Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa liLlahi al-Hamd.
Kadangkala aku tertanya pada diriku, kegembiraan apakah aku menyambut Aidilfitri, sedangkan seluruh dunia Islam dalam keadaan yang tidak stabil? Barat masih mencengkam dunia dengan idealoginya yang memusnahkan tamadun manusia.
Umat Islam di Gaza, Afghanistan, Iraq, Pakistan masih berada dalam keadaan dukacita. Kesedaran umat Islam terhadap agamanya semakin lemah. Nabiku dicerca, Al-Quran mahu dibakar sebagai mengingati tragedi 11 September 2001 dan pelbagai lagi peristiwa yang benar-benar menyentuh hati nurani setiap pencinta Islam sama ada yang berlaku pada masyarakat, negara, Asean dan dunia.
Kelmarin aku solat jenazah anak sahabatku yang meninggal akibat terjatuh dalam kolam. Apa yang menyedihkan, walaupun ramai penduduk di sekelilingnya, namun sedikit yang hadir ziarah dan solat jenazah kerana perbezaan politik. Mungkin disebabkan sahabatku seorang ustaz yang juga aktivis PAS.
Tiada mana-mana pihak yang patut dipersalahkan kerana keduanya memang salah {segelintir ahli PAS dan UMNO). Ia berpunca apabila politik sentimen, emosi, nafsu diletakkan di hadapan, bukannya budaya politik matang, adab dan keterbukaan sebagaimana yang diajar dalam adab Islam.
Perbezaan idealogi politik tidak boleh dijadikan alasan untuk kita memutuskan silaturahim dan bantu membantu sesama saudara Islam. Kita menentang penyelewengan, kebatilan, kezaliman, kesalahan dengan cara dan adab yang ditunjuk oleh Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam.
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) di hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyaknya.” (Al-Ahzab: 21)
Baginda adalah ikutan kita dalam apa jua keadaan. Yang sesat, salah, jahil kita hampiri untuk perbetulkan, bukan menjauhi, apalagi mengajar kelompok untuk membenci kelompok yang dihukum. Jika benar hujah kita sekalipun, namun adab atau tindakan kita tetap salah.
Agama tidak boleh kita pelajari sekadar hukum, agama juga mengajar kita tentang akhlak. Sabda Nabi sallaLlahu alaihi wassalam :
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (HR Ahmad)
Umat Islam kini ramai yang mengetahui hukum tetapi tiada memiliki adab, walau di kalangan ulama sekalipun. Bagaimana adab kita dengan non-Muslim, orang fasik, orang jahil, orang zalim, ahli maksiat, sesama saudara Muslim atau lainnya. Adab jiwa dan pergaulan perlu dipelajari oleh masyarakat kini agar Islam difahami secara syumul dan indah, bukannya secara serpihan-serpihan yang membawa kepincangan dan memperlihatkan wajah hodoh kita dalam pengamalan Islam.
Kita memahami ianya agak sukar untuk generasi lama di kedua-kedua pihak untuk berubah, namun kita mengharapkan generasi baru berada pada pemikiran, adab dan budaya yang baru dalam politik. Perbezaan pendapat membawa kerahmatan jika ditangani secara adab dan hikmah. Kita membetulkan kesilapan dengan penuh adab Islam bukannya adab jahiliyah.
Justeru itu, Aidilfitri mesti dipandang dari sudut untuk mengukuhkan perpaduan Islam walaupun ada perbezaan politik, perbezaan mazhab, perbezaan amalan, perbezaan idealisme dan lainnya. Manusia tiada akan dapat disatukan pemikiran, cita rasa dan budaya namun ia dapat disatukan dengan Islam yang berpegang pada Allah Pencipta sekelian manusia, Nabi bagi sekelian manusia, prinsip-prinsip Al-Quran yang menekankan keadilan, keamanan, kemakmuran, kasih sayang, toleransi yang memberi kebaikan pada sekelian manusia.
Demi Cinta dan Syukur kita kepada Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam, marilah kita mencintai umatnya dengan menghulurkan tangan bagi mereka yang mahu dipimpin, memberi bantuan kepada yang memerlukan, menyampaikan kalimah Allah pada mereka yang mahu mendengarnya, dan bagi yang tiada mahu mendengar, berdoalah dengan air mata jika seruan ditolak, bersabar dalam mentarbiyyah jika jiwanya masih keras dan liar.
Ziarahilah mereka yang mahu memutuskan persahabatan, memaafkan mereka yang bersalah, memohon maaf jika kita yang bersalah. Tiada istimewa dan kelebihan antara kita melainkan mereka yang benar tunduk hatinya dengan takwa kepada Allah. Hanya Allah jua yang mengetahui siapa hambaNya yang benar, kita hanya mampu mengukur pada syariat, namun pada hakikat tiada mampu kita menembusinya.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa liLlahi al-hamd!
Nilai Allah tiada sama dengan nilai dan pandangan kita. Berhati-hatilah dengan pandangan Allah kerana Dialah yang sentiasa bersama kita walau di mana kita berada, kerana Dialah Allah yang akan membangkitkan kita untuk dinilai segala perjalanan kita di dunia. Siapa kita untuk menghukum kemuliaan pada diri kita dan menghukum kehinaan pada orang lain?