Ahad, Februari 27, 2011

Memartabat Manhaj Ulama Alam Melayu

Bicara mengenai Keilmuan dan Pentarbiyyahan Ad-Din berteraskan Manhaj Ulama Alam Melayu yang menggabungkan tradisi dan moden...
"Kita mungkin berlainan wadah, jemaah, negara, negeri, daerah, bangsa, pemikiran... namun perbezaan boleh kita satukan dalam komiti yang menyatukan jiwa, rasa, fikrah, perjuangan di atas Manhaj Ad-Din, kecintaan ilmu dan amalan Ulama Alam Melayu, berpegang teguh dengan manhaj ASWJ, menyelami rahsia-rahsia tasawwuf, menghidupkan mahabbah Rasul dan kebijaksanaan dalam pemodenan dunia.

Kita bergerak menggabungkan methodologi tradisi dan moden. Kita mengambil sikap tiada menjawab segala kritikan dan celaan, bahkan kepada mereka kita katakan 'Salaman'."
وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنً۬ا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَـٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَـٰمً۬ا 
Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini . (al-Furqan: 63)

Persembahan Qasidah ‘Live’ di MHI, TV3 oleh Anak-Anak Ribath


Pada 15 Februari 2011, anak-anak Ribath Syeikh Ibrahim Al-Qurani telah dijemput untuk membuat persembahan qasidah dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI), TV3, bersempena sambutan Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم. Jemputan untuk persembahan qasidah kali ini adalah susulan daripada persembahan anak-anak ribath sebelum ini di Masjid As-Salam, Puchong Perdana, dalam satu majlis berkhatan anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jawatankuasa Masjid As-Salam, yang mana majlis tersebut turut mendapat liputan dalam MHI, TV3. 

Pada persembahan kali ini, anak-anak ribath diberi sebanyak 3 slot persembahan qasidah, iaitu di awal, pertengahan dan di akhir rancangan. Pada awal persembahan dimulakan dengan alunan Qasidah Burdah karangan Al-Imam Al-Busyiri, di pertengahan qasidah “Wahai Purnama”, dan penutupnya dengan lagu “Sidnan Nabi” dalam versi Bahasa Melayu. Persembahan anak-anak ribath ini, adalah persembahan iringan dalam slot-slot MHI sempena sambutan Maulidur Rasul.

Antara slot-slot yang turut serta semasa siaran MHI pada hari tersebut, adalah slot Ustaz Wan Sohor Bani Leman, yang mengupas tentang sambutan Maulidur Rasul dan daripada wakil Muzium Kesenian Islam berkenaan pameran khazanah-khazanah sains Islam.

Di akhir siaran MHI tersebut, sebelum mengalunkan qasidah, anak-anak ribath ini telah di wawancara oleh pengacara MHI iaitu Ally Iskandar dan M. Zul. Semasa diwawancara anak-anak ribath diwakili oleh Ustaz Zulhazmi Fitri Bin Abdul Razak. Antara soalan yang ditanya adalah berkenaan pendidikan ribath yang  berteraskan atas menghidupkan cinta  kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan pengamalan qasidah antara amalan yang dipraktikkan. 

Beberapa orang anak qasidah turut di wawancara iaitu adik Haziq Bin Shamsuddin dan adik Wan Aiman Irfan bin Wan Ahmad Kamal. Mereka ditanya perasaan mereka belajar di ribath dan cita-cita mereka pada masa akan datang.





 Oleh : Faiz

* Banyak lagi gambar-gambar sambutan Maulidur Rasul akan dimuat naik selepas ini, insya Allah.

Semarak Cinta Rasul - Benteng Serangan Dajjal



Kita kini masih berada dalam bulan Rabi’ul Awwal, bulan kelahiran Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Di Terengganu, bagaikan berlaku satu fenomena baru apabila majlis Maulidur Rasul disambut  meriah di pelusuk tempat.

Anak-anak ribath, baik daripada Ribath Syaikh Abdul Malik (Pulau Manis, K. Terengganu), Ribath Syaikh Abdul Rauf Singkel (Kg Melintang, K. Terengganu, Ribath Syaikh Ahmad al-Qusyasyi (Kg Pulau Serai, Dungun), Ribath Tahfiz Syaikh Ahmad Asy-Syinnawi (Ketengah Jaya, Dungun), Ribath al-Hidayah al-Ghazaliyah (Batu Buruk, K. Terengganu) tidak putus-putus menerima jemputan membaca qasidah di merata-rata tempat.

Manakala Ribath Syaikh Ibrahim Al-Kurani di Hulu Langat, Selangor telah dijemput pihak TV3 untuk membuat persembahan dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, Bangsar pada Selasa 5/2 bersamaan 12 Rabi’ul Awwal sempena Maulidur Rasul 1432H baru-baru ini. Mereka membuat persembahan qasidah dalam 3 slot dan disiarkan secara langsung oleh TV3.

Saya mencadangkan semua muhibbin yang berkemampuan agar mengadakan majlis maulud di rumah masing-masing, mengambil konsep rumah terbuka dengan menjemput sanak saudara, para jiran, rakan taulan dan masyarakat umum. Isikan dengan bacaan berzanji, qasidah atau Dalailul Khairat disamping menyediakan jamuan untuk mereka. Konsep rumah terbuka ini tidak perlu kepada ceramah, hanya sekadar membahagikan risalah yang mengajak mereka mencintai dan mensyukuri detik kelahiran Rasulullah لى الله عليه وآله وسلم.

Alhamdulillah, walaupun dibuat kecil-kecilan tetapi ia tumbuh bagaikan cendawan di mana-mana. Tujuan kita mengajak manusia kembali mengingati kelahiran Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم adalah agar umat Islam ini terus mengingati Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, terus mencintai Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, terus mencintai ajaran Baginda لى الله عليه وآله وسلم yakni Islam, terus mengingati perjuangan Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan para sahabat ra. Hal ini jangan dihilangkan dan wajib dipertahankan, apalagi kita hidup dalam zaman yang dikuasai Dajjal, yang saban hari mahu memutuskan pertalian jiwa umat ini dengan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم

KONSPIRASI DAJJAL MAHU MEMBUNUH “MUHAMMAD AKHIR ZAMAN”

Serangan Barat terhadap Islam dengan pelbagai fitnah adalah serangan langsung kepada pembawa risalah Islam itu, yakni Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Bagi sesiapa yang mengenali akhlak dan peribadi Baginda saw yang suci, nescaya segala tohmahan tersebut amat melukakan hati.

Musuh Islam mahu menghapuskan kecintaan umat pada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, mereka mahu menghapuskan nama Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم pada dunia moden ini. Gerakan Dajjal mengetahui bahawa tiada yang boleh menghalang mereka untuk menguasai dunia ini melainkan pengikut Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم.

