Rabu, September 29, 2010

Jemputan ke Majlis Aidilfitri dan Silaturrahim - 3 Oktober 2010 !

Assalamu 'alaikum w.b.t.

Kepada Semua Pengunjung dan Peminat Blog Kuliahaddeen, sdra/i dan tuan/puan dijemput ke MAJLIS AIDILFITRI & SILATURRAHIM bersama Syaikhuna al faqir ilaLlah IBRAHIM MOHAMAD ASY-SYATHARI seperti di bawah :

Tarikh : 3 Oktober 2010 (AHAD)
Masa : 12 t/hari - 5 ptg
Tempat : Akmal Homestay, No. 58 Jalan Kg Tengah 27/48, Taman Bunga Negara, 40400 Sek. 27, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

Aturcara :
12.00 t/hari : Aluan & Qasidah
12.30 ptg : Jamuan bermula (sambil diiringi alunan pelbagai qasidah)

3.00 ptg : Tausiah oleh al faqir ilaLlah Ibrahim Mohamad Asy-Syathari
3.45 ptg : Jamuan disambung semula / diiringi alunan pelbagai qasidah
5.00 ptg : Majlis bersurai

Untuk pertanyaan, sila hubungi : sdra Rasmizan 013-3635451 atau sdra Rizal 019-9932644

Anjuran : Blogger Kuliahaddeen dan Gerak Massa (GESA [www.gerakmassa.com])

Isnin, September 27, 2010

Matlamat Pendidikan Tarekah Madrasah Tasawwuf

Madrasah Tasawwuf bukan matlamatnya untuk melahirkan ulama, ahli ‘abid dan ahli uzlah. Matlamat Pendidikan Tarekah Tasawwuf ialah mahu melahirkan ummah yang memiliki jiwa IHSAN (Muraqabah dan Musyahadah)[1] walau apa pun pekerjaan, jawatan dan taraf sosialnya.

Pendidikannya bukan juga untuk melahirkan golongan yang sibuk dengan pakaian zahiriah untuk dilihat wara’, alim, ahli zuhud, ahli taubat atau lainnya, tetapi golongan yang menekankan kesederhanaan dalam pegangan hukum, pakaian, juga dalam perbahasan akidah dan pergaulan yang mengutamakan kerendahan diri.

Dengan memiliki Ihsan, mereka akan menjadi golongan yang amanah, jujur, ikhlas, bertakwa, merendah diri, saling menghormati, bersungguh-sungguh dalam apa jua bentuk urusan yang diamanahkan sama ada sebagai pemimpin, usahawan, pelajar, penjawat awam, pendakwah, ulama, suami, isteri dan lainnya. Dengan memiliki jiwa yang Ihsan, akan berlakunya TAWAZUN (keseimbangan) antara hubungan dengan Allah (habluminaLlah) dan hubungan dengan manusia (habluminannas) dalam kehidupan hariannya.

Pendidikan tarekah adalah merupakan ilmu ijtihad para ulama tasawwuf dalam menyusun latihan jiwa melalui kaedah zikir dan mujahadah. Ia bertujuan agar seseorang itu mencapai maqam Ihsan. Maqam Ihsan wajib dimiliki oleh setiap Mukmin kerana ia adalah rangkaian sendi agama yang tiada boleh dipisahkan dalam Kesepaduan AD-DIN sebagaimana yang disabda oleh Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dalam Hadis Muslim iaitu Iman, Islam dan Ihsan.

Kesepaduan jiwa Iman, Ihsan dan aspek kehidupan berlandaskan panduan Islam adalah penekanan dalam Risalah Syariah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Dengannya, umat Rasulullah diiktiraf sebagai umat yang terbaik yang dilahirkan dari umat manusia.

Firman Allah :
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Ali-‘Imran: 110)


4 ASPEK TERAS RISALAH RASULULLAH صلى الله عليه وآله وسلم

Madrasah Tasawwuf hendaklah berlandaskan Risalah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang menekankan empat aspek utama iaitu:

1. HABLUMINALLAH (Hubungan dengan Allah) yakni ibadah khususiah, zikir, doa, muraqabah, musyahadah, takwa, rindu, cinta dll.

2. HABLUMINANNAS (Hubungan dengan makhluk) dalam ibadah fardhu kifayah yang berkaitan dengan keluarga, adab sesama insana, ekonomi, politik, kehakiman, amal ma’ruf nahi mungkar dan lainnya.

