Jumaat, April 30, 2010

Prinsip Kesepaduan Ad-Deen dan Kebersamaan Dalam Perjuangan

Wahai sahabatku,

Manhaj kita bukannya mahu memperjuang tasawwuf semata-mata, atau fekah semata-mata, atau tauhid semata-mata atau fikrah semata-mata. Ia bukan jalan penyelesaian, bahkan jika dipisah-pisahkan atau dilebihkan salah satunya dengan meringankan yang lainnya, ia boleh membawa kepincangan dan kelemahan kepada insan dan ummah.

Justeru itu wahai sahabat, manhaj ku menekankan kepada kesepaduan Iman, Islam dan Ihsan untuk diri dan masyarakat. Oleh itu, hendaklah kita bersama dengan mana-mana perjuangan, ulama, sistem pendidikan dan apa jua badan yang menekankan pendidikan akidah yang berteraskan Ahlu Sunnah wal Jamaah (ASWJ) serta perjuangan dalam mempertahankan kemurnian agama dari serangan akidah wahabi, sekularisme, modenisme, liberalisme… juga fahaman Wujudiah yang sesat, fahaman Batiniah yang menolak syariat dan lainnya.

Hendaklah bersama dengan para Ulama, para Syaikh Tasawwuf yang benar, para pencinta tasawwuf, para pejuang tasawwuf dan pendidikan tasawwuf yang berada di atas disiplin yang benar dalam manhaj Ahlu Sunnah wal Jamaah walau apa jua aliran tarekahnya dan kaedahnya. Berusahalah mencari dalil dan hujah untuk membenarkan mereka kecuali tiada lagi jalan untuk mentakwilkannya kepada kebenaran.

Hendaklah engkau bersama dengan para Sahabat ridwanuLlah ‘alaihim, para ulama, para pejuang dan apa jua badan/institusi yang memperjuangkan keilmuan syariah dan perlaksanaannya secara syumul dalam segala sistem kehidupan berdasarkan mazhab yang muktabar.

Tiadalah sempurna iman melainkan dengan ibadah, tiada sempurna ibadah tanpa ihsan dan tiada sempurna ihsan melainkan dengan muraqabah dan musyahadah, tiada sempurna musyahadah melainkan mencapai cinta yang hakiki, tiada sempurna cinta melainkan fana’ segala ketuhanan yang lain dalam batin (sifat mazmumah).

Ilmu tanpa amal adalah sia-sia, amal tanpa Ihsan (tasawwuf) adalah sia-sia, Ihsan tanpa cinta yang hakiki adalah sia-sia, cinta tanpa meleburkan kecintaan nafsu mazmumah, dunia, harta benda, pangkat dan lain-lain adalah sia-sia, mencapai hakikat cinta Allah tanpa cinta Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam adalah juga sia-sia.

Cinta Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam tanpa fana’ cinta diri, keluarga dan cinta-cinta yang lain adalah sia-sia. Fana’ dalam cinta Allah tanpa cinta dan rindu untuk berkata-kata dengan kalamNya (al-Quran) dan mematuhinya adalah sia-sia.

Fana’ dalam cinta Rasul tanpa rindu dan cinta dalam mendengar sabda-sabda Baginda sallaLlahu ‘alaihi wassalam dan mematuhinya (Hadis Sahih @ Sunnah) adalah sia-sia. Kecintaan pada kalam Allah dan sabda Rasul tanpa dibuktikan dengan pengorbanan agar wahyu Allah dan sabda Rasul menjadi yang tertinggi dan mulia di bumi ini adalah sia-sia. Sesungguhnya Islam adalah agama kerahmatan, maka menyebarkan kerahmatan untuk sekelian alam adalah kewajiban.

Wahai sahabatku,

Ramai yang datang menziarahiku dari pelbagai golongan. Aku menerangkan pendidikan dan perjuanganku, mereka memahami dan berminat dan menjadi sahabat dan muhibbin perjuangan. Mereka kemudian kembali ke tempat masing-masing dengan membawa mesej manhaj pendidikan. Ada yang bergerak dalam jemaah yang mereka anggotai, ada yang membuka syarikat motivasi, ada yang mendaftar wadah sebagai NGO. Ada juga di kalangan ulama dan ustaz, mereka ini bergerak melalui kuliah dan program ceramah mereka.

Semua mereka ini hanya memperjuangkan satu mesej, iaitu mahu membangkitkan Kesedaran Ketuhanan dan Kehambaan” dalam kesepaduan Iman, Islam dan Ihsan. Manusia sudah terlalai daripada mengenal diri mereka sendiri. Fitrah Ketuhanan insan telah tertutup tanpa mereka menyedari hakikat kewujudannya.

