Kerosakan generasi anak bangsa hari ini bagaikan bukit yang runtuh tanpa dikawal. Akhlak dan budaya Melayu hampir lenyap, apalagi dengan akhlak Islam. Melayu hampir tinggal pada nama dan kulit sahaja, sedang jiwa, pemikiran dan akhlak mereka telah hancur.
2 Aliran Pendidikan
Secara umumnya, Melayu telah dipecahkan oleh dua aliran pendidikan iaitu aliran Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama. Dua aliran inilah yang mencorakkan kehidupan dan pemikiran Melayu di hari ini. Sekolah Kebangsaan adalah aliran yang membentuk budaya menyanjung barat, agama hanya sebagai sampingan dan dalam bentuk pengamalan peribadi, bukan sebagai dasar pengabdian (ubudiah) dalam setiap aspek kehidupan.
Aliran ini membentuk pemikiran ramai pemimpin pada hari ini. Mereka tidak meninggalkan solat tapi dalam masa yang sama kehidupan barat seperti majlis tari menari, tiada menutup aurat, pergaulan bebas, minuman keras dan lainnya tetap diamalkan tanpa rasa bersalah. Mereka dididik bahawa agama boleh menghalang kemajuan jika diamalkan sepenuhnya, bahkan ditanam doktrin bahawa hanya dengan mengikut barat sahaja, diri dan negara akan maju serta dihormati.
Sistem pendidikan kebangsaan pada awalnya meletakkan pelajaran agama hanya sebagai pilihan dalam peperiksaan (boleh pilih subjek lukisan atau agama!). Akibatnya golongan yang awal (mendapat pendidikan aliran kebangsaan) langsung tiada peduli agama malah ramai yang tidak faham agama. Apabila mereka mendapat keinsafan, mereka langsung tidak tahu untuk melakukan ibadah malah al-Quran juga tidak dapat dibaca. Kalau adapun kalangan yang tahu baca al-Quran, solat dan ibadah lainnya, itu disebabkan mereka mendapat pendidikan agama melalui keluarga dan guru-guru agama di kampung di luar waktu persekolahan.
Generasi kemudian perlu berterima kasih pada Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana telah mewajibkan pelajaran agama pada era beliau menjadi Menteri Pendidikan (1986-1990). Generasi pasca Anwar terpaksa belajar agama untuk lulus peperiksaan, dengan sebab itu mereka memiliki ilmu agama walaupun masih dalam lingkungan yang sempit.
Hari ini guru tidak lagi dihormati, berlainan dengan zaman 70-an dahulu. Ini disebabkan murid di awal 70-an memiliki ibu bapa yang tidak belajar di sekolah kebangsaan. Sebaliknya, mereka belajar di madrasah atau pondok dan dididik oleh para ulama, justeru mereka sentiasa menasihati anak-anak agar menghormati guru dan mereka juga amat menyanjung para guru. Sebagai contoh, jika pada musim buahan, biasanya kereta dan rumah para guru akan dipenuhi dengan hadiah pelbagai buah dari masyarakat kampung. Ini terbit dari sifat mentakzim dan memelihara adab berguru.
Malangnya, segala penghormatan ini semakin hilang dari kalangan generasi kedua walaupun masih lagi wujud ciri-ciri keMelayuan dan Islam. Namun akhlak memulia dan mentakzimkan guru ini terus hilang apabila anak generasi ketiga menjadi ibu ayah. Anak-anak kini tidak lagi ditanam hormat pada guru menyebabkan ada pelajar yang sanggup memukul, memaki dan menyaman guru. Ada juga kes, bapa pelajar yang dihukum guru membawa kawan-kawannya datang ke sekolah dan memukul guru terbabit.
Pendidikan Sekolah Kebangsaan nyata mencabut tata susila Islam dan budaya Melayu. Anak-anak kehilangan akidah, kecintaan pada Rasul, adab dengan guru, ibu bapa, orang tua dan masyarakat. Mereka yang gagal dalam SPM bakal mengisi jawatan sebagai mat rempit, mat merayau, mat gian, mat lepak, mat rock, mat ragut, mat mencuri, mat rogol, mek bohsia, mek bohjan, mek telanjang dan lainnya. Yang berjaya masuk universiti pun belum tentu bebas daripada menjadi mat atau mek tersebut.
Anak Penjajah Berwajah Melayu Islam
Mereka ini bakal menjadi ibu bapa kepada anak-anak bangsa generasi akan datang. Bagaimana mereka mendidik anak-anak mereka nanti tiadalah diketahui, tapi yang pastinya Islam pun tidak, Melayu pun tidak. Bangsa Melayu akan kehilangan agama, maruah, budaya dan mereka akan menjadi bangsa yang tiada identiti, hilang kekuatan dan jatidiri.
