Isnin, September 27, 2010

Matlamat Pendidikan Tarekah Madrasah Tasawwuf

Madrasah Tasawwuf bukan matlamatnya untuk melahirkan ulama, ahli ‘abid dan ahli uzlah. Matlamat Pendidikan Tarekah Tasawwuf ialah mahu melahirkan ummah yang memiliki jiwa IHSAN (Muraqabah dan Musyahadah)[1] walau apa pun pekerjaan, jawatan dan taraf sosialnya.

Pendidikannya bukan juga untuk melahirkan golongan yang sibuk dengan pakaian zahiriah untuk dilihat wara’, alim, ahli zuhud, ahli taubat atau lainnya, tetapi golongan yang menekankan kesederhanaan dalam pegangan hukum, pakaian, juga dalam perbahasan akidah dan pergaulan yang mengutamakan kerendahan diri.

Dengan memiliki Ihsan, mereka akan menjadi golongan yang amanah, jujur, ikhlas, bertakwa, merendah diri, saling menghormati, bersungguh-sungguh dalam apa jua bentuk urusan yang diamanahkan sama ada sebagai pemimpin, usahawan, pelajar, penjawat awam, pendakwah, ulama, suami, isteri dan lainnya. Dengan memiliki jiwa yang Ihsan, akan berlakunya TAWAZUN (keseimbangan) antara hubungan dengan Allah (habluminaLlah) dan hubungan dengan manusia (habluminannas) dalam kehidupan hariannya.

Pendidikan tarekah adalah merupakan ilmu ijtihad para ulama tasawwuf dalam menyusun latihan jiwa melalui kaedah zikir dan mujahadah. Ia bertujuan agar seseorang itu mencapai maqam Ihsan. Maqam Ihsan wajib dimiliki oleh setiap Mukmin kerana ia adalah rangkaian sendi agama yang tiada boleh dipisahkan dalam Kesepaduan AD-DIN sebagaimana yang disabda oleh Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dalam Hadis Muslim iaitu Iman, Islam dan Ihsan.

Kesepaduan jiwa Iman, Ihsan dan aspek kehidupan berlandaskan panduan Islam adalah penekanan dalam Risalah Syariah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Dengannya, umat Rasulullah diiktiraf sebagai umat yang terbaik yang dilahirkan dari umat manusia.

Firman Allah :
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Ali-‘Imran: 110)


4 ASPEK TERAS RISALAH RASULULLAH صلى الله عليه وآله وسلم

Madrasah Tasawwuf hendaklah berlandaskan Risalah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang menekankan empat aspek utama iaitu:

1. HABLUMINALLAH (Hubungan dengan Allah) yakni ibadah khususiah, zikir, doa, muraqabah, musyahadah, takwa, rindu, cinta dll.

2. HABLUMINANNAS (Hubungan dengan makhluk) dalam ibadah fardhu kifayah yang berkaitan dengan keluarga, adab sesama insana, ekonomi, politik, kehakiman, amal ma’ruf nahi mungkar dan lainnya.

3. TAWAZUN yakni keseimbangan antara keduanya.

4. WASATHIAH yakni kesederhanaan antara dunia dan akhirat. Aspek ini telah berjaya membina tamadun manusia yang memimpin dunia dengan penuh kedamaian dan kerahmatan. Mereka golongan yang khusyu’ dalam solat, dalam muraqabah atau musyahadah, mereka juga golongan yang khusyu’ pula dalam urusan kehidupan dunia demi mencapai redha Allah.

Semoga terbina kembali permata-permata yang hilang ini dari ummah ini. Jiwa tasawwuf mereka tersembunyi bagaikan benih-benih dan akar-akar yang terjunam dalam bumi, namun akhlak yang berlandaskan syariah dapat dilihat bagaikan dahan-dahan dan buah-buah yang ranum yang terpacak ke langit.

Firman Allah :
“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit. Pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikitpun.” (Ibrahim: 24-26)

 
Bagaimana Mencapai maqam Muraqabah dan Musyahadah dalam latihan Tarekah?