3. TAWAZUN yakni keseimbangan antara keduanya.

4. WASATHIAH yakni kesederhanaan antara dunia dan akhirat. Aspek ini telah berjaya membina tamadun manusia yang memimpin dunia dengan penuh kedamaian dan kerahmatan. Mereka golongan yang khusyu’ dalam solat, dalam muraqabah atau musyahadah, mereka juga golongan yang khusyu’ pula dalam urusan kehidupan dunia demi mencapai redha Allah.

Semoga terbina kembali permata-permata yang hilang ini dari ummah ini. Jiwa tasawwuf mereka tersembunyi bagaikan benih-benih dan akar-akar yang terjunam dalam bumi, namun akhlak yang berlandaskan syariah dapat dilihat bagaikan dahan-dahan dan buah-buah yang ranum yang terpacak ke langit.

Firman Allah :
“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun.” (Ibrahim: 24-26)

 
Bagaimana Mencapai maqam Muraqabah dan Musyahadah dalam latihan Tarekah?

Semua tarekah mempunyai silibus untuk mencapai maqam yang dikehendaki oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Kepentingan mempunyai tarekah adalah untuk mencapai khusyu’ dalam ibadah dan takwa dalam kehidupan. Di dalam solat, kita wajib memiliki Ilmu Fekah sebagai mengesahkan ibadah, Ilmu Tauhid sebagai mengesahkan tauhid Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) dan Ilmu Tasawwuf untuk menjalankan mata hati dalam menghadap Allah, seolah-olah melihat Allah atau merasai Allah melihat dirinya (Ihsan).

Jika solat tiada Ihsan, maka solat tadi hanya ada hukum fekah dan tauhid sahaja, tetapi tiada perjalanan jiwa. Ia membawa kepada kelalaian jiwa dalam ibadah sehingga ibadah solatnya tiada mampu membawa mereka kepada kebaikan dan mencegah daripada mungkar seperti firman Allah :

“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah perkara yang keji dan mungkar.” (Al-Ankabut: 45)

Mungkar di sini bukan sahaja pada hukum zahir tetapi juga kemungkaran yang tersembunyi dalam batin. Kemaksiatan dalam batin inilah yang kadangkala tiada disedari sehingga ramai yang meninggal dunia dalam keadaan mereka kekal dalam kemaksiatan batin yang diharamkan. Kemaksiatan batin jika tiada diubati boleh membawa seseorang mati dalam kekufuran.

Firman Allah :
“Dalam hati mereka ada penyakit, maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta.” (Al-Baqarah: 10)

Inilah yang banyak diperkatakan oleh para ulama, bahawa mereka yang tiada mendalami ilmu tasawwuf, dibimbangi mati dalam Suul Khatimah. Justeru, dengan tujuan penyucian batin dan menjalankan rohani kepada Allah agar mencapai musyahadah, maka para ulama terdahulu walaupun alim dalam ilmu-ilmu zahir seperti Hadis, Tafsir, Fekah, Tauhid, Nahu, Sorof dan lainnya, mereka tetap mencari Syaikh Murabbi dalam meneroka penyakit batin mereka, dan mendalami pelajaran membuka mata hati sehingga mencapai maqam Ihsan. Ianya tiada lain agar mereka mencapai maqam kesempurnaan dalam perjalanan Ad-Din.

Pendidikan tarekah memulakan dengan memperbanyakkan amalan taubat agar membersihkan kegelapan batin, kemudian memperbanyakkan selawat agar menguatkan cahaya batin, menguatkan tali perhubungan cinta dengan Guru agar mempunyai talian barakah dengan golongan para kekasih Allah, melalui rantaian silsilah tarekah mereka sehingga sampai kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Murid disuruh memperbanyakkan zikir nafi ithbat agar membuang segala ilah-ilah yang lain selain Allah, memperbanyakkan zikir isim mufrad (“Allah”) dalam qalbi setiap detik sebagai latihan tubi agar qalbi mesra dan manis dengan Ismu Dzat.

Apabila qalbi sudah penuh dengan cahaya, maka ia akan melimpah bergerak kepada seluruh empat Lathaif yang lain yakni Lathaif Ruh, Sirr, Khafi dan Akhfa’. Darinya nur zikir agar bergerak ke seluruh tubuh sehingga tubuh merasai tenggelam seluruhnya dalam zikir.

