Khamis, Disember 16, 2010

Hakikat Diri dan "Kelahiran Semula" - 1/2

Bersabda Nabi Isa (a.s) :
“Manusia tidak akan boleh masuk ke alam (malakutnya) langit, kecuali telah dilahirkan dua kali seperti burung.” (Kitab Sirrul Asrar Syaikh Abdul Qadir al-Jailani)

Burung dilahirkan dua kali, pertama keluar telur dari ibunya, kedua menetas ia dari telurnya. Beberapa aliran dari agama lain seperti Buddha atau Hindu mempercayai kelahiran kedua yang dinamakan “inkarnasi”. Fahaman ini amat tua dan hanya berdasarkan lingkungan alam dunia yang sempit.

Fahaman inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam surah At-Jathiyah ayat 24-26 :
“Mereka berkata kehidupan ini tidak ada selain kehidupan kita didunia ini sahaja, disinilah kita mati dan disinilah kita hidup. Tidak ada yang merosakkan kita ini kecuali masa. Tetapi sebenarnya mereka tiadalah pengetahuan tentang yang ghaib melainkan hanyalah sangka-sangkaan sahaja. Apabila dibacakan kepada mereka keterangan-keterangan kami yang jelas, mereka tiada bantahan kecuali mereka hanya berkata, ‘Datangkan kehidupan kembali bapa-bapa kita, jika apa yang kamu katakan itu benar.’ Katakanlah Allah itulah yang menghidupkan kamu semua, kemudian mematikan kamu semua pula, akhirnya kamu semua dikumpulkan pada hari Qiamat. Hal ini tidak perlu diragukan lagi tetapi ramai manusia memang tidak mengetahuinya.”

Dalam Islam ia dipanggil tanasukh. Ada juga aliran dari Syiah yang menerimanya sebagai pegangan. Namun mereka percaya berlakunya tanasukh hanya pada Imam-Imam Duabelas sahaja, bukan pada semua manusia.

Kepercayaan perpindahan ruh ke dalam badan manusia yang lain atau dalam badan haiwan mengikut amalan mereka di dunia dahulu adalah menyalahi sifat ruh sendiri. Ini disebabkan Qalbi mereka tidak tersingkap untuk melihat ruh di alam Jabarut dan alam Lahut walaupun mereka melakukan meditasi berpuluh-puluh tahun. Dunia ini amat kecil sahaja jika dibandingkan dengan beberapa alam yang terdinding dari pandangan manusia. Namun syaitan atau jin amat bijak dalam menyesatkan manusia.

Kadangkala jin yang bersama tuannya dahulu ketika hidup menyusup masuk ke dalam badan manusia seperti kanak-kanak untuk membuktikan bahawa ruh hidup kembali dalam badan yang lain adalah benar. Ini juga yang berlaku pada kaum Nabi Musa (a.s) apabila syaitan menyusup ke dalam patung lembu dan berkata-kata sehingga ramai pengikut Nabi Musa percaya bahawa itu adalah jelmaan Allah. Mereka melihat ia adalah nyata, sedangkan Tuhan yang disebut oleh Nabi Musa (a.s) tidak dapat dilihat.

Begitu juga tersesatnya kaum Quraisy dengan patung Latta dan Uzza, kerana kedua-dua patung tersebut boleh berbicara. Apabila Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam menyuruh Khalid al-Walid a.s menghancurkannya, Saidina Khalid melihat syaitan wanita berterbangan lari dari patung tersebut. Begitu juga apabila berlakunya patung menangis atau ruh simati hidup kembali. Segala itu adalah jelmaan syaitan atau jin kerana ruh yang telah keluar dari alam ini tidak kembali ke sini lagi. Ruh yang baik akan ke ‘Illiyin dan ruh yang jahat akan ke Sijjin. Ia adalah alam ruh bukannya alam nyata.

Untuk melihat alam ruh yang tidak dipermainkan syaitan, manusia perlu menyingkap Qalbinya berdasarkan kaedah-kaedah yang diambil dari Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam. Segala pintu alam langit, alam rahsia tertutup ketika lahirnya Nabi Muhamad sallaLlahu ‘alaihi wassalam. Mereka tidak dapat menembusinya melainkan dengan jalan Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam. Nabi telah membukanya kembali pada malam Israk dan Mikraj, sesiapa yang mahu pergi ke langit perlu melalui pintunya. Nabi adalah pemegang rahsia langit, rahsia alam ghaib, rahsia alam keTuhanan. Tiada ruh yang boleh terbang ke alam keTuhanan melainkan dengan izinnya, dengan mengikuti ajaran dan mencintainya.