Saya tertarik dengan satu tulisan di blog Ibnu Yaakob yang mengatakan bahawa serangan yang dilakukan pada Iraq dan Afghanistan bukan atas alasan minyak semata-mata atau mencari kekayaan. Ini kerana mereka sudah memiliki kekayaan, tapi yang sebenarnya ialah untuk mencari pengganti Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم iaitu Imam al-Mahdi yang amat diyakini berada di negara tersebut. Sebab itulah banyak serangan tertumpu pada wanita dan kanak-kanak atau orang awam yang disyaki mempunyai pertalian dengan Imam Al-Mahdi.

Para pelampau Yahudi tidak akan berputus asa. Walaupun dalam kitab mereka sudah menyatakan akan lahirnya Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم,Nabi akhir zaman, tetapi mereka akan pastikan Muhammad akhir zaman adalah daripada keturunan mereka dan membantu mereka menguasai dunia.

Justeru itu mereka telah menghantar pasukan pengintip di segenap penjuru untuk mencari kanak-kanak yang memiliki ciri-ciri nabi akhir zaman. Jika bukan di kalangan mereka, ia hendaklah dibunuh. 

Sejarah mencatatkan bagaimana Buhaira, seorang pendeta Yahudi yang apabila melihat Nabi Saw ketika mengikuti Abu Talib dalam rombongan perniagaan ke Syam, beliau menyarankan agar Abu Talib membawa Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang masih kanak-kanak itu kembali ke Mekah, kerana dibimbangi akan dibunuh oleh agen Yahudi apabila menemuinya.

Kalaulah di zaman yang tiada teknologi pun mereka sudah mampu memiliki fakta-fakta bentuk gambaran Nabi ketika kecil untuk diberi pada agen Yahudi untuk membunuhnya, apatah lagi di zaman ini. Mereka tahu segalanya telah disusun atur oleh Allah tetapi mereka tetap berani mahu menentang aturan Allah. Kini mereka tidak mahu tersilap melepaskan al-Mahdi sedari zaman kanak-kanak lagi, dibimbangi berulang kembali kealpaan mereka dahulu yang membiarkan Muhammad saw membesar sehingga akhirnya memusnahkan mereka.

Walaupun di kalangan umat Islam berlakunya pelbagai aliran kepercayaan terhadap kelahiran Imam al-Mahdi, tetapi bagi Zionis, ia adalah pasti. Ini dapat dilihat melalui pembongkaran penulisan dan perbincangan mereka terhadap al-Mahdi.

MISTERI KERJASAMA YAHUDI DAN NASRANI

Yahudi dan Nasrani pada sejarahnya bermusuhan sesama mereka. Amat mustahil untuk mereka bergabung disebabkan tiada titik pertemuan dalam ajaran kedua agamanya. Justeru apabila mereka bergabung kini, ia suatu misteri yang mesti dikaji.

Berbanding Islam, ia agama yang mempunyai titik pertemuan dengan kedua ajaran tersebut dengan memuliakan Nabi Isa a.s dan menyucikan ibunya, Siti Maryam. Bahkan Islam amat bertoleransi dengan menganjurkan hubungan yang baik dengan kaum Yahudi dan Nasrani, sehingga boleh memakan sembelihan mereka dan berkahwin dengan perempuan di kalangan Ahli Kitab.

Semua perintah tersebut terpakai selagi Yahudi dan Nasrani tidak bersama menjadi kawan sesama mereka. Namun apabila berlaku sebaliknya, Allah memerintahkan umat Islam menjauhi kaum tersebut sebagaimana firmanNya :

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَہُودَ وَٱلنَّصَـٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَ‌ۘ بَعۡضُہُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٍ۬‌ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُ ۥ مِنۡہُمۡ‌ۗ

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya dia adalah dari golongan mereka itu." (Al-Maidah : 51)
Ini disebabkan penggabungan Yahudi dan Nasrani sebenarnya adalah membentuk satu agama baru yang sebenarnya menjalankan ritual penyembahan kepada IBLIS atau di istilahkan sebagai LUCIFER. Mereka bukan penganut agama Ahli Kitab lagi, bahkan agama ajaran Dajjal yang telah berjaya mempengaruhi para penganut kedua-dua ajaran samawi tersebut melalui tipudaya para PENDITA JAHAT agar meninggalkan agama mereka sejak sekian lama; lalu menyembah dirinya dan syaitan. Mereka ini asal punca keturunan yang memang memusuhi Allah SWT. Contohnya keturunan elit istana dari zaman purba Mesir (Firaun) mengalir dalam darah keturunan kedudukan Diraja di Eropah hari ini. Jika anda tidak tahu, upacara pertabalan Queen of England yang diamalkan hari ini sebenarnya adalah lebih kurang sama seperti upacara pertabalan Firaun sejak beribu tahun dahulu di Mesir. Ia berkaitan alat-alat kebesaran yang digunakan, juga simbol-simbol Yahudi yang digunakan dalam upacara pertabalan dan ritual-ritual satanis ‘kecil’ yang diamalkan semasa pertabalan.

Jelas mengapa penyembah Iblis ini memusuhi Islam. Ia kerana mereka mahu menggulingkan akidah tauhid dan menguasai umat serta negara Islam secara 100 peratus. Agama-agama lain di dunia pula sudah berjaya disesatkan secret society penyembah syaitan sejak zaman tamadun awal lagi. Agama Nasrani berjaya disesatkan konsep ketuhanannya dengan dimasukkan elemen Triniti (Tuhan Bapa-Anak, Tuhan-Roh Kudus) dengan perantaraan konco bernama Paulus yang kini dikenali sebagai tokoh penyebar agama itu. Agama Yahudi Judaism pula berjaya diselewengkan dengan memecahkan bangsa itu dan memusnahkan teks Kalam Allah (Taurat, Zabur) melalui penjajahan dan perhambaan di Babylon, Assyria, Rom dan Greek sehingga bangsa itu hilang identiti Hebrew.
Kedatangan Islam untuk menyampaikan Quran bagi menyempurnakan kitab-kitab yang dimusnahkan dicemari penulisannya itu menimbulkan kebimbangan di kalangan golongan syaitan bertopeng manusia ini (Kultus Syaitan), kerana Islam akan membawa manusia kembali mengenal Tuhan yang wajib disembah. Agama-agama lain (bukan daripada perintah Allah) terutama polytheistic yang menyembah banyak dewa dan patung pula tidak diganggu oleh Illuminati kerana langsung tidak mengancam perancangan mereka.
Penyembah Allah dan Pendukung setia ajaran Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم yang mulia (para ulama’, para auliya’) kini di hujani pelbagai fitnah dan serangan istilah; Mereka dituduh sebagai pengganas, taksub, fundamentalis, pelampau agama, terroris, bapa bid’ah dan sebagainya. Ia adalah kesan ancaman fitnah pengikut Dajjal (pengikut  syaitan) seperti yang pernah dipesan oleh Nabi kita yang mulia Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم lebih 1400 tahun lalu. Islam yang merupakan satu-satunya agama Allah yang masih mendokong Tauhid terus ditentang habis-habisan dan cuba disesatkan, di bida’ahkan sebagaimana ajaran-ajaran Tauhid terdahulu.
Hari ini, penyembah syaitan ini sudah hampir kepada perancangan terakhir mereka. Pendukung aliran Zionis berusaha melepaskan semula Dajjal yang bermata satu atau Dewa Horus (Dewa Mesir Purba) atau One-Eyed Sun God. Bukti perancangan dan agenda mereka berada di sekeliling kita tanpa semua di kalangan kita sedar.
Golongan Zionis (pengikut Dajjal) ini dibenci oleh Ahli Kitab Yahudi (Orthodoks) dan Nasrani yang benar, tetapi golongan syaitan ini pandai berselindung di sebalik wajah agama Yahudi dan Nasrani sehingga masyarakat dunia tertipu. Yahudi Ortodox tidak pernah bersetuju dengan gagasan Zionis (rujuk Protokol Zionis) dan lebih menghargai keamanan. Yahudi Ortodox ini juga pernah disampaikan dakyah Zionis bagi merealisasikan negara Yahudi Israel melalui agenda Nazi namun mereka menolak dan kesannya, mereka dibunuh (Peristiwa Holocust). Mereka dibunuh bahkan diperalatkan untuk mengaburi serta mendapat simpati dunia agar merestui penubuhan negara Israel yang wujud hari ini. Manakala Yahudi yang berfahaman Zionis dan Mason pula dibenarkan hidup untuk merealisasikan penubuhan Israel. 

