Selasa, Februari 01, 2011

Perubahan Hidup Membangun Kekuatan Ummah (1/2)


اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ وَالْفَقْرِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ

“Ya Allah! Aku berlindung dengan Mu daripada kekufuran dan kefaqiran dan aku berlindung dengan Mu daripada azab kubur. Tiada Ilah melainkan Engkau.”(Hadis riwayat Abu Dawud, Nasaie dan Ahmad) 

Berkata Saidina Ali k.w.j : “Jika kemiskinan adalah makhluk, nescaya aku akan membunuhnya.”

**************

Jika seorang pelajar Cina mengambil jurusan multimedia, mereka akan bercita-cita untuk membuka syarikat multimedia yang besar dan memiliki beberapa cawangan di seluruh dunia. Namun apabila pelajar Melayu mengambil jurusan yang sama, mereka berfikir untuk bekerja dengan syarikat multimedia sama ada kerajaan atau swasta. Pemikiran yang berlainan ini membuatkan bangsa Melayu akan terus menjadi hamba dan pekerja di negaranya sendiri.

Budaya selesa dan tiada mahu mengambil risiko ditanam oleh ibu bapa dan para guru dari sejak bangku sekolah lagi. Jarang ibu bapa atau guru yang mendidik agar anak atau pelajar menjadi usahawan walaupun hadis sudah jelas mengatakan 90% rezeki melalui perniagaan. Ini disebabkan perniagaan adalah dunia yang penuh risiko dan dibimbangi mereka akan gagal. 

Budaya fikir ini akan menyebabkan bangsa Melayu akan terus menjadi kuli pada kaum Cina, India, Jepun, Korea, Kemboja dan lain-lain bangsa yang datang ke Malaysia. Ini sudah kita dapat kita saksikan sekarang dan budaya ini jika terus dibiarkan, dibimbangi kuasa politik yang dipegang orang Melayu akan lemah kerana kuasa ekonomi mampu mempengaruhi kuasa politik. Inilah yang berlaku di Amerika Syarikat dimana kaum Yahudi yang menguasai ekonominya mampu menaik atau menjatuhkan para pemimpin politik mengikut kehendak mereka. 

Apa yang dibimbangkan, apabila asas agama tiada kuat sebagai nilai jati diri Melayu, bangsa yang menguasai ekonomi akan menjadi penentu kepada kuasa politik di Malaysia satu masa nanti.

PENGUASAAN EKONOMI

Apabila hampir tiba hari raya Cina, banyak urusan akan tergendala hatta untuk mencetak buku atau membeli bahan-bahan keperluan yang kecil-kecil, apatah lagi mereka yang berada dalam dunia perniagaan yang terbabit dengan urusan perbankan dan sebagainya. Ini disebabkan masyarakat Cina telah memperlahankan atau menghentikan aktiviti perniagaan mereka sehingga selepas selesai mereka berhari raya. 

Ini jelas menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia berada dalam genggaman masyarakat Cina walaupun peneraju pemerintahan adalah kaum Melayu. Kita bukan ingin membangkitkan semangat Melayu menentang Cina atau semangat ketuanan Melayu, tetapi mahu membangkitkan sikap positif yang perlu ada dalam jiwa umat Melayu  Islam di negara ini. Nilai-nilai yang baik yang ada pada mana-mana bangsa perlu diteladani agar kita menjadi umat yang berfikiran besar, bersikap kendiri dan berjaya. 

Sikap mengajak membenci bangsa yang berjaya yang dianggap sebagai perampas atau lainnya adalah sikap untuk menutup kelemahan diri.  Sepatutnya kita belajar bagaimana mereka berjaya, bukannya marah dengan kejayaan mereka dan bertindak mahu menghapuskan kejayaan tersebut. Bertambah malang lagi kita bukan sahaja tiada sifat mahu mempelajari dari mereka perkara yang baik tetapi bersikap pasif dan membudayakan semangat kebencian antara kaum.

