Rabu, April 28, 2010

Agama Tanpa Kesedaran Jiwa

Permasalahan utama kini ialah ramai di kalangan umat Islam menghadapi krisis jiwa yang tiada kesedaran agama. Mereka bukannya golongan yang tiada tahu hukum hakam, dosa, pahala dan pembalasan akhirat, namun segalanya tiada memberi kesan kerana ‘kematian’ jiwa dan krisis kepercayaan.

Kematian jiwa berlaku di kalangan para pemerintah, para ahli agama, para hartawan, para ahli akademik, para pemikir, ahli politik, pendakwah, golongan awam, golongan muda dan di pelbagai peringkat golongan lagi. Rasuah, penipuan, fitnah, dengki, takbur, cinta dunia, tamak haloba, dendam, jatuh menjatuh, dadah, hiburan melampau, rogol, zina, rempit, derhaka pada ibu bapa dan lainnya adalah kesan yang lahir daripada jiwa yang tiada kepercayaan dan "Kesedaran Ketuhanan".

Penekanan pendidikan kepada kesihatan jasmani, kecerdikan akal (IQ), pengawalan emosi (EQ) tanpa memberi penekanan kepada titik yang utama dalam diri manusia iaitu “Kesedaran Fitrah Ketuhanan”, maka pendidikan itu membawa kepincangan yang dahsyat dalam diri manusia dan kepincangan itu merebak kepada keluarga dan masyarakat.

Beberapa ramai ibu bapa hari ini menangis kerana pengorbanan mereka untuk melahirkan anak yang berjaya pada kehidupan dunia ini dibayar dengan penghinaan tanpa terima kasih? Ini adalah sebahagian kesannya apabila jiwa kesedaran ketuhanan dalam diri tiada dibuka. Jika ada yang masih mempunyai nilai-nilai yang baik dalam kehidupan, kebanyakannya adalah disebabkan oleh budaya dan ikatan adab sebagaimana non muslim atau mereka yang tiada agama. Ia bukan lahir daripada “Kesedaran Ketuhanan” dan “Kepercayaan” kepada agama.