Rabu, Februari 02, 2011

Perubahan Hidup Membangun Kekuatan Ummah (2/2)

ANAK MUDA CEMERLANG DI BIDANG PELABURAN ISLAM

Saudara Farizul Adib bin Mohd Ramli, adalah anak muda yang saya hormati kerana pada usia 30-an, beliau telah berjaya menjadi seorang usahawan pelaburan Islam yang berjaya. Syarikatnya, AAAAA Wealth Builders di Kelana Jaya, Selangor menjadi antara syarikat pilihan bagi umat Islam yang mahu melabur dalam institusi pelaburan yang terpelihara dari unsur haram dan syubhah.


Jatuh bangun dalam dunia perniagaan adalah biasa, namun beliau bersifat positif walaupun dalam suasana negara menghadapi zaman kegawatan ekonomi suatu ketika dulu. Beliau melihat peluang di sebalik permasalahan tersebut dan pandangannya disokong dengan kajian yang mendalam dalam ilmu ekonomi dunia dan negara. 

Di samping memiliki kepakaran dalam bidang pengurusan kewangan meliputi pelaburan, perlindungan dan pengekalan, beliau bersama teman-teman lain menjadikan perniagaan mereka sebagai medan untuk mendidik dan mendorong rakyat Malaysia merancang kewangan untuk mencapai taraf ‘financial independence’ berlandaskan prinsip Islam, bagaimana melaburkan wang mereka dalam perniagaan yang halal dan mendapat keuntungan serta keredhaan Allah.

Selain itu, perjuangan mereka juga adalah untuk melatih dan melahirkan usahawan baru dalam bidang tersebut bagi merancakkan lagi inisiatif pelaburan Islam di kalangan rakyat negara ini.

KAJIAN PERUBATAN MANFAAT UNTUK MANUSIA

Dr Shamsul Azhar bin Mahmood adalah sahabat yang saya kagumi diatas usaha beliau membuat kajian tentang sistem rawatan melalui urutan sehingga telah melahirkan kaedahnya sendiri dinamakan “Terapi Urutan Magnetik : Manipulasi Cas-cas Badan melalui Sentuhan”. Teknik ini adalah hasil kajiannya selama 13 tahun dalam Titik Mata Urat  atau Trigger Points dan diakui universiti serta pakar perubatan sehingga mendapat gelaran Dr hasil dari penemuannya. Beliau juga mengadakan kursus-kursus yang berkaitan, menerbitkan pelbagai tajuk buku berasaskan terapi magnetik dan pernah dijemput TV3 untuk membicarakan kaedah unik beliau.

Beliau bukan orang biasa tetapi seorang yang luar biasa dalam aspek kajiannya. Jika kajiannya memberi manfaat pada manusia, dan dikembangkan pada para muridnya, maka ia akan menjadi saham yang besar pada dirinya di akhirat.

USAHAWAN TAKAFUL

Saudara Mohd Syahrizal Abd. Samad adalah pembantu saya yang amat setia ketika saya menetap di Kuantan sekitar tahun 2000-2002. Beliau adalah seorang yang pintar serta mempunyai bakat kepimpinan yang tinggi. Tetapi kelemahannya waktu itu adalah tidak istiqamah dalam setiap apa yang dilakukannya. 

Namun beliau telah mengubah dirinya, kini menjadi salah seorang usahawan muda di bidang Takaful yang berjaya. Malah beliau mempunyai syarikat Takafulnya sendiri di Negeri Sembilan dan sedang berusaha membuka cawangannya di Klang. Kehidupannya telah berubah dari seorang penunggang motosikal ke sana sini, kini memiliki kereta mewah dan mengharungi hidup bahagia bersama keluarganya.

Saya dari jauh sentiasa mendoakan kejayaannya dan keberkatan dalam segala usahanya.

