masa satu atau dua tahun sahaja untuk dididik  dididik rohaniah, adab, pemikiran dan Al-Quran. Maka disitulah pihak ribath akan menilai bakat dan keupayaan mereka sama ada ke bidang hafizah, ‘alimah atau digabungkan terus keduanya, atau ke bidang akademik dengan menfokuskan bidang yang sesuai dengan kerjaya wanita. Yang penting perpindahan dari satu tempat ke tempat lain adalah bagi meneruskan kesinambungan tarbiyah yang dilalui di ribath dari sudut manhaj ASWJ. Dan alhamdulillah atas permintaan para sahabat, kini satu lagi ribath rendah bagi anak-anak perempuan dari umur 7 tahun ke atas sudah dibuka.

Jika anak-anak ini tiada dilihat berbakat pada dua aliran tersebut, maka saya telah mewujudkan Komuniti Usahawan di kalangan sahabat-sahabat yang berjaya di seluruh Malaysia khususnya dalam bidang perniagaan. Komuniti ini akan menyediakan bimbingan kepada anak-anak ini nanti ke arah menjadi usahawan yang berjaya. 

Sesungguhnya perkara-perkara ini tak akan mampu saya laksanakan jika tiada sokongan para sahabat, terutamanya dari sudut idea dan tenaga serta bantuan mencari tempat-tempat pendidikan yang sesuai sebagai kesinambungan pendidikan di ribath. Namun jika ada yang mampu membinanya dengan cara tersendiri, ia amatlah dialu-alukan.

Saya turut galakkan sahabat-sahabat, jika mampu, buatlah ribath rendah di mana-mana rumah sesama mereka di tempat masing-masing. Tak perlu bilangan pelajar yang ramai, 5-10 orang sahaja sebagai permulaaan dan hidupkanlah qasidah burdah memuji Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam setiap hari setiap kali sebelum solat. (Sheikh Rohimuddin An-Nawawi Al-Bantani mengatakan pada saya, mengikut kajian yang dibuat, anak-anak yang sentiasa mengalunkan qasidah burdah ketika kecil lagi, kesannya akan terlihat ketika umurnya 18 tahun. Ia akan berbeza dengan remaja-remaja yang lain.)

Justeru jadikan selawat dan mencintai Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam dan Ahli Bayt, Sahabat r.a, para Ulama dan Auliya’ Allah sebagai asas utama dalam pembinaan akhlak dan agama anak-anak. 

Saya cintakan anak bangsa saya, kerana dengan kuatnya Islam pada mereka, maka kuatlah bangsa ini, kuatlah Islam di muka bumi ini dan tetaplah negara ini dalam tangan kita sebagai peneraju. Mencintai bangsa dan mahu meletakkan bangsa sebagai peneraju yang kuat pada negara tiada salah pada agama, dengan syarat bangsa dan kepimpinan ditarbiyah kepada agama kerana agama wajib mengatasi keutamaan bangsa. Kita tak mahu anak bangsa ini hanya pada rupa sahaja Melayu tetapi batinya adalah barat dan tiada agamanya.

Sebagai seorang yang cintakan aqidah, persoalan aqidah yang paling perlu diutamakan bukan soal kecemerlangan akademik. Aqidah yang dimaksudkan ialah bukan sekadar beriman pada enam rukun Iman, tetapi enam rukun tersebut berdasarkan ASWJ dan sentiasa terikat pada hati dan pada setiap detik nafas. 

Sekolah-sekolah agama yang wujud pada hari ini perlu juga kita berhati-hati, kerana wujudnya aliran fahaman Wahhabiyyah dan Syiah. Dahulu saya bersangka baik dan amat berharap pada gerakan-gerakan dakwah dapat menguasai sistem pendidikan di Malaysia, baik di universiti atau sekolah. Namun bila melihat kepada kelesuan gerakan-gerakan dakwah masa kini, saya mula berfikir kembali untuk mengharapkan kelompok tersebut melakukan perubahan dalam sistem pendidikan. Walau bagaimanapun, saya amat mengharapkan sahabat-sahabat yang berada dalam profesion pendidikan dan perguruan agar terus memainkan peranan jihad mereka dalam memberi ilmu dan agama. 