Semua tarekah mempunyai silibus untuk mencapai maqam yang dikehendaki oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Kepentingan mempunyai tarekah adalah untuk mencapai khusyu’ dalam ibadah dan takwa dalam kehidupan. Di dalam solat, kita wajib memiliki Ilmu Fekah sebagai mengesahkan ibadah, Ilmu Tauhid sebagai mengesahkan tauhid Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) dan Ilmu Tasawwuf untuk menjalankan mata hati dalam menghadap Allah, seolah-olah melihat Allah atau merasai Allah melihat dirinya (Ihsan).

Jika solat tiada Ihsan, maka solat tadi hanya ada hukum fekah dan tauhid sahaja, tetapi tiada perjalanan jiwa. Ia membawa kepada kelalaian jiwa dalam ibadah sehingga ibadah solatnya tiada mampu membawa mereka kepada kebaikan dan mencegah daripada mungkar seperti firman Allah :

“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah perkara yang keji dan mungkar.” (Al-Ankabut: 45)

Mungkar di sini bukan sahaja pada hukum zahir tetapi juga kemungkaran yang tersembunyi dalam batin. Kemaksiatan dalam batin inilah yang kadangkala tiada disedari sehingga ramai yang meninggal dunia dalam keadaan mereka kekal dalam kemaksiatan batin yang diharamkan. Kemaksiatan batin jika tiada diubati boleh membawa seseorang mati dalam kekufuran.

Firman Allah :
“Dalam hati mereka ada penyakit, maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta.” (Al-Baqarah: 10)

Inilah yang banyak diperkatakan oleh para ulama, bahawa mereka yang tiada mendalami ilmu tasawwuf, dibimbangi mati dalam Suul Khatimah. Justeru, dengan tujuan penyucian batin dan menjalankan rohani kepada Allah agar mencapai musyahadah, maka para ulama terdahulu walaupun alim dalam ilmu-ilmu zahir seperti Hadis, Tafsir, Fekah, Tauhid, Nahu, Sorof dan lainnya, mereka tetap mencari Syaikh Murabbi dalam meneroka penyakit batin mereka, dan mendalami pelajaran membuka mata hati sehingga mencapai maqam Ihsan. Ianya tiada lain agar mereka mencapai maqam kesempurnaan dalam perjalanan Ad-Din.

Pendidikan tarekah memulakan dengan memperbanyakkan amalan taubat agar membersihkan kegelapan batin, kemudian memperbanyakkan selawat agar menguatkan cahaya batin, menguatkan tali perhubungan cinta dengan Guru agar mempunyai talian barakah dengan golongan para kekasih Allah, melalui rantaian silsilah tarekah mereka sehingga sampai kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Murid disuruh memperbanyakkan zikir nafi ithbat agar membuang segala ilah-ilah yang lain selain Allah, memperbanyakkan zikir isim mufrad (“Allah”) dalam qalbi setiap detik sebagai latihan tubi agar qalbi mesra dan manis dengan Ismu Dzat.

Apabila qalbi sudah penuh dengan cahaya, maka ia akan melimpah bergerak kepada seluruh empat Lathaif yang lain yakni Lathaif Ruh, Sirr, Khafi dan Akhfa’. Darinya nur zikir agar bergerak ke seluruh tubuh sehingga tubuh merasai tenggelam seluruhnya dalam zikir.

Apabila murid sudah mencapai di sini, maka Guru akan mengajar muraqabah beberapa ayat Al-Quran sehingga mencapai pembukaan hakikat-hakikatnya dan mencapai jiwa muraqabah. Selepas itu, Guru akan mengajar akan ayat-ayat musyahadah sehingga terbuka hakikat-hakikatnya dan mencapai jiwa musyahadah. Segala waridat dan asrar atau ladunni akan mengalir bagaikan mata air yang keluar dari lapisan qalbu yang dalam.


Kepentingan Guru Murabbi

Dalam mentafsir rahsia-rahsia yang terbuka dari lapisan sirr, ia perlukan penghuraian oleh Guru Murabbi agar dapat memberi jawaban yang benar serta tiada lari dari garisan akidah ASWJ.

Pentarbiyah ilmu (mu’allim) berbeza dengan pentarbiyah rohani (murabbi). Tidak semua ulama adalah murabbi, tidak semua murabbi adalah alim dalam ilmu syariah, namun wajib baginya memiliki ilmu yang melepasi fardhu ‘ain pada fekah, tauhid dan tasawwuf. Kekurangan mereka perlu ditampung oleh para muridnya yang alim dalam ilmu syariah atau persahabatan dengan para ulama syariah jika ada kekeliruan dalam permasalahan hukum.