LIMPAHKAN KEJAYAAN UNTUK MANFAAT SEMUA

Sebenarnya banyak lagi kisah kejayaan para sahabat jika mahu dicoretkan. Mereka adalah segolongan manusia biasa yang berjaya menukar diri mereka sehingga dilihat luar biasa sama ada dalam bidang agama, pencapaian akademik, kerjaya, perniagaan, dalam memberi sumbangan dan lainnya. 

Harapan saya agar para sahabat yang berjaya ini membantu saudara Muslim dan menolong anak bangsa ini yang memiliki jiwa agama untuk menjadi orang yang berjaya. Jika para pencinta Allah dan Rasul memiliki kejayaan kehidupan, nescaya kejayaannya akan dapat memberi manfaat kepada ramai orang. Jangan jadikan kejayaan untuk kepentingan diri atau untuk kesombongan dunia. Dunia terlalu kecil untuk dibanggakan, jadikan impian kita untuk menjadi insan yang berjaya yang dibanggakan Allah di hadapan para malaikatNya, dibanggakan Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam di hadapan umatnya di Padang Mahsyhar. 

“BAHAGIAKAN DIRIMU DAN BAHAGIAKAN ORANG DI SEKELILINGMU”, itulah sifat Muslim yang sejati. Jangan terjerumus dengan falsafah kapitalis yang hanya memikirkan kepentingan diri dan keluarga tanpa peduli untuk membantu mereka yang lain di sekeliling.

Kekuatan kejayaan manusia bukan terletak pada kekuatan tangan dan kaki tetapi pada akal. Allah mengurniakan hamba yang bernama manusia dengan kekuatan akal yang hebat sehingga seluruh makhluk Allah yang ganas, gagah seperti harimau, gajah, buaya, ular atau lainnya daapt ditundukkan, dijadikan bahan pertunjukan atau bahan jualan. 

Tiada antara kita yang lemah atau gagal atau rendah, melainkan diri sendiri yang melemahkan diri, mengagalkan diri dengan memandang rendah pada diri sendiri. Setiap nikmat Allah perlu disyukuri dan makna syukur ialah menghargai pemberian yang diberi dengan manfaatkan ke jalan kebaikan dengan bersungguh-sungguh. 

Akal adalah kurniaan Allah yang amat hebat selepas Qalbi di alam ini, maka nikmat akal perlu digunakan sepenuhnya agar kita benar-benar menjadi hamba yang bersyukur.

Dalam satu hadis dinyatakan :

عَنْ أَبى هُرَيْرةَ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُوْل الله صلى الله عليه وسلَّم: المُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنَ اْلمُؤْمِنِ الضَّعِيْفِ وَفِى كلِّ خَيْرٌ. اِحْرِصْ عَلَى مَايَنْفَعُكَ، وَاسْتَعِنْ بِاللهِ وَلاَ تَعْحَزْ، وَلَكِنْ قُلْ: قَدَّرَ اللهُ، وَمَا شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ
(رواه مسلم)

Dari Abi Hurairah r.a, katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallaLlahu ‘alaihi wassalam): Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada tiap-tiap (mereka) ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah kamu mendapatkan apa yang mendatangkan manfaat bagi kamu, dan pohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu lemah, dan sekiranya suatu (musibah) menimpa kamu maka janganlah kamu mengatakan: Kalau saya melakukan itu (dulu) sudah tentu saya akan begini dan begitu, tetapi katakanlah: (Ini adalah) takdir Allah, Dia berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya “Kalau” membuka amalan syaitan.”(Riwayat Muslim)

KESAN PENDIDIKAN AWAL ANAK-ANAK

Ramai yang tiada mahu memajukan dirinya kerana bersikap selesa dengan apa yang ada. Mereka tiada mahu mengambil risiko kerana dididik dari kecil takut pada perkataan “Gagal”. Pendidikan ketika kecil yang sering menggunakan Kalimah “JANGAN” dalam melarang anak-anak melakukan sesuatu memberi kesan pada jiwa mereka dan mematikan daya kreativiti mereka (Otak Kanan).  Manakala terlalu memanjakan anak, takut anak jatuh, sakit, susah, lapar dan sebagainya sehingga menjadikan ibu bapa sentiasa melarang anak-anak dari berbuat apa-apa, akan melahirkan golongan yang sukar berdikari, tiada berani mencuba dan tiada berani untuk gagal.