Apa yang membimbangkan kini, bukan sahaja berlaku kerosakan akhlak pada pelajar-pelajar, tetapi sudah berjangkit pada  sesetengah guru. Ada yang sudah tiada memiliki aqidah dan akhlak Islam, malah terlibat dengan pelbagai masalah moral.

TENTANG REZEKI DAN JAMINAN MASA DEPAN

Apakah makna helaian sijil/ijazah pada tangan anak-anak jika hilang Allah dan Rasul dalam jiwa mereka? Apalah sangat kehidupan dunia dan celaan manusia berbanding dengan akhirat. Kita  akan menjawab persoalan Allah di akhirat tentang mereka yang berada dibawah jagaan kita. Hal ini amat menggoncangkan hati kerana anak-anak ibarat kain putih yang ditangan kitalah untuk mewarnakannya sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi (mafhum hadith).

Sesungguhnya dunia hanya sebiji pasir dari padang pasir yang luas, setitik air daripada lautan laut yang membiru. Namun jika mereka berkeyakinan bahawa dapat menjaga akidah dan akhlak anak mereka walaupun ke sekolah yang jelas rosak akhlaknya, maka terserah pada mereka dalam menentukan hukum kerana situasi yang berbeza dan saya tetap menghormatinya. Hukum boleh berubah apabila ada perubahan pada individu dan situasi, apa yang penting ijtihad tersebut selamat dari berdosa di sisi Allah.

Qaidah fiqh menyebut :


   لاَ يُنْكَرُ تَغَيُّرُ الأحْكاَمِ بِتَغَيُّرِ الأزْمَانِ

"Tidak boleh disangkal berlaku perubahan hukum dengan sebab perubahan masa."

Saya amat mengkagumi sahabat saya Prof. Mohd Santon bin Ahmad, pensyarah Sains Fizik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan isterinya Dr. Aisyah dalam bidang Politik Sosial. Walaupun keduanya berada di medan pendidikan biasa, namun mereka amat mengambil berat soal memelihara akidah anak-anak mereka. Kesungguhan mereka terserlah dengan usaha bertungkus lumus mencari tempat pendidikan Islam aliran tradisional yang ada sufi, di merata-rata tempat sebaik berpindah ke Terengganu. Mereka bimbang anak-anak akan terkena fahaman sekular dan wahhabiyah yang mereka dapat melihat bagaimana bahayanya dua aliran ini.

Kedua anak lelakinya yang berumur 9 dan 10 tahun telah dimasukkan ke Ribath Tahfiz Syeikh Ahmad asy-Syinnawi di Ketengan Jaya, Dungun. Namun apa yang hebatnya, mereka berdua merayu-rayu pula pada saya agak mengambil anaknya Ali yang berumur 5 tahun agar dimasukkan ke Ribath Rendah Syeikh Abdul Malik, Pulau Manis sedangkan pelajar diambil bermula umur 9 tahun. Tapi kebijaksanaan dan kesungguhan mereka menyebabkan saya tak mampu menolaknya dan anaknya kini bersama saya di ribath.

Ramai ibubapa  berbimbang dengan masa depan dan jaminan rezeki anaknya jika tidak bersekolah. Maka jika hanya alasan itu mereka menghantar anak ke sekolah, tanpa matlamat yang jelas, ianya boleh merosakkan aqidah. Tapi jika matlamat mereka jelas agar anak mereka dapat menguasai ilmu tertentu dengan baik dalam bidang dunia tanpa meninggalkan keutamaan agama sebagai tunjangnya, ia adalah harus dan terpuji malah mendapat pahala. Sebagai contoh menghantar anak perempuan ke sekolah agar menjadi doktor pakar untuk merawat wanita, pakar sakit puan, guru untuk mendidik anak bangsa daripada buta huruf atau lainnya. 

