Selasa, Februari 08, 2011

Iman Kepada Rasul Kunci Segala Rukun Iman

Bermula agama dengan wajib mengimani rukun Iman yang enam, iaitu :

1.    Beriman kepada Allah
2.    Beriman kepada Rasul
3.    Beriman kepada Malaikat
4.    Beriman kepada Kitab
5.    Beriman kepada Hari Akhirat
6.    Beriman kepada Qada’ dan Qadar

Syaikh Ahmad Al-Fathani[1] menyatakan bahawa  kunci utama keimanan pada rukun Iman adalah keimanan kepada Rasul[2]. Ini kerana Rasul adalah penghubung antara kita dengan Allah dan segala alam ghaib.

Akal manusia amat terbatas untuk mencari jawapan kepada semua persoalan dan misteri kehidupan. Akal hanya boleh mengetahui pada hukum zahir sahaja, malah sehingga kini pun, banyak rahsia alam yang zahir ini masih lagi tak dapat ditemui jawaban oleh para pemikir.

Mata melihat mayat di hadapan dan akal tiada dapat memberi jawaban apa misteri di sebalik mayat tersebut, bagaimana keadaannya selepas mati dan seterusnya ke mana ia akan pergi. Tanpa Rasul manusia akan bertuhan dengan khayalan akal sehingga timbul pelbagai ajaran yang disandar pada agama seperti adanya dewa-dewa di langit, inkarnasi (kelahiran semula) dan lainnya, sedangkan ia sama sekali jauh dengan hakikat agama.

Agama ialah pengetahuan yang disandarkan kepada Rasul dan kitab Allah yang diturunkan kepada mereka. Justeru itu manusia amat berhajat pada Rasul untuk memberi jawaban bagi segala persoalan akal. Maka jawaban kehidupan ini hanya dapat dihuraikan apabila adanya keimanan seorang itu kepada Rasul. Ini kerana pada Rasul, Allah memberi penglihatan dan pengetahuan tentang hakikat diri manusia, rahsia alam zahir dan alam ghaib.

Keimanan adalah kepercayaan yang ditasdiq pada hati tanpa ragu. Para sahabat memulakan keimanan mereka dengan beriman kepada Rasulullah sallaLlahu alaihi wassalam[3] melalui proses kajian dan penelitian siapa Muhammad sallaLlahu alaihi wassalam dari sudut akhlak, kehidupan, keluarga, tanda-tanda keNabian dan sebagainya sebelum mereka berbai’ah dengan dua kalimah syahadah.

Dengan keimanan pada Rasul tanpa ragu, membawa mereka mengimani segala rukun Iman yang lain dengan yakin. Akal mereka menolak seorang Rasul itu berdusta, tiada amanah, tiada bijaksana dan menyembunyikan ilmu.

Beriman kepada sifat wajib bagi Rasul disimpulkan kepada empat, iaitu:

1. Amanah - Kepercayaan
2. Siddiq - Benar
3. Fathanah- Bijaksana
4. Tabligh - Menyampaikan


NUR

Dalam al-Quran terdapat sebutan tentang “NUR”. Antaranya ayat :

 يَـٰٓأَهۡلَ ٱلۡڪِتَـٰبِ قَدۡ جَآءَڪُمۡ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمۡ ڪَثِيرً۬ا مِّمَّا ڪُنتُمۡ تُخۡفُونَ مِنَ ٱلۡڪِتَـٰبِ وَيَعۡفُواْ عَن ڪَثِيرٍ۬‌ۚ قَدۡ جَآءَڪُم مِّنَ ٱللَّهِ نُورٌ۬ وَڪِتَـٰبٌ۬ مُّبِينٌ۬ (١٥)

“Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul kami, menjelaskan kepadamu banyak dari isi al-Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan.” (al-Maidah : 15)

·         Dalam Tafsir al-Jalalain Imam al-Suyuti rahimahullah menyatakan makna nur itu ialah “Rasulullah salaLlahu ‘alaihi wassalam”.

·         Dalam Tafsir al-Qurtubi dinyatakan begini : “Telah datang kepada kamu Nur dari Allah, iaitu cahaya, dikatakan “Islam”, dan dikatakan : Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam dari al-Zajjaj. Dan “kitab” itu dikatakan al-Quran.

·         Dalam Tafsir al-Tabari disebutkan : “Telah datang kepada kamu wahai ahli Taurat dan Injil Nur dari Allah, yakni Nur itu Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam yang dengannya dicerahkan kebenaran, dizahirkan Islam dan dihapuskan kesyirikan.

·         Dalam Tafsir ibn Kathir tentang ayat ini dinyatakan : “Telah datang kepada kamu Nur dari Allah dan kitab yang nyata, Allah Taala memberi khabar berkenaan dengan diriNya sendiri bahawa Ia mengutuskan RasulNya Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam dengan bimbingan hidayat dan agama yang hak kepada semua ahli bumi.”

“Alam tanpa manusia adalah mati. Manusia tanpa ruh adalah mati. Ruh tanpa Rasul adalah mati.

Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam adalah sumber cahaya kerahmatan bagi sekelian alam. Tanpa Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam, ruh dan alam ini dalam kegelapan dari cahaya Allah. Baginda adalah penghubung antara alam ketuhanan dan alam manusia. Baginda adalah pintu bagi para perindu Ilahi. Memasuki pintu lain daripada Baginda adalah sesat. Cahaya kerahmatan Baginda tetap kekal merahmati alam walaupn jasad Baginda tiada lagi di bumi ini…

Maklumat tentang alam ruh tetap tersimpan pada ruh bagaikan cip komputer. Ia hanya dapat dibuka dengan kod mengucap dua kalimah syahadah, mentaati perintah dan ajaran Rasul. Apabila mereka menerima dengan ikhlas bahawa Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wassalam adalah Nabi, maka nur kerahmatan akan melimpah dalam jiwa dan memimpin mereka kepada Allah.

Semakin bersih seorang itu dalam amalannya, maka semakin melimpah nur pada jiwanya. Kekuatan nur yang melimpah akan dapat membuka kembali cip maklumat alam ruh sehingga mereka akan terkasyaf kembali di alam ruh. Segala pandangan dan perjanjian di alam ruh dahulu akan terbuka, maka mengenal mereka akan hakikat diri, hakikat nur dan rahsia Ilahi secara kasyaf.

Sebaiknya untuk mencapai hakikat ini, perlukan bimbingan para mursyid yang benar. Jika sukar memiliki, banyakkan selawat dan benar dalam mengamalkan sunnah, insya Allah dengan keberkatan selawat, kita dapat pemeliharaan Allah daripada kesesatan.

من صلى علي صلاة واحدة صلى الله عليه بها عشراً
“Barang siapa yang berselawat padaku satu selawat sekali, nescaya Allah berselawat padanya 10 selawat.” (riwayat Muslim)

z

Selawat dan salam pada HabibuLlah Rasulullah sallaLlahu alaihi wassalam!

Banyakkan selawat atas Nabi wahai saudaraku, cintai sunnahnya… dengannya kamu akan memiliki cahaya yang membuka pintu ketauhidan Ihsan dan menanggalkan kekotoran syirik pada batinmu!
z

Petikan : Allah - Syariat dan Hakikat


[1] Nama sebenar Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain bin Wan Mustafa bin Wan Muhammad bin Wan Muhammad Zainal Abidin dilahirkan di Kampung Jambu, Negeri Jerim, Patani pada 10 April 1856 dengan nama  Syeikh Ahmad al-Fathani. Beliau disifatkan sebagai pemikir terbesar dunia Melayu dalam semua aspek merangkumi dunia dan akhirat. Kajian dan penyelidikan mendapati beliau menguasai 47 bidang ilmu termasuk politik, ekonomi, seni, budaya, kejuruteraan dan pentadbiran.
    Beliau turut mempunyai tujuh jenis ilmu, antara yang menakjubkan adalah ilmu membedah tubuh manusia (perubatan), menghasilkan emas 24 karat menggunakan bahan campuran yang bukan daripada emas (kimia) dan memperkenalkan tempat menyemai tanaman (pertanian).
    Antara sumbangan terpenting Syeikh Ahmad Fathani adalah merintis pembangunan pendidikan masyarakat Melayu. Beliau pernah diberi kepercayaaan oleh pemerintah Turki untuk memeriksa kitab sama ada dalam bahasa Arab atau Melayu pada 1884. Dalam usaha itu, beliau meminta pemerintah Turki mencetak secara besar-besaran kitab termasuk kitab Melayu/jawi untuk tujuan menyebarkan dakwah Islamiah dengan cepat khususnya di Nusantara.
    Syeikh memainkan peranan penting dalam institusi pendidikan pondok dan mengarang lebih 160 kitab (iaitu kitab asli berbahasa Arab, berbahasa Melayu dan kitab yang ditashih. Antara kitab yang masyhur di alam Melayu adalah Faridatul Faraid. Syeikh Ahmad al-Fathani amat  berpegang teguh kepada tiga asas agama Islam yang benar menurut jumhur ulama iaitu Fikah Mazhab Al-Syafie, Akidah Ahlus Sunnah wal Jamah serta tasawuf dan tarikat. Beliau meninggal dunia pada 11 Zulhijah 1325 atau 14 Januari 1908.
[2] Lihat takrif iman pada syara’ dalam kitab Faridatul Faraid
[3] Lihat atsar riwayat Ibnu Umar r.a :
كنا نؤتى الإيمان قبل القرآن وسيأتي زمان على الناس يؤتون القرآن قبل الإيمان فيقرأ أحدهم من فاتحته إلى خاتمته لا يدري ما آمره وما زاجره يشربونه شرب الماء لا يجاوز حناجرهم
“Kami dikurniakan keimanan (kepada Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam) dahulu sebelum kami mempelajari al-Quran. Suatu masa nanti akan berlaku manusia diberikan al-Quran sebelum beriman lalu seseorang dari mereka membacanya dari surah al-Fatihah hingga ke akhirnya sedang dia tiada memahami perintah dan larangannya. Mereka membacanya seperti orang yang meminum minuman yang tiada melepasi halkumnya.” (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain)