Isnin, Januari 10, 2011

Aplikasi Qaidah Fiqh dalam Kehidupan Masa Kini - (1/4)

(Artikel ini adalah berdasarkan beberapa prinsip Qaidah Fiqh seperti senarai di bawah. Ia akan diterbitkan dalam 3 bahagian, insya Allah)

"Fiqh adalah ilmu yang berhubung dengan Tauhid pada perbuatan"
 
Beberapa Qaidah Fiqh :
  1. "Mudharat kecil harus ditempuh untuk menghindarkan mudharat yang besar"
  2. "Bila harus memilih antara dua mudharat maka pilih yang paling ringan"
  3. "Jalan yang menuju haram juga haram"
  4. "Kemudharatan harus dihilangkan dan jalan yang menuju ke arahnya harus ditutup"
  5. "Bila tidak boleh melaksanakan semuanya maka jangan ditinggalkan seluruhnya"
  6. "Hukum asal segala sesuatu mubah/boleh selagi tiada dalil yang jelas melarangnya"
  7. "Tidak boleh disangkal berlaku perubahan hukum dengan sebab perubahan masa"  


1-    الضَّرَرُ الأشَدُّ يُزَالُ باَلضَّرَرِ الأَخَفِّ
2-     إذَا تَعَارَضَ مَفْسِدَتاَنِ رُوْعِيَ أعْظَمُهُمَا بِإرْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا
3-    سَدُّ الزَّرَائِعِ
4-    الضَّرَرُ يُزَالُ
5-    مَا لَا يُدْرَكُ كُلُّهُ وَلاَ يُتْرَكُ كُلُّهُ
6-    الأصْلُ فِيْ الأَشْيَاءِ الإبَاحَة ُحَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيْلُ عَلىَ تَحْرِيْمِهِ
7-    لاَ يُنْكَرُ تَغَيُّرُ الأحْكاَمِ بِتَغَيُّرِ الأزْمَانِ
Kitab Rujukan :
  1. Al-Asybah wa al-Nazoir oleh Imam al-Suyuti
  2. Qawaid al-Ahkam fi Masolih al-Anam oleh Sultan al-Ulama’ Izzuddin bin Abdul Salam.
  3. Al-Furuq oleh Imam al-Qarafi
  4. Al-Fawaid al-Janiyyah oleh Syeikh Yasin al-Fadani
  5. Al-Fawaid al-Bahiyyah fi Talkhis al-Qawa’id al-Fiqhiyyah oleh Syeikh Nuruddin al-Banjari
  6. Al-Qawa’id al-Fiqhiyyah oleh al-Nadwi 

MUKADIMAH

Mendidik para sahabat yang mempunyai pelbagai latar belakang berbeza mengundang banyak keadaan serba salah dalam jiwa saya. Ada yang terlalu keras pandangannya dan ada yang terlalu longgar. Jika terlalu keras, ia mudah menjadi jumud dan mudah pula menghukum orang lain. Sebaliknya, jika terlalu longgar, ia mudah terlarut dalam sistem yang rosak.

Dahulu saya merupakan seorang yang berpendirian keras dalam segala hukum sehingga tiada  dapat bergaul dengan keluarga, saudara mara dan masyarakat dengan baik. Saya sendiri merasa tertekan dengan pendirian tersebut dan merasa kepayahan untuk hidup di zaman ini. 

Perguruan saya dengan almarhum Baba Najmuddin (Mudir Madrasah Kerandang, Besut, Terengganu. Seorang ulama fiqh empat mazhab yang diakui kealimannya) dan almarhum Tuan Guru Hj Ismail (Bukit Payung, K. Terengganu), muzakarah dengan teman seperguruan, musafir dan berdamping dengan para Kiyai dan para alim ulama yang benar telah merubah pendirian saya dalam masalah fiqh. Maka saya kini mengambil pendirian untuk berada di tengah-tengah (wasatiyyah) dan terserah pada para sahabat membuat keputusan dalam masalah fiqh. Selagi mereka ada hujah, saya tetap menghormatinya walaupun berbeza pandangan.

Kefahaman Ilmu Fiqh amat penting agar tidak mudah terjatuh dalam perkara yang diharamkan Allah. Malangnya ada sesetengahnya tidak merasa berdosa dengan dosa yang dilakukan kerana dianggap biasa atau sudah menjadi budaya akibat kecetekan ilmu fiqh. Maka hiduplah ia dalam keadaan dosa sehingga menyebabkan kelam mata hati. Setiap dosa yang dilakukan anak Adam akan mendatangkan titik hitam pada hati dan akan terus menebal jika tiada bertaubat. Manakala dosa yang dilakukan anak-anak akan ditanggung ibu bapanya.

TELEVISYEN (TV)
Dalam masalah TV, saya tidak mahu menjadi golongan yang mengharam dan  membuang TV. Saya tidak mahu menjadi penentang pada teknologi, tetapi menjadi penentang pada penyalahgunaan teknologi. Bagi saya, bukan masalah peti TV yang mahu dihukum tetapi program yang disiarkannya. Sama seperti internet, bukan komputer dan ‘broadband’ yang mahu dihukum, tetapi isi kandungannya yang berunsur lucah, fitnah dan maki hamun yang perlu diharamkan.

Bagi seorang dewasa yang mampu membezakan baik dan buruk, TV mempunyai kebaikan yang boleh diambil. Maka hukum bagi mereka adalah harus. Tetapi bagi anak-anak, melihat tanpa kawalan adalah jelas membawa mudharat pada akidah, akhlak, pemikiran dan jiwa, justeru hukumnya menghampiri kepada haram.
Filem-filem atau rancangan yang disiarkan walau kartun sekalipun, perlu diperhatikan sama ada ia ada unsur negatif atau tidak. Jika ada, ia boleh membahayakan aqidah dan merosakkan akhlak pada anak-anak yang lemah jiwanya apabila terpengaruh.

