Selasa, Oktober 12, 2010

Paradigma Ilmu dan Tarbiyah dalam Gerakan Islam - Bahagian 1/2



Tahniah diucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) yang telah berjaya menganjurkan Ijtima’ Tarbawi Pemuda Pas Peringkat Kebangsaan 2010 pada 1-3 Oktober di perkarangan Masjid Rusila, Marang baru-baru ini.

Usaha yang diketuai Ketua DPPP, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi dan para sahabatnya yang lain bertungkus lumus untuk memastikan tarbiyah subur dan berjalan seiring dengan arus siasah perlu dibantu dan didukung bersama.

Melalui Enam Deklarasi yang dibacakan oleh Timbalan DPPP, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani, jelas menunjukkan pihak kepimpinan pemuda amat serius untuk memperkasakan kembali tarbiyah di kalangan pemuda kerana ia merupakan agenda terpenting dalam gerakan Islam.

Antara kandungan deklarasi adalah tekad untuk memperkasa tarbiyah dengan melaksanakannya secara berterusan dan konsisten, memperkukuh program usrah di semua peringkat, pembinaan sahsiah mulia dan memastikan tarbiyah menguasai dan mengorientasikan seluruh kegiatan jemaah.

Kepentingan tarbiyah ini dikukuhkan lagi dalam ucapan Presiden PAS, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang pada majlis yang sama. Kata beliau, “Allah SWT menjadikan perjuangan Islam ini mesti melalui tarbiyah dan tidak diberi kemenangan dengan percuma. Allah menjadikan urusan manusia mesti melalui ilmu dan tarbiyah. Ilmu adalah pengetahuan, tarbiyah adalah pendidikan supaya ilmu itu masuk ke dalam hati dan hati memerintah (anggota) manusia untuk melaksanakan perintah Allah dengan ikhlas (membawa kesan baik atau buruk).”

ILMU & TARBIYAH

Sebenarnya ramai di kalangan pemimpin atau ahli gerakan Islam, para pendakwah atau para ulama yang tiada memahami perbezaan antara majlis ilmu dan tarbiyyah. Ramai melihatnya sebagai hal yang sama, sedangkan ia amat berbeza terutama dari sudut methodologi perlaksanaannya.

Imam Hassan al-Banna (pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir) telah membentuk gerakan dakwah yang bertunjang kepada kekuatan tarbiyah. Maka diwujudkan liqa’ usrah yang dianggotai tidak lebih dari sepuluh orang. Ini untuk mewujudkan kesatuan kefahaman (al-Fahmu), keseimbangan (Tawazun) dan persaudaraan (Ukhuwah).

PENGALAMAN

Tarbiyyah adalah skil pendidikan yang dimiliki oleh seorang yang bergelar murabbi. Bukan semua orang alim adalah murabbi tetapi seorang murabbi perlu alim demi mendidik para anggotanya agar benar-benar memahami Islam dan mengamalkannya dengan penuh keikhlasan pada jiwa mereka.

Saya berpengalaman mengikut satu gerakan dakwah yang amat menekankan aspek tarbiyyah hati sebagai asas kepada kekuatan jemaah. Walaupun perbicaraannya tidak halus dan mendalam seperti bicara kaum sufi, namun mereka telah berjaya mewujudkan satu jemaah yang kuat serta memiliki akhlak dan ukhuwah yang jitu. Bahan tarbiyyahnya adalah berpandukan kertas kerja yang dibentang oleh para pemimpin mereka dan disebarkan ke segenap tempat oleh para naqib negeri dan daerah.

Apabila para ustaz yang belajar di Mesir dan mendapat tarbiyah Ikhwanul Muslimin (Ikhwan) di sana pulang ke tanahair, maka hendak diwujudkan kesatuan antara mereka dengan jemaah tersebut atas maksud membantu aspek tarbiyyah. Namun kesan kemasukan para ilmuan lulusan Mesir ini ke dalam jemaah tersebut bukannya mendatangkan kebaikan, malah membawa pada permusuhan sehingga berlakunya perpecahan dalam jemaah. Masing-masing mengaku bahawa merekalah yang membawa tarbiyah Ikhwanul Muslimin dan diakui pihak Ikhwan sendiri.