Adapun tentang rezeki dan jaminan masa depan dalam kehidupan, Allah sudah  mencukupi dan menjaminnya jika hamba itu benar-benar yakin, bersangka baik dan beramal soleh. 

Syeikh Ibnu ‘Athoillah al-Sakandary dalam matan Hikamnya menyatakan :

“Jangan kamu berbimbang dengan apa yang dijamin Allah (terutama bab rezeki), tapi hendaklah kamu berbimbang-bimbang dengan apa yang tiada dijamin Allah (bab iman, akhirat dll).”

Bersambung…

Aplikasi Qaidah Fiqh dalam Kehidupan Masa Kini - (2/4)

SISTEM PERSEKOLAHAN / PENDIDIKAN KE ARAH MANA?

Ada di kalangan sahabat saya yang berpendirian keras menghukum haram belajar di semua sekolah yang ada. Yang lebih ekstrim lagi menghukumkan haram belajar ilmu akademik kerana ia adalah ilmu duniawi.

Adapun pendirian saya tiadalah menghukum pada sekolah atau ilmu tersebut, tetapi pada suasana yang merosakkan itu yang boleh membawa kepada haram. Pada sudut ilmu sudah ada perubahan ke arah kebaikan walaupun tidak islamik sepenuhnya. Ini kerana silibus yang dirangka pada semua sekolah di Malaysia tentunya mengambil kira keadaan masyarakat majmuk. Di sinilah peranan guru amat penting dalam menerapkan elemen agama dalam silibus yang diajar.

Jika sekolah itu terpelihara dari gejala kerosakan akidah dan akhlak, maka hukumnya adalah harus. Adapun dalam masalah ilmu, tiadalah saya melihat melainkan segalanya berasal daripada ilmu para Nabi a.s, baik ilmu agama ataupun ilmu berkaitan duniawi. Jika ada yang melihat ilmu tersebut berasal dari Barat, maka mereka sebenarnya tertipu kerana segala ilmu asalnya hak milik orang Islam yang telah melalui proses pembaratan ilmu sejak berabad lamanya. 

Pembongkaran Konspirasi Dajjal untuk hancurkan Ummah

Inilah yang cuba disedarkan oleh Dr. Ismail al-Faruqi (1921-1986), seorang tokoh pemikir dunia Islam dalam bidang Sains Sosial yang terkenal serta mahir semua jenis bidang ilmu tersebut seperti Psikologi, Antropologi, Sosiologi, Sejarah, dan sebagainya.

Beliau banyak mengkaji dan membongkar konspirasi Dajjal sejak berabad lalu untuk menghancurkan warisan sejarah tokoh-tokoh Islam. Beliau sedar bahawa ahli-ahli akademik berbangsa Yahudi yang berselerak di Harvard dan Oxford sedang bertungkus-lumus memadamkan sumber-sumber ilmu sarjana Islam dari pengetahuan pelajar-pelajar Muslim.

Antara pendedahan beliau adalah : 
  • Semua pemikiran-pemikiran pelajar Islam di universiti-universiti di negara Islam sekarang sedang mengalami proses pembaratan ilmu walaupun ilmu yang dipelajari itu sebenarnya berasal dari sarjana Islam. 
  • Pelajar-pelajar Muslim diasak dengan maklumat-maklumat buku rujukan yang diimport dari barat. Buku-buku itu tidak lain hanya menonjolkan kelebihan penulis Barat berbanding sumbangan sarjana Islam.

  • Buku-buku rujukan cetakan univerisiti Barat secara berstrategi tidak meletakkan langsung sejarah tokoh-tokoh Islam yang menjadi pengasas ilmu tersebut. Misalnya bidang Psikologi, pengasasnya ialah Abu Nasr al-Farabi yang menulis buku bertajuk Opinion of Citizens of Uthopia pada 950M. Tetapi masyarakat tidak mengiktirafnya, mereka meletakkan tokoh Yahudi mereka sebagai pengasas iaitu Sigmund Freud yang hanya memperkenalkan teori Psikonalasis pada 1890-an.