Sebaiknya dibelikan alat VCD/DVD agar kita dapat memilih filem atau cerita yang sesuai untuk anak-anak. Ini kerana wajib menjaga anak-anak daripada pengaruh yang haram melalui TV. Bahkan di kalangan orang dewasa pun perlu diperhatikan juga kadangkala, kerana tidak semestinya orang dewasa berfikiran dan berjiwa dewasa. Hukum akan berubah mengikut mengikut keadaan dan tempat atau ilat.

Sikap tidak peduli dan jahil akan masalah hukum akan melahirkan pak-pak lebai yang menitiskan air mata dalam masjid, dalam zikir dan khawat mereka. Sedangkan anak-anak mereka dibiarkan menonton rancangan hiburan atau filem yang jelas haram hukumnya. Ayah menjadi malaikat, anak pula menjadi syaitan. Lebih malang lagi, ibu bapa melihat ‘syaitan’ yang ada pada diri anak mereka itu disebabkan kejahatannya, bukan berpunca kesalahan diri ibu bapa yang menjadikan TV sebagai ‘guru mursyid’ pada anak-anak mereka.

Ketika saya menziarahi rumah para muhibbin pada Aidilfitri lalu, ada di kalangan mereka yang membiarkan TV bersiaran dengan pelbagai aneka hiburan tanpa menutupnya, walaupun saya dan rombongan berada dalam rumah mereka saat itu. Mungkin bagi mereka ianya perkara biasa, tapi keadaan itu amat menggelisahkan jiwa saya.

Meletakkan TV sebagai keperluan hiburan yang wajib ada untuk anak-anak adalah amat salah. Masa lapang adalah pembunuh utama. Jika kita tiada pandai menguruskan masa lapang anak-anak dengan perancangan program yang baik, maka TV atau Video Games atau lainnya yang tiada memberi manfaat akan menjadi sahabat mereka untuk mengisi kelapangan tersebut.

Kita sebagai hamba Allah yang dibekalkan minda, sepatutnya tidak sukar untuk menyusun program yang bermanfaat untuk anak-anak, tanpa perlu kepada TV. Kalau kena caranya, kesibukan mereka dengan perkara bermanfaat itu akan menjadikan mereka tiada masa untuk mengisi masa lapang dengan perkara yang lalai.

Ada sahabat saya yang membuka madrasah. Pada waktu lapang, pelajar-pelajarnya yang masih muda diajak melihat cerita Ultraman sebagai hiburan. Saya menegurnya kerana ia tiada manfaat pada pembangunan jiwa dan minda, bahkan ia bertentangan dengan fiqh Tarbiyah. Seterusnya saya sarankan beliau mendapatkan filem-filem yang baik seperti kisah para Nabi, pahlawan Islam, kisah para ulama, para auliya dan seumpamanya.

TV sepatutnya dijadikan alat maklumat, bukan alat hiburan yang tiada faedah. Jika mahu berhibur dalam apa bentuk jua, pastikan hiburan tersebut memberi maklumat atau mengandungi mesej-mesej yang baik. 

Rangkaian baru Al-Hijrah yang dilancarkan pada Awal Muharram baru-baru ini, disamping Astro Awani, Astro Oasis dan rangkaian berita al-Jazeera (sekadar menyebut beberapa contoh), adalah usaha  murni yang perlu didukung dalam memanfaatkan teknologi sedia ada ke arah kebaikan.

Begitu juga permainan video games. Bukan alat permainan itu yang mahu dibahaskan, tetapi kandungan program yang dimasukkan dalam permainan. Ia perlu diawasi kerana dibimbangi mengandungi nilai-nilai negatif yang ditanam ke jiwa dan pemikiran anak-anak, yang seterusnya boleh merosakkan akidah dan akhlak anak-anak. Jika negatif dan boleh membawa kerosakan akidah dan akhlak, maka hukumnya adalah haram.

Bersambung --- SISTEM PENDIDIKAN & PERSEKOLAHAN ZAMAN INI

Isnin, Januari 03, 2011

Mentarbiyyah Golongan Oportunis Politik

Daripada sumber yang dipercayai, Dato’ Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu kini sedang membahagikan kawasan-kawasan balak antara 50 hingga 100 ekar kepada para Ketua Bahagian yang menyokongnya. Ini mungkin disebabkan petunjuk yang diperolehinya bahawa beliau tidak mungkin menjadi MB lagi pada penggal akan datang (selepas PRU-13).

Jika benar maklumat ini, ia merupakan satu lagi episod malang bagi rakyat Terengganu. Hak rakyat telah dijadikan sebagai hak kumpulan/kroni mereka. Golongan oportunis politik ini sememangnya sentiasa mencari peluang untuk mengaut kekayaan bagi memenuhi poket nafsu mereka. Inilah bahananya apabila majoriti rakyat tiada kesedaran politik dan tidak peka dengan apa yang berlaku. 

SLOGAN KOSONG?

Allah berlaku adil pada rakyat ini. Bumi yang ramai para ulama dan auliya ini dikurniakan pelbagai kekayaan hasil buminya. Namun, apa yang rakyat perolehi? Walaupun menjadi negeri pengeluar minyak dan gas terkaya di negara ini, Terengganu masih mempunyai kadar kemiskinan tegar, miskin dan mudah miskin yang ketara.

Dalam sidang DUN Terengganu 8 April 2010, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Ashaari Idris berkata Terengganu masih ditangga kedua kategori rakyatnya mudah miskin. Manakala, kategori rakyat miskin juga masih kekal ditangga ketiga dan miskin tegar ditempat kelima. Ia berdasarkan kajian terbaru agensi terbabit.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk membaiki segala kepincangan dengan pelbagai perubahan yang dilakukan. Pada April 2009, Najib telah memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang antara tujuannya ialah untuk mentransformasikan kerajaan agar menjadi lebih efektif dalam penyampaian perkhidmatan dan bertanggungjawab atas keberhasilan yang menjadi keutamaan kepada rakyat. Dalam masa yang sama enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ditonjolkan, antaranya untuk membanteras rasuah (penyelewengan) dan mempertingkatkan taraf kehidupan rakyat yang berpendapatan rendah.

