Ahad, Februari 27, 2011

Persembahan Qasidah ‘Live’ di MHI, TV3 oleh Anak-Anak Ribath


Pada 15 Februari 2011, anak-anak Ribath Syeikh Ibrahim Al-Qurani telah dijemput untuk membuat persembahan qasidah dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI), TV3, bersempena sambutan Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم. Jemputan untuk persembahan qasidah kali ini adalah susulan daripada persembahan anak-anak ribath sebelum ini di Masjid As-Salam, Puchong Perdana, dalam satu majlis berkhatan anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jawatankuasa Masjid As-Salam, yang mana majlis tersebut turut mendapat liputan dalam MHI, TV3. 

Pada persembahan kali ini, anak-anak ribath diberi sebanyak 3 slot persembahan qasidah, iaitu di awal, pertengahan dan di akhir rancangan. Pada awal persembahan dimulakan dengan alunan Qasidah Burdah karangan Al-Imam Al-Busyiri, di pertengahan qasidah “Wahai Purnama”, dan penutupnya dengan lagu “Sidnan Nabi” dalam versi Bahasa Melayu. Persembahan anak-anak ribath ini, adalah persembahan iringan dalam slot-slot MHI sempena sambutan Maulidur Rasul.

Antara slot-slot yang turut serta semasa siaran MHI pada hari tersebut, adalah slot Ustaz Wan Sohor Bani Leman, yang mengupas tentang sambutan Maulidur Rasul dan daripada wakil Muzium Kesenian Islam berkenaan pameran khazanah-khazanah sains Islam.

Di akhir siaran MHI tersebut, sebelum mengalunkan qasidah, anak-anak ribath ini telah di wawancara oleh pengacara MHI iaitu Ally Iskandar dan M. Zul. Semasa diwawancara anak-anak ribath diwakili oleh Ustaz Zulhazmi Fitri Bin Abdul Razak. Antara soalan yang ditanya adalah berkenaan pendidikan ribath yang  berteraskan atas menghidupkan cinta  kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan pengamalan qasidah antara amalan yang dipraktikkan. 

Beberapa orang anak qasidah turut di wawancara iaitu adik Haziq Bin Shamsuddin dan adik Wan Aiman Irfan bin Wan Ahmad Kamal. Mereka ditanya perasaan mereka belajar di ribath dan cita-cita mereka pada masa akan datang.





 Oleh : Faiz

* Banyak lagi gambar-gambar sambutan Maulidur Rasul akan dimuat naik selepas ini, insya Allah.