Di mana Yahudi Ortodox ini tinggal hari ini? Mereka tidak tinggal di Israel tetapi berada di Amerika dan Eropah. Mereka hidup dalam kelompok tersendiri dan menyisihkan diri daripada kemajuan yang dikecapi dunia hari ini. Mereka sama seperti golongan Amish (Penganut Kristian Tradisional- terpinggir). Tetapi tidak bermakna mereka tidak terlibat langsung dalam agenda Illuminati, mereka dilibatkan sama dan kita umat Islam juga turut dilibatkan sama tanpa kita sedari.

Kita berada di zaman yang berhadapan dengan serangan ‘Syaitan Besar’ iaitu Dajjal. Rasulullah saw banyak mengingatkan kita akan Dajjal ini. Segala tokoh dan negara yang berpengaruh tunduk padanya kerana ia menjanjikan kekuasaan dan kekayaan.

Amerika, Britain dan sekutunya kini dibawah panji-panji Dajjal untuk menguasai dunia. Seluruh manusia yang mencintai dunia, akan berada dibawah telunjuknya dan menyembahnya tanpa perlu menukar agama. Orang Islam, Kristian, Yahudi tetap dengan agama masing-masing, tetapi hati dan fikiran mereka menyembahnya kerana ia mampu memberi kekayaan, kehebatan, pengaruh dan kekuasaan. 

BERSATU SEMARAKKAN PERJUANGAN CINTA RASULULLAH صلى الله عليه وآله وسلم

Segala keimanan yang berada dalam jiwa umat Islam ditarik perlahan-lahan dengan silaun kebendaan dan kecanggihan teknologi yang hebat. Jiwa ini perlu dipertahan dengan diikat sekuatnya dengan kecintaan pada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.

Jiwa yang hidup dengan cinta pada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم akan membuatkan seseorang itu teguh keyakinan pada ajaran Baginda berkaitan dengan keTuhanan, ibadah, syariat, alam barzakh, alam Mahsyar, neraka dan syurga.

Jangan kita menyusun majlis Maulidur Rasul sekadar untuk mengingati Baginda, صلى الله عليه وآله وسلم berarak dan makan minum, tetapi lebih jauh lagi adalah untuk merapatkan kembali saff Islam dalam mempertahankan diri daripada kehancuran akidah yang begitu hebat serangannya. 

Kita wajib bangun di atas kesatuan hati yang mencintai Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, dengan mengamalkan ajaran Baginda صلى الله عليه وآله وسلم dan menyakini bahawa tiada jalan lain mencapai kejayaan dunia dan akhirat melainkan jalan yang ditunjuki Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, tiada jalan lain untuk menjadi mulia dan tiada hina di dunia dan akhirat melainkan jalan yang ditunjuk Baginda صلى الله عليه وآله وسلم, tiada jalan lain untuk mencapai cinta Allah melainkan dengan mengikuti Baginda صلى الله عليه وآله وسلم. Baginda صلى الله عليه وآله وسلم adalah Nur yang didatangkan kepada seluruh manusia di alam yang penuh kegelapan ini. Sesiapa yang berpaling daripada Nur ini, mereka akan teraba-teraba dalam kegelapan dan mereka akan menjadi habuan syaitan dan Dajjal untuk meratah daging, hati dan tulang serta menjadi teman mereka dalam Neraka nanti.

Semoga diharap pada pembaca blog ini, akan sentiasa menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul di rumah, di pejabat, melalui wadah masing-masing, di kampung  masing-masing dan sebagainya demi untuk sebuah cinta, demi untuk menjaga akidah diri, keluarga serta masyarakat. 

Sambutan Maulidur Rasul adalah amalan yang amat ditekankan  seluruh Ulama tradisi Alam Melayu di nusantara ini. Jangan biarkan amalan ini mati, ini adalah dakwah kebijaksanaan Ulama Alam Melayu dalam mempertahankan akidah dan ajaran Islam dengan penuh hikmah dan menepati jiwa orang Melayu.

Marilah kita bersatu hati, satu rasa, satu fikrah, satu aspirasi dalam menghidupkan cinta pada Baginda صلى الله عليه وآله وسلم serta mencintai segala ilmu dan amalan Ulama Alam Melayu yang alim, soleh dan amat bijaksana.

Jumaat, Februari 25, 2011

Majlis Sambutan Maulidur Rasul صلى الله عليه وسلم di Ribath Al-Hidayah Al-Ghazaliyyah

Majlis Maulidur Rasul صلى الله عليه وسلم 1432H akan diadakan seperti berikut :

Tarikh :
22 Rabi'ul Awwal 1432H / 25 Februari 2011

Hari  :
Jumaat malam Sabtu

Tempat :
Ribath Al-Hidayah Al-Ghazaliah
Lorong Hj Da, Batu Buruk
Kuala Terengganu

Masa / Tentatif :
Solat Isya' berjemaah.
Bacaan Qasidah/Burdah oleh pelajar Ribath Syeikh Abd Malik & Madrasah Darul Muhajirin (Bukit Jong)
Bacaan Maulid Diyaul Lami' oleh Pelajar Madrasah Al-Hidayah Al-Ghazaliyah
Tausiah oleh :
Tuan Guru Syed Suhaimi bin Syed Hassan (Mudir Darul Muhajirin) &

UStaz Mustaffa Kamal bin Hamzah (Mudir Ribath Al Hidayah Al Ghazaliyyah)

 * maaf jika ada perubahan atas maklumat segera ini.