Apabila murid sudah mencapai di sini, maka Guru akan mengajar muraqabah beberapa ayat Al-Quran sehingga mencapai pembukaan hakikat-hakikatnya dan mencapai jiwa muraqabah. Selepas itu, Guru akan mengajar akan ayat-ayat musyahadah sehingga terbuka hakikat-hakikatnya dan mencapai jiwa musyahadah. Segala waridat dan asrar atau ladunni akan mengalir bagaikan mata air yang keluar dari lapisan qalbu yang dalam.


Kepentingan Guru Murabbi

Dalam mentafsir rahsia-rahsia yang terbuka dari lapisan sirr, ia perlukan penghuraian oleh Guru Murabbi agar dapat memberi jawaban yang benar serta tiada lari dari garisan akidah ASWJ.

Pentarbiyah ilmu (mu’allim) berbeza dengan pentarbiyah rohani (murabbi). Tidak semua ulama adalah murabbi, tidak semua murabbi adalah alim dalam ilmu syariah, namun wajib baginya memiliki ilmu yang melepasi fardhu ‘ain pada fekah, tauhid dan tasawwuf. Kekurangan mereka perlu ditampung oleh para muridnya yang alim dalam ilmu syariah atau persahabatan dengan para ulama syariah jika ada kekeliruan dalam permasalahan hukum.

Guru Murabbi mentarbiyah ketauhidan sehingga mencapai maqam tauhid syuhudiah (Ihsan), mentarbiyah nafsu sehingga mencapai Mutmainnah, mentarbiyah akhlak zahir dan batin sehingga mencapai akhlak yang terpuji, mentarbiyah sehingga berada dalam amal ibadah yang dituntut, mentarbiyah agar berada pada landasan hukum syariah, mentarbiyah agar segala rahsia yang terbuka dapat difahami dengan benar.

Guru Murabbi adalah golongan yang berjaya mentarbiyyah dirinya terlebih dahulu dengan berada di bawah tarbiyyah para Mursyidnya, sehingga beliau mendapat keizinan untuk mentarbiyyah manusia yang lain.

Keizinan dalam tarekah adalah penting agar disiplin ilmu Islam terpelihara dan selamat dari penyelewengan ilmu, kesalahan penghuraian dan nafsu mazmumah yang masih melekat dalam diri. Memberi keizinan kepada mereka yang belum layak mentarbiyah murid akan merosakkan dirinya dan para muridnya. Dan berdosa para guru yang mudah memberi keizinan mentarbiyyah rohani kepada murid yang belum layak kerana ia membawa mudharat bagaikan memberi pisau pada kanak-kanak.

Imam Al-Ghazali rahimahullah banyak menegaskan dalam beberapa kitab bahawa ‘Sesungguhnya jalan mendekati Allah adalah jalan sufi, namun jalan untuk menjadi golongan yang terhijab dengan Allah juga adalah sufi’. Ia akan berlaku apabila jalan sufi dipimpin oleh para guru murabbi yang belum mencapai kelayakan mentarbiyah walaupun padanya sudah ada dzauk dan pembukaan makrifat akibat ditarik secara majzub.

Syaikh Ahmad Al-Fatani dalam kitab al-Fatawa Fathaniah mengatakan, ‘Golongan yang majzub adalah mandul yakni tiada boleh mengandungkan anak-anak rohani'. Mereka perlu berada di bawah dagu beberapa Mursyid untuk memimpin kerana seni ilmu sufi bukannya semata-mata pada pembukaan rahsia, bahkan masih banyak selok belok perjalanannya yang perlu difahami.

Justeru disebabkan kelayakan para guru rohani di akhir zaman adalah terhad, malah amat sukar mencari guru yang benar-benar mencapai kelayakan mursyid yang dinisbahkan pada ilmu tasawwuf, maka seorang guru murabbi perlu banyak bermurajaah dengan para syaikh tarekah yang lain, walau berbeza aliran, untuk ditimba ilmu dan pengalaman mereka dalam pentarbiyahan.

Demi Allah, sifat mazmumah para mursyid tarekah hari ini yang banyak menghancurkan dan membinasakan ilmu tarekah tasawwuf ini yang tinggi nilainya dalam ilmu Islam.
Ya Allah! Selamatkan diriku dan ummah ini dari kejahatan nafsu ammarah yang berselindung di sebalik kealiman, ibadah, adab dan syariah. Demi Allah, sesungguhnya syaitan tiada akan mudah berputus asa dari membawa anak Adam kepada penyelewengan untuk membawa bersamanya ke dalam neraka Allah. Oleh itu, janganlah merasa aman daripada tipu daya syaitan walau pun berada dalam martabat kewalian mana sekalipun.