Malah dalam ucapan sulung selepas secara rasmi dilantik Perdana Menteri ke-6 tanggal 3 April 2009, beliau berikrar untuk melaksanakan satu transformasi besar untuk negara dengan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”

Namun untuk merubah manusia bukan senang. Mereka bukan enjin yang dapat dikawal hanya dengan memetik suisnya atau dibuang mana-mana komponen yang menganggu sistem. 

Manusia mempunyai jiwa, akal dan nafsu yang sentiasa berbolak-balik dalam diri mereka. Syaitan pula sebagai musuh sentiasa mencari ruang untuk menyelinap dalam jiwa manusia bagi melencongkan mereka kepada kejahatan. 

Nabi Nuh a.s siang dan malam selama 950 tahun berdakwah dan mentarbiyyah umatnya, namun hanya mampu menarik seramai 70 orang untuk mengikuti baginda a.s. Ini bukan bermakna dakwah Nabi Nuh a.s tiada berkesan, tetapi menunjukkan begitu keras sekali jiwa manusia untuk menerima seruan yang bertujuan mengubah kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi mereka sudah selesa dengan budaya tersebut dan tidak mahu membuka diri untuk mendengar seruan kebaikan.

Dengan ucapan berapi-api sekalipun di Perhimpunan Agung UMNO, ia tidak akan mampu mengubah sifat tamak haloba, penting diri, dengki, dendam dan takbur yang begitu tebal bersarang dalam jiwa para pemimpin dan ahlinya. 

Syarahan para ulama yang mampu menggetarkan jiwa para pendengarnya, kadang kala hanya mampu memberi kesedaran untuk tempoh seminggu atau sebulan sahaja. Kemudian nafsu atau tabiat lama akan menguasai mereka kembali. Inikan pula syarahan ahli politik yang bergantung pada semangat dan retorik semata-mata, tentulah lebih sukar lagi.

PROSES TARBIYYAH AGAMA

Mentarbiyyah manusia memerlukan masa yang panjang. Walaupun disertakan kesabaran, keilmuan, kerohanian dan keikhlasan, namun ia bukan jaminan mereka yang dididik itu akan berubah dan dapat dibentuk seperti yang dimahukan. Malah kadangkala mereka yang ditarbiyyah itu boleh menjadi musuhnya disebabkan tidak tahan dengan proses tarbiyyah yang dilalui, terutama mereka yang kaya atau yang berilmu.

Justeru, ada di kalangan ulama sufi yang berijtihad bahawa untuk mengubah tabiat manusia dan membentuk mereka, ia memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 40 hari. Ini berdasarkan proses kejadian manusia itu sendiri saat di dalam kandungan ibunya. Ia juga disandarkan kepada khalwah para Nabi-Nabi a.s yang mengambil masa 40 hari.

Jemaah Tabligh turut menjadikan 40 hari sebagai keutamaan dalam membentuk diri kepada kebaikan seperti istiqamah solat jemaah dan tahajud. Kalau di pondok atau madrasah, biasanya para pelajar yang baru masuk tidak dibenarkan pulang ke rumah sebelum mencapai tempoh 40 hari. Ini kerana mereka meyakini bahawa jika seorang itu dapat melakukan sesuatu secara istiqamah selama 40 hari, ia akan menjadi tabiat dalam kehidupannya di luar nanti.

Dalam konteks UMNO, untuk mentarbiyah kembali pemimpin dan ahlinya, tidak cukup sekadar ucapan yang berdegar-degar dalam Perhimpunan Agung. Kesannya hanya sedikit dan bersifat sementara walaupun semangat mereka dilihat berkobar-kobar di dalam dewan. Tetapi apabila mereka pulang, nafsu kejahatan kembali menguasai diri. Mereka akan tetap meletakkan kepentingan diri, kroni dalam perjuangan melebihi kepentingan agama, bangsa dan negara. 

Lagipun, jika hanya ia seorang berubah sedang dilihatnya kawan-kawan di sekelilingnya tidak berubah, kerjaya politiknya tiada akan ke mana dan ia akan rugi jika tiada mengambil kesempatan bila ada peluang (untuk nafsu dan perut).

Saya sendiri melihat bagaimana satu syarikat Bumiputera yang hebat terpaksa gulung tikar akibat tiada dibayar hutang oleh manusia yang dilihat sebagai pejuang bangsa. Didalam TV wajahnya terpampang sebagai dermawan yang prihatin dengan golongan miskin, tetapi dibelakang tabir, dia adalah seorang yang kaya dengan penipuan jutaan ringgit terhadap sesama bangsa. Sebab itulah kadang-kadang saya tidak mampu menonton berita di TV kerana meluat melihat wajah-wajah para munafik yang tersenyum menunjukkan lakonan wajah mulia mereka di hadapan masyarakat!

Para pemimpin UMNO perlu kembali kepada pentarbiyyahan agama, bukannya sekadar asyik membakar semangat Melayu. Kebanyakan mereka sudah terbiasa dengan budaya penipuan, rasuah, makan harta yang haram dan sebagainya. Ia ibarat penyakit “SAKA” yang diwarisi dari satu generasi ke generasi, tiada sedikitpun rasa bersalah. 

Tabiat ini dapat dilihat apabila mereka menubuhkan Parti Semangat 46 atau PKR kini. Mereka yang bermasalah kebanyakannya bekas ahli UMNO. Bukan senang untuk mereka meninggalkan tabiat mereka walaupun jiwa berkobar-kobar untuk memperjuangkan kebenaran.

AZAB BAGI MEREKA YANG TIADA AMANAH 

Hanya agama yang dapat menyembuhkan penyakit ini. Apabila hati dihubung kembali pada Allah dan akhirat, ia akan melemahkan nafsu sehingga akhirnya nafsu dapat dikawal kembali. Jika para pemimpin UMNO tiada serius mendidik dirinya dan pengikutnya pada agama, saya tak yakin mereka akan dapat mengubah tabiat mereka walaupun beribu slogan yang mereka laungkan. 

Ketika UMNO lemah, ramai para pemimpinnya sudah berkira-kira untuk berpindah parti. Tetapi apabila melihat ia kembali kuat dibawah pimpinan Dato’ Sri Najib, mereka kini melaung ikrar janji setia sampai ke titisan darah terakhir.