Justeru, marilah kita membukanya kembali pada setiap insan yang ada di atas muka bumi ini, agar mereka tiada hidup dalam mimpi dan ilusi, tiada diselubungi dengan kegelapan kejahilan dan silauan sihir dunia, agar mereka mencapai kebahagiaan hakiki.

Permata kenikmatan insan sesungguhnya berada dalam diri mereka, namun sedikit yang menyedari kewujudannya, apalagi memiliki kunci untuk membukanya.

Aku menyeru pada sahabat-sahabat yang memiliki kekuatan dan kefahaman, agar bersama kita merahmatkan kembali sekelian alam bermula dengan membuka hakikat kesedaran siapa manusia dan apa tanggungjawabnya hidup di dunia ini.

Dengan keimanan yang dimiliki, tasawwuf yang dimiliki (walau dari apa aliran dan syaikh sekalipun) dan keilmuan yang dimiliki dalam apa jua bidang ilmu, marilah kita bergabung dalam sifat saling hormat menghormati demi membangunkan kehidupan insaniah yang sejati.
Sesungguhnya akhirat tempat menanti pembalasan Tuhan rabbul ‘alamin pada insan yang berjaya membawa dirinya kepada makrifat kehambaan dan kemudian hamba yang lain pula turut mengecapi nikmat KESEDARAN KETUHANAN dan KEHAMBAAN..

Berhati-hati dalam kata-kata

Berhati-hatilah kamu dalam mengatakan sesuatu tentang agama Allah SWT, jangan kamu cepat menghukum dengan sesuatu yang kamu jahil tentangnya kerana ianya telah diperingatkan oleh Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wassalam kepada Abu Dzar r.a. Nabi sallaLlahu 'alaihi wassalam bersabda: "Hai Abu Zar, jika engkau ditanya sesuatu yang tidak engkau ketahui, jawablah saya tidak mengetahui supaya selamat dari tanggungjawabnya, dan jangan memberi fatwa terhadap apa yang engkau tidak ketahui, supaya selamat dari siksa Allah swt pada hari kiamat."

Tanda orang alim yang warak dan merendah diri bukan terletak pada serban atau pada pakaiannya, tetapi kewarakan orang alim adalah berdasarkan sikap berhati-hati dalam fatwanya. Mereka lebih suka menyatakan "waLlahu 'alam" dalam hal yang mereka kesamaran. Ulama-ulama di zaman para sahabat sentiasa tolak-menolak di antara satu sama lain apabila datangnya orang bertanya meminta fatwa. Ini kerana mereka bimbang takut-takut tersalah dalam memberikan fatwa mereka. Bagi mereka, setiap kali orang meminta fatwa, ia bagaikan sebuah gunung yang dihempaskan ke atas kepada mereka.

Seorang yang mempunyai ilmu yang banyak tetapi tidak memiliki sifat warak, adalah melambangkan keegoan dan sifat takabur. Iblis tersesat dan dimurkai Tuhan disebabkan kesombongannya, walaupun ilmu dan amalnya banyak. Janganlah kamu wahai saudaraku berlagak alim kerana berkata Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali rahimahuLlah: "Kerosakan agama akan berlaku apabila orang-orang jahil berlagak alim."

Dan dikatakan lagi di akhir zaman begitu ramai orang ahli pidato, tetapi sikit ahli ilmu. Kita wajib bersifat warak dalam masalah ilmu agama kerana sejauh manakah kita mampu menguasai bahasa Arab dan segala syarat-syarat yang dikehendaki dalam mengeluarkan hujah. Begitu juga berapa ribu hadithkah yang kita ingat sama ada dari hadith Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan sebagainya? Berapa dalamkah kita mengaji usul fiqh dalam perbahasan kaedah ulama-ulama dalam mengeluarkan hukum?

Begitulah juga, kita perlu memahami bahawa setiap amalan yang tiada kita jumpa dalam Al-Quran perlu dirujuk kepada hadith dan dalam setiap matan hadith pula berapa banyak ulama berbeza pendapat. Bukan mereka menolak kebenaran hadith tetapi mereka berbeza pendapat dalam masalah mentakwilkannya. Ada yang mentakwil secara zahir hadith, ada yang secara batin hadith dan pelbagai lagi kerana ketinggian ilmu Islam yang begitu luas. Apabila sesuatu amalan itu tiada kita temui dalam hadis, rujuklah ulama yang soleh, apakah pendapat mereka. Jika pendapat ulama itu tidak ijma' dan ada ulama Islam lain menentangnya dan tidak bersetuju dengan pendapatnya, maka ia adalah khilafiah. Jika perkara itu khilafiah, kita perlu berlapang dada. Yakni kita boleh menerima dan mengamalkannya atau meninggalkannya dengan tidak mencerca pendapat yang lain.