Jika para Nabi-Nabi a.s didatangi syaitan untuk menggoda dan menipu mereka, siapakah kita untuk mendabik dada akan selamat dari tipu dayanya? Jalan syaitan menyelusup ke dalam jiwa anak Adam adalah apabila ada sekelumit perasaan ‘ujub (merasai kesempurnaan diri) dalam jiwa mereka. Merasa sempurna diri adalah ibu bagi segala kejahatan, sedang jiwa yang gerun dan tawadhu’ dengan Allah adalah pintu segala kebaikan.

Hanya jiwa yang fakir dapat menerima zakat kerahmatan dari Allah!
________________
1. “… Ihsan itu adalah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat Allah (musyahadah) atau merasa dilihat oleh Allah (muraqabah)… (Riwayat Imam Muslim, Kitab Hadith 40 Imam An-Nawawi)

Sabtu, September 18, 2010

Demi Cinta Pada Risalah Nabi...

Aku mendidik bukannya kerana aku sempurna, apalagi untuk dibarakahi
Aku hanya menyintai Ummah ini agar kembali kepada Risalah Nabi sallaLlahu 'alaihi wassalam
Membina Ihsan (Muraqabah dan Musyahadah) dan membina akhlak kehidupan berlandaskan Syariah
Agar ummah ini dapat bernafas dan memimpin
Akibat dikoyak rabakkan oleh Yahudi dan Nasrani

Jiwa Tasawwuf perlu dimiliki
Walau apa bentuk kehidupan dirimu
Sama ada kaya atau miskin, ulama atau pelajar, pemimpin atau rakyat, berpangkat atau tiada berpangkat, bapa atau ibu,usahawan atau pekerja
Kehidupan yang bersulam amanah, jujur, ikhlas, cinta, redha, menghormati dan takut pada intipan Allah
Lahirlah Ummah dan Negara yang kuat serta harmoni

Bersederhanalah dalam kehidupan sama ada dalam hukum, pakaian, dakwah, adab dan pergaulan
Taubatmu, kealimanmu, kewarakanmu, ibadahmu, zuhudmu, muraqabahmu hendaklah disembunyikan
Tersimpan bagaikan benih di dalam tanah yang sunyi
Jika benar muraqabahmu, ia akan mengeluarkan dahan, daun dan buah yang ranum
Tanpa perlu kamu riya’ untuk menunjukkan maqam dirimu
Cahaya di luar sudah cukup menjadi petunjuk adanya lampu di dalam
Tiada perlu lampu melaungkan ke sana sini, atau menzahirkan dirinya
Agar diketahui tentang kewujudannya

Tarekah adalah ijtihad Ulama Tasawwuf
Demi cinta mereka pada Ummah ini
Menyusun sistem zikir dan mujahadah
Agar Ummah ini memiliki jiwa Muraqabah dan Musyahadah
Agar Ummah ini khusyu’ dalam ibadahnya, agar khusyu’ dalam kehidupannya

Maqam-maqam zikir dan waridat dalam tarekah tasawwuf
Adalah wasilah bukan matlamat
Ia bagaikan permainan kanak-kanak
Kembalilah diri pada matlamat yang utama
Illahi anta maksudi waridha kamatlubi (Ya Allah, Engkaulah yang ku maksudkan, dan keredhaanMu lah yang ku cari)

Carilah nilai Allah dalam kehidupan ini
Bukannya nilai dari kaca mata insan yang juga dhaif seperti mu

al faqir ilaLlah Ibrahim Mohamad Asy-Syathari

Khamis, September 09, 2010

Salam Kemaafan...

Dengan berakhirnya Ramadhan, hamba yang banyak berdosa ini memohon maaf atas segala kesalahan dan kurang adab pada semua ikhwan dan sahabat. Sebagai insan, walau bagaimana kedudukannya, tiada dapat lari dari kesilapan dan kelemahan. Kesilapan bukan alasan untuk kita berputus asa, kita belajar melalui kesilapan dengan (berjiwa besar) mengakui kesilapan dan tiada mengulanginya.

Apa yang penting, hari raya mengajar kita membuka dada seluas-luasnya untuk memaafkan dan memohon kemaafan. Guru bukan maksum, bukan malaikat… Taati ia jika berada dalam kebenaran, namun bertawakuf, mendoakan dan menasihatinya dengan hikmah jika ada ksalahan.

Tidak semestinya pandangan dan pendirian Guru benar di sisi Allah walau pun murid setuju dengannya. Dan tidak semestinya pandangan dan pendirian murid salah di sisi Allah walau pun Guru tidak setuju dengannya. Murid wajar memuliakn Guru tapi Guru haram merasai dirinya mulia.

