Program ziarah raya Aidilfitri baru-baru ini amat meriah dan mewujudkan satu budaya baru. Setiap rumah yang dikunjungi disambut dengan alunan qasidah burdah oleh anak-anak. Benih kecintaan pada Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam yang disemai melalui seni Qasidah Burdah telah begitu mekar.
Saya telah menetapkan rumah yang diziarahi perlu dimulakan dengan bacaan burdah dan ditutup dengan doa. Ramai yang meminta agar rombongan kami menziarahi rumah-rumah mereka, namun saya tiada mampu untuk menziarahi semuanya berdasarkan faktor masa dan kesihatan. Walaupun keletihan, jiwa saya rasa amat gembira.
Turun seawal jam 8 pagi hingga 11 malam berhari-hari amat memenatkan. Namun kerana cintakan para ikhwan dan muhibbin, digagahi juga diri ini menziarahi rumah mereka, kerana selama ini mereka sahaja yang datang menziarahi saya.
Ziarah pertama bermula di Kemaman, diatur oleh abang Azman & ustazah Siti Fatimah dengan dibahagikan kepada beberapa kawasan dan dikumpulkan sekelian muhibbin di satu rumah. Alunan burdah dilagukan oleh anak-anak dengan begitu bersemangat sekali menyambut kedatangan rombongan. Yang menariknya lagi, selepas menziarahi satu-satu rumah, mereka kemudian turut serta ke tempat-tempat lain pula secara konvoi. Keadaan ini mewujudkan kemeriahan dan kasih sayang yang lebih erat.
Manakala ziarah di Dungun diatur oleh Abi Sabri, di Ketengah oleh Haji Asri. Kemudian ziarah bersambung ke Lembah Kelang yang disusun oleh Abi Razali, Abi Azman dan Abi Dasuki di tempat masing-masing.
Saya turut melakukan kunjungan ke Madrasah Darul Islah, Sabak Bernam menziarahi Ustaz Hassan Asy-Syazili dan anak-anak didik beliau. Juga ke Rumah Sahabat Pertubuhan Darul Islah (PERKID Malaysia) pimpinan Ustaz Masridzi, kemudian terus ke Lahad Datu, Sabah.
Alhamdulillah, di setiap tempat yang dikunjungi, rombongan saya disambut dengn qasidah burdah yang mengasyikkan. Walaupun perancangan awal untuk melakukan ziarah ke semua rumah sahabat dan muhibbin, namun disebabkan keletihan dan keuzuran, maka hajat tersebut tidak dapat ditunaikan semuanya.
Ketika ziarah di Sabah, saya berasa amat kagum kerana ada di setengah tempat mereka yang hadir itu hanya berseluar pendek di masjid, namun mereka tetap meraikan dan memberi penghormatan kepada rombongan dakwah kami.
Kunjungan di sana diuruskan oleh Tuan Haji Yussup Nannong, seorang usahawan yang agak terkenal di sana. Beliau dengan dibantu Encik Roslan begitu bersungguh-sungguh memastikan setiap program yang diatur berjalan dengan baik dan lancar.
Turut serta bersama saya ialah Ustaz Rashidi dan Ustaz Dasuki. Mereka berdua menyampaikan ceramah dan kuliah umum di beberapa masjid dengan penekanan kepada Iman, Islam dan Ihsan. Forum yang diadakan juga mendapat sambutan masyarakat sekitar, malah mereka meminta agar program-program seumpama itu dapat diteruskan lagi di masa-masa akan datang.
Pada pengamatan saya, suasana dakwah di Sabah dapat dibentuk melalui dakwah sufi dengan membina rohaniah terlebih dahulu tanpa memberatkan masalah hukum lagi.
Saya sentiasa berpesan agar para sahabat menekankan dakwah tarbiyah, bukan dakwah hukum. Berpegang pada hukum adalah keutamaan namun menggunakan uslub al-Quran dalam tarbiyyah ummah juga adalah keutamaan. Allah mengharamkan arak dengan tarbiyyah secara bertahap-tahap melalui penurunan ayat hinggalah arak tiada lagi dalam kehidupan masyarakat Islam sedang arak bagaikan minuman pagi bagi para sahabat ketika jahiliyyah dulu.
Justeru itu Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam memulakan dakwah dengan membangunkan jiwa dengan akidah sehingga mencapai tingkat yang tinggi di Mekah, kemudian barulah membicarakan perlaksanaan hukum sepenuhnya di Madinah.
Sesungguhnya ummah kini menghadapi permasalahan akidah yang serius. Jiwa mereka perlu dibangunkan kembali sehingga ia penuh cinta dan mudah bagi mereka menjalankan syariat. Menekan pada hukum atau syariat tanpa dibangunkan jiwa dengan akidah yang mencapai kemanisan makrifat, (kesannya) Islam hanya akan bergerak dalam bentuk zahir sahaja tanpa ada isi didalamnya.
Ia kelihatan hebat di luar dengan zahir syariat, namun apabila datangnya ujian musibah atau kenikmatan, pujian atau kejian, kemiskinan dan terbuka kekayaan, ramai yang hancur. Inilah yang berlaku dalam banyak dalam Gerakan Islam, ramai yang gugur dalam medan dakwah akibat hati tiada mampu menerima dugaan dalam gerak kerja, walaupun mereka memiliki ilmu dan keindahan amal syariat.
Jemaah Islam akan hancur bukan disebabkan kekuatan musuh, tetapi akibat permasalahan jiwa antara para anggotanya. Akidah yang benar akan membuahkan ikhlas dalam ketakwaan, keyakinan, tawakal, cinta, keberanian, dakwah dan lain-lain tanpa mengharap apapun dengan dunia dan makhluk.
Syukur dan terima kasih kepada semua sahabat yang mengatur program ziarah saya dengan baik. Ia memberi kegembiraan dan kepuasan jiwa lebih-lebih apabila pelbagai qasidah berkumandang di setiap tempat yang saya kunjungi.
“Ya Allah, kembalikanlah jiwa ini dan umat ini mencintai Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam sebagaimana cintanya para sahabat r.a. kepada Baginda. Ummah yang mencintai Baginda sallaLlahu ‘alaihi wassalam sahaja akan mendapat pertolongan Allah…"