  • Pensyarah-pensyarah Muslim berpendidikan Barat adalah agen penyebab kepada proses pembaratan ilmu-ilmu sains sosial di negara-negara Islam. Mereka ini tanpa usul periksa terhadap apa yang dipelajari akan mempromosi semua idea-idea profesor-profesor mereka yang mereka jumpa di Barat untuk diaplikasikan kepada umat Islam.
Sehingga sekarang, pensyarah-pensyarah bidang Sains Sosial menjadikan universiti barat sebagai kiblat utama bidang mereka. Mereka berasa bangga sekiranya mampu berbicara hal ehwal teori sains sosial di depan pelajar-pelajar, padahal teori-teori yang dibanggakan itu sarjana Barat sebenarnya diciplak dari sarjana-sarjana Islam sendiri.

Menyedari akan tahap kritikal masalah ini, Dr. Ismail bersama rakan-rakannya telah menghimpunkan 315 orang cendekiawan Islam dari seluruh dunia dalam satu seminar di Universiti Jeddah, Arab Saudi pada April 1977.

Dalam seminar ini, masing-masing tokoh dalam bidang sains sosial masing-masing cuba memperkenalkan kaedah ilmu alternatif bagi menandingi pengaruh sains sosial barat.

Pada 1982, maka terlaksanalah satu gagasan baru yang dilancarkan untuk menyekat kemaraan unsur-unsur penipuan Sains Sosial barat. Gagasan itu diberi nama “PengIslaman Ilmu” (Islamization of Knowledge).
Gagasan ini diterima pakai di seluruh dunia. Malaysia adalah antara negara yang aktif menganjurkan seminar-seminar berkaitan gagasan tersebut ketika itu. Kebanyakan kertas kerja dikeluarkan oleh pensyarah-pensyarah luar negara yang berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Oleh kerana Dr. Ismail dilihat sebagai ancaman besar kepada strateginya dalam dunia Sains Sosial, maka satu konspirasi dijalankan bagi memastikan Dr. Ismail dan isterinya Dr. Louis Lamya berhenti dari berdakwah menggunakan gagasan ini.

Akhirnya suatu peristiwa dirancang di mana seseorang telah diupah untuk memasuki rumah Dr. Ismail bagi membunuh beliau sekeluarga. Dalam kejadian tersebut anak perempuannya Anmar al-Zein terselamat tetapi menerima 200 jahitan. Kes ini ditutup dan tidak dibuka semula walaupun diminta oleh sesetengah pihak. Sekarang ini, anak perempuan beliau bertanggungjawab menyebarkan baki-baki kertas kerja ibu bapanya di universiti-universiti Islam.

Dajjal tidak hanya menyerang dalam bentuk penguasaan ekonomi, teknologi, politik dan peperangan tetapi dunia pendidikan juga menjadi intipati utama dalam konspirasinya. Dunia pendidikan penting dikonspirasikan oleh Dajjal kerana ia merupakan dunia yang melahirkan cendekiawan yang mampu melaras bentuk-bentuk pemikiran diri sendiri dan orang lain.

Maka input untuk individu-individu yang bakal bergelar cendekiawan harus dibina dari akar umbi agar individu tersebut menjadi agen Yahudi tanpa ia sendiri sedari.

TANGGUNGJAWAB

Inilah tanggungjawab para sahabat yang berada di posisi guru atau pensyarah agar memperbetulkan kesalahan dalam silibus pengajaran terutama subjek Sains, Fizik, Sejarah dan lainnya, di semua peringkat pendidikan termasuk universiti, demi kemaslahatan akidah, akhlak dan kekuatan ummah. Jika ada penyelewengan dalam ilmu akademik, wajib kita perbetulkan bukan meninggalkan sepenuhnya.