Menjadi Guru, memiliki ilmu hanya sebagai wasilah untuk mencapai redha Allah. Namun, bukan semua Guru dan golongan berilmu diredhai Allah, malah amat sedikit di akhir zaman ini yang mencapainya.

Hidupkan suasana keluarga dan banyakkan musyawarah dalam tindakan. Kasih sayang murid dengan Guru adalah keberkatan. Mereka yang bertemu dan berpisah kerana Allah, mereka itulah golongan yang mendapat naungan ‘Arasy dari kepanasan di akhirat nanti.

Mohon kemaafan zahir & batin…

al faqir ilaLlah Ibrahim Mohamad asy-Syathari
Zawiyah Syeikh Abdul Malik
Pulau Manis, K. Terengganu

Khutbah Aidilfitri 1431H

(Ini hanya paparan ringkas sahaja. Kalimah-kalimah bahasa Arab termasuklah ayat-ayat al-Quran tidak disertakan. Untuk muat turun khutbah penuh, sila klik Khutbah Aidilfitri 1431H ]


KHUTBAH PERTAMA

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan para jemaah sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwanya, dengan melaksanakan segala titah perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Dan janganlah kita mati melainkan dalam keadaan sebagai seorang Islam.

Firman Allah SWT :

“Wahai mereka yang mempunyai nafsu mutmainnah (jiwa yang tenang), kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan engkau redha padaNya dan Dia redha padamu. Maka masuklah engkau dalam golongan hambaKu, dan masuklah engkau ke dalam syurgaKu.” (al-Fajr: 27-30)

Setelah sebulan kita berpuasa Ramadhan, menahan diri dari lapar dan dahaga, hari ini kita merayakan hari kemenangan dan kesyukuran, kerana dengan izin Allah, kita dapat sempurnakan ibadah puasa dengan sebaiknya.

Namun, dalam kegembiraan kita merayakan hari kemenangan ini, kita perlu muhasabah, adakah kita benar-benar telah mencapai hakikat puasa yang dikehendaki Allah? Atau hanya berpuasa sekadar suatu adat sebagai seorang Islam? Persoalan ini amat penting, kerana masa yang berlalu tidak akan berulang kembali. Mereka yang tiada menghargai masa dalam kehidupan ini, akan menjadi golongan yang menyesal di akhirat nanti, sebagaimana firman Allah Ta’ala :

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (al-‘Asr: 1-4)

Orang yang melakukan ibadah tanpa kesedaran jiwa, tidak akan menemui kemanisan dalam amalnya itu. Justeru, para Ulama Tasawwuf amat menekankan apakah kesan atau hakikat yang diperolehi dari ibadah tersebut. Ia tiada dinilai berdasarkan gerak lahiriah semata-mata. Kesan yang dimaksudkan ialah perubahan dalam membuka hijab-hijab hati, sehingga hati menjadi cermin yang dapat mengungkap rahsia-rahsia Illahiah. Hati seperti ini akan merasa gerun, cinta dan teguh imannya kepada Allah SWT.

Muslimin muslimat yang dikasihi,

Masyarakat kita hari ini sudah amat jauh daripada norma-norma kehidupan sebagai umat Islam, hatta sebagai seorang Melayu. Golongan muda khususnya menjadikan Barat sebagai kiblat kehidupan mereka. Tokoh-tokoh Barat lebih dikenali dan dipuja berbanding tokoh-tokoh pahlawan Islam, para ilmuan dan ulama. Para artis disanjung, dijadikan idola mereka. Budaya hedonisme (keseronokan nafsu) dan materialistik (kebendaan) menjadi matlamat hidup mereka. Setengah mereka memegang prinsip hidup, ‘kejar dunia tapi jangan tinggalkan akhirat’, sedang ini adalah falsafah Yahudi yang berjaya meracuni pemikiran umat Islam.

Masyarakat menjalani ibadah solat, puasa, zakat dan haji, tetapi dalam masa yang sama jiwa mereka penuh dengan keangkuhan, dendam, dengki, riak, cinta dunia, tamak haloba, umpat, fitnah dan lain-lain lagi yang diharamkan dalam agama. Sifat-sifat itu bagaikan suatu yang tidak boleh dipisahkan, berpunca dari tiada merasa gerun dan malu kepada Allah, yang sentiasa bersama mereka di mana berada.

