“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Al-Qadar: 1-5)
Lailatul Qadar adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan, dikurniakan kepada umat Nabi akhir zaman. Ia malam kasih sayang Allah yang dikurnia kepada umat ini dengan ganjaran pahala berlipat kali ganda, lantaran umur mereka di dunia ini terlalu singkat berbanding dengan umat para Nabi a.s terdahulu.
Lailatul Qadar adalah malam Jibril a.s membawa Al-Quran kepada Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam ketika Baginda berkhalwat di Gua Hira’. Ia adalah malam cahaya bagi seluruh alam. Kegelapan dan kesuraman alam telah berlalu, alam membuka lembaran baru.
Cahaya Al-Quran menunjukkan jalan kebenaran bagi pencinta kebenaran, ia memberi jawaban kepada pencari jawaban, memberi penyelesaian bagi pencari penyelesaian, membongkar rahsia ilmu bagi pencinta ilmu. Syed Qutub menyebut dalam kitab fi Zilalil Quran ianya adalah malam kemerdekaan umat manusia.
Al-Quran memberi jawaban kepada persoalan siapa aku? Dari mana aku datang? Apa tujuan aku di sini? Dan ke mana aku pergi selepas ini? Persoalan ini adalah suara hati semua manusia di atas muka bumi ini yang mencintai kebenaran kehidupan. Persoalan ini juga perlu ditanya kepada mereka yang masih tenggelam dalam keseronokan hijab-hijab nafsu dan kekufuran.
Akal manusia tiada mampu untuk membongkar rahsia kehidupan ini. Pandangan mata, pendengaran telinga tiada mampu melihat atau mendengar perkara yang disebaliknya. Mata manusia melihat jasad terbujur kaku (mayat), tetapi mata tiada mampu melihat apa yang berlaku disebalik jasad yang terbujur itu. Telinga mendengar deruan ombak, desiran angin, nyanyian sang burung, deruman guruh dan petir, namun mereka tiada mampu mendengar tasbih-tasbih makhluk Allah itu.
Kelupaan manusia menyebabkan mereka itu bernama ‘insan’. Mereka lupa asal dan perjanjian mereka di alam ruh. Lupa adalah hijab yang paling utama, fitrah ketuhanan dan kehambaan tertutup apabila tiada dibuka dengan peringatan.
Al-Quran datang memberi peringatan kepada yang lupa. Apabila mereka ingat asal mereka, maka Al-Quran membimbing pula rohani mereka mikraj ke alam perjanjian (alam asal mereka) dengan akidah, ibadah, mujahadah, adab dan syariat. Akan terbuka kembali segala yang tertutup, sebagaimana firman Allah :
"(Serta dikatakan kepadanya): “Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka Kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat).” (Qaaf: 22)
Kalimah "Tidak menyentuh Al-Quran kecuali orang-orang yang disucikan" dalam surah Al-Waqiah ayat 79 menjadi perbahasan mazhab dalam masalah fekah tentang hukum menyentuh Al-Quran. Ada ulama mentafsirkan yang dimaksudkan suci itu ialah seorang mukmin, ada yang mengatakan mukmin yang dalam keadaan suci, ada yang memberi maksud ialah malaikat yang membawa Al-Quran.
Ulama Tasawwuf mentafsirkan bahawa “tiada yang memahami (menyentuh) Al-Quran melainkan mereka yang memiliki hati yang suci”. Jika seorang itu tiada memiliki hati yang bersih, segala bacaannya hanyalah di halkum, mereka tiada boleh memahaminya sehingga tiada meningkat iman mereka dengan bacaan tersebut.
Inilah yang disabda Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam bahawa ada golongan yang membaca Al-Quran tapi hanyalah di halkum sahaja, sama ada mereka di kalangan orang awam, qari atau hafiz sekalipun. Justeru itu mereka yang mahu membaca Al-Quran memelihara adab-adabnya agar jiwa mereka tunduk dan dapat tadabbur dengan setiap ayat yang dibacanya, sehingga gementar hatinya.