Allah sudah mentakdirkan bahawa untuk meraih kejayaan, manusia perlu berani menempuh kejatuhan atau kesusahan. Tiada kanak-kanak yang dilahirkan terus boleh berjalan tanpa melalui proses jatuh bangun. Jika kanak-kanak tersebut takut jatuh, mereka lambat boleh berjalan. 

Pendidikan awal membina keberanian adalah langkah  yang amat baik untuk melahirkan insan yang hebat. Ketika hampir meninggalnya Abdul Mutalib, datuk Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam, beliau berpesan agar cucu kesayanganya Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam diserahkan penjagaannya kepada Abu Talib. 

Abu Talib merupakan anaknya yang paling miskin dan memiliki anak yang ramai. Sedangkan  anaknya seperti Abu Lahab, Hamzah, Abbas dan lainnya adalah golongan yang kaya. Persoalannya kenapa Abdul Mutallib tidak meletakkan Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam dibawah penjagaan anaknya yang kaya jika ia benar sayang pada cucunya? Maka disinilah Abdul Mutallib sudah melaksanakan peranan sebagai pendidik kepada seorang yang akan bergelar pemimpin akan datang. Ia tahu bahawa cucunya tiada boleh dimanjakan dan dimewahkan kerana ia akan merosakkan jiwa dan pemikirannya. 

Maka Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam ketika umur lapan tahun sudah berdikari dengan menjaga kambing dan hanya meminum air telaga zam-zam kerana tiada mahu menyusahkan bapa saudaranya. Baginda sallaLlahu ‘alaihi wassalam menyedari tentang kemiskinan bapa saudaranya Abu Talib yang ramai tanggunggannya. 

Maka apakah ada lagi sebaik-baik contoh dalam pendidikan kanak-kanak selain apa yang ditunjuk Allah dalam sistem pentarbiyahannya kepada Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam?

Jangan terlalu mengongkong potensi anak-anak. Hendaklah membangunkan potensi mereka sehingga berjaya, namun jangan sampai terlalu memberi kebebasan sehingga potensi kejahatan akan berkembang subur dalam jiwa dan pemikiran mereka. Maka proses pendidikan manusia amat bergantung pada tiga unsur utama iaitu siapa pendidiknya, bagaimana suasana tempat pembesarannya dan apakah ilmunya?

Dajjal telah berjaya menjadikan umat Islam tiada yakin dengan Al-Quran dan Sunnah, pada ulama dan tarbiyah Islam tetapi yakin pada ilmu dan professor Barat dalam membawa manusia kepada kejayaan!

PERUBAHAN HIDUP

Permasalahan bukanlah alasan untuk kita tidak dapat mengubah diri kita. Apa yang penting kita perlukan niat yang betul terlebih dahulu, apakah tujuan kita mahu berubah. Jika sudah mendapat niat yang betul, maka kita perlukan azam yang kukuh dimana kita tidak akan mudah kecewa, lemah atau takut gagal jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. Kemudian perlukan ilmu dan kajian terhadap suatu perkara yang ingin dilakukan dan kepada Allah kita bertawakal. 

Banyak perkara dalam kehidupan ini yang dianggap tidak baik atau takdir buruk boleh menjadi kebaikan jika diambil hikmahnya. 