Kerana itulah Saidina Umar al-Khattab menangis apabila melihat seorang rahib yang tekun bermeditasi di dalam lubang yang kecil sehingga Umar mengatakan : “Aku menangis kerana ketekunan kamu untuk mencapai Tuhan, sedangkan pintunya tidak engkau lalui iaitu Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam”. Mereka tidak akan mencapainya melainkan dimainkan oleh khayalan dan syaitan.

Berlakunya pembukaan yang ghaib seperti melihat ruh, melihat Tuhan adalah sebenarnya masih di alam ini lagi. Para ahli sufi termasuk Syaikh Abdul Qadir al-Jailani juga mengalami peristiwa terbuka rahsia keTuhanan ketika khalwatnya, namun dengan rahmat Allah ia selamat dari tipu dayanya. Dalam pembukaan ini, ramai para ahli sufi terkeliru sehingga menyangka mereka telah mencapainya. Ini kerana ia berlaku dalam bentuk yang begitu hebat dan tersilau segala rohani kala menatapnya. Ia datang dengan beberapa kalimat pengajaran, namun hakikatnya tersembunyi tipu daya yang halus.

Justeru itu manusia memerlukan Nabi yang memiliki kelebihan ruhnya yang berkemampuan melihat dan menerima wahyu. Nabi mengesahkan apa yang tersingkap pada Qalbi para sahabat adalah benar-benar Tuhan. Ilmu penyaksian yang haq atau tersingkap Qalbi secara haq terhadap alam keTuhanan ini diturunkan kepada beberapa orang sahabat. Sahabat mengajar pula kepada beberapa orang para tabi’i, para tabi’i mengajar pula kepada beberapa orang di kalangan tabi’i-tabi’i dan seterusnya sehingga sampai ilmu itu pada hari ini kepada orang yang tertentu pula. Justeru itu, pembukaan mereka yang tidak melalui jalan kenabian hanyalah sekitar di alam dunia ini dan alam mithal, iaitu alam ghaib yang masih tidak terkeluar daripada kongkongan alam jasad.

Manusia itu perlu dilahirkan kali kedua. Bayi jasad lahir dari gabungan dua nutfah iaitu lelaki dan perempuan. Bayi maknawi lahir gabungan dari ilmu zahir dan batin. Amal zahir ialah ibadah syariat dan amal batin ialah ikhlas. Ruh Al-Qudsi yang datang dari alam Lahut telah dikandung dalam Qalbi manusia. Ia telah terkurung dalam kegelapan. Apabila manusia beramal soleh dan meninggalkan segala kejahatan, zikir lisan berpindah kepada zikir hati dan zikir hati berpindah ke dalam lidah hati. Ketika itu Ruh Al-Qudsi akan lahir kembali dari Qalbinya dalam bentuk permulaan dan dinamakan Bayi Maknawi “Tiflul Maani”.

Pada peringkat ini, jiwa seseorang itu cenderung melakukan kebaikan, amat menyesal apabila melakukan kejahatan. Inilah kebanyakan peringkat jiwa yang ada pada manusia yang bermujahadah terhadap sifat jahat dalam diri mereka walaupun dari pelbagai agama. Sebagaimana bayi jasad yang membesar dengan keperluan makanan, minuman dan penjagaan, begitu jugalah dengan bayi maknawi.

Seseorang itu janganlah hanya berpuashati dengan keadaan bayi maknawinya. Ia perlu dibesarkan sehingga melalui beberapa kelahiran kembali (peringkat) sehingga akhirnya ia kembali kepada asal keadaannya di alam Lahut. Mereka perlu memberi makanan, minuman dan didikan kepada bayi maknawi itu kerana ianya mengandungi pelbagai rahsia. Justeru itu, guru yang sebenar ada dalam diri manusia sendiri, ia adalah hakikat kehidupan, ia adalah pemegang ilmu rahsia alam ghaib.

Dengan penjagaan dan didikan yang betul, bayi maknawi ini akan melewati dari alam bayi kepada kanak-kanak (alam Malakut) kemudian berpindah ke alam remaja (alam Jabarut) dan dari remaja menjadi seorang dewasa yang matang (alam Lahut). Ketika itu Ruh Al-Qudsi telah sempurna kembali kepada hakikatnya. Ia kembali makrifat pada Allah SWT dengan pandangan yang haq. Ia tidak lagi menjadi tua dan tiada mati.

Pernah satu ketika Rasullullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam bersabda pada seorang wanita tua “Tiada orang tua sepertimu di dalam syurga”, wanita tua itu begitu sedih hati apabila mendengar sabda baginda sallaLlahu ‘alaihi wassalam, kemudian Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam bersabda lagi “Usah bersedih, maksudku ialah di syurga nanti tiada orang tua sepertimu kerana orang tua sepertimu akan menjadi muda belaka”.

Bersambung...