Sabtu, Oktober 23, 2010

Bila Ujian Datang Melanda...


Telah datang padaku seorang wanita yang solehah, hidupnya dari remaja sehingga sudah bergelar ibu, masih lagi dalam menuntut ilmu, cinta pada ibadah. Namun dia diuji dgn suami dan anak-anaknya, yang menggoncangkan perasaannya.

“Tuan, apakah salah saya, adakah saya terlalu banyak dosa sehingga Allah memberi musibah yang begitu berat pada saya?”, begitu luahan hatinya.

Pelbagai ikhtiar dilakukan dalam membentuk anak-anaknya. Suaminya mengambil sikap melepaskan tangan, segala dibeban diletak pada dirinya. Hidupnya berendam airmata.

Saya bertanya kepadanya, apakah salah Siti Maryam sehingga dirinya disuruh mengandung anak tanpa ayah (Nabi Isa a.s)? Qada’ Allah itu membawa dirinya dalam kancah fitnah yang hebat sehingga ia dihalau dari kampungnya, melahirkan anak seorang diri, sedangkan ia adalah kekasih Allah. Namun Siti Maryam tiada mengeluh dan tiada membantah apabila Malaikat memberitahu bahawa ia akan memgandung seorang anak lelaki tanpa bapa. Ia pasrah pada Allah, sebagai hamba tiada ia mengetahui kehendak Allah, sedangkan pada zahirnya takdir itu membawa kehidupan yang dipuji kepada kehidupan yang dihina.

Siti Maryam tiada bertanya apakah dosanya, tetapi menerima kehendak Allah dengan penuh cinta dan syukur. Sungguh, ia adalah kekasih Allah yang lulus ujian dari Sang Kekasih.

Wahai puan, kita jangan terlalu mengharap hidup ini sempurna. Kesempurnaan kadangkala membawa pada kemusnahan jiwa, kesusahan kadangkala membawa kepada kebaikan jiwa. Kita perlukan mata hati untuk syuhud pada Allah dalam segala perbuatanNya agar meyakini bahawa tiada Ia menzalimi kita, malah sentiasa dalam kecintaanNya dalam segala takdirNya.

Berserah, bersyukur, sentiasa berdoa… berbaik sangkalah padaNya, dan tetaplah dalam ketauhidan.

Allah berfirman :

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah : 216)