Aidilfitri - Detik Mengukuhkan Perpaduan Ummah

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa liLlahi al-Hamd.

Kadangkala aku tertanya pada diriku, kegembiraan apakah aku menyambut Aidilfitri, sedangkan seluruh dunia Islam dalam keadaan yang tidak stabil? Barat masih mencengkam dunia dengan idealoginya yang memusnahkan tamadun manusia.

Umat Islam di Gaza, Afghanistan, Iraq, Pakistan masih berada dalam keadaan dukacita. Kesedaran umat Islam terhadap agamanya semakin lemah. Nabiku dicerca, Al-Quran mahu dibakar sebagai mengingati tragedi 11 September 2001 dan pelbagai lagi peristiwa yang benar-benar menyentuh hati nurani setiap pencinta Islam sama ada yang berlaku pada masyarakat, negara, Asean dan dunia.

Kelmarin aku solat jenazah anak sahabatku yang meninggal akibat terjatuh dalam kolam. Apa yang menyedihkan, walaupun ramai penduduk di sekelilingnya, namun sedikit yang hadir ziarah dan solat jenazah kerana perbezaan politik. Mungkin disebabkan sahabatku seorang ustaz yang juga aktivis PAS.

Tiada mana-mana pihak yang patut dipersalahkan kerana keduanya memang salah {segelintir ahli PAS dan UMNO). Ia berpunca apabila politik sentimen, emosi, nafsu diletakkan di hadapan, bukannya budaya politik matang, adab dan keterbukaan sebagaimana yang diajar dalam adab Islam.

Perbezaan idealogi politik tidak boleh dijadikan alasan untuk kita memutuskan silaturahim dan bantu membantu sesama saudara Islam. Kita menentang penyelewengan, kebatilan, kezaliman, kesalahan dengan cara dan adab yang ditunjuk oleh Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam.

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) di hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyaknya.” (Al-Ahzab: 21)

Baginda adalah ikutan kita dalam apa jua keadaan. Yang sesat, salah, jahil kita hampiri untuk perbetulkan, bukan menjauhi, apalagi mengajar kelompok untuk membenci kelompok yang dihukum. Jika benar hujah kita sekalipun, namun adab atau tindakan kita tetap salah.

Agama tidak boleh kita pelajari sekadar hukum, agama juga mengajar kita tentang akhlak. Sabda Nabi sallaLlahu alaihi wassalam :

“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (HR Ahmad)

Umat Islam kini ramai yang mengetahui hukum tetapi tiada memiliki adab, walau di kalangan ulama sekalipun. Bagaimana adab kita dengan non-Muslim, orang fasik, orang jahil, orang zalim, ahli maksiat, sesama saudara Muslim atau lainnya. Adab jiwa dan pergaulan perlu dipelajari oleh masyarakat kini agar Islam difahami secara syumul dan indah, bukannya secara serpihan-serpihan yang membawa kepincangan dan memperlihatkan wajah hodoh kita dalam pengamalan Islam.

Kita memahami ianya agak sukar untuk generasi lama di kedua-kedua pihak untuk berubah, namun kita mengharapkan generasi baru berada pada pemikiran, adab dan budaya yang baru dalam politik. Perbezaan pendapat membawa kerahmatan jika ditangani secara adab dan hikmah. Kita membetulkan kesilapan dengan penuh adab Islam bukannya adab jahiliyah.

Justeru itu, Aidilfitri mesti dipandang dari sudut untuk mengukuhkan perpaduan Islam walaupun ada perbezaan politik, perbezaan mazhab, perbezaan amalan, perbezaan idealisme dan lainnya. Manusia tiada akan dapat disatukan pemikiran, cita rasa dan budaya namun ia dapat disatukan dengan Islam yang berpegang pada Allah Pencipta sekelian manusia, Nabi bagi sekelian manusia, prinsip-prinsip Al-Quran yang menekankan keadilan, keamanan, kemakmuran, kasih sayang, toleransi yang memberi kebaikan pada sekelian manusia.

Demi Cinta dan Syukur kita kepada Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam, marilah kita mencintai umatnya dengan menghulurkan tangan bagi mereka yang mahu dipimpin, memberi bantuan kepada yang memerlukan, menyampaikan kalimah Allah pada mereka yang mahu mendengarnya, dan bagi yang tiada mahu mendengar, berdoalah dengan air mata jika seruan ditolak, bersabar dalam mentarbiyyah jika jiwanya masih keras dan liar.