Islam telah menyatakan satu kaedah bahawa tiada bidaah atau kemungkaran dalam perkara khilafiah. Tetapi, umat Islam hari ini berpecah-belah kerana bergaduh dalam masalah perbezaan pendapat, sehingga dalam masalah fekah berlaku tuduh menuduh antara satu sama lain dan begitu juga dengan hal-hal yang lain. Sedangkan, ia tidak terkeluar daripada pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah yang bersandarkan kepada Al-Quran, As-Sunnah, Ijma' dan Qias.

WaLlahu 'alam.

Buku Terbaru ! Bisikan Sir siri 2

Buku ini merupakan siri kedua "Bisikan Sir" karya Syaikhuna al faqir Tokku selepas siri pertama yang diterbitkan pada 2009.


  • Edisi Mei 2010
  • 131 mukasurat (termasuk kulit)
  • RM 5 senaskah
  • Saiz 9.4cm x 13.3cm (saiz poket)
ISI KANDUNGAN

Kalam Penerbit ... vi

Cinta ... 1

  • Cahaya Cinta Ar-Rahman
  • Dirimu tiada terpisah dengan cinta Ar-Rahman
  • Cinta Ar-Rahman bagaikan buta
  • Sukarnya ke Neraka, jalan ke Syurga luas terbentang
  • Ubudiyyah kerana membalas cinta Allah
  • Cahaya dirimu dengan Nur ar-Rahman
  • Dua wajah, satu hakikat
  • Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam sumber kerahmatan
  • Hanya Pencinta memahami bahasa cinta
  • Demi cinta, biarkan mereka mengatakan kamu gila
  • Cahaya ar-Rahim sudah terpadam dari dada umat ini?
  • Bayangan ar-Rahim pada seorang wanita
  • Usah zalimi diri sendiri
  • Bebaskan dirimu dari nafsu tiada berTuhan
  • Risalah cinta untuk kebahagiaan hakiki
  • Bayaran syurga buat pencinta
Faqir ... 52

  •  Kamu bebas membuat pilihan
  • Usah salahkan takdir, salahkan dirimu sendiri
  • Tiada keluh kesah dan ketakutan
Syukur ... 64

  •  Jangan memusuhi dunia
  • Dicipta alam untuk mengenal DiriNya
  • Ambillah nikmat dunia atas cinta dan syukur
  • Menyesal tiada gunanya lagi
  • ‘Cintailah nafsumu’
  • ‘Tinggalkan mujahadah’
  • Beribadah kerana cinta dan syukur
  • Tetapkan dirimu dalam cahaya syukur
  • Tenggelamkan diri mu dalam cahaya ar-RahmanNya
  • Hukum iman, hukum akal
  • Tetapkan dirimu dalam cahaya syukur
  • Azab ar-Rahman untuk para pendengki
Insan Khalifah ... 102
  • Khalifah Allah yang benar wajib memiliki 3 cinta
  • Cinta yang tiada sempurna
  • Anugerah sebagai jalan Ubudiyyah
  • Luasnya rahmat Allah
  • Mencapai bayangan sifat ar-Rahim
Sebarang pertanyaan atau tempahan, sila hubungi RAZLAN (016-4431568 K.TRG) @ ANGAH (019-4207549 KL)

Khamis, April 29, 2010

Dakwah Rasulullah SAW membuka “Kesedaran Fitrah KeTuhanan”

Firman Allah dalam surah Al-Juma’ah, ayat 2 :

 
"Dia-lah yang telah mengutuskan di kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan menyucikan mereka, serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad SAW) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." (Al-Juma'ah: 2)

Apabila Fitrah Ketuhanan mula bersinar pada akal mereka, Rasulullah membuka fitrah ketuhanan pada ruh mereka pula melalui penyucian jiwa dengan zikrullah, mujahadah dan tafakur. Maka lahirlah cahaya Muraqabah dan Musyahadah.

Selepas itu dibuka pula kesedaran maqam kehambaan yang sempurna dengan mematuhi dan mendaulatkan syariat yang syumul serta menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini.