Sebenarnya mereka bersama UMNO bukan kerana prinsip perjuangan, tetapi lebih kepada kepentingan diri. Mereka lihat dengan kekuatan UMNO dibawah PM sekarang, mereka masih berpeluang untuk menyuburkan lagi nafsu keangkuhan, ketamakan dan sukakan sanjungan. Itulah hakikatnya walaupun saya tak nafikan ada di kalangan mereka yang ikhlas memperjuangkan agama dan bangsa. 
“Takutlah wahai pemimpin kepada Allah. Sesungguhnya azab yang pedih menunggu para pemimpin yang tiada amanah. Kita semua akan ditanya tentang kepimpinan di hadapan Allah. Sedangkan para Nabi-Nabi a.s bergetar lutut mereka di Padang Mahsyar untuk menjawab soal kepimpinan, bagaimanakah kamu wahai para pemimpin yang banyak merompak harta rakyat demi keuntungan politik dan kekayaan dirimu? Bertaubatlah sebelum terlambat, sesungguhnya Allah amat mencintai hambaNya yang bertaubat dan membersihkan diri!”
"... Sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah." (QS 38: 26)

Rabu, Disember 29, 2010

Awan Nafsu dan Khayalan Akal Menutupi Nur Makrifat

Firman Allah :
“Dan pada dirimu itu, mengapakah kamu tidak melihat (tanda-tanda dan bukti kebesaranNya)?” (Adz-Dzaariyaat : 21)

Awal agama adalah mengenal Allah, awal mengenal Allah adalah mengenal diri. Kata ‘arifbillah: “Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka mengenal ia akan Tuhannya. Sesiapa yang mengenal Allah, maka binasalah (fana) dirinya.”

Firman Allah diatas sebagai pembuka segala rahsia dalam rahsia. Hanya Allah wajibal wujud dan Dia wujud pada DzatNya. Adapun sekelian wujud yang lain bukan wujud pada dzatnya, tapi wujudnya diwujudkan oleh Allah. Makhluk diwujudkan Allah untuk menunjukkan sifat Keagungan dan KebesaranNya.

Firman Allah dalam hadis Qudsi :

كنت كنزا مخفيا فأردت أن أعرف فخلقت الخلق ليعرفوني

“Aku adalah ‘Kanzun Mahfiyyan’ (yang terpendam dan tertutup). Aku ingin ditemukan dan dikenali. Kuciptakan makhluk agar mereka mengenalKu.”[1]

Makhluk dan diri kita tiada lain melainkan ayat-ayat Allah untuk menunjukkan DiriNya. Pada kita Dia menunjukkan wujudNya, menunjukkan SifatNya, menunjukkan Asma’Nya dan menunjukkan Af’alNya. Maka barangsiapa yang melihat dirinya dan alam tanpa melihat ‘wajah Allah’, mereka adalah golongan yang terdinding dengan waham (kegelapan awan nafsu dan khayalan akal).

Mereka adalah golongan yang syirik dalam penglihatan, pendengaran, sentuhan, pemikiran dan perasaan apabila hal tersebut tiada berhubung atau bertali simpul dengan Allah. Melihat diri dan alam tanpa melihat ‘wajah Allah’ bersamanya adalah jahil murakab; Yakni jahil pada Tuhannya, tiada mengenal Ketunggalan sifat  Allah dan jahil pada dirinya yakni tiada mengenal hak pada dirinya!

Firman Allah :  

Dimana kamu hadap di situlah wajah Allah SWT.” (Al-Baqarah : 115)

Berkata Syaikh Ibnu ‘Athaillah Askandary dalam Syarah Hikam:

“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa sesuatu itu mendindingkanNya sedangkan Dialah jua yang menzahirkan tiap-tiap suatu daripada tiada kepada ada.”

“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa sesuatu itu mendindingkanNya sedangkan Dialah yang telah zahir dengan tiap-tiap sesuatu.”

“Bagaimana dapat dibayangkan bahawa sesuatu itu mendindingkanNya sedangkan Dialah jua yang telah zahir dalam tiap-tiap sesuatu dengan KudratNya dan dengan KeagunganNya daripada segala SifatNya.”

La ilaahaa illaLlah wahdahu laasyariikalah…Tiada tuhan melainkan Allah dan tiada sekutu yang lain disisiNya!

Hak  jasad adalah kaku terbujur yang tiada dapat berfungsi apa-apa walaupun ada mata, telinga, mulut, hidung, tangan, akal dan hati. Ia tidak dapat menepis walau seekor lalat atau nyamuk jika hinggap padanya. Ia  bisu, buta, pekak, tiada bernafas, bodoh, lemah dan tiada kehendak. Tiada siapa mahu menyimpan jasad kaku ini dalam rumah walaupun di kalangan ahli keluarga yang amat menyayanginya.

Jasad adalah sarung untuk diri kita (ruh) di alam dunia ini. Diri kita telah beribu tahun di alam ruh memuji dan memandang Allah mengikut kadar yang diizinkan. Maka sampai saat Allah mahu diri kita melihat dan memujinya di alam zahir, maka diri kita dimasukkan dalam sarung badan manusia dari pelbagai jenis keturunan yang berlainan warna kulit, bentuk badan dan sebagainya.
Diri kita di alam ruh telah mengenal Allah dengan pandangan yang dibuka secara kasyaf dan memuji Allah dengan Nur Allah. Diri kita (ruh) juga adalah kaku, tiada baginya sifat melainkan Allah persifatkan ia dengan  diperlihatkan, diperdengarkan, diperkalamkan, diperhidupkan, diperkehendakkan, diperilmukan dan diperkuasakan tanpa alat zahir seperti mata, telinga dan lainnya. Apabila ia dimasukkan dalam sarung badan manusia, maka segala alat anggota badan berfungsi dengan kadar yang ditentukan sesuai di alam zahir pula. Tiada tujuan lain kita dimasukkan dalam badan yang lengkap dengan alat-alat tersebut melainkan agar tetap bertauhid  dan bertasbih padaNya.
Firman Allah :

"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku." (adz-Dzaariyaat : 56)

Kita diperintah mentauhidkan DiriNya dalam pandangan, dalam pendengaran, dalam pernafasan, dalam rasa, dalam sentuhan dan  dalam gerak diam.