Isnin, Februari 21, 2011

Khamis, Februari 17, 2011

Transkrip Doa Munajat Maulid di Zawiyah Syeikh Abd Malik

Intipati doa munajat yang dibacakan al faqir Walid pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul  صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم di Zawiyah Syeikh Abdul Malik, Pulau Manis pada 14 Feb. 2011(malam 12 Rabi’ul Awwal 1432H)

Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim…

Demi kemuliaan Rasul Mu صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم kami merintih memohon keampunan dari Mu dan makrifat pada Mu. Di depan pintu Mu yang mulia, dengan kemuliaan kekasih Mu, kami berdiri dengan kehinaan, merayu pada Mu agar dikurniakan kami sekeping hati yang mencintai Mu, yang mencintai Rasul Mu, dengan mencapai hakikat cinta, hancur lebur jiwa ini pada kekasih Mu, fana diri ini dalam ketauhidan pada Mu.
Kurnialah kecintaan yang meleburkan nafsu ammarahku, kecintaan yang membuatku ibadah, kecintaan yang menggoncangkan kerinduan, sehingga tiada yang kami pandang pada alam ini melainkan segalanya adalah wajah Mu, Af’al Mu, Asma’ Mu dan Sifat Mu.
Demi Rasul Mu Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم yang terpuji, yang termulia di antara makhluk Mu, yang paling tercinta di sisi Mu, yang kerananya Engkau ciptakan bagi sekelian alam, kerana cintaMu padanya Engkau ciptakan Adam a.s… Sesungguhnya Engkau mengangkat kenabian sebelum ruh Adam a.s bersatu dengan jasadnya, yang dengannya Engkau merahmati sekelian alam, dan Nur al-Haq ini Engkau telah datangkan bagi segala urusan, menyatakan kerasulannya sebagai cahaya sekalian manusia, Bagindalah Nabi pintu bagi segala ‘Arifbillah, pemegang bagi lautan tajalli asrar-asrar yang indah.
Dari lautan ini ya Allah, kami mohon agar menitis pada hati-hati kami yang kering ini, yang kering dengan cinta, kering dengan kerinduan, kering dengan ketakutan, kering dengan keikhlasan, kering dengan makrifat… maka Kau basahkan hati kami ini dengan cinta ya Allah, dengan rindu, dengan ketaqwaan, kefakiran, keikhlasan, hakikat, makrifat, redha, sabar, tawakal, zuhud, merasai kehampiran Mu, kemanisan ibadah dan kemanisan persaudaraan.
Ya Allah ya Rahman ya Rahim…
Betapa hidup ini kami lalui dari alam nur menuju kegelapan alam rahim ibu, kemudian berada dalam alam tipu daya ini. Tanpa kasih Mu, tanpa kasih Rasul Mu maka butalah kami di sini ya Allah, butalah kami di sini, butalah kami di sini ya Allah! Binasalah kami di sini.
Kami mengejar dunia, akhirat kami tinggalkan. Menghadap wajah makhluk Mu, wajah Rasul Mu kamu palingkan. Betapa ramai yang hidup tanpa ada hidayah, mereka yang diberi hidayah, sedikit yang istiqamah. Berapa ramai yang ada iman, tapi terlalai dengan ibadah, yang ibadah pula sedikit yang ikhlas, yang ikhlas pula ramai tertipu dengan keikhlasannya.
Ya Allah ya Tuhan kami,
Tolonglah kami yang lemah ini, yang tiada berdaya ini ya Allah… Kami berada di zaman fitnah Dajjal, zaman yang merenggut setiap iman dalam dada kami, zaman yang menjadikan ulama penyembah dunia, zaman yang penuh dengan dusta, zaman golongan muda mencela ulama yang haq, zaman mencela ilmu, para ulama dan auliya, zaman yang benar dikatakan batil, yang batil dikatakan benar, zaman yang mencabut rasa malu di kalangan wanita, zaman yang tiada menghiraukan hari pengadilan, zaman para artis disanjung dan orang soleh dihina, zaman yang memecahkan persaudaraan Islam.
Ya Allah ya Rahman ya Rahim…
Ya Allah, dengan keberkatan hari kelahiran Rasul Mu dan permata hati kami, kami mohon agar Engkau peliharakan diri kami, kaum keluarga kami, para sahabat, saudara, jiran, masyarakat kami, sekelian muslimin dan muslimat daripada kerosakan zaman ini.
Hidupkan jiwa ini dengan mahabbah kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, mencintai sunnahnya, mencintai ahli kelurga dan para sahabat Baginda. Hilangkanlah dari hati kami segala kesombongan, kebencian, kemarahan, tamak, riya dan ujub dan gantikn dengan sgala sifat yang engkau cintai.
Kurniakanlah kami ya Allah, kemanisan dalam munajat kepada Mu, kerinduan pada Rasul Mu, bersyukur atas kewujudan Baginda di setiap nafas kami, air mata yang mengalir kerana cinta ya Allah, kemabukan dalam keasyikan fana di dalam ketauhidan pada Mu.
Ya Allah ya Lathif ya Ghaffar…
Dengan Nur Baginda صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, Engkau pancarkan cahaya ketauhidan sehingga tiada dapat kami pandang yang lain melainkan diri Mu yang zahir dan batin, yang awal dan akhir, dan jadikan jiwa kami hanya muraqabah pada Keesaan Mu… “Dan Dia (Allah) bersama kamu di aman kamu berada”, hanya engkau ya Allah… HuwaLlah.. HuwaLlah.. HuwaLlah!
Ya Allah,
Jadikan diri kami ya Allah, dengan Nur Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, merasakan diri Mu sentiasa bersama kami dimana kami berada, dalam setiap penglihatan, pendengaran, percakapan, nafas, dalam pengetahuan, dalam kehendak, dalam gerak dan diam kami. Tenggelam kami dalam kekuasaan dan kebesaran Mu. Hancurlah kami dalam kebesaran Mu ya Allah, yang ada hanya diri Mu ya Allah… “Apabila datang yang Haq, maka akan hancurlah yang batil”.. Ahad, Ahad, Ahad! Hanya Engkau ya Allah, yang Satu ya Allah!
Ya Allah ya Qudus,
Dengan Nur Muhammad صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم, yang sentiasa memimpin kami, bukalah pada kami sehingga dapat bermusyahadah dengan Mu di alam nur yang hakiki, terbukanya tabir alam Lahut, alam asal kejadian kami, alam asal perjanjian kami, alam asal dimana engkau berkhitob “Alastu birabbikum… adakah Aku Tuhan kamu?”, maka kami menjawab “Balaa.. Bala… Benar ya Allah, kami bersaksi…” dengan Nur Nabi Mu yang begitu indah cahayanya.
Kami mohon agar tercabutnya kegelapan hati kami ini, yang membutakan mata kami, memekakkan telinga kami dan sekelian anggota kami… gantilah ia dengan nur yang indah, agar dengannya mata, telinga, seluruh anggota badan kami ini dapat makrifat pada Mu, merasai kehampiran dengan Mu.
Masukkan kami yang berada dalam majlis ini ya Allah, kaum keluarga kami, dalam cahaya Nabi Mu ya Allah, dengan Engkau beri kelapangan bagi mereka yang dalam kesempitan, Engkau kurniakan rezeki yang berkat pada mereka yang kesusahan, Engkau selesaikan segala hutang-hutang mereka yang berhutang, merapatkan hati yang bercerai berai, Engkau limpahkan kasih sayang pada hati-hati yang benci membenci.
Ya Allah, Engkau jadikan anak-anak kuat agamanya dan taat pada ibu bapanya, Engkau jadikan ibu bapa dihidayahkan iman dan dipenuhkan dengan kasih sayang, Kau peliharakan mereka dari segala bahaya dan kejahatan sama ada dari kalangan jin atau manusia.
Ya Allah, Engkau kurniakanlah kesihatan, keberkatan kepada sekelian Guru kami, para ulama, para solehin, pada daie dan seluruh pencinta Rasulullah صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم.
Ya Allah…
Berilah kemaafan kepada mereka yang mencela kami, yang memfitnah akan kami. Satukanlah ummah ini, Engkau peliharakanlah negara ini dari bala kehancuran agama, berilah hidayah pada pemimpin yang terlalai, pada ulama yang tertipu dengan ilmunya, para abid yang tertipu dengan ibadahnya.
Kepada Mu kami memohon dan kepada Mu kami berserah diri… 