Kaedah fiqh menyebut : 
مَا لَا يُدْرَكُ كُلُّهُ وَلاَ يُتْرَكُ كُلُّهُ

“Bila tidak boleh melaksanakan semuanya maka jangan ditinggalkan seluruhnya.”

Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wassalam telah bersabda:

“Al-Hikmah (kepandaian) adalah barang yang hilang dari orang Mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya.” (Riwayat Tirmizi)

Dalam suasana yang menuju kepada keruntuhan akhlak ini, wajiblah kita berusaha mencari alternatif lain jika ada ataupun berusaha mewujudkan sendiri sistem pendidikan, demi menyelamatkan anak-anak dari terjerumus ke lembah yang haram. 

Kaedah fiqh menyatakan :
الضَّرَرُ يُزَالُ

"Kemudharatan (dhorurah) harus dihilangkan dan jalan yang menuju ke arahnya harus ditutup."

Ini  disebabkan kebanyakan sekolah hari ini menghadapi budaya keruntuhan akhlak yang dahsyat, yang tiada mampu lagi para guru, ustaz, kaunselor dan undang-undang untuk menanganinya. Budaya lucah, pergaulan bebas, gangster, ugut, buli, menipu, dengki, sombong, melawan guru, rokok, pil kuda, ectasy, dadah, rempit, bohsia, bohjan, zina, buang anak dan sebagainya amat berleluasa. Kerosakan ini semakin bertambah parah dari tahun ke tahun dan penyakit ini sudah mula menular di sekolah rendah pula. 

Dhorurah adalah berlakunya suatu keadaan kecemasan yang memudaratkan atau menimbulkan kesusahan yang bersangatan dimana dibimbangi akan menimbulkan kemudaratan ke atas jiwa, atau anggota tubuh, atau kehormatan, atau akal atau harta dan sebagainya. Justeru disebabkan hal tersebut diwajibkan atau diharuskan melakukan perkara yang haram atau meninggalkan yang wajib atau menangguhkannya dari waktunya kerana hendak menolak dhorurah daripadanya pada ghalib dzonnya berdasarkan batasan-batasan syarak.
Batasan syariat (dhawabit al-syar’iyyah) dalam masalah dhorurah :
  • Berlaku dhorurah tersebut sama ada secara yakin atau ghalib dzon.
  • Tiada lagi wasilah yang diharuskan oleh syara’ melainkan dengan melakukan perkara yang ditegah oleh syara’ untuk menolak kemudaratan. 
  • Hendaklah melakukan perkara yang mudarat itu sekadar keperluan sahaja.
  • Hendaklah perlaksanaan dhorurah itu tidak menimbulkan dhorurah yang lebih besar atau setara dengannya.
(Rujukan : Usul  al-Fiqh karangan Syeikh Abu Zuhrah)
Justeru, jika menghantar anak sekolah hanya bermatlamat menjamin rezeki atau hanya mahu pandai membaca dan menulis, ianya tiada termasuk dalam dhorurah malah tidak semestinya sekolah dapat menjamin hal tersebut. Jika jelas kita ketahui sekolah tersebut boleh membawa kemudharatan yang merosakkan akidah, pemikiran, jiwa dan  akhlak anak-anak kita, maka tiada kompromi lagi, hukumnya haram kita menghantar ke sekolah tersebut. 

Qaidah fiqh menyebut :
سَدُّ الزَّرَائِعِ

"Jalan yang menuju haram juga haram."

Bukan semua sekolah dihukumkan haram kerana ada sekolah yang tidaklah sampai ke tahap tersebut. Malah ada juga sekolah sama ada kerajaan atau swasta mempunyai Lembaga Pengelola, Pengetua, PIBG dan guru-guru yang cintakan Islam dan bersungguh-sungguh mempraktikkan nilai-nilai Islam kepada pelajar mereka, walaupun menerima tentangan daripada pihak kementerian dalam silibus pelajaran dan kurikulumnya.