Guru Murabbi mentarbiyah ketauhidan sehingga mencapai maqam tauhid syuhudiah (Ihsan), mentarbiyah nafsu sehingga mencapai Mutmainnah, mentarbiyah akhlak zahir dan batin sehingga mencapai akhlak yang terpuji, mentarbiyah sehingga berada dalam amal ibadah yang dituntut, mentarbiyah agar berada pada landasan hukum syariah, mentarbiyah agar segala rahsia yang terbuka dapat difahami dengan benar.

Guru Murabbi adalah golongan yang berjaya mentarbiyyah dirinya terlebih dahulu dengan berada di bawah tarbiyyah para Mursyidnya, sehingga beliau mendapat keizinan untuk mentarbiyyah manusia yang lain.

Keizinan dalam tarekah adalah penting agar disiplin ilmu Islam terpelihara dan selamat dari penyelewengan ilmu, kesalahan penghuraian dan nafsu mazmumah yang masih melekat dalam diri. Memberi keizinan kepada mereka yang belum layak mentarbiyah murid akan merosakkan dirinya dan para muridnya. Dan berdosa para guru yang mudah memberi keizinan mentarbiyyah rohani kepada murid yang belum layak kerana ia membawa mudharat bagaikan memberi pisau pada kanak-kanak.

Imam Al-Ghazali rahimahullah banyak menegaskan dalam beberapa kitab bahawa ‘Sesungguhnya jalan mendekati Allah adalah jalan sufi, namun jalan untuk menjadi golongan yang terhijab dengan Allah juga adalah sufi’. Ia akan berlaku apabila jalan sufi dipimpin oleh para guru murabbi yang belum mencapai kelayakan mentarbiyah walaupun padanya sudah ada dzauk dan pembukaan makrifat akibat ditarik secara majzub.

Syaikh Ahmad Al-Fatani dalam kitab al-Fatawa Fathaniah mengatakan, ‘Golongan yang majzub adalah mandul yakni tiada boleh mengandungkan anak-anak rohani'. Mereka perlu berada di bawah dagu beberapa Mursyid untuk memimpin kerana seni ilmu sufi bukannya semata-mata pada pembukaan rahsia, bahkan masih banyak selok belok perjalanannya yang perlu difahami.

Justeru disebabkan kelayakan para guru rohani di akhir zaman adalah terhad, malah amat sukar mencari guru yang benar-benar mencapai kelayakan mursyid yang dinisbahkan pada ilmu tasawwuf, maka seorang guru murabbi perlu banyak bermurajaah dengan para syaikh tarekah yang lain, walau berbeza aliran, untuk ditimba ilmu dan pengalaman mereka dalam pentarbiyahan.

Demi Allah, sifat mazmumah para mursyid tarekah hari ini yang banyak menghancurkan dan membinasakan ilmu tarekah tasawwuf ini yang tinggi nilainya dalam ilmu Islam.
Ya Allah! Selamatkan diriku dan ummah ini dari kejahatan nafsu ammarah yang berselindung di sebalik kealiman, ibadah, adab dan syariah. Demi Allah, sesungguhnya syaitan tiada akan mudah berputus asa dari membawa anak Adam kepada penyelewengan untuk membawa bersamanya ke dalam neraka Allah. Oleh itu, janganlah merasa aman daripada tipu daya syaitan walau pun berada dalam martabat kewalian mana sekalipun.

Jika para Nabi-Nabi a.s didatangi syaitan untuk menggoda dan menipu mereka, siapakah kita untuk mendabik dada akan selamat dari tipu dayanya? Jalan syaitan menyelusup ke dalam jiwa anak Adam adalah apabila ada sekelumit perasaan ‘ujub (merasai kesempurnaan diri) dalam jiwa mereka. Merasa sempurna diri adalah ibu bagi segala kejahatan, sedang jiwa yang gerun dan tawadhu’ dengan Allah adalah pintu segala kebaikan.

Hanya jiwa yang fakir dapat menerima zakat kerahmatan dari Allah!
________________
1. “… Ihsan itu adalah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat Allah (musyahadah) atau merasa dilihat oleh Allah (muraqabah)… (Riwayat Imam Muslim, Kitab Hadith 40 Imam An-Nawawi)