Saya melihat sendiri bagaimana para pemimpin Ikhwan antarabangsa datang ke Malaysia untuk menyelesaikan masalah ini, namun mereka menghadapi kebuntuan kerana jemaah itu sudah nekad menolak para ilmuan Mesir dalam jemaah mereka. Maka wujud satu lagi jemaah (dalam jemaah) yang diwakili golongan yang setuju dengan para ustaz Mesir tersebut yang berlawanan dengan pihak satu lagi.

Persoalannya kenapakah jadi begitu?

Ini disebabkan sebenarnya para ustaz tersebut bukannya mereka yang memiliki skil tarbiyah yang boleh menghidupkan jiwa dan merubah fikiran ahli jemaah tersebut. Lebih malang lagi, mereka terlalu cepat bertindak untuk merubah tarbiyah yang berjalan dalam jemaah tersebut selama ini dan tiada menghormati budaya yang telah diamalkan di kalangan anggota jemaah.

Sesungguhnya memiliki ilmu sahaja tidak cukup untuk dijadikan modal dalam tarbiyah. Tarbiyah memerlukan kepekaan, memahami siapa orang dihadapannya sama ada dalam bentuk pemikiran, sifat, pendidikan, daerah, faktor keluarga dan jemaah serta lainnya.

Tugas seorang alim adalah menyampaikan ilmu dan tiada baginya tanggungjawab memastikan apakah ilmu yang diajar itu dapat dihafami atau dihayati anak muridnya. Tugas seorang murabbi pula berlainan, ia perlu pastikan setiap keilmuan yang dibentangkannya itu difahami, dihayati dan dapat dilihat pada kehidupan anak buahnya. Maka disini para murabbi perlu bersahabat dengan mad’unya agar dapat memahami dan mengikuti segala perubahan hasil daripada tarbiyahnya.
Tugas seorang murabbi, antaranya adalah :
1. Memberi kefahaman tentang Islam
2. Memberi ilmu tentang akidah, ibadah dan perkara yang merosakkan ibadah
3. Mendidik akhlak hati dan kelakuan agar berada di atas kebenaran
4. Mendidik mematuhi hukum syariah
5. Mendidik dalam gerak kerja amal Harakah Islamiah
6. Mendidik memiliki Thaqafah (daya intelek yang tinggi dan semasa)
 Peranan para murabbi amat berat kerana anak didiknya bagaikan anak-anaknya sendiri, segala kesusahan dan masalah dikongsi bersama. Tiada lain yang diidamkan, melainkan anak didiknya benar-benar menjadi apa yang dikehendaki dan akan membantunya pula dalam pendidikan demi menjayakan cita-citanya.
Maka kejayaan seorang murabbi itu apabila ia memiliki empat sifat utama :

1. Bersifat seperti seorang ayah
2. Bersifat seperti seorang sahabat
3. Bersifat seperti seorang guru dalam hukum hakam
4. Bersifat seorang pemimpin dalam menetapkan keputusan

Imam Hassan al-Banna telah menggabungkan tiga kekuatan dalam tarbiyahnya untuk melahirkan jemaaah yang kuat iaitu keilmuan al-Azhar, kekuatan jiwa Sufi dan  pergerakan Harakah Islamiah.

Dalam buku Detik-Detik Hidupku, al-Imam menegaskan:

“Andainya ketiga kekuatan ini iaitu kekuatan keilmuan al-Azhar, kekuatan rohani para Sufi dan kekuatan amali Gerakan Islam dapat bertindak secara berpadu, maka satu umat Islam yang sempurna akan wujud di seluruh dunia. Umat begini menjadi pemandu dan bukan pengikut. Umat begini akan menjadi contoh kepada kaum-kaum lain. Umat begini boleh menyelamatkan manusia dari kegelapan jahiliah…!”

bersambung...