Tidak dinafikan kebanyakan sekolah melaksanakan kelas agama petang (KAFA) dan JQAF untuk memantapkan ilmu agama dan Al-Quran pelajar, namun sejauh manakah kesan tarbiyah kepada murid atau pelajar itu dari segi pemantapan akidah, akhlak, cinta Allah dan Rasul serta lainnya.

Aspek barakah amatlah penting bagi menghasilkan natijah yang baik dalam apa jua yang dilakukan. Namun ianya agak sukar diperolehi jika pengajaran hanya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’ dan untuk makan gaji semata-mata.

Maka wajib atas ibu bapa menilai dengan teliti sekolah yang mahu dihantar anaknya demi menjaga amanah Allah yang suci dan tiada mahu terlibat dalam dosa yang diharamkan. Apa yang dibimbangkan, terlalu memberi penekanan kepada budaya kecemerlangan akademik melalui peperiksaan juga membawa kepada kemudharatan pada agama anak-anak. Agama akan menjadi sampingan, akademik menjadi keutamaan.

Ini juga dilema sahabat-sahabat yang mendirikan sekolah Islam dimana ibu bapa yang menghantar anak mereka tetap menilai sekolahnya berdasarkan prestasi akademik sebagai indikator utama, bukannya agama. Maka guru-guru bertungkus lumus pula menjaga reputasi akademik sehingga akhirnya agama menjadi sampingan juga. 

Meletakkan keutamaan kejayaan akademik melebihi agama adalah haram. Ini turut menjadi dilema para pakar motivasi yang mengajak meletakkan Allah dan Rasul sebagai matlamat hidup, sedangkan realiti yang diajar oleh guru dan ibu bapa pelajar ialah akademik sebagai matlamat hidup. Berjaya akademik akan terjamin masa depan, itu prinsip yang sering ditekankan.

Bersambung...

Isnin, Januari 10, 2011

Aplikasi Qaidah Fiqh dalam Kehidupan Masa Kini - (1/4)

(Artikel ini adalah berdasarkan beberapa prinsip Qaidah Fiqh seperti senarai di bawah. Ia akan diterbitkan dalam 3 bahagian, insya Allah)

"Fiqh adalah ilmu yang berhubung dengan Tauhid pada perbuatan"
 
Beberapa Qaidah Fiqh :
  1. "Mudharat kecil harus ditempuh untuk menghindarkan mudharat yang besar"
  2. "Bila harus memilih antara dua mudharat maka pilih yang paling ringan"
  3. "Jalan yang menuju haram juga haram"
  4. "Kemudharatan harus dihilangkan dan jalan yang menuju ke arahnya harus ditutup"
  5. "Bila tidak boleh melaksanakan semuanya maka jangan ditinggalkan seluruhnya"
  6. "Hukum asal segala sesuatu mubah/boleh selagi tiada dalil yang jelas melarangnya"
  7. "Tidak boleh disangkal berlaku perubahan hukum dengan sebab perubahan masa"  


1-    الضَّرَرُ الأشَدُّ يُزَالُ باَلضَّرَرِ الأَخَفِّ
2-     إذَا تَعَارَضَ مَفْسِدَتاَنِ رُوْعِيَ أعْظَمُهُمَا بِإرْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا
3-    سَدُّ الزَّرَائِعِ
4-    الضَّرَرُ يُزَالُ
5-    مَا لَا يُدْرَكُ كُلُّهُ وَلاَ يُتْرَكُ كُلُّهُ
6-    الأصْلُ فِيْ الأَشْيَاءِ الإبَاحَة ُحَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيْلُ عَلىَ تَحْرِيْمِهِ
7-    لاَ يُنْكَرُ تَغَيُّرُ الأحْكاَمِ بِتَغَيُّرِ الأزْمَانِ
Kitab Rujukan :
  1. Al-Asybah wa al-Nazoir oleh Imam al-Suyuti
  2. Qawaid al-Ahkam fi Masolih al-Anam oleh Sultan al-Ulama’ Izzuddin bin Abdul Salam.
  3. Al-Furuq oleh Imam al-Qarafi
  4. Al-Fawaid al-Janiyyah oleh Syeikh Yasin al-Fadani
  5. Al-Fawaid al-Bahiyyah fi Talkhis al-Qawa’id al-Fiqhiyyah oleh Syeikh Nuruddin al-Banjari
  6. Al-Qawa’id al-Fiqhiyyah oleh al-Nadwi 