Rabu, April 28, 2010

Bermulanya Fitrah KeTuhanan

Setiap insan yang wujud di dunia memiliki Fitrah Ketuhanan walau apa bangsa sekalipun. Ia bermula pada alam ruh sebelum bergabung dengan jasad lagi. Firman Allah SWT:

“(Allah berfirman): “Bukankah Aku Tuhan kamu?” (Ruh) mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi..." (Al-‘Araaf: 172)

Kesedaran Ketuhanan ini adalah Sirr yang dimiliki oleh Ruh insan, dibuka hijab oleh Allah memandang rahsia DiriNya yang layak sekadar mana yang diizinkan pada Ruh mengikut tingkatan masing-masing. Tingkatan Ruh berbeza antara Ruh Nabi Muhammad SAW, Ruh Nabi-Nabi (a.s), dan Ruh manusia biasa. Justeru itu berlakunya perbezaan dalam makrifat dan rahsia-rahsia mereka terhadap Allah.

Apabila ruh digabungkan dengan jasad, ruh mula dihubungkan dengan akal, nafsu dan jasmani yang berunsur bumi. Maka semakin hari kesedaran Fitrah Ketuhanan semakin gelap dan tenggelam apabila akal, nafsu dan jasad keduniaan lebih menguasai dari ruh.

Sesungguhnya dunia ini adalah kegelapan, apabila manusia hidup hanya bermatlamat dunia, mereka berada dalam kegelapan. Dosa-dosa yang dilakukan dari peringkat baligh akan menjadikan kegelapan semakin tebal sehingga Fitrah Ketuhanan dalam diri manusia itu tertutup. Maka disitulah manusia berada dalam kebingungan dan kesesatan dalam memahami matlamat ia diciptakan.

Semakin banyak dosa yang dilakukan, semakin tebal kegelapan menutup Fitrah Ketuhanan, sehingga ada yang menjadi kufur yakni engkar terhadap kewujudan Allah.

Akal dan nafsu terdinding dengan Fitrah Ketuhanan sehingga mereka hidup bagaikan haiwan yang hanya mengetahui untuk mencapai impian di dunia ini sahaja. Tuhan sudah tiada dalam jiwa mereka dan kekosongan itulah yang diisi oleh iblis yang berlagak sebagai Tuhan dalam mengatur kehidupan manusia tadi.

Ia membisikkan pada nafsu dan akal dalam segala hal. Disinilah bermula krisis penderitaan jiwa anak Adam dimana Fitrah Ketuhanan dalam diri mereka menderita mahu berhubung dengan Tuhannya, bagaikan seorang bayi yang menangis tiada henti untuk mendapat susu daripada ibunya.

Hakikatnya fitrah manusia memerlukan Tuhan. Pada manusia terkandung rahsia Ketuhanan yang paling tinggi. Maka manusia perlu dibukakan kembali titik dalam dirinya iaitu “Fitrah Ketuhanan” agar rahsia-rahsia Illahiah terbuka kembali. Ia adalah kekuatan utama dalam membawa manusia kepada kesempurnaan, ketenangan dan kejayaan dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Agama Tanpa Kesedaran Jiwa

Permasalahan utama kini ialah ramai di kalangan umat Islam menghadapi krisis jiwa yang tiada kesedaran agama. Mereka bukannya golongan yang tiada tahu hukum hakam, dosa, pahala dan pembalasan akhirat, namun segalanya tiada memberi kesan kerana ‘kematian’ jiwa dan krisis kepercayaan.

Kematian jiwa berlaku di kalangan para pemerintah, para ahli agama, para hartawan, para ahli akademik, para pemikir, ahli politik, pendakwah, golongan awam, golongan muda dan di pelbagai peringkat golongan lagi. Rasuah, penipuan, fitnah, dengki, takbur, cinta dunia, tamak haloba, dendam, jatuh menjatuh, dadah, hiburan melampau, rogol, zina, rempit, derhaka pada ibu bapa dan lainnya adalah kesan yang lahir daripada jiwa yang tiada kepercayaan dan "Kesedaran Ketuhanan".

Penekanan pendidikan kepada kesihatan jasmani, kecerdikan akal (IQ), pengawalan emosi (EQ) tanpa memberi penekanan kepada titik yang utama dalam diri manusia iaitu “Kesedaran Fitrah Ketuhanan”, maka pendidikan itu membawa kepincangan yang dahsyat dalam diri manusia dan kepincangan itu merebak kepada keluarga dan masyarakat.

Beberapa ramai ibu bapa hari ini menangis kerana pengorbanan mereka untuk melahirkan anak yang berjaya pada kehidupan dunia ini dibayar dengan penghinaan tanpa terima kasih? Ini adalah sebahagian kesannya apabila jiwa kesedaran ketuhanan dalam diri tiada dibuka. Jika ada yang masih mempunyai nilai-nilai yang baik dalam kehidupan, kebanyakannya adalah disebabkan oleh budaya dan ikatan adab sebagaimana non muslim atau mereka yang tiada agama. Ia bukan lahir daripada “Kesedaran Ketuhanan” dan “Kepercayaan” kepada agama.