Selasa, Februari 08, 2011

Iman Kepada Rasul Kunci Segala Rukun Iman

Bermula agama dengan wajib mengimani rukun Iman yang enam, iaitu :

1.    Beriman kepada Allah
2.    Beriman kepada Rasul
3.    Beriman kepada Malaikat
4.    Beriman kepada Kitab
5.    Beriman kepada Hari Akhirat
6.    Beriman kepada Qada’ dan Qadar

Syaikh Ahmad Al-Fathani[1] menyatakan bahawa  kunci utama keimanan pada rukun Iman adalah keimanan kepada Rasul[2]. Ini kerana Rasul adalah penghubung antara kita dengan Allah dan segala alam ghaib.

Akal manusia amat terbatas untuk mencari jawapan kepada semua persoalan dan misteri kehidupan. Akal hanya boleh mengetahui pada hukum zahir sahaja, malah sehingga kini pun, banyak rahsia alam yang zahir ini masih lagi tak dapat ditemui jawaban oleh para pemikir.

Mata melihat mayat di hadapan dan akal tiada dapat memberi jawaban apa misteri di sebalik mayat tersebut, bagaimana keadaannya selepas mati dan seterusnya ke mana ia akan pergi. Tanpa Rasul manusia akan bertuhan dengan khayalan akal sehingga timbul pelbagai ajaran yang disandar pada agama seperti adanya dewa-dewa di langit, inkarnasi (kelahiran semula) dan lainnya, sedangkan ia sama sekali jauh dengan hakikat agama.

Agama ialah pengetahuan yang disandarkan kepada Rasul dan kitab Allah yang diturunkan kepada mereka. Justeru itu manusia amat berhajat pada Rasul untuk memberi jawaban bagi segala persoalan akal. Maka jawaban kehidupan ini hanya dapat dihuraikan apabila adanya keimanan seorang itu kepada Rasul. Ini kerana pada Rasul, Allah memberi penglihatan dan pengetahuan tentang hakikat diri manusia, rahsia alam zahir dan alam ghaib.

Keimanan adalah kepercayaan yang ditasdiq pada hati tanpa ragu. Para sahabat memulakan keimanan mereka dengan beriman kepada Rasulullah sallaLlahu alaihi wassalam[3] melalui proses kajian dan penelitian siapa Muhammad sallaLlahu alaihi wassalam dari sudut akhlak, kehidupan, keluarga, tanda-tanda keNabian dan sebagainya sebelum mereka berbai’ah dengan dua kalimah syahadah.

Dengan keimanan pada Rasul tanpa ragu, membawa mereka mengimani segala rukun Iman yang lain dengan yakin. Akal mereka menolak seorang Rasul itu berdusta, tiada amanah, tiada bijaksana dan menyembunyikan ilmu.

Beriman kepada sifat wajib bagi Rasul disimpulkan kepada empat, iaitu:

1. Amanah - Kepercayaan
2. Siddiq - Benar
3. Fathanah- Bijaksana
4. Tabligh - Menyampaikan


NUR

Dalam al-Quran terdapat sebutan tentang “NUR”. Antaranya ayat :

 يَـٰٓأَهۡلَ ٱلۡڪِتَـٰبِ قَدۡ جَآءَڪُمۡ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمۡ ڪَثِيرً۬ا مِّمَّا ڪُنتُمۡ تُخۡفُونَ مِنَ ٱلۡڪِتَـٰبِ وَيَعۡفُواْ عَن ڪَثِيرٍ۬‌ۚ قَدۡ جَآءَڪُم مِّنَ ٱللَّهِ نُورٌ۬ وَڪِتَـٰبٌ۬ مُّبِينٌ۬ (١٥)

“Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul kami, menjelaskan kepadamu banyak dari isi al-Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan.” (al-Maidah : 15)

·         Dalam Tafsir al-Jalalain Imam al-Suyuti rahimahullah menyatakan makna nur itu ialah “Rasulullah salaLlahu ‘alaihi wassalam”.

·         Dalam Tafsir al-Qurtubi dinyatakan begini : “Telah datang kepada kamu Nur dari Allah, iaitu cahaya, dikatakan “Islam”, dan dikatakan : Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam dari al-Zajjaj. Dan “kitab” itu dikatakan al-Quran.

·         Dalam Tafsir al-Tabari disebutkan : “Telah datang kepada kamu wahai ahli Taurat dan Injil Nur dari Allah, yakni Nur itu Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam yang dengannya dicerahkan kebenaran, dizahirkan Islam dan dihapuskan kesyirikan.

·         Dalam Tafsir ibn Kathir tentang ayat ini dinyatakan : “Telah datang kepada kamu Nur dari Allah dan kitab yang nyata, Allah Taala memberi khabar berkenaan dengan diriNya sendiri bahawa Ia mengutuskan RasulNya Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam dengan bimbingan hidayat dan agama yang hak kepada semua ahli bumi.”

“Alam tanpa manusia adalah mati. Manusia tanpa ruh adalah mati. Ruh tanpa Rasul adalah mati.

Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam adalah sumber cahaya kerahmatan bagi sekelian alam. Tanpa Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam, ruh dan alam ini dalam kegelapan dari cahaya Allah. Baginda adalah penghubung antara alam ketuhanan dan alam manusia. Baginda adalah pintu bagi para perindu Ilahi. Memasuki pintu lain daripada Baginda adalah sesat. Cahaya kerahmatan Baginda tetap kekal merahmati alam walaupn jasad Baginda tiada lagi di bumi ini…

Maklumat tentang alam ruh tetap tersimpan pada ruh bagaikan cip komputer. Ia hanya dapat dibuka dengan kod mengucap dua kalimah syahadah, mentaati perintah dan ajaran Rasul. Apabila mereka menerima dengan ikhlas bahawa Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam adalah Nabi, maka nur kerahmatan akan melimpah dalam jiwa dan memimpin mereka kepada Allah.

Semakin bersih seorang itu dalam amalannya, maka semakin melimpah nur pada jiwanya. Kekuatan nur yang melimpah akan dapat membuka kembali cip maklumat alam ruh sehingga mereka akan terkasyaf kembali di alam ruh. Segala pandangan dan perjanjian di alam ruh dahulu akan terbuka, maka mengenal mereka akan hakikat diri, hakikat nur dan rahsia Ilahi secara kasyaf.

Sebaiknya untuk mencapai hakikat ini, perlukan bimbingan para mursyid yang benar. Jika sukar memiliki, banyakkan selawat dan benar dalam mengamalkan sunnah, insya Allah dengan keberkatan selawat, kita dapat pemeliharaan Allah daripada kesesatan.

من صلى علي صلاة واحدة صلى الله عليه بها عشراً
“Barang siapa yang berselawat padaku satu selawat sekali, nescaya Allah berselawat padanya 10 selawat.” (riwayat Muslim)

z

Selawat dan salam pada HabibuLlah Rasulullah sallaLlahu alaihi wassalam!

Banyakkan selawat atas Nabi wahai saudaraku, cintai sunnahnya… dengannya kamu akan memiliki cahaya yang membuka pintu ketauhidan Ihsan dan menanggalkan kekotoran syirik pada batinmu!
z

Petikan : Allah - Syariat dan Hakikat


[1] Nama sebenar Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain bin Wan Mustafa bin Wan Muhammad bin Wan Muhammad Zainal Abidin dilahirkan di Kampung Jambu, Negeri Jerim, Patani pada 10 April 1856 dengan nama  Syeikh Ahmad al-Fathani. Beliau disifatkan sebagai pemikir terbesar dunia Melayu dalam semua aspek merangkumi dunia dan akhirat. Kajian dan penyelidikan mendapati beliau menguasai 47 bidang ilmu termasuk politik, ekonomi, seni, budaya, kejuruteraan dan pentadbiran.
    Beliau turut mempunyai tujuh jenis ilmu, antara yang menakjubkan adalah ilmu membedah tubuh manusia (perubatan), menghasilkan emas 24 karat menggunakan bahan campuran yang bukan daripada emas (kimia) dan memperkenalkan tempat menyemai tanaman (pertanian).
    Antara sumbangan terpenting Syeikh Ahmad Fathani adalah merintis pembangunan pendidikan masyarakat Melayu. Beliau pernah diberi kepercayaaan oleh pemerintah Turki untuk memeriksa kitab sama ada dalam bahasa Arab atau Melayu pada 1884. Dalam usaha itu, beliau meminta pemerintah Turki mencetak secara besar-besaran kitab termasuk kitab Melayu/jawi untuk tujuan menyebarkan dakwah Islamiah dengan cepat khususnya di Nusantara.
    Syeikh memainkan peranan penting dalam institusi pendidikan pondok dan mengarang lebih 160 kitab (iaitu kitab asli berbahasa Arab, berbahasa Melayu dan kitab yang ditashih. Antara kitab yang masyhur di alam Melayu adalah Faridatul Faraid. Syeikh Ahmad al-Fathani amat  berpegang teguh kepada tiga asas agama Islam yang benar menurut jumhur ulama iaitu Fikah Mazhab Al-Syafie, Akidah Ahlus Sunnah wal Jamah serta tasawuf dan tarikat. Beliau meninggal dunia pada 11 Zulhijah 1325 atau 14 Januari 1908.
[2] Lihat takrif iman pada syara’ dalam kitab Faridatul Faraid
[3] Lihat atsar riwayat Ibnu Umar r.a :
كنا نؤتى الإيمان قبل القرآن وسيأتي زمان على الناس يؤتون القرآن قبل الإيمان فيقرأ أحدهم من فاتحته إلى خاتمته لا يدري ما آمره وما زاجره يشربونه شرب الماء لا يجاوز حناجرهم
“Kami dikurniakan keimanan (kepada Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam) dahulu sebelum kami mempelajari al-Quran. Suatu masa nanti akan berlaku manusia diberikan al-Quran sebelum beriman lalu seseorang dari mereka membacanya dari surah al-Fatihah hingga ke akhirnya sedang dia tiada memahami perintah dan larangannya. Mereka membacanya seperti orang yang meminum minuman yang tiada melepasi halkumnya.” (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain)

Rabu, Februari 02, 2011

Perubahan Hidup Membangun Kekuatan Ummah (2/2)

ANAK MUDA CEMERLANG DI BIDANG PELABURAN ISLAM

Saudara Farizul Adib bin Mohd Ramli, adalah anak muda yang saya hormati kerana pada usia 30-an, beliau telah berjaya menjadi seorang usahawan pelaburan Islam yang berjaya. Syarikatnya, AAAAA Wealth Builders di Kelana Jaya, Selangor menjadi antara syarikat pilihan bagi umat Islam yang mahu melabur dalam institusi pelaburan yang terpelihara dari unsur haram dan syubhah.


Jatuh bangun dalam dunia perniagaan adalah biasa, namun beliau bersifat positif walaupun dalam suasana negara menghadapi zaman kegawatan ekonomi suatu ketika dulu. Beliau melihat peluang di sebalik permasalahan tersebut dan pandangannya disokong dengan kajian yang mendalam dalam ilmu ekonomi dunia dan negara. 

Di samping memiliki kepakaran dalam bidang pengurusan kewangan meliputi pelaburan, perlindungan dan pengekalan, beliau bersama teman-teman lain menjadikan perniagaan mereka sebagai medan untuk mendidik dan mendorong rakyat Malaysia merancang kewangan untuk mencapai taraf ‘financial independence’ berlandaskan prinsip Islam, bagaimana melaburkan wang mereka dalam perniagaan yang halal dan mendapat keuntungan serta keredhaan Allah.

Selain itu, perjuangan mereka juga adalah untuk melatih dan melahirkan usahawan baru dalam bidang tersebut bagi merancakkan lagi inisiatif pelaburan Islam di kalangan rakyat negara ini.