MUKADIMAH

Mendidik para sahabat yang mempunyai pelbagai latar belakang berbeza mengundang banyak keadaan serba salah dalam jiwa saya. Ada yang terlalu keras pandangannya dan ada yang terlalu longgar. Jika terlalu keras, ia mudah menjadi jumud dan mudah pula menghukum orang lain. Sebaliknya, jika terlalu longgar, ia mudah terlarut dalam sistem yang rosak.

Dahulu saya merupakan seorang yang berpendirian keras dalam segala hukum sehingga tiada  dapat bergaul dengan keluarga, saudara mara dan masyarakat dengan baik. Saya sendiri merasa tertekan dengan pendirian tersebut dan merasa kepayahan untuk hidup di zaman ini. 

Perguruan saya dengan almarhum Baba Najmuddin (Mudir Madrasah Kerandang, Besut, Terengganu. Seorang ulama fiqh empat mazhab yang diakui kealimannya) dan almarhum Tuan Guru Hj Ismail (Bukit Payung, K. Terengganu), muzakarah dengan teman seperguruan, musafir dan berdamping dengan para Kiyai dan para alim ulama yang benar telah merubah pendirian saya dalam masalah fiqh. Maka saya kini mengambil pendirian untuk berada di tengah-tengah (wasatiyyah) dan terserah pada para sahabat membuat keputusan dalam masalah fiqh. Selagi mereka ada hujah, saya tetap menghormatinya walaupun berbeza pandangan.

Kefahaman Ilmu Fiqh amat penting agar tidak mudah terjatuh dalam perkara yang diharamkan Allah. Malangnya ada sesetengahnya tidak merasa berdosa dengan dosa yang dilakukan kerana dianggap biasa atau sudah menjadi budaya akibat kecetekan ilmu fiqh. Maka hiduplah ia dalam keadaan dosa sehingga menyebabkan kelam mata hati. Setiap dosa yang dilakukan anak Adam akan mendatangkan titik hitam pada hati dan akan terus menebal jika tiada bertaubat. Manakala dosa yang dilakukan anak-anak akan ditanggung ibu bapanya.

TELEVISYEN (TV)
Dalam masalah TV, saya tidak mahu menjadi golongan yang mengharam dan  membuang TV. Saya tidak mahu menjadi penentang pada teknologi, tetapi menjadi penentang pada penyalahgunaan teknologi. Bagi saya, bukan masalah peti TV yang mahu dihukum tetapi program yang disiarkannya. Sama seperti internet, bukan komputer dan ‘broadband’ yang mahu dihukum, tetapi isi kandungannya yang berunsur lucah, fitnah dan maki hamun yang perlu diharamkan.

Bagi seorang dewasa yang mampu membezakan baik dan buruk, TV mempunyai kebaikan yang boleh diambil. Maka hukum bagi mereka adalah harus. Tetapi bagi anak-anak, melihat tanpa kawalan adalah jelas membawa mudharat pada akidah, akhlak, pemikiran dan jiwa, justeru hukumnya menghampiri kepada haram.
Filem-filem atau rancangan yang disiarkan walau kartun sekalipun, perlu diperhatikan sama ada ia ada unsur negatif atau tidak. Jika ada, ia boleh membahayakan aqidah dan merosakkan akhlak pada anak-anak yang lemah jiwanya apabila terpengaruh.

