Berhati-hatilah kamu dalam mengatakan sesuatu tentang agama Allah SWT, jangan kamu cepat menghukum dengan sesuatu yang kamu jahil tentangnya kerana ianya telah diperingatkan oleh Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wassalam kepada Abu Dzar r.a. Nabi sallaLlahu 'alaihi wassalam bersabda: "Hai Abu Zar, jika engkau ditanya sesuatu yang tidak engkau ketahui, jawablah saya tidak mengetahui supaya selamat dari tanggungjawabnya, dan jangan memberi fatwa terhadap apa yang engkau tidak ketahui, supaya selamat dari siksa Allah swt pada hari kiamat."
Tanda orang alim yang warak dan merendah diri bukan terletak pada serban atau pada pakaiannya, tetapi kewarakan orang alim adalah berdasarkan sikap berhati-hati dalam fatwanya. Mereka lebih suka menyatakan "waLlahu 'alam" dalam hal yang mereka kesamaran. Ulama-ulama di zaman para sahabat sentiasa tolak-menolak di antara satu sama lain apabila datangnya orang bertanya meminta fatwa. Ini kerana mereka bimbang takut-takut tersalah dalam memberikan fatwa mereka. Bagi mereka, setiap kali orang meminta fatwa, ia bagaikan sebuah gunung yang dihempaskan ke atas kepada mereka.
Seorang yang mempunyai ilmu yang banyak tetapi tidak memiliki sifat warak, adalah melambangkan keegoan dan sifat takabur. Iblis tersesat dan dimurkai Tuhan disebabkan kesombongannya, walaupun ilmu dan amalnya banyak. Janganlah kamu wahai saudaraku berlagak alim kerana berkata Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali rahimahuLlah: "Kerosakan agama akan berlaku apabila orang-orang jahil berlagak alim."
Dan dikatakan lagi di akhir zaman begitu ramai orang ahli pidato, tetapi sikit ahli ilmu. Kita wajib bersifat warak dalam masalah ilmu agama kerana sejauh manakah kita mampu menguasai bahasa Arab dan segala syarat-syarat yang dikehendaki dalam mengeluarkan hujah. Begitu juga berapa ribu hadithkah yang kita ingat sama ada dari hadith Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi dan sebagainya? Berapa dalamkah kita mengaji usul fiqh dalam perbahasan kaedah ulama-ulama dalam mengeluarkan hukum?
Begitulah juga, kita perlu memahami bahawa setiap amalan yang tiada kita jumpa dalam Al-Quran perlu dirujuk kepada hadith dan dalam setiap matan hadith pula berapa banyak ulama berbeza pendapat. Bukan mereka menolak kebenaran hadith tetapi mereka berbeza pendapat dalam masalah mentakwilkannya. Ada yang mentakwil secara zahir hadith, ada yang secara batin hadith dan pelbagai lagi kerana ketinggian ilmu Islam yang begitu luas. Apabila sesuatu amalan itu tiada kita temui dalam hadis, rujuklah ulama yang soleh, apakah pendapat mereka. Jika pendapat ulama itu tidak ijma' dan ada ulama Islam lain menentangnya dan tidak bersetuju dengan pendapatnya, maka ia adalah khilafiah. Jika perkara itu khilafiah, kita perlu berlapang dada. Yakni kita boleh menerima dan mengamalkannya atau meninggalkannya dengan tidak mencerca pendapat yang lain.
Islam telah menyatakan satu kaedah bahawa tiada bidaah atau kemungkaran dalam perkara khilafiah. Tetapi, umat Islam hari ini berpecah-belah kerana bergaduh dalam masalah perbezaan pendapat, sehingga dalam masalah fekah berlaku tuduh menuduh antara satu sama lain dan begitu juga dengan hal-hal yang lain. Sedangkan, ia tidak terkeluar daripada pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah yang bersandarkan kepada Al-Quran, As-Sunnah, Ijma' dan Qias.
WaLlahu 'alam.