Ahad, Julai 25, 2010

Apabila Tiada Atap Menahan Hujan Jahiliyah Yang Mencurah...

Kehidupan dunia yang kelihatan indah ini amat mempesonakan setiap insan yang melihatnya. Mereka bagaikan terpukau sehingga lupa akan asal diri dan matlamat kehidupannya.

Cahaya Islam yang menjadi rahmat dan pelindung kepada insan menjadi begitu dagang di zaman ini. Yang ada hanyalah syiar-syiarnya yang tiada mempunyai ruh, bagaikan jasad tanpa nyawa, bagaikan gula yang tiada manisnya.

Alangkah pilunya hati bila melihat sistem yang mencengkam kehidupan ini merupakan racun yang amat berbisa. Ia membunuh segenap keimanan dalam jiwa insan sedikit demi sedikit sehingga Islam tinggal pada nama sahaja. Racun sekularisma yang menyelinap ke dalam semua aspek kehidupan umat Islam sudah hampir tidak dapat dikawal. Negara kini menjadi cemas dengan pelbagai isu kronik masyarakat ; Dadah, jenayah, samun, rogol, budaya hedonisme (hiburan melampau) dan sebagainya. Golongan yang mencari pengaruh pula tenggelam dengan budaya politik huminisme dan materialistik (kedudukan dan kuasa) mereka.

KRISIS KRONIK MASYARAKAT

Kebelakangan ini isu pembuangan bayi diperkatakan masyarakat sehingga ada pihak menjalankan kempen “Kami Prihatin” untuk membangkitkan kesedaran akan parahnya gejala ini.

Boleh dikatakan saban hari terpampang berita pembuangan dan pembunuhan bayi tidak bersalah dalam tong sampah, tepi jalan, dalam semak dan sebagainya. Kalau di zaman jahiliyyah dahulu hanya anak perempuan yang ditanam hidup-hidup, namun di zaman ini tak kira bayi lelaki atau perempuan dibunuh mereka. Yang berzina dan ‘pembunuh’ itu bukanlah orang yang bodoh, bahkan setengahnya adalah graduan IPTA/IPTS yang punya ijazah dan kelulusan tinggi.

Menurut fakta Jabatan Pendaftaran Negara, dari tahun 2005-2009 jumlah anak luar nikah yang didaftarkan adalah seramai lebih 214,000 bayi. Dari jumlah itu, lebi 74,000 adalah di kalangan orang Islam. Tahun lepas sahaja (2009) yang didaftarkan seramai hampir 14,000 bayi!

Dalam kes rogol pula, statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan kes rogol telah meningkat daripada 1,217 pada tahun 2000 kepada 1,386 pada 2001 dan kepada 1,431 pada 2002. 1,324 (2003), 1,698 (2004) , 1,189 (2005) 2,431 (2006) 3,098 pada (2006), 3,414 pada (2007) dan 2008 meningkat kepada 4,959 kes.

Kes rogol yang dilapor di negara ini meningkat sebanyak 31.5 peratus bagi tempoh Januari hingga September tahun 2008 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya dengan lebih 70 peratus membabitkan mangsa berumur 18 tahun ke bawah. Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Maximus J. Ongkili berkata, berdasarkan statistik yang diperolehi pihaknya, sebanyak 2,432 kes rogol dilapor dalam tempoh itu berbanding 1,849 kes tahun sebelum itu.

Menurut Nationmaster yang mengkaji kes rogol di seluruh dunia, Malaysia masih lemah dalam menangani kes-kes rogol yang berlaku dalam negara kita. Mengaku sebagai sebuah negara Islam, berada pada tangga 38 bukanlah sesuatu yang boleh kita banggakan.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Fu Ah Kiow, di Dewan Rakyat menyebut pada tahun 2007 sahaja 5.7 kes sehari di Malaysia ataupun hampir 1 kes rogol setiap 4 jam. Dan pada tahun 2008 dah meningkat kepada 13.7 orang sehari? Bagaimana dengan 2009 dan 2010?
Inilah realitinya. Masing-masing menuding jari menyalahkan pihak-pihak lain. Pada penulis, mereka yang terlibat ini sebenarnya adalah mangsa kepada kejahilan dan kelekaan pemimpin-pemimpin, ulama-ulama, ahli agama, ahli ibadah, ahli sufi, ahli politik dan orang awam.