DULU PENJUAL SABUN, KINI JUTAWAN MLM

Dato’ Stapa Hj. Omar, Pengerusi Eksekutif syarikat De Classic Life (M) Sdn Bhd (DCL) adalah sahabat saya ketika beliau masih lagi merangkak-rangkak dalam dunia perniagaan MLM. Dahulu beliau menjual sabun di merata-rata tempat dan dalam bonet keretanya penuh dengan sabun. Isterinya (Dato’ Azlina Hj. Che Abdullah) pula menjadi pembantunya yang amat setia. 

Saya dan sahabat saya, Razali dari Kampung Rusila Marang pernah bertandang ke rumah sewanya di Kampung Pasir Panjang, K. Terengganu satu ketika dulu dan melihat kegigihan dua insan ini dalam merubah kehidupan. Mereka tidak sekadar menjadi insan yang berpuas hati dengan kehidupan yang ada, tetapi berfikir untuk membina kehidupan yang dapat memberi kebaikan kepada agama, masyarakat dan negara. 

Pernah dahulu Dato’ Stapa bersama saya bermalam dan tidur di sebuah rumah kecil di pantai Tok Jembal membincangkan permasalahan rohaniah dan kehidupan. Saya melihat ketika itu beliau banyak berpegang pada prinsip-prinsip Barat dalam aspek kejayaan. Ini mungkin disebabkan beliau merupakan pemidato atau trainner kepada syarikat MLM. Beliau menyatakan bahawa suatu masa nanti dirinya akan berjaya dan akan memberi sumbangan yang besar pada bangsa ini dan umat Islam. 

Alhamdulillah syarikat beliau kini gagah berdiri di persada dunia bisnes tanahair. Dengan perjuangan, antaranya untuk membina ekonomi ummah berdikari, membina usahawan supaya mencapai kebebasan dan menjadi jutawan serta cita-cita menjadi ‘gergasi’ dalam industri MLM global, DCL kini telah mempunyai 13 syarikat kumpulan. 

Saya amat berbangga dengan kejayaan beliau dan isteri serta mendoakan semoga Allah sentiasa bersamanya dalam setiap langkahnya, insya Allah.

USAHAWAN & JUTAWAN BERJAYA DI LAHAD DATU, SABAH

Sahabat saya Hj Yussup Nannong di Lahad Datu, Sabah bukannya memiliki kelulusan tinggi atau bergulung ijazah untuk menjadi usahawan dan jutawan terkenal di tempatnya. Dulu beliau dipandang hina oleh masyarakat hatta keluarga sendiri kerana kemiskinannya. Lebih-lebih lagi beliau hanya belajar sehingga darjah 4! 

Namun beliau tidak bersifat pasif dan lemah dengan segala kritikan. Bersama dengan isterinya (Hajjah Salia), mereka bangkit membaiki kehidupan walaupun bermula dengan seribu kepayahan. Hj Yussup melakukan pelbagai kerja termasuk menjadi pemandu bas. Pernah juga isterinya menggantikannya memandu bas demi mencari sesuap nasi untuk anak-anak di rumah. Apabila mereka memulakan perniagaan, sering mereka ditipu dan mengalami kerugian besar.

Namun kini, melalui syarikat Ridzwan Trading Sdn Bhd dan anak-anak syarikatnya, Hj Yussup menjadi jutawan dan usahawan peruncit, pemborong, perladangan dan penternakan yang paling berjaya di Lahad Datu. Malah perniagaan sebagai pemborong dan peruncitannya hampir menguasai bandar tersebut sehingga kaum Cina kalah dengannya. 

Perjuangannya dalam perniagaan ialah untuk memasarkan produk yang halal dan suci kepada masyarakat Islam di Sabah. Jiwanya gelisah melihat ayam dan daging yang dimakan masyarakat Islam dibekalkan oleh non-Muslim. Akhirnya berkat keikhlasan dan kesabarannya, beliau berjaya memiliki kilang penyembelihan halal sendiri dan tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan masyarakat Islam di sana sehingga ke Kota Kinabalu dan daerah lainnya.
 
Anak saya Angah yang saya tugaskan berdakwah membangunkan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) selama beberapa bulan di Lahad Datu memberitahu bahawa, ada tauke Cina berkata padanya, “Nasib baik babi haram pada orang Islam, jika tidak kami tidak boleh berniaga lagi kerana jika ianya halal, nescaya Hj Yussup akan monopli perniagaan babi pula!”. 

Menurut Hj Yussup, perniagaannya bermula dengan modal beberapa ratus ringgit sahaja. Baginya kejayaan perniagaan bukan terletak pada modal yang banyak tetapi mesti memiliki ilmu dalam perniagaan. Kata kuncinya dalam perniagaan, “Biar duit seringgit tetapi ilmu biar seribu”

Diatas kejayaannya saya mengharapkan beliau dapat membimbing para sahabat terutama golongan muda yang memiliki minat serta potensi untuk menjadi usahawan berjaya sepertinya. Saya sendiri telah melihat bagaimana beliau mendidik bekas pembantu rumahnya menjadi usahawanita yang berjaya kini. Saya mengatakan kepada beliau, “Jika dalam dakwah pembinaan perkaderan amat penting agar dakwah menuju kepada perkembangan dan perubahan ummah, begitu juga dunia perniagaan, pembinaan kader usahawan Muslim amat penting agar lahirnya para usahawan yang dapat membantu dakwah  Islam”.
Alhamdulillah beliau amat setuju dengan perkataan saya dan bermula tahun ini akan dihantar padanya para sahabat yang berpotensi menjadi usahawan untuk dilatih selama dua tahun.

Melahirkan jutawan yang tiada jiwa agama tiada memberi faedah kerana mereka akan bersikap tamak, kedekut, sombong, mementingkan diri dan hanya sibuk membesarkan rumah, membeli kenderaan berjenama sehingga memenuhi kawasan rumah, melancong untuk membeli belah, sanggup mengkhianati bangsa sendiri demi keuntungan dan sebagainya.

Semoga Allah memberkati segala usaha Hj Yussup dan Hajjah Salia dalam membantu membangunkan ekonomi berdasarkan prinsip dan matlamat Islam, insya Allah!

PERJUANGAN MELALUI TULISAN

Saya baru selesai membaca tulisan sahabat saya, Mohd Khalid Yahya yang bertajuk “2012 Konspirasi Galaktik”, lanjutan tulisan pertamanya tentang Dajjal. Pernah beberapa tahun dulu beliau datang bertemu saya dalam keadaan jiwa yang lemah seolah tiada daya juang hidup, berpunca dari masalah kewangan dalam perniagaannya.

Tapi kini saya amat berbangga dengan dirinya. Beliau telah berjaya mengubah hidupnya dan membebaskan diri dari belenggu-belenggu yang membelit dirinya. Saya juga amat bersyukur kerana walaupun sibuk dengan dunia perniagaan, beliau masih gigih membuat kajian dan menulis hasil kajiannya untuk dimanfaatkan pada umat Islam hari ini. 

Saya mendoakan semoga suatu masa nanti Allah menjadikan beliau penulis yang terkenal pada dunia Islam dan hasil kajian dan pemikirannya menjadi khazanah penting untuk ummah, insya Allah.

TAUKE BOT BERJAYA 

Sahabat saya Hakim bin Ismail (abang Hakim) di Dungun, dahulunya memiliki sebuah syarikat Konsultan dalam bidang Jururekabentuk bangunan di KL. Namun dilihat pekerjaannya banyak terdedah kepada unsur syubhah dan kehidupan KL banyak merosakkan diri dan anak-anaknya. Lantas diserahkan syarikatnya kepada seorang teman dan pulang ke Terengganu. Selama beberapa waktu, beliau hanya menganggur tanpa mempunyai apa-apa perancangan sehingga duit simpanannya hampir habis.