Ziarahilah mereka yang mahu memutuskan persahabatan, memaafkan mereka yang bersalah, memohon maaf jika kita yang bersalah. Tiada istimewa dan kelebihan antara kita melainkan mereka yang benar tunduk hatinya dengan takwa kepada Allah. Hanya Allah jua yang mengetahui siapa hambaNya yang benar, kita hanya mampu mengukur pada syariat, namun pada hakikat tiada mampu kita menembusinya.
Nilai Allah tiada sama dengan nilai dan pandangan kita. Berhati-hatilah dengan pandangan Allah kerana Dialah yang sentiasa bersama kita walau di mana kita berada, kerana Dialah Allah yang akan membangkitkan kita untuk dinilai segala perjalanan kita di dunia. Siapa kita untuk menghukum kemuliaan pada diri kita dan menghukum kehinaan pada orang lain?
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa liLlahi al-hamd!

Rabu, September 01, 2010

Lailatul Qadar - Malam Bermulanya Tarbiyah Langit (Allah) dan Bumi (Hamba)

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Al-Qadar: 1-5)

Lailatul Qadar adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan, dikurniakan kepada umat Nabi akhir zaman. Ia malam kasih sayang Allah yang dikurnia kepada umat ini dengan ganjaran pahala berlipat kali ganda, lantaran umur mereka di dunia ini terlalu singkat berbanding dengan umat para Nabi a.s terdahulu.

Lailatul Qadar adalah malam Jibril a.s membawa Al-Quran kepada Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam ketika Baginda berkhalwat di Gua Hira’. Ia adalah malam cahaya bagi seluruh alam. Kegelapan dan kesuraman alam telah berlalu, alam membuka lembaran baru.

Cahaya Al-Quran menunjukkan jalan kebenaran bagi pencinta kebenaran, ia memberi jawaban kepada pencari jawaban, memberi penyelesaian bagi pencari penyelesaian, membongkar rahsia ilmu bagi pencinta ilmu. Syed Qutub menyebut dalam kitab fi Zilalil Quran ianya adalah malam kemerdekaan umat manusia.

Al-Quran memberi jawaban kepada persoalan siapa aku? Dari mana aku datang? Apa tujuan aku di sini? Dan ke mana aku pergi selepas ini? Persoalan ini adalah suara hati semua manusia di atas muka bumi ini yang mencintai kebenaran kehidupan. Persoalan ini juga perlu ditanya kepada mereka yang masih tenggelam dalam keseronokan hijab-hijab nafsu dan kekufuran.

Akal manusia tiada mampu untuk membongkar rahsia kehidupan ini. Pandangan mata, pendengaran telinga tiada mampu melihat atau mendengar perkara yang disebaliknya. Mata manusia melihat jasad terbujur kaku (mayat), tetapi mata tiada mampu melihat apa yang berlaku disebalik jasad yang terbujur itu. Telinga mendengar deruan ombak, desiran angin, nyanyian sang burung, deruman guruh dan petir, namun mereka tiada mampu mendengar tasbih-tasbih makhluk Allah itu.

Kelupaan manusia menyebabkan mereka itu bernama ‘insan’. Mereka lupa asal dan perjanjian mereka di alam ruh. Lupa adalah hijab yang paling utama, fitrah ketuhanan dan kehambaan tertutup apabila tiada dibuka dengan peringatan.

Al-Quran datang memberi peringatan kepada yang lupa. Apabila mereka ingat asal mereka, maka Al-Quran membimbing pula rohani mereka mikraj ke alam perjanjian (alam asal mereka) dengan akidah, ibadah, mujahadah, adab dan syariat. Akan terbuka kembali segala yang tertutup, sebagaimana firman Allah :

"(Serta dikatakan kepadanya): “Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka Kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat).” (Qaaf: 22)

Kalimah "Tidak menyentuh Al-Quran kecuali orang-orang yang disucikan" dalam surah Al-Waqiah ayat 79 menjadi perbahasan mazhab dalam masalah fekah tentang hukum menyentuh Al-Quran. Ada ulama mentafsirkan yang dimaksudkan suci itu ialah seorang mukmin, ada yang mengatakan mukmin yang dalam keadaan suci, ada yang memberi maksud ialah malaikat yang membawa Al-Quran.

Ulama Tasawwuf mentafsirkan bahawa “tiada yang memahami (menyentuh) Al-Quran melainkan mereka yang memiliki hati yang suci”. Jika seorang itu tiada memiliki hati yang bersih, segala bacaannya hanyalah di halkum, mereka tiada boleh memahaminya sehingga tiada meningkat iman mereka dengan bacaan tersebut.