AMAL MA’RUF NAHI MUNGKAR

Amal ma’ruf dan nahi mungkar bagaikan atap yang kukuh bagi sebuah rumah. Ibadah atau amal-amal Islam yang lain bagaikan dinding, tiang, perabot dan yang lainnya. Serangan jahiliyah bagaikan hujan yang turun, jika tiada atap, dengan sendirinya segala perabot akan rosak dan binasa. Begitulah juga dengan serangan jahiliyah moden, lantaran sistem pertahanan yang lemah, kini ia berjaya menanggalkan Islam sedikit demi sedikit dari penganutnya sehingga akhirnya tertanggal iman. Na’uzubillah…

Mutakhir ini, kita dapat lihat dengan jelas betapa ramainya umat Islam yang tidak sembahyang. Masjid-masjid kosong dari golongan muda. Apabila sembahyang sebagai rukun yang pertama telah hilang dari seorang Muslim, maka yang lain akan mengikutnya dengan mudah. Begitu juga dengan wanita Islam, jarum sekular telah berjaya menanggalkan sifat malu dalam diri mereka. Mereka dikhayalkan dengan budaya berbangga dengan apa yang mereka miliki, mereka tidak malu lagi untuk memperlihatkan apa yang ada diri mereka sehingga mereka sanggup berbogel diatas nama kebebasan dan keseronokan.

Mengamalkan Islam secara keseluruhan dan teguh serta wara’ dalam memelihara diri dari perkara yang diharamkan, sama ada dalam soal makan minum, percakapan, kelakuan, hati, pendidikan, hiburan dan sebagainya adalah jalan keselamatan. Sesiapa yang berpegang teguh dan tidak rela sedikitpun dirinya mengikut hawa nafsu dan suasana masyarakat, nescaya ia akan selamat.

Pada masa kini, iman amat sukar untuk dipelihara. Hal ini disebut oleh Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam bagaikan mengenggam bara api. Ini disebabkan racun jahiliyah moden telah berjaya menguasai umat Islam. Mereka diajar tentang ibadah dan kebaikan tetapi dalam masa yang sama mereka turut diajar bahawa perkara kemaksiatan juga adalah kebaikan, bahkan ia dianggap tuntutan fitrah apalagi di kalangan generasi muda. Masjid didirikan untuk golongan yang mahu beribadah tetapi pusat-pusat hiburan juga dibuka untuk golongan muda. Mereka dibiarkan bebas menyanyi, menari, berpegangan tangan, berpeluk-pelukan, berpakaian seksi di atas nama keseronokan.

Ini yang dimahukan oleh anak-anak muda dan para pemimpin menyaksikan dengan wajah yang tersenyum. Mereka melihat jika berdosa pun, ia hanyalah kecil sahaja dan boleh terhapus dengan sembahyang. Mereka tidak menyedari bahawa membiarkan mungkar berleluasa akan membuka pintu langit untuk mengundang bala Allah. Memang dalam kamus ajaran Islam anutan sekular tiada kalimah bala atau barakah. Mereka tidak pernah cemas dengan kemurkaan Tuhan. Apa yang mereka bimbangkan adalah masalah ekonomi, parti hilang pengaruh, mereka hilang jawatan, rakyat tidak menyokong dan sebagainya.

SEKULARISME – RACUN MEMBUNUH AQIDAH

Sekular adalah satu fahaman Islam yang diajar oleh Barat ketika mereka memerintah mana-mana negara. Kebanyakan negara umat Islam di seluruh dunia menganut fahaman ini. Sekular tidak pernah menghalang ibadah malah amat mengalakkannya tetapi sekular amat menentang mana-mana umat Islam yang mahukan Islam diamalkan secara keseluruhan. Bagi sekular cukuplah Islam hanya di masjid-masjid, majlis-majlis kahwin, majlis kematian, ceramah di radio dan di televisyen. Mereka tidak akan membenarkan Islam diamalkan lebih jauh daripada itu. Ajaran yang mereka terapkan ini tidak boleh dibantah, mereka mentafsirkan Islam mengikut pemikiran mereka, mereka tidak senang jika ada di kalangan ustaz-ustaz yang mengajar tafsir dengan cara menerangkan secara benar segala isi kandungan Al-Quran. Ini kerana pengajaran yang benar boleh membuka tembelang kebatilan mereka. Justeru, mereka akan menghalangnya disebabkan idealogi Islam yang mereka anuti amat berbeza dengan Islam yang dikehendaki oleh Al-Quran.