KAJIAN PERUBATAN MANFAAT UNTUK MANUSIA

Dr Shamsul Azhar bin Mahmood adalah sahabat yang saya kagumi diatas usaha beliau membuat kajian tentang sistem rawatan melalui urutan sehingga telah melahirkan kaedahnya sendiri dinamakan “Terapi Urutan Magnetik : Manipulasi Cas-cas Badan melalui Sentuhan”. Teknik ini adalah hasil kajiannya selama 13 tahun dalam Titik Mata Urat  atau Trigger Points dan diakui universiti serta pakar perubatan sehingga mendapat gelaran Dr hasil dari penemuannya. Beliau juga mengadakan kursus-kursus yang berkaitan, menerbitkan pelbagai tajuk buku berasaskan terapi magnetik dan pernah dijemput TV3 untuk membicarakan kaedah unik beliau.

Beliau bukan orang biasa tetapi seorang yang luar biasa dalam aspek kajiannya. Jika kajiannya memberi manfaat pada manusia, dan dikembangkan pada para muridnya, maka ia akan menjadi saham yang besar pada dirinya di akhirat.

USAHAWAN TAKAFUL

Saudara Mohd Syahrizal Abd. Samad adalah pembantu saya yang amat setia ketika saya menetap di Kuantan sekitar tahun 2000-2002. Beliau adalah seorang yang pintar serta mempunyai bakat kepimpinan yang tinggi. Tetapi kelemahannya waktu itu adalah tidak istiqamah dalam setiap apa yang dilakukannya. 

Namun beliau telah mengubah dirinya, kini menjadi salah seorang usahawan muda di bidang Takaful yang berjaya. Malah beliau mempunyai syarikat Takafulnya sendiri di Negeri Sembilan dan sedang berusaha membuka cawangannya di Klang. Kehidupannya telah berubah dari seorang penunggang motosikal ke sana sini, kini memiliki kereta mewah dan mengharungi hidup bahagia bersama keluarganya.

Saya dari jauh sentiasa mendoakan kejayaannya dan keberkatan dalam segala usahanya.

LIMPAHKAN KEJAYAAN UNTUK MANFAAT SEMUA

Sebenarnya banyak lagi kisah kejayaan para sahabat jika mahu dicoretkan. Mereka adalah segolongan manusia biasa yang berjaya menukar diri mereka sehingga dilihat luar biasa sama ada dalam bidang agama, pencapaian akademik, kerjaya, perniagaan, dalam memberi sumbangan dan lainnya. 

Harapan saya agar para sahabat yang berjaya ini membantu saudara Muslim dan menolong anak bangsa ini yang memiliki jiwa agama untuk menjadi orang yang berjaya. Jika para pencinta Allah dan Rasul memiliki kejayaan kehidupan, nescaya kejayaannya akan dapat memberi manfaat kepada ramai orang. Jangan jadikan kejayaan untuk kepentingan diri atau untuk kesombongan dunia. Dunia terlalu kecil untuk dibanggakan, jadikan impian kita untuk menjadi insan yang berjaya yang dibanggakan Allah di hadapan para malaikatNya, dibanggakan Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam di hadapan umatnya di Padang Mahsyhar. 

“BAHAGIAKAN DIRIMU DAN BAHAGIAKAN ORANG DI SEKELILINGMU”, itulah sifat Muslim yang sejati. Jangan terjerumus dengan falsafah kapitalis yang hanya memikirkan kepentingan diri dan keluarga tanpa peduli untuk membantu mereka yang lain di sekeliling.

Kekuatan kejayaan manusia bukan terletak pada kekuatan tangan dan kaki tetapi pada akal. Allah mengurniakan hamba yang bernama manusia dengan kekuatan akal yang hebat sehingga seluruh makhluk Allah yang ganas, gagah seperti harimau, gajah, buaya, ular atau lainnya daapt ditundukkan, dijadikan bahan pertunjukan atau bahan jualan. 

Tiada antara kita yang lemah atau gagal atau rendah, melainkan diri sendiri yang melemahkan diri, mengagalkan diri dengan memandang rendah pada diri sendiri. Setiap nikmat Allah perlu disyukuri dan makna syukur ialah menghargai pemberian yang diberi dengan manfaatkan ke jalan kebaikan dengan bersungguh-sungguh. 

Akal adalah kurniaan Allah yang amat hebat selepas Qalbi di alam ini, maka nikmat akal perlu digunakan sepenuhnya agar kita benar-benar menjadi hamba yang bersyukur.

Dalam satu hadis dinyatakan :

عَنْ أَبى هُرَيْرةَ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْل الله صلى الله عليه وسلَّم: المُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنَ اْلمُؤْمِنِ الضَّعِيْفِ وَفِى كلِّ خَيْرٌ. اِحْرِصْ عَلَى مَايَنْفَعُكَ، وَاسْتَعِنْ بِاللهِ وَلاَ تَعْحَزْ، وَلَكِنْ قُلْ: قَدَّرَ اللهُ، وَمَا شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ
(رواه مسلم)

Dari Abi Hurairah r.a, katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallaLlahu ‘alaihi wassalam): Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada tiap-tiap (mereka) ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah kamu mendapatkan apa yang mendatangkan manfaat bagi kamu, dan pohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu lemah, dan sekiranya suatu (musibah) menimpa kamu maka janganlah kamu mengatakan: Kalau saya melakukan itu (dulu) sudah tentu saya akan begini dan begitu, tetapi katakanlah: (Ini adalah) takdir Allah, Dia berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya “Kalau” membuka amalan syaitan.”(Riwayat Muslim)

KESAN PENDIDIKAN AWAL ANAK-ANAK

Ramai yang tiada mahu memajukan dirinya kerana bersikap selesa dengan apa yang ada. Mereka tiada mahu mengambil risiko kerana dididik dari kecil takut pada perkataan “Gagal”. Pendidikan ketika kecil yang sering menggunakan Kalimah “JANGAN” dalam melarang anak-anak melakukan sesuatu memberi kesan pada jiwa mereka dan mematikan daya kreativiti mereka (Otak Kanan).  Manakala terlalu memanjakan anak, takut anak jatuh, sakit, susah, lapar dan sebagainya sehingga menjadikan ibu bapa sentiasa melarang anak-anak dari berbuat apa-apa, akan melahirkan golongan yang sukar berdikari, tiada berani mencuba dan tiada berani untuk gagal.

Allah sudah mentakdirkan bahawa untuk meraih kejayaan, manusia perlu berani menempuh kejatuhan atau kesusahan. Tiada kanak-kanak yang dilahirkan terus boleh berjalan tanpa melalui proses jatuh bangun. Jika kanak-kanak tersebut takut jatuh, mereka lambat boleh berjalan. 