Firman Allah :

“… Maka ke mana pun kamu menghadap disitulah wajah Allah.(al-Baqarah: 115)

“Dan Allah bersama kamu di mana sahaja kamu berada.” (al-Hadid : 4)

“Allah menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat." (as-Shofat : 96)

Begitu juga kita diwajibkan mentauhidkan DiriNya dalam perbuatan yang merangkumi aspek kesyumulan kehidupan insan sama ada dalam ibadah, pendidikan, perubatan, pekerjaan, perniagaan, makan dan minum, perkahwinan, politik, perundangan, hiburan, pergaulan, akhlak, budaya dan lainnya.
Namun apabila diri kita berada dalam badan, segala makrifat  kita telah terdinding oleh dua daging  iaitu daging pada kepala (otak) dan daging pada sebelah kiri (jantung). Pada otak dinamakan akal dan pada jantung dinamakan nafsu. Akal membawa kita kepada ketuhanan logik (Muktazilah) dan nafsu mengajak kita kepada ketuhanan diri (Qadariah).
Segala maklumat Alam Ruh, Alam Jabarut dan Alam Malakut  tersimpan kukuh dalam sirr sanubari setiap insan. Ia tiada hilang dan perlu dibuka kembali agar tiada tertipu dengan keindahan dunia dan mengingatkan kembali asal dirinya.

Al-Quran dan Hadis adalah cahaya yang  memberi petunjuk bagi segala rahsia dalam rahsia. Ia memberi jawaban kepada persoalan dari mana asal manusia, apa tujuannya di alam ini dan ke mana mereka akan pergi selepas ini. Ia membuka rahsia alam di sebalik  alam yang tiada dapat dicapai dengan akal manusia yang amat terbatas.

Bermula alam tiada, diciptaNya qalam, alam ruh, alam malaikat, alam jin dan syaitan, alam zahir, alam barzakh dan alam akhirat. Sesiapa yang berpegang dengan petunjuk keduanya (Al-Quran dan Hadis) dan memahami tafsiran keduanya mengikut jalan para ulama yang Haq, nescaya mereka akan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.

Selawat dan salam pada HabibuLlah Rasulullah sallaLlahu alaihi wassalam!

Banyakkan selawat atas Nabi wahai saudaraku, cintai sunnahnya… dengannya kamu akan memiliki cahaya yang membuka pintu ketauhidan ihsan dan menanggalkan kekotoran syirik pada batinmu!

Petikan buku "ALLAH : SYARIAT DAN HAKIKAT"
Karya al faqir Walid Ibrahim Mohamad
* Akan Terbit!
 ____________
(Lihat Kashf al-Khafa’ karangan al-‘Ajluniy. Hadis tersebut juga terdapat dalam kitab Sir al-Asrar karya Syeikh Abdul Qadir al-Jailani dengan lafaz yang berbeza-beza tetapi mempunyai makna yang sama)

Jumaat, Disember 17, 2010

Khamis, Disember 16, 2010

Hakikat Diri dan "Kelahiran Semula" - 2/2

Seorang Muslim mencari rahsia dirinya di alam ruh sedangkan “inkarnasi” mencari siapa dirinya pada kehidupannya pada kelahiran yang lalu. Kehidupan semula di alam ini menyebabkan ruh akan terus terkongkong dan tidak meningkat atau maju. Mereka bermujahadah di alam dunia yang penuh ujian dan fitnah sehingga mereka mati, kemudian ruh dikembalikan pula ke alam ini pada kelahiran yang lain. Ruhnya kembali pada proses pertama iaitu kembali kotor, gelap kemudian menghadapi pelbagai ujian hidup kembali. Alangkah menderitanya ruh kerana tiada erti kerehatan. Ruh tiada kemajuan, hanya hidup mengalami proses yang sama cuma badan yang berlainan dan ujian yang berlainan. Ini adalah penyiksaan pada ruh yang berkekalan.

Ruh adalah kehidupan; adanya rasanya, pandangan, pendengaran, ilmu, kudrat dan iradat. Ruh tidak memerlukan badan, ia sudah mempunyai badannya sendiri mengikut alam. Sarungnya lebih cantik pada setiap alam. Apabila berlakunya peningkatan kesucian ruh, tersingkap baginya beberapa ilmu dan pandangan. Pandangan terhadap perkara yang haq tidak akan hilang. Apabila ruh kembali ke alam Lahut, tersingkap padanya rahsia keTuhanan yang haq. Inilah yang disabda oleh Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam: “Sesiapa yang masuk ke syurga tidak akan keluar lagi”, bermakna ruh yang sudah masuk ke alam Lahut tidak akan kembali kepada kegelapan.
 
Amat salah bagi mereka yang berfahaman “inkarnasi” kerana percaya bahawa ruh akan kembali gelap dan hilang segala ilmunya apabila masuk kembali ke dalam tubuh yang baru. Perkara yang binasa itu adalah makhluk dan dari syaitan sedangkan Wajah Allah itu kekal, ilmu itu terus terpancar pada cemin Qalbinya sehingga meleburkan segala kebatilan, syirik, mazmumah pada dirinya.

Firman Allah :
“Katakanlah, apabila datangnya yang haq (kebenaran) maka akan hilanglah yang batil.” (al-Israa’ : 81)

“Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat.” (al-Qiyaamah : 22-23)
Sesungguhnya manusia tidak boleh menyucikan dirinya, Allahlah yang menyucikan dirinya dengan berlakunya beberapa tajalli pada cermin Qalbinya. Bukit Tursina hancur dan Nabi Allah Musa (a.s) pengsan ketika Allah mentajallikan dirinya. Bukit Tursina dikiaskan kepada segala mazmumah dan pengsannya Nabi Musa dikiaskan berlakunya fana’ iaitu keleburan seorang hamba dengan Tuhannya, bukannya hamba menjadi Tuhan. Ia umpama cahaya lampu yang hilang di dalam terang cahaya matahari. Cahaya lampu tetap wujud tetapi tiada kelihatan. Cahaya lampu akan kelihatan apabila cahaya matahari menghilang.
Kasyaf terhadap Tuhan ada tiga dan ia hampir sama. Pertama dari syaitan, ia menyesatkan dan menyebabkan manusia itu terkeliru. Justeru itu, seseorang pengembara rohani perlu mempunyai ilmu asas keTuhanan seperti wajib memahami sifat yang wajib,mustahil dan harus bagi Allah. Tanpa memahaminya ia akan terkeliru dan boleh tersesat.