Ada seorang sahabat yang merungut dan malas untuk mengurut kaki pelanggan dari rumah ke rumah, namun sikap malasnya membawa kejayaan dimana beliau positifkan malasnya itu  dengan berfikir mencipta alat yang sama kesan dengan urutan, tanpa perlu beliau pergi mengurut ke rumah-rumah lagi. Maka datanglah ilham untuk mencipta “TUKU KAKI” dan dipasarkan kepada pelanggan. Alhamdulilah, Allah memberi limpahan rezeki kepadanya  dan benar-benar merubah kehidupannya. 

Jika malas menggunakan tenaga tubuh, maka aktifkanlah pula tenaga pemikiran yang membawa kepada kejayaan. Kadangkala dengan banyaknya masalah yang menimpa kita, ia dapat mendatangkan natijah positif jika kita pandai mengolahnya ke arah kejayaan. Tiadalah Allah menjadikan sesuatu melainkan adanya hikmah agar manusia menjadi bijak dalam menanganinya. 

Lihatlah bagaimana sampah, najis yang dicipta oleh Allah. Dengannya telah wujud agensi dan jabatan berkaitan untuk menguruskannya, yang dengannya memberi peluang pekerjaan kepada jutaan manusia.

Apabila ramai yang tiada tahu membaca, maka lahirkan jabatan pendidikan dan agensi berkaitan yang membuka peluang pekerjaan kepada ramai orang juga. Begitu juga dengan bintang, pohon kayu yang dilihat tiada manfaat bagi seseorang, tetapi ianya memberi faedah yang besar bagi mereka yang pandai mengambil manfaatnya.

Apa yang saya utarakan disini, bukannya untuk menyuruh para sahabat menjadi kaya, tetapi yang paling penting ialah sikap sentiasa mahukan perubahan memajukan diri dan hidup untuk memberi manfaat pada manusia dalam apa jua bidang. 
 
“TIDAK HIDUP DENGAN BIASA TETAPI  HIDUP DENGAN LUAR BIASA!”

Dalam suasana negara kita di Malaysia yang memiliki pelbagai kaum dan agama, dakwah menumpukan pada kekuatan iman, kekuatan ilmu dan kekuatan ekonomi amatlah penting agar segala anugerah Allah berada di tangan orang-orang yang soleh. Ekonomi kini menjadi faktor penting dalam menjaga kekuatan politik dan Islam kerana dengan kelemahan iman yang ada pada umat Islam hari ini, para pengikut Dajjal amat mudah membeli iman umat Islam, membeli para ulama, membeli institusi Islam sehingga umat yang ramai kini hidup bagaikan buih yang boleh dibawa ke mana-mana oleh ombak raksasa ekonomi kapitalis.

AKHIR KALAM

Perubahan hidup perlu dilakukan dalam menjadikan diri sebagai penyumbang kepada masyarakat, bukannya mengharap sumbangan. Jika sudah selesa dengan kehidupan keluarga, lakukan pula untuk ummah tanpa memikirkan keuntungan tetapi “SUMBANGAN KEUNTUNGAN AKHIRAT”.

Al-‘Allamah Habib Umar al-Hafiz memberi nasihat yang cukup baik dalam syarahanya di Balai Islam Lundang, Kelantan baru-baru ini. Beliau mengatakan :

“Burung memerlukan dua sayap untuk terbang, jika hanya satu sayap, ia akan jatuh. Begitu juga manusia, mereka memerlukan dua sayap untuk berjaya iaitu niat yang ikhlas dan keazaman tanpa mengenal putus asa, lemah, kecewa dan sebagainya.”

Firman Allah :

فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ

“Kemudian apabila engkau telah berazam (untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya." (Ali-‘Imran:  159)
 
Mari kita hidupkan Dakwah Ad-Din, Al-Hikmah dan Kekuatan!

“BAHAGIAKAN DIRIMU DAN BAHAGIAKAN MEREKA DI SEKELILINGMU, NESCAYA KAMU AKAN DIBAHAGIAKAN ALLAH DI AKHIRAT NANTI”

WaLlahu ‘alam.