Pendidikan awal membina keberanian adalah langkah  yang amat baik untuk melahirkan insan yang hebat. Ketika hampir meninggalnya Abdul Mutalib, datuk Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam, beliau berpesan agar cucu kesayanganya Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam diserahkan penjagaannya kepada Abu Talib. 

Abu Talib merupakan anaknya yang paling miskin dan memiliki anak yang ramai. Sedangkan  anaknya seperti Abu Lahab, Hamzah, Abbas dan lainnya adalah golongan yang kaya. Persoalannya kenapa Abdul Mutallib tidak meletakkan Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam dibawah penjagaan anaknya yang kaya jika ia benar sayang pada cucunya? Maka disinilah Abdul Mutallib sudah melaksanakan peranan sebagai pendidik kepada seorang yang akan bergelar pemimpin akan datang. Ia tahu bahawa cucunya tiada boleh dimanjakan dan dimewahkan kerana ia akan merosakkan jiwa dan pemikirannya. 

Maka Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam ketika umur lapan tahun sudah berdikari dengan menjaga kambing dan hanya meminum air telaga zam-zam kerana tiada mahu menyusahkan bapa saudaranya. Baginda sallaLlahu ‘alaihi wassalam menyedari tentang kemiskinan bapa saudaranya Abu Talib yang ramai tanggunggannya. 

Maka apakah ada lagi sebaik-baik contoh dalam pendidikan kanak-kanak selain apa yang ditunjuk Allah dalam sistem pentarbiyahannya kepada Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam?

Jangan terlalu mengongkong potensi anak-anak. Hendaklah membangunkan potensi mereka sehingga berjaya, namun jangan sampai terlalu memberi kebebasan sehingga potensi kejahatan akan berkembang subur dalam jiwa dan pemikiran mereka. Maka proses pendidikan manusia amat bergantung pada tiga unsur utama iaitu siapa pendidiknya, bagaimana suasana tempat pembesarannya dan apakah ilmunya?

Dajjal telah berjaya menjadikan umat Islam tiada yakin dengan Al-Quran dan Sunnah, pada ulama dan tarbiyah Islam tetapi yakin pada ilmu dan professor Barat dalam membawa manusia kepada kejayaan!

PERUBAHAN HIDUP

Permasalahan bukanlah alasan untuk kita tidak dapat mengubah diri kita. Apa yang penting kita perlukan niat yang betul terlebih dahulu, apakah tujuan kita mahu berubah. Jika sudah mendapat niat yang betul, maka kita perlukan azam yang kukuh dimana kita tidak akan mudah kecewa, lemah atau takut gagal jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. Kemudian perlukan ilmu dan kajian terhadap suatu perkara yang ingin dilakukan dan kepada Allah kita bertawakal. 

Banyak perkara dalam kehidupan ini yang dianggap tidak baik atau takdir buruk boleh menjadi kebaikan jika diambil hikmahnya. 

Ada seorang sahabat yang merungut dan malas untuk mengurut kaki pelanggan dari rumah ke rumah, namun sikap malasnya membawa kejayaan dimana beliau positifkan malasnya itu  dengan berfikir mencipta alat yang sama kesan dengan urutan, tanpa perlu beliau pergi mengurut ke rumah-rumah lagi. Maka datanglah ilham untuk mencipta “TUKU KAKI” dan dipasarkan kepada pelanggan. Alhamdulilah, Allah memberi limpahan rezeki kepadanya  dan benar-benar merubah kehidupannya. 

Jika malas menggunakan tenaga tubuh, maka aktifkanlah pula tenaga pemikiran yang membawa kepada kejayaan. Kadangkala dengan banyaknya masalah yang menimpa kita, ia dapat mendatangkan natijah positif jika kita pandai mengolahnya ke arah kejayaan. Tiadalah Allah menjadikan sesuatu melainkan adanya hikmah agar manusia menjadi bijak dalam menanganinya. 

Lihatlah bagaimana sampah, najis yang dicipta oleh Allah. Dengannya telah wujud agensi dan jabatan berkaitan untuk menguruskannya, yang dengannya memberi peluang pekerjaan kepada jutaan manusia.

Apabila ramai yang tiada tahu membaca, maka lahirkan jabatan pendidikan dan agensi berkaitan yang membuka peluang pekerjaan kepada ramai orang juga. Begitu juga dengan bintang, pohon kayu yang dilihat tiada manfaat bagi seseorang, tetapi ianya memberi faedah yang besar bagi mereka yang pandai mengambil manfaatnya.

Apa yang saya utarakan disini, bukannya untuk menyuruh para sahabat menjadi kaya, tetapi yang paling penting ialah sikap sentiasa mahukan perubahan memajukan diri dan hidup untuk memberi manfaat pada manusia dalam apa jua bidang. 
 
“TIDAK HIDUP DENGAN BIASA TETAPI  HIDUP DENGAN LUAR BIASA!”

Dalam suasana negara kita di Malaysia yang memiliki pelbagai kaum dan agama, dakwah menumpukan pada kekuatan iman, kekuatan ilmu dan kekuatan ekonomi amatlah penting agar segala anugerah Allah berada di tangan orang-orang yang soleh. Ekonomi kini menjadi faktor penting dalam menjaga kekuatan politik dan Islam kerana dengan kelemahan iman yang ada pada umat Islam hari ini, para pengikut Dajjal amat mudah membeli iman umat Islam, membeli para ulama, membeli institusi Islam sehingga umat yang ramai kini hidup bagaikan buih yang boleh dibawa ke mana-mana oleh ombak raksasa ekonomi kapitalis.

AKHIR KALAM

Perubahan hidup perlu dilakukan dalam menjadikan diri sebagai penyumbang kepada masyarakat, bukannya mengharap sumbangan. Jika sudah selesa dengan kehidupan keluarga, lakukan pula untuk ummah tanpa memikirkan keuntungan tetapi “SUMBANGAN KEUNTUNGAN AKHIRAT”.

Al-‘Allamah Habib Umar al-Hafiz memberi nasihat yang cukup baik dalam syarahanya di Balai Islam Lundang, Kelantan baru-baru ini. Beliau mengatakan :

“Burung memerlukan dua sayap untuk terbang, jika hanya satu sayap, ia akan jatuh. Begitu juga manusia, mereka memerlukan dua sayap untuk berjaya iaitu niat yang ikhlas dan keazaman tanpa mengenal putus asa, lemah, kecewa dan sebagainya.”

Firman Allah :

فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ

“Kemudian apabila engkau telah berazam (untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya." (Ali-‘Imran:  159)
 
Mari kita hidupkan Dakwah Ad-Din, Al-Hikmah dan Kekuatan!

“BAHAGIAKAN DIRIMU DAN BAHAGIAKAN MEREKA DI SEKELILINGMU, NESCAYA KAMU AKAN DIBAHAGIAKAN ALLAH DI AKHIRAT NANTI”

WaLlahu ‘alam.