Kedua kasyaf pada rohani. Ia kelihatan sama seperti saudara kembar yang tidak dapat dikenali dengan sepintas lalu, namun pembukaan itu tidak meleburkan sifat mazmumah dalam diri, malah kadangkala menjadikan manusia itu sombong sehingga menyangka mereka mencapai darjat yang tinggi. Ada yang meninggalkan syariat, ada yang meringankan ibadah, ada yang sudah mula merendahkan orang lain, ada yang mendakwa ilmunya yang haq dan orang lain belum sampai.

Ketiga ialah kasyaf Rahmani dimana berlakunya peleburan mazmumah. Mereka menjadi manusia baru seperti ular yang keluar dari kulitnya, diberi kulit (perangai) yang baru. Tiada padanya kesombongan dan dakwaan, malah mereka tenggelam dalam lautan dosa dan kehambaan. Mereka mencintai ibadah, amat cinta dan takut pada Allah. Banyak menilik kelemahan diri dan menjauhi segala bentuk pujian. Jiwa mereka sentiasa dalam keadaan takut dan harap pada Allah SWT.

Tipu daya nafsu bagi permulan penuntut ialah perlawanan dengan nafsu kebaikan dan sentiasa jatuh maksiat zahir. Tipu daya nafsu bagi pertengahan penuntut ialah dorongan kepada ibadah dan kebaikan tetapi didalamnya terkandung tipu daya, seperti pengakuan menjadi Nabi, Wali dan sebagainya. Sedangkan pada daerah makrifat, tipu daya nafsu dengan syirik khafi (penyekutuan yang samar) berupa jenis cahaya seperti pengakuan menjadi tuhan, bersatu dengan tuhan dan sebagainya yang melibatkan kesalahan akidah. Peringkat ini amat bahaya kerana mudah tergelincir akidahnya.

Seorang penuntut perlu mendalami Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan mendapat bimbingan Guru yang mantap kefahaman akidah, syariat dan tasawufnya kerana tanpa asas ini amatlah bahaya. Bagaikan mendaki bukit yang tinggi dan curam, potensi untuk tergelincir amatlah mudah.

Firman Allah SWT :
“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya...” (al-Jatsiyah : 23)

Wallahu ‘alam.

Hakikat Diri dan "Kelahiran Semula" - 1/2

Bersabda Nabi Isa (a.s) :
“Manusia tidak akan boleh masuk ke alam (malakutnya) langit, kecuali telah dilahirkan dua kali seperti burung.” (Kitab Sirrul Asrar Syaikh Abdul Qadir al-Jailani)

Burung dilahirkan dua kali, pertama keluar telur dari ibunya, kedua menetas ia dari telurnya. Beberapa aliran dari agama lain seperti Buddha atau Hindu mempercayai kelahiran kedua yang dinamakan “inkarnasi”. Fahaman ini amat tua dan hanya berdasarkan lingkungan alam dunia yang sempit.

Fahaman inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam surah At-Jathiyah ayat 24-26 :
“Mereka berkata kehidupan ini tidak ada selain kehidupan kita didunia ini sahaja, disinilah kita mati dan disinilah kita hidup. Tidak ada yang merosakkan kita ini kecuali masa. Tetapi sebenarnya mereka tiadalah pengetahuan tentang yang ghaib melainkan hanyalah sangka-sangkaan sahaja. Apabila dibacakan kepada mereka keterangan-keterangan kami yang jelas, mereka tiada bantahan kecuali mereka hanya berkata, ‘Datangkan kehidupan kembali bapa-bapa kita, jika apa yang kamu katakan itu benar.’ Katakanlah Allah itulah yang menghidupkan kamu semua, kemudian mematikan kamu semua pula, akhirnya kamu semua dikumpulkan pada hari Qiamat. Hal ini tidak perlu diragukan lagi tetapi ramai manusia memang tidak mengetahuinya.”

Dalam Islam ia dipanggil tanasukh. Ada juga aliran dari Syiah yang menerimanya sebagai pegangan. Namun mereka percaya berlakunya tanasukh hanya pada Imam-Imam Duabelas sahaja, bukan pada semua manusia.

Kepercayaan perpindahan ruh ke dalam badan manusia yang lain atau dalam badan haiwan mengikut amalan mereka di dunia dahulu adalah menyalahi sifat ruh sendiri. Ini disebabkan Qalbi mereka tidak tersingkap untuk melihat ruh di alam Jabarut dan alam Lahut walaupun mereka melakukan meditasi berpuluh-puluh tahun. Dunia ini amat kecil sahaja jika dibandingkan dengan beberapa alam yang terdinding dari pandangan manusia. Namun syaitan atau jin amat bijak dalam menyesatkan manusia.

Kadangkala jin yang bersama tuannya dahulu ketika hidup menyusup masuk ke dalam badan manusia seperti kanak-kanak untuk membuktikan bahawa ruh hidup kembali dalam badan yang lain adalah benar. Ini juga yang berlaku pada kaum Nabi Musa (a.s) apabila syaitan menyusup ke dalam patung lembu dan berkata-kata sehingga ramai pengikut Nabi Musa percaya bahawa itu adalah jelmaan Allah. Mereka melihat ia adalah nyata, sedangkan Tuhan yang disebut oleh Nabi Musa (a.s) tidak dapat dilihat.