Inilah yang disabda Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam bahawa ada golongan yang membaca Al-Quran tapi hanyalah di halkum sahaja, sama ada mereka di kalangan orang awam, qari atau hafiz sekalipun. Justeru itu mereka yang mahu membaca Al-Quran memelihara adab-adabnya agar jiwa mereka tunduk dan dapat tadabbur dengan setiap ayat yang dibacanya, sehingga gementar hatinya.

Ramai Orientalis Barat yang mengkaji Al-Quran dapat melihat kebenaran dan kehebatannya, namun ramai yang tiada beriman lantaran jiwa mereka mempunyai penyakit angkuh dan dengki. Ada juga di kalangan mereka yang memeluk Islam disebabkan jiwa mereka tunduk dengan kebenaran dan ikhlas mencari kebenaran.

Jiwa yang hidup memainkan peranan penting dalam memahami Al-Quran. Para ulama Tasawwuf memulakan tarbiyah dengan zikir dan mujahadah untuk menghidupkan jiwa agar mereka dapat dzauk dan menghayati Al-Quran. Mereka akan melayang dengan kesedaran jiwa mengikut ayat yang dibaca. Jika ayat menceritakan Akhirat, jiwa mereka seolah tembus melihatnya, begitu juga yang mengisahkan syurga dan neraka, jiwa mereka seolah berada di sana.

Para sahabat r.a. kerap mengalami dzauk yang hebat apabila membaca atau mendengar ayat-ayat Allah sehingga membawa mereka fana’ berhari-hari. Ada yang pengsan malah ada yang meninggal dunia di belakang Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam lantaran tiada tertahan jiwa mereka dengan lantunan keindahan ayat-ayat Al-Quran.

Para pencinta Al-Quran bukan sekadar jiwa mereka hidup dalam lautan rohani, tetapi membawa kepada keberanian, kekuatan, jati diri dan kecerdasan akal serta emosi yang tinggi sehingga mereka memiliki hikmah yang mengkagumkan.

Para pemegang Al-Quran adalah golongan yang sebaiknya menjadi pemimpin dunia kerana dalam jiwa, akal dan emosi mereka memancar di langit, di tangan mereka ada kitab yang memiliki penyelesaian kepada segala masalah kehidupan dunia.

Malam Lailatul Qadar bukan sahaja malam kita memperbanyakkan taubat, ibadah dan munajat, tapi malam kita memperbanyakkan syukur dan menghidupkan cinta lantaran ia malam bermulanya perhubungan cinta Allah kepada makhluk bernama manusia. Ia adalah malam bermulanya perhubungan tarbiyah langit (Allah) dan bumi (manusia) melalui insan yang bernama Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam, malam yang memperkenalkan diriNya (Allah) sebagai Rabb dan manusia adalah ciptaanNya dari setitis air yang hina dan malam yang memperkenalkan Muhammad kekasihNya, semulia-mulia makhlukNya, sebagai pembawa kerahmatan sekelian alam.

Ia adalah malam kebebasan manusia dari penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan kepada Allah, daripada kejahilan kepada alim, daripada nafsu kepada suci, daripada kufur kepada iman. Bermula malam tersebut maka Allah mengajar manusia satu persatu bagaimana mahu mengatur kehidupannya sebagai manusia dalam akidah, ibadah, keluarga, masyarakat, ekonomi, politik, sosial, kehakiman dan lainnya.

Marilah kita di akhir Ramadhan meningkatkan jiwa KEHAMBAAN, KESYUKURAN dan CINTA sehingga hanyut kita dalam lautan keasyikan dengan Rabb. Berkhalwah atau iktikaflah di masjid-masjid mencari Lailatul Qadar agar kehidupan yang pendek ini diselubungi cahaya amal yang melimpah.

Jadilah diri kita golongan yang berebut-rebut mencari cahaya cinta Lailatul Qadar yang di dalamnya terkandung bisikan cinta ALLAH, RASUL dan para MALAIKAT . Marilah kita mendambakan cinta Allah dan Rasul dengan memperbanyakkan taubat yang benar, selawat yang penuh kerinduan dan cinta, zikir yang merubah jiwa, munajat dengan air mata kefakiran memohon keselamatan pada diri, keluarga dan ummah, solat yang khusyu dan tafakur yang tenggelam dalam sifat Kebesaran Allah.

Semoga fajar pagi Lailatul Qadar akan terus bersinar membawa perubahan pada diri para pencintanya dan terpancar pula kepada seluruh ummah.