Malangnya ramai diantara mereka yang menentang Islam tanpa mereka sedari. Mereka amat cinta pada Allah, pada RasulNya, pada kitabNya. Jika ada yang mencerca Allah, Rasul atau kitab, mereka akan bangun menentang. Ini menunjukkan pada denyutan jantung mereka masih ada iman. Kebanyakan mereka berpendidikan Barat, mendapat pendidikan biasa di sekolah atau golongan yang tiada pendidikan. Lebih malang lagi para ulama di sisi mereka tidak berani menegur kesalahan mereka.

Dengan adanya para ulama yang berkepentingan dunia di sisi mereka, mereka akan terus buta dengan kebenaran. Mereka menganggap ulama itu adalah benar dan ulama yang di luar adalah batil. Inilah dosanya orang alim dimana segala tindak-tanduk mereka menjadi fatwa bagi orang yang jahil. Meletakkan kesalahan kepada mereka seratus peratus juga satu kezaliman ke atas mereka. Apa yang penting usaha dakwah perlu diteruskan dengan penuh kasih sayang dan kebijaksanaan. Memberi hukuman dengan pelbagai hukuman atau gelaran adalah melambangkan kejahilan dan tertipu dengan hawa nafsu. Dakwah memerlukan kesabaran, inilah yang diperingatkan oleh Allah dalam surah Al-Asr :

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran.” (Al-Asr : 1-3)

BERSATU DALAM DAKWAH

Apa yang penting bagi para pencinta Islam ialah berpegang teguh dengan keseluruhan ajaran Islam, mendalami Ad-Din secara bersepadu dan mencontohi methodologi dakwah Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam dalam merubah masyarakat jahiliyah (kita hidup di zaman Jahiliyah Moden- pen.). Ia adalah asas kekuatan untuk bersama dengan Islam dengan penuh keteguhan dan keindahan. Mereka perlu kekuatan ilmu, amal dan jihad yang bersungguh-sungguh untuk keluar menyeru manusia kepada Islam tanpa disertai kemarahan, kebencian, dendam, takbur dan kejahilan.

Dakwah perlu diusahakan bersungguh-sungguh. Jika kita sayangkan negara dan umat Islam, kita tidak rela lagi iman-iman umat Islam ditanggalkan dari dalam dada penganutnya satu demi satu. Kita tidak boleh menjadi pencinta masjid sahaja tanpa merasa berdosa melihat para pemuda kehilangan iman, wanita kehilangan sifat malunya. Serangan sekular yang hebat ialah memperbanyakkan hiburan dan mendidik Muslim mencintai kebendaan. Kebendaan bagi mereka seolah-olah Tuhan yang akan memberikan apa jua kebahagiaan. Ini amat bertentangan dengan apa yang difahami bahawa orang-orang yang bahagia ialah para Nabi, waliNya, orang-orang yang soleh.

Kebendaan bukanlah ukuran kebahagiaan manusia. Di hari ini, rumah-rumah yang dilihat mewah sudah menjadi neraka kepada anak-anak mereka. Anak-anak mereka lebih suka tidur di tembok-tembok yang keras dari tilam yang empuk. Keberkatan sudah hilang dalam kehidupan umat Islam sekarang. Ini disebabkan mereka hanya beramal maaruf tanpa mencegah kemungkaran, malah mencintai dan bersama dengan kemungkaran. Apabila menganggap dosa yang dilakukan kecil sahaja, ia adalah sifat munafik yang disebut oleh Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam bahawa seorang yang beriman apabila melakukan dosa yang kecil dirasakan seperti gunung, sedangkan para munafik apabila melakukan dosa yang besar dilihatnya seperti seekor nyamuk.

Apa yang penting, marilah wahai para pencinta Islam, bergeraklah secara tersusun, hidupkan kembali hati generasi ini kepada cintakan Allah, RasulNya dan Islam. Para doktor yang benar, apabila ia melihat nadi atau jantung pesakit masih berdenyut, mereka akan berusaha memberi rawatan untuk menyelamatkan nyawa pesakit tersebut walaupun ia sangat parah. Begitu jugalah wahai para pencinta Islam, jadikan dirimu doktor yang merawat penyakit umat Islam yang sudah terkena racun sekular sama ada pada pemimpin, ulama-ulama dan masyarakat yang jahil. Janganlah dijauhi mereka, dekatilah mereka dengan penuh lemah lembut dan kasih sayang sebagaimana Allah memerintah Nabi Musa (a.s) berdakwah kepada Firaun :

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”. (Taha : 43-44)