Ramai Orientalis Barat yang mengkaji Al-Quran dapat melihat kebenaran dan kehebatannya, namun ramai yang tiada beriman lantaran jiwa mereka mempunyai penyakit angkuh dan dengki. Ada juga di kalangan mereka yang memeluk Islam disebabkan jiwa mereka tunduk dengan kebenaran dan ikhlas mencari kebenaran.
Jiwa yang hidup memainkan peranan penting dalam memahami Al-Quran. Para ulama Tasawwuf memulakan tarbiyah dengan zikir dan mujahadah untuk menghidupkan jiwa agar mereka dapat dzauk dan menghayati Al-Quran. Mereka akan melayang dengan kesedaran jiwa mengikut ayat yang dibaca. Jika ayat menceritakan Akhirat, jiwa mereka seolah tembus melihatnya, begitu juga yang mengisahkan syurga dan neraka, jiwa mereka seolah berada di sana.
Para sahabat r.a. kerap mengalami dzauk yang hebat apabila membaca atau mendengar ayat-ayat Allah sehingga membawa mereka fana’ berhari-hari. Ada yang pengsan malah ada yang meninggal dunia di belakang Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam lantaran tiada tertahan jiwa mereka dengan lantunan keindahan ayat-ayat Al-Quran.
Para pencinta Al-Quran bukan sekadar jiwa mereka hidup dalam lautan rohani, tetapi membawa kepada keberanian, kekuatan, jati diri dan kecerdasan akal serta emosi yang tinggi sehingga mereka memiliki hikmah yang mengkagumkan.
Para pemegang Al-Quran adalah golongan yang sebaiknya menjadi pemimpin dunia kerana dalam jiwa, akal dan emosi mereka memancar di langit, di tangan mereka ada kitab yang memiliki penyelesaian kepada segala masalah kehidupan dunia.
Malam Lailatul Qadar bukan sahaja malam kita memperbanyakkan taubat, ibadah dan munajat, tapi malam kita memperbanyakkan syukur dan menghidupkan cinta lantaran ia malam bermulanya perhubungan cinta Allah kepada makhluk bernama manusia. Ia adalah malam bermulanya perhubungan tarbiyah langit (Allah) dan bumi (manusia) melalui insan yang bernama Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam, malam yang memperkenalkan diriNya (Allah) sebagai Rabb dan manusia adalah ciptaanNya dari setitis air yang hina dan malam yang memperkenalkan Muhammad kekasihNya, semulia-mulia makhlukNya, sebagai pembawa kerahmatan sekelian alam.
Ia adalah malam kebebasan manusia dari penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan kepada Allah, daripada kejahilan kepada alim, daripada nafsu kepada suci, daripada kufur kepada iman. Bermula malam tersebut maka Allah mengajar manusia satu persatu bagaimana mahu mengatur kehidupannya sebagai manusia dalam akidah, ibadah, keluarga, masyarakat, ekonomi, politik, sosial, kehakiman dan lainnya.
Marilah kita di akhir Ramadhan meningkatkan jiwa KEHAMBAAN, KESYUKURAN dan CINTA sehingga hanyut kita dalam lautan keasyikan dengan Rabb. Berkhalwah atau iktikaflah di masjid-masjid mencari Lailatul Qadar agar kehidupan yang pendek ini diselubungi cahaya amal yang melimpah.
Jadilah diri kita golongan yang berebut-rebut mencari cahaya cinta Lailatul Qadar yang di dalamnya terkandung bisikan cinta ALLAH, RASUL dan para MALAIKAT . Marilah kita mendambakan cinta Allah dan Rasul dengan memperbanyakkan taubat yang benar, selawat yang penuh kerinduan dan cinta, zikir yang merubah jiwa, munajat dengan air mata kefakiran memohon keselamatan pada diri, keluarga dan ummah, solat yang khusyu dan tafakur yang tenggelam dalam sifat Kebesaran Allah.
Semoga fajar pagi Lailatul Qadar akan terus bersinar membawa perubahan pada diri para pencintanya dan terpancar pula kepada seluruh ummah.