Allah Maha Kaya, dibukakan hatinya untuk mengikuti kursus Fiberclass dan membuat bot. Apabila pulang dari kursus, dengan hanya bermodalkan RM800 hasil jual motor buruknya, dia berusaha membuat bot dari satu tahap ke satu tahap, bereksperimen untuk mendapatkan hasil terbaik, murah tapi berkualiti. Sudah tentu pelbagai masalah dihadapi dan kerugian yang ditanggung bukan sedikit. Namun berkat niat dan azam yang kuat, Allah membantunya sehingga menjadi salah seorang peniaga bot yang paling berjaya di Terengganu kini.
Bot yang dihasilkan syarikatnya, Aking Fibre Glass Engineering Services menerima tempahan yang meluas termasuk sekitar nusantara. Beliau menyatakan bahawa apa yang Allah kurniakan kepadanya melebihi apa yang diimpikan. Dengan limpahan rezeki tersebut, beliau menginfaqkan tanahnya untuk didirikan Ribath menengah dan sebahagian perbelanjaan kos  bulanan Ribath ditanggung olehnya. Hanya Allah jua yang dapat membalas pengorbanannya.

Ya Allah, Engkau lahirkan ramai lagi para usahawan sepertinya!

ANAK KAMPUNG KINI JUTAWAN INDUSTRI MARITIM

Sepupu saya Hj Aminudin bin Mat Yusof, merupakan Pengarah Urusan MSET Engineering Corporation Sdn. Bhd (MSET), syarikat Bumiputera yang terlibat dalam industri Maritim terutamanya pembuatan bot dan kapal di Pulau Kambing, Kuala Terengganu. MSET kini terkenal sebagai pemain penting dalam industri berkenaan di dalam dan luar negara.

Yang menariknya, Hj Aminudin asalnya hanyalah anak kampung biasa. Waktu dulu ramai orang termasuk saya tidak nampak akan potensinya walaupun kami sering bersama dan begitu rapat. Apabila saya membuat keputusan untuk menukar pembelajaran pada bidang agama, beliau amat menyokongnya. Beliau pula belajar di Politeknik Ungku Omar mengambil Diploma Kejuruteraan Marin. Kemudian bekerja di Malaysian Shipyard Engineering Sdn. Bhd. (MSE) dan Malaysian International Shipping Corporation Berhad (MISC), Johor sebelum menyertai MSET. 

MSET sebelumnya merupakan milik kerajaan negeri Terengganu di bawah Permint Engineering Terengganu Sdn. Bhd. Apabila ia menghadapi masalah pada 2002, Hj Aminudin mengambil langkah berani berbincang dengan almarhum bapa saudara saya Hj Abdullah bin Sulaiman untuk membeli syarikat tersebut. 

Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah, urusan pembelian dimudahkan dan beliau menjadi pengarah dan salah seorang pemegang syer bersama dengan sepupu saya dari KL iaitu Hj. Hasnan bin Abdullah. Syarikat tersebut kemudian ditukar nama pada MSET Engineering Corporation Sdn. Bhd. Syarikat perkapalannya kini berkembang maju dengan menerima tempahan daripada agensi-agensi kerajaan dan pelbagai pihak dari luar negara

Kini beliau adalah seorang jutawan muda yang disegani di Terengganu. Walhal satu masa dulu beliau pernah menumpang tidur di bilik belakang restoran ayah saya di Pulau Kambing.

Apabila berjumpa dengan saya, beliau mengatakan akan membantu umat Islam dengan caranya dan saya membantu dengan cara saya. Alhamdulillah, kini beliau membuka sekolah pintar Islam dan membantu melabur dalam syarikat-syarikat bumiputera yang dilihat berpotensi untuk berjaya. 

Walaupun jarang bertemunya kini, namun beliau sentiasa menjemput saya apabila membuat pelancaran kapal baru syarikatnya. Namun sampai sekarang saya tidak pernah memenuhi jemputannya kerana kurang selesa berada dalam majlis besar yang dihadiri para pemimpin dan pembesar negeri. Saya juga mengelak untuk rapat dengannya kerana bosan dengan ramai orang yang datang agar menolong mereka mendapat projek di syarikatnya. 

Semoga Allah memberkatinya dan tidak terlalai dengan kemewahannya kini.

Bersambung...