Begitu juga tersesatnya kaum Quraisy dengan patung Latta dan Uzza, kerana kedua-dua patung tersebut boleh berbicara. Apabila Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam menyuruh Khalid al-Walid a.s menghancurkannya, Saidina Khalid melihat syaitan wanita berterbangan lari dari patung tersebut. Begitu juga apabila berlakunya patung menangis atau ruh simati hidup kembali. Segala itu adalah jelmaan syaitan atau jin kerana ruh yang telah keluar dari alam ini tidak kembali ke sini lagi. Ruh yang baik akan ke ‘Illiyin dan ruh yang jahat akan ke Sijjin. Ia adalah alam ruh bukannya alam nyata.

Untuk melihat alam ruh yang tidak dipermainkan syaitan, manusia perlu menyingkap Qalbinya berdasarkan kaedah-kaedah yang diambil dari Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam. Segala pintu alam langit, alam rahsia tertutup ketika lahirnya Nabi Muhamad sallaLlahu ‘alaihi wassalam. Mereka tidak dapat menembusinya melainkan dengan jalan Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam. Nabi telah membukanya kembali pada malam Israk dan Mikraj, sesiapa yang mahu pergi ke langit perlu melalui pintunya. Nabi adalah pemegang rahsia langit, rahsia alam ghaib, rahsia alam keTuhanan. Tiada ruh yang boleh terbang ke alam keTuhanan melainkan dengan izinnya, dengan mengikuti ajaran dan mencintainya.

Kerana itulah Saidina Umar al-Khattab menangis apabila melihat seorang rahib yang tekun bermeditasi di dalam lubang yang kecil sehingga Umar mengatakan : “Aku menangis kerana ketekunan kamu untuk mencapai Tuhan, sedangkan pintunya tidak engkau lalui iaitu Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam”. Mereka tidak akan mencapainya melainkan dimainkan oleh khayalan dan syaitan.

Berlakunya pembukaan yang ghaib seperti melihat ruh, melihat Tuhan adalah sebenarnya masih di alam ini lagi. Para ahli sufi termasuk Syaikh Abdul Qadir al-Jailani juga mengalami peristiwa terbuka rahsia keTuhanan ketika khalwatnya, namun dengan rahmat Allah ia selamat dari tipu dayanya. Dalam pembukaan ini, ramai para ahli sufi terkeliru sehingga menyangka mereka telah mencapainya. Ini kerana ia berlaku dalam bentuk yang begitu hebat dan tersilau segala rohani kala menatapnya. Ia datang dengan beberapa kalimat pengajaran, namun hakikatnya tersembunyi tipu daya yang halus.

Justeru itu manusia memerlukan Nabi yang memiliki kelebihan ruhnya yang berkemampuan melihat dan menerima wahyu. Nabi mengesahkan apa yang tersingkap pada Qalbi para sahabat adalah benar-benar Tuhan. Ilmu penyaksian yang haq atau tersingkap Qalbi secara haq terhadap alam keTuhanan ini diturunkan kepada beberapa orang sahabat. Sahabat mengajar pula kepada beberapa orang para tabi’i, para tabi’i mengajar pula kepada beberapa orang di kalangan tabi’i-tabi’i dan seterusnya sehingga sampai ilmu itu pada hari ini kepada orang yang tertentu pula. Justeru itu, pembukaan mereka yang tidak melalui jalan kenabian hanyalah sekitar di alam dunia ini dan alam mithal, iaitu alam ghaib yang masih tidak terkeluar daripada kongkongan alam jasad.

Manusia itu perlu dilahirkan kali kedua. Bayi jasad lahir dari gabungan dua nutfah iaitu lelaki dan perempuan. Bayi maknawi lahir gabungan dari ilmu zahir dan batin. Amal zahir ialah ibadah syariat dan amal batin ialah ikhlas. Ruh Al-Qudsi yang datang dari alam Lahut telah dikandung dalam Qalbi manusia. Ia telah terkurung dalam kegelapan. Apabila manusia beramal soleh dan meninggalkan segala kejahatan, zikir lisan berpindah kepada zikir hati dan zikir hati berpindah ke dalam lidah hati. Ketika itu Ruh Al-Qudsi akan lahir kembali dari Qalbinya dalam bentuk permulaan dan dinamakan Bayi Maknawi “Tiflul Maani”.

Pada peringkat ini, jiwa seseorang itu cenderung melakukan kebaikan, amat menyesal apabila melakukan kejahatan. Inilah kebanyakan peringkat jiwa yang ada pada manusia yang bermujahadah terhadap sifat jahat dalam diri mereka walaupun dari pelbagai agama. Sebagaimana bayi jasad yang membesar dengan keperluan makanan, minuman dan penjagaan, begitu jugalah dengan bayi maknawi.

Seseorang itu janganlah hanya berpuashati dengan keadaan bayi maknawinya. Ia perlu dibesarkan sehingga melalui beberapa kelahiran kembali (peringkat) sehingga akhirnya ia kembali kepada asal keadaannya di alam Lahut. Mereka perlu memberi makanan, minuman dan didikan kepada bayi maknawi itu kerana ianya mengandungi pelbagai rahsia. Justeru itu, guru yang sebenar ada dalam diri manusia sendiri, ia adalah hakikat kehidupan, ia adalah pemegang ilmu rahsia alam ghaib.

Dengan penjagaan dan didikan yang betul, bayi maknawi ini akan melewati dari alam bayi kepada kanak-kanak (alam Malakut) kemudian berpindah ke alam remaja (alam Jabarut) dan dari remaja menjadi seorang dewasa yang matang (alam Lahut). Ketika itu Ruh Al-Qudsi telah sempurna kembali kepada hakikatnya. Ia kembali makrifat pada Allah SWT dengan pandangan yang haq. Ia tidak lagi menjadi tua dan tiada mati.

Pernah satu ketika Rasullullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam bersabda pada seorang wanita tua “Tiada orang tua sepertimu di dalam syurga”, wanita tua itu begitu sedih hati apabila mendengar sabda baginda sallaLlahu ‘alaihi wassalam, kemudian Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam bersabda lagi “Usah bersedih, maksudku ialah di syurga nanti tiada orang tua sepertimu kerana orang tua sepertimu akan menjadi muda belaka”.

Bersambung...