Sebaiknya dibelikan alat VCD/DVD agar kita dapat memilih filem atau cerita yang sesuai untuk anak-anak. Ini kerana wajib menjaga anak-anak daripada pengaruh yang haram melalui TV. Bahkan di kalangan orang dewasa pun perlu diperhatikan juga kadangkala, kerana tidak semestinya orang dewasa berfikiran dan berjiwa dewasa. Hukum akan berubah mengikut mengikut keadaan dan tempat atau ilat.

Sikap tidak peduli dan jahil akan masalah hukum akan melahirkan pak-pak lebai yang menitiskan air mata dalam masjid, dalam zikir dan khawat mereka. Sedangkan anak-anak mereka dibiarkan menonton rancangan hiburan atau filem yang jelas haram hukumnya. Ayah menjadi malaikat, anak pula menjadi syaitan. Lebih malang lagi, ibu bapa melihat ‘syaitan’ yang ada pada diri anak mereka itu disebabkan kejahatannya, bukan berpunca kesalahan diri ibu bapa yang menjadikan TV sebagai ‘guru mursyid’ pada anak-anak mereka.

Ketika saya menziarahi rumah para muhibbin pada Aidilfitri lalu, ada di kalangan mereka yang membiarkan TV bersiaran dengan pelbagai aneka hiburan tanpa menutupnya, walaupun saya dan rombongan berada dalam rumah mereka saat itu. Mungkin bagi mereka ianya perkara biasa, tapi keadaan itu amat menggelisahkan jiwa saya.

Meletakkan TV sebagai keperluan hiburan yang wajib ada untuk anak-anak adalah amat salah. Masa lapang adalah pembunuh utama. Jika kita tiada pandai menguruskan masa lapang anak-anak dengan perancangan program yang baik, maka TV atau Video Games atau lainnya yang tiada memberi manfaat akan menjadi sahabat mereka untuk mengisi kelapangan tersebut.

Kita sebagai hamba Allah yang dibekalkan minda, sepatutnya tidak sukar untuk menyusun program yang bermanfaat untuk anak-anak, tanpa perlu kepada TV. Kalau kena caranya, kesibukan mereka dengan perkara bermanfaat itu akan menjadikan mereka tiada masa untuk mengisi masa lapang dengan perkara yang lalai.

Ada sahabat saya yang membuka madrasah. Pada waktu lapang, pelajar-pelajarnya yang masih muda diajak melihat cerita Ultraman sebagai hiburan. Saya menegurnya kerana ia tiada manfaat pada pembangunan jiwa dan minda, bahkan ia bertentangan dengan fiqh Tarbiyah. Seterusnya saya sarankan beliau mendapatkan filem-filem yang baik seperti kisah para Nabi, pahlawan Islam, kisah para ulama, para auliya dan seumpamanya.

TV sepatutnya dijadikan alat maklumat, bukan alat hiburan yang tiada faedah. Jika mahu berhibur dalam apa bentuk jua, pastikan hiburan tersebut memberi maklumat atau mengandungi mesej-mesej yang baik. 

Rangkaian baru Al-Hijrah yang dilancarkan pada Awal Muharram baru-baru ini, disamping Astro Awani, Astro Oasis dan rangkaian berita al-Jazeera (sekadar menyebut beberapa contoh), adalah usaha  murni yang perlu didukung dalam memanfaatkan teknologi sedia ada ke arah kebaikan.

Begitu juga permainan video games. Bukan alat permainan itu yang mahu dibahaskan, tetapi kandungan program yang dimasukkan dalam permainan. Ia perlu diawasi kerana dibimbangi mengandungi nilai-nilai negatif yang ditanam ke jiwa dan pemikiran anak-anak, yang seterusnya boleh merosakkan akidah dan akhlak anak-anak. Jika negatif dan boleh membawa kerosakan akidah dan akhlak, maka hukumnya adalah haram.

Bersambung --- SISTEM PENDIDIKAN & PERSEKOLAHAN ZAMAN INI