Apa yang diharapkan, hasil daripada Ijtima’ Tarbawi tersebut, saf Pemuda akan berubah wajah terutamanya di Terengganu. Ini disebabkan hasil kajian yang dijalankan oleh para pemerhati politik dan wartawan, semua negeri di Semenanjung Malaysia akan jatuh pada Pakatan Rakyat dalam PRU 13 nanti kecuali tiga sahaja iaitu Johor, Melaka dan Terengganu.
Kenapa Terengganu turut disenaraikan? Ia sesuatu yang mungkin sukar diterima kebanyakan pihak. Namun, sejarah PRU 12 perlu dijadikan iktibar bilamana Terengganu (yang sepatutnya beroleh kemenangan besar selepas Kelantan) bagaikan tidak terkena langsung badai tsunami PRU 12 yang melanda Selangor, Pulau Pinang, Perak dan beberapa negeri lain.
Hasil kajian pelbagai pihak yang dilakukan di Terengganu mutakhir ini dirumuskan seperti berikut:
1. Rakyat Terengganu kebanyakannya menolak kepimpinan PAS yang terdiri daripada tokoh-tokoh lama kerana mereka memiliki rekod-rekod buruk semasa memerintah dulu (1999-2004). Wibawa calon amat penting untuk mendapat kembali keyakinan rakyat.
2. Sikap golongan PAS yang suka mencipta musuh dengan pemimpin, NGO, atau golongan yang dianggap tiada sealiran dengan mereka walaupun golongan tersebut mendukung perjuangan PAS. (Di Kelantan dahulu pernah berlaku pertembungan antara pondok dan PAS, namun atas kebijaksanaan Tuan Guru Nik Abd Aziz merendah diri dan bertemu dengan Tuan Guru Ayah Sin Pasir Tumbuh dan almarhum Tuan Guru Hj Lah Lubuk Tapah, ia dapat diselesaikan dengan baik).
Apa yang saya harap, hasil tarbiyah dapat melahirkan kepimpinan PAS yang bijaksana dalam menyelesaikan segala isu sama ada dalaman atau luaran. Segala permasalahan diselesaikan dengan hikmah, bukan dengan kemarahan, celaan dan mencipta lebih ramai musuh. Perlu disedari, golongan yang mereka cela dan pulau itu juga mempunyai pengikut dan mempunyai rantaian kelompok-kelompok yang bersama dengan mereka. Ia akan mewujudkan simpati dan mereka akan menjadi golongan yang akan menjauhi diri dengan perjuangan PAS.
3. Sikap rakyat Terengganu yang amat bergantung pada kerajaan dan rasa selesa dengan keadaan kini.
4. Sikap rakyat Terengganu terutama golongan muda yang tidak minat membaca, tiada kesedaran politik malah kemaksiatan dan penagihan dadah adalah yang antara tertinggi di Malaysia.
5. Golongan aliran Kaum Tua yang mengambil sikap tunggu dan lihat siapakah barisan kepimpinan yang menerajui negeri ini nanti. Mereka tidak akan mengundi UMNO tetapi dalam masa yang sama mereka tidak akan keluar mengundi jika kepimpinan PAS yang dilantik daripada golongan yang tiada menghormati ilmu dan amalan mereka. Mereka adalah golongan yang mempunyai pengaruh yang kuat di peringkat bawahan.
6. Gaya pemerintahan Menteri Besar, Ahmad Said disenangi oleh masyarakat kampung. Beliau dilihat seorang yang sederhana, tidak sombong dan mesra rakyat.
7. Daripada pemerhati pihak luar pula mendapati sikap ‘sombong dan susah diajar’ adalah sikap yang dianggap sebati dengan kepimpinan PAS Terengganu. Sikap seperti ini menyebabkan mereka sukar bersikap terbuka dengan pembaharuan dan kritikan serta kadang-kadang masih melagukan irama dan rentak yang ‘outdated’.
Pas adalah mata rantai dari rantaian jemaah yang meneruskan perjuangan Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassallam. Itulah yang sentiasa dilaung dan disampaikan, namun kata-kata saja tak cukup untuk menyakinkan manusia di zaman ini. Mereka meneliti dan memerhati segala akhlak dan kelakuan golongan yang mendakwa penerus perjuangan Nabi itu.
Walaupun matlamat dan dasar dilihat bagus sekalipun, tetapi dalam perlaksanaan, akhlak, perbuatan dan perkataan kita sering tersasar daripada akhlak-akhlak Islam malah kadangkala tahap keilmuannya dilihat sangat rendah walaupun berada di Dewan Ulama sekalipun.
Ada setengah pihak menyatakan dalam Dewan Ulama PAS Terengganu sendiri hanya segelintir sahaja yang benar-benar mempunyai kemantapan ilmu. Ini dapat dilihat apabila mereka berceramah, mengajar atau mengemukakan hujah. Mungkin kalangan ahli yang jahil dalam surau atau pengikut mereka tidak menyedarinya, mereka terkagum dengan bahasa dan semangat penceramah. Tetapi bagi golongan yang berilmu, hujah dan sikap ulama tersebut menunjukkan kecetekan ilmu dan akhlak mereka.
Apabila orang datang bertanya saya, kenapakah golongan PAS terutama golongan pemuda begitu rendah akhlaknya dan cepat melatah, menghukum dan suka mencipta musuh. Saya menjawab kerana PAS telah memandang rendah aspek tarbiyah yang benar-benar untuk melahirkan golongan yang bertakwa yang mampu memimpin ummah ini kepada takwa.
Ketakwaan bukan sahaja daripada aspek penjagaan hukum yang zahir, tetapi aspek hukum yang batin agar tidak dijangkiti virus bisikan syaitan yang mahu menjadi raja dalam hati. Mereka tidak merasa berdosa menghukum sesat, salah, membuat fitnah kerana hati mereka kering dengan takwa. Sedangkan segala amal mereka tergantung jika ianya adalah ternyata salah tanpa hujah dan fakta yang kukuh sehingga ia dimaafkan oleh golongan yang difitnah itu.
Inilah yang disebut oleh Imam Al-Ghazali rahimahullah dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin, bahawa “lahirnya golongan yang bercakap Islam di akhir zaman, berpakaian wara’ tetap hati bagaikan serigala!”
PAS perlu kembali kepada aspek tarbiyah yang menekankan kepada penghayatan Islam (zahir dan batin). Keindahan akhlak Islam akan mendorong manusia berduyun-duyun datang bersama dengan kita. Keindahan adalah fitrah manusia. Kita tak perlu lagi menjadi penjual ubat panau, memberitahu sana sini khasiat ubat tetapi kita sendiri ada panau. Tambahan pula orang dapat melihat panau pada badan kita walaupun kita cuba menutupnya dengan baju yang tebal.
Apabila jiwa manusia tiada ditarbiyah walau ia ulama sekalipun, jiwa mereka akan kasar dan kotor, bagaikan batu yang besar tidak digilap dengan nasihat, dengan ibadah, dengan tangisan, dengan kerendahan hati dan taubat, maka ia dinaiki lumut yang akan membaluti batu tersebut sehingga penuh dengan lumpur hitam.
Saidina Umar r.a selepas wafatnya Baginda sallaLlahu ‘alaihi wassalam, beliau kehilangan murabbi yang mentarbiyahnya selama ini, namun terus membuka dadanya pergi kepada para sahabat r.a. dan sentiasa bertanya ‘adakah dalam batinku ini ada sifat munafik?” Inilah pancaran takwa yang bersemi dalam batinnya, padahal beliau sentiasa bersama Nabi dalam setiap peperangan, seorang sahabat yang dijamin syurga, seorang sahabat yang diamanahkan pemimpin sebagai Khalifah Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam. Namun jiwanya gementar setiap masa lantaran cinta dan takut pada Allah.
Siapakah kita yang mengatakan bahawa dengan berada dan berjuang dalam PAS, kita telah diampuni dosa dan dijamin ke syurga? Inilah pejuang yang tertipu sedangkan golongan yang gugur dalam jihad bersama Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam ada yang tiada diterima syahidnya. Begitu juga golongan syaikh dan khalifah tarekah, ramai yang terpedaya dengan kehebatan tarekah mereka sehingga merasai mereka sudah mencapai jaminan syurga, lalu merasa aman dan memandang ringan segala amal atau soal hukum hakam.
Ini semua adalah golongan yang terpedaya dengan nafsu dan syaitan akibat tiada menerima tarbiyah yang benar daripada manhaj yang benar dan daripada murabbi yang benar.
Dalam Ihya’ Ulumiddin, dinukilkan perkataan Abu Darda’ r.a, bahawa “Siapa yang tiada merasa bimbang bagaimana akhir kalamnya nanti (merasa selamat), maka ia boleh mati dalam keadaan tercabut iman!”
Semoga PAS terutamanya Dewan Pemudanya menjadi golongan yang benar amal Islamnya zahir dan batin serta dapat menjadi contoh dalam kepimpinan, akhlak dan takwa kepada kami golongan yang lemah ini.
Mudah-mudahan Islam kembali berdaulat di bumi Terengganu yang tercinta ini dengan penuh keberkatan.
Allahu Akbar!