Khamis, Disember 02, 2010

Hebahan : Majlis Ijazah dan Khatam Burdah

 
Fadhilat BURDAH
(Petikan ceramah Maulid oleh Habib Salim asy-Syathiri, Pengetua Institut Pengajian Islam Ribath di Tarim, Hadramaut, Yaman)

Burdah ertinya “selendang” dan juga dikenal sebagai Bur'ah[1] yang bererti shifa’ (kesembuhan). Ia merupakan syair yang memuji Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam dan luahan kecintaan yang mendalam terhadap Baginda yang dikarang oleh Imam al-Busyiri[2] rahimahullah.

Imam Al-Busyiri adalah seorang penyair yang suka memuji raja-raja untuk mendapatkan wang. Kemudian beliau terkena sakit faalij (setengah lumpuh) yang tak kunjung sembuh setelah berubat dengan pelbagai cara. Tak lama kemudian beliau mimpi bertemu Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam yang memerintahkannya untuk menyusun syair yang memuji Baginda. Maka beliau mengarang Burdah dalam 10 pasal pada tahun 6-7 H. Seusai menyusun Burdah, beliau kembali mimpi bertemu Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam yang menyelimutinya dengan Burdah (kain selendang). Ketika bangun, sembuhlah beliau dari sakit lumpuh yang dideritanya.

Qasidah Burdah ini tersebar ke seluruh penjuru bumi dari timur ke barat. Bahkan disyarahkan oleh sekitar 20 ulama, diantaranya yang terkenal adalah Imam Syaburkhiti dan Imam Baijuri.

Habib Husein bin Mohammad Al-Habsyi (saudara Habib Ali Al-Habsyi Sohibul Maulid Simtud Duror) biasa memimpin Dalail Khairat di Mekah. Kemudian beliau mimpi bertemu Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam yang memerintahkannya untuk membaca Burdah di majlis tersebut. Dalam mimpi tersebut, Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam berkata bahawa membaca Burdah sekali lebih afdhal daripada membaca Dalail Khairat 70 kali.

Ketika Hadramaut (di Yaman) tertimpa malapetaka hingga banyak binatang buas berkeliaran di jalan, Habib Abdulrahman Al-Masyhur memerintahkan setiap rumah untuk membaca Burdah. Alhamdulillah, rumah-rumah mereka aman dari gangguan binatang buas. 

Beberapa Syu’araa (penyair) di zaman itu sempat mengkritik bahawa tidaklah patut pujian kepada Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam dalam bait-bait Burdah tersebut diakhiri dengan kasroh/khofadz (baris di bawah). Memadailah Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam agung dan tinggi (rofa’). Kemudian Imam Busyiri menyusun qasidah yang bernama Humaziyyah yang bait-baitnya berakhir dengan dhommah (marfu’ - baris di depan)[3].

Imam Busyiri juga menyusun Qasidah Mudhooriyah. Pada qasidah tersebut terdapat bait yang ertinya, “Aku berselawat kepada Rasulullah sebanyak jumlah haiwan dan tumbuhan yang diciptakan Allah.” Kemudian dalam mimpinya, beliau melihat Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam berkata bahawa sesungguhnya malaikat tak mampu menulis pahala selawat yang dibaca tersebut.

Habib Salim juga bercerita tentang seseorang yang telah berjanji kepada dirinya untuk menyusun syair hanya untuk memuji Allah dan Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam. Suatu ketika ia tidak mempunyai wang dan terpaksa menyusun syair untuk memuji raja-raja agar mendapat wang. Ia pun mimpi Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam bersabda, “Bukankah engkau telah berjanji hanya memuji Allah dan Rasul-Nya?! Aku akan memotong tanganmu.”

Kemudian datanglah Sayidina Abubakar r.a. meminta syafaat untuknya dan dikabulkan oleh Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam. Ketika ia terbangun dari tidurnya, ia pun langsung bertaubat. Kemudian ia melihat di tangannya terdapat tanda bekas potongan dan keluar cahaya dari situ.
Habib Salim mengatakan bahawa Burdah ini sangat mujarab untuk mengabulkan hajat-hajat kita dengan izin Allah. Namun terdapat syarat-syarat yang harus dipenuhi. Yaitu mempunyai sanad sampai kepada Imam Busyiri, mengulangi bait “maula ya solli wa sallim”, berwudhu’, menghadap kiblat, memahami makna bait-bait, dibaca dengan himmah (penghayatan) yang mendalam, beradab dan memakai wangian.

Khusus tentang memakai wangian ini, Habib Salim mengatakan, “Tidak seperti orang sekarang, membaca Burdah namun badannya bau rokok. Padahal salaf telah sepakat untuk mengharamkan rokok.”

Di akhir ceramah beliau, Habib Salim menyampaikan bahawa jika seseorang tidak berjalan di thariqah salaf maka dikhawatirkan tiga hal. Pertama, umurnya pendek. Kedua, hidup dalam keadaan bingung/akalnya gila. Ketiga, tak akan dihargai masyarakat.
(Disampaikan di Majlis Burdah Habib Syekh Al-Aydrus Jl. Ketapang Kecil Surabaya).

Tambahan : Burdah adalah amalan yang dikembarkan bersama dalam ijazah kebanyakan tarekah. Ini kerana besarnya manfaat yang diperolehi para pengamalnya kepada rohaniah mereka. Ia sebagai wasilah dalam  membuka  hijab-hijab dan ketajaman pandangan rohaniah para salik yang menuju kepada kasyaf makrifat melalui pintu nur kecintaan pada Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam.
__________
[1] Kitab Hashiah Baijuri 'ala Syarhi Burdah
[2] Juga diberi gelaran "Sayyidul Muddah" iaitu Penghulu para pemuji Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam. Nama penuh beliau, Muhammad bin Said bin Hamad al-Shonhaji al-Bushiri. Lahir di Bahtim, Mesir pada 608H (1212M). Berasal dari keturunan keturunan Maghribi. Beliau ialah murid kepada Shaikh Abu Hasan ash-Shadhili.Wafat di Iskandariyah Mesir pada 696H (1296M).
[3] Sekadar perbahasan dalam Ilmu Nahu.