Apabila mereka berjaya ke menara gading atau ke luar negara, mereka tidak berbangga dengan Islam dan Melayu. Rambut mahu diwarnakan perang, pakaian, makanan, cara hidup mahu seperti orang barat. Bercakap lebih suka bahasa barat, kalau bercakap Melayu pun lenggoknya dalam bahasa orang putih. Betapa bodohnya bangsa Melayu ini yang mengkagumi golongan yang menjajah mereka, merampas kekayaan mereka, memecah-belahkan tanahair mereka, menghina agama mereka, membunuh pahlawan dan ulama mereka.
Rasanya tidak keterlaluan kalau dikatakan mereka ini sebenarnya adalah anak-anak penjajah yang berwajah Melayu. Jika diperiksa DNA mereka, tidak mustahil DNA mereka adalah DNA orang barat walau hidung mereka kempis sekalipun!
Adapun para pelajar universiti dan luar negara yang dilihat tidak menjadi anak penjajah, mereka ialah golongan yang terlibat dengan aktiviti agama dan dakwah di pusat pengajian masing-masing. Gerakan dakwah telah menyelamatkan mereka dari kehancuran identiti dan jatidiri Melayu Muslim. Justeru itu gerakan dakwah baik PAS, JIM, ABIM, ISMA, Tabligh, Haluan atau lainnya perlu dikuatkan di pusat-pusat pengajian tinggi sama ada dalam dan luar negara demi menyelamatkan akidah bangsa ini.
Gerakan Dakwah –‘Kekitaan’ vs. ‘Kebersamaan’
Mereka tidak perlu bertempur sesama sendiri dalam keadaan Yahudi menyembelih akidah anak-anak bangsa di sekeliling mereka. Buangkan semangat gerakan “kekitaan” kepada “kebersamaan”. Manusia tiada boleh dipaksa untuk mengikut cita rasa yang sama, justeru dengan kewujudan pelbagai jamaah, anak bangsa ini mempunyai pilihan untuk mengikuti aliran mana yang sesuai dengan jiwa mereka.
Bermain dengan kalimah ‘perlu kepada satu jamaah’ sedangkan sudah wujud pelbagai jamaah di depan mereka, tidak akan membantu keadaan. Malah, mereka seolah-olah masih bermimpi dengan tiada mahu menerima realiti di depan mereka. Kalimah itu walau diucap berjuta kali atau pecah mulut sekalipun, tiada akan mengubah realiti yang ada. Nasi sudah menjadi bubur, bersungut macamana pun, bubur tidak akan menjadi nasi semula.
Jemaah atau kumpulan Islam yang wujud tidak akan hilang malah akan terus aktif walaupun kita menutur kalimah ‘tiada boleh berbilang jamaah’ dengan disertakan pelbagai hujah. Jika kita ada hujah, mereka juga ada hujah dan ianya tiada akan selesai jika kita tiada mengambil sikap bahawa kita terpaksa menerima akan konsep berbilang-bilang jemaah. Apa yang perlu kita lakukan ialah terus bergerak ke depan dan mencari penyelesaian yang terbaik agar apa jua yang ada diubah menjadi positif demi kebaikan agama. Yang penting adalah keselamatan agama anak bangsa ini agar tidak terus runtuh dan hancur.
Perubahan Landskap Politik
Perubahan politik juga perlu dilakukan. Dalam keadaan Umno dan BN semakin lemah menerajui negara ini, PAS perlu bersama Pakatan Rakyat (PR) agar menjadi parti yang menjaga Islam dan orang Melayu. Kembalikan bangsa Melayu kepada dasar-dasar yang ditanam oleh nenek moyang mereka dahulu yakni Islam. Kita tidak boleh mengharap perubahan dengan sempurna kepada Islam kerana keterbatasan dalam sistem demokrasi hari ini, namun kita tidak boleh berlepas tangan sepenuhnya untuk tidak melakukan sesuatu agar tidak terus menjadi bertambah rosak.
Sekurang-kurangnya kalau PR menang nanti, Kementerian Pendidikan dipegang oleh kepimpinan PAS yang memahami Islam dan mencintai bangsa ini agar kembali pada Islam. Silibus pendidikan perlu digubal semula, daripada berkiblat kepada barat atau timur, kembali berkiblatkan Islam.
Semoga Allah memberi kemenangan kepada pemimpin yang benar-benar cintakan Islam dan dapat menyelamatkan keruntuhan bangsa ini. Semoga Allah memberi kekuatan dan istiqamah kepada gerakan dakwah walau apa jua wadah dan nama, demi menjaga agama di tanahair yang tercinta ini.
Wallahu ‘alam.