Banyak juga fatwa-fatwa Dr Asri terkhilaf dan menjadi bahan gurauan ahli-ahli ilmu. Namun pada kaca mata anggota masyarakat yang jahil, beliau kini dilihat seorang ulama yang mantap ilmunya dalam membetulkan kesilapan-kesilapan ulama dahulu. Dia akan terus bergerak tanpa mundur dan akan terus mendapat sokongan pelbagai pihak dengan pendekatannya yang dianggap moderat dan kontemporari.
Malah, individu yang turut mendokong visi Dr Asri sudah ramai yang bertapak dalam PAS, pertubuhan-pertubuhan Islam, institusi kerajaan dan terbaru dalam UMNO dengan kemasukan 40 ulama muda. Walaupun ramai golongan yang mempertikaikan kemasukan ulama muda dalam UMNO, namun kumpulan 40 itu mempunyai visi tertentu melalui tindakan tersebut walaupun mereka tahu bahawa UMNO adalah parti yang penuh dengan rasuah, hiburan, tari menari, kebendaan, salah guna kuasa, meletakkan kepentingan politik lebih dari maslahah agama dan sebagainya.
Walaupun mereka mengatakan masuk UMNO kerana ingin membantu dalam aspek agama dan kerohanian, bukan untuk mendapatkan jawatan, namun UMNO sebagai gerakan politik pasti akan membuka ruang untuk mereka jika dilihat ianya dapat mengukuhkan parti dan kuasa mereka.
Tidak dinafikan, kemasukan mereka ke dalam UMNO memberi kesan kepada wajah UMNO kini di mata masyarakat awam. Setengahnya melihat UMNO sedang menuju kepada pemulihan agama dan serius dalam menerapkan nilai-nilai Islam dalam parti dan pemerintahan.
PAS, walaupun mendakwa peristiwa itu tiada memberi kesan pada mereka, namun itu hanyalah cakap politik. Pada hakikatnya PAS akan terkesan juga, lebih-lebih lagi kumpulan 40 itu telah merancang beberapa gerak kerja dakwah untuk dilaksanakan nanti. Ini pastinya menjadi saingan kepada PAS dan jika silap strategi, suatu masa masyarakat akan melihat tiada beza PAS dengan UMNO atau melihat UMNO lebih baik dari PAS dalam aspek agama dan akhlak berpolitik.
GERAKAN AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH TIADA TANZIM?
Kejahilan masyarakat hanya dapat diselesai dengan ilmu dan tarbiyah. Undang-undang hanya dapat mengekang dengan batasan tertentu tanpa dapat menyelesaikan secara masalah keseluruhannya. Namun undang-undang dan peraturan perlu wujud bersepadu dengan ilmu dan tarbiyah.
Permasalahan utama pejuang ASWJ aliran tradisi (pondok) masakini ialah tiadanya kesatuan tanzim. Disamping itu mereka terikat dengan pelbagai method pemikiran yang terbatas hingga menyebabkan mereka tiada mampu untuk bersiasah lebih jauh.
Gerakan ASWJ perlu bergerak secara tanzim yang kukuh tanpa disaluti emosi kemarahan yang menghilangkan kewarasan dalam tindak tanduk dan perkataan. Gerakan ini juga perlu mengelakkan diri dari terjerat dengan polemik khilafiah, perbahasan fiqh, tarekat tasawuf dan sebagainya. Ia tidak membawa kebaikan malah akan menyemarakkan perpecahan dan merugikan masa yang sepatutnya ditumpukan kepada perjuangan memartabatkan manhaj ASWJ yang syumul.Walau apapun, pada saya Dr Asri dan sahabat serta pendokong mereka adalah pencinta Islam yang bersungguh-sungguh menyampaikan dakwah mengikut keyakinan mereka. Kita perlu menangani kelompok ini dengan baik, hikmah, kasih sayang dan persahabatan agar segala kekusutan dapat diselesaikan, sehingga yang haq dapat ditegakkan dan yang batil dapat dipadamkan secara harmoni.
Adab berkhilaf sesama sendiri berbeza dengan adab perselisihan dengan mereka yang terang-terangan kufur. Lagi pula masyarakat sudah jelas yang mana haq dan batil. Tapi ‘perang sesama sendiri’ amat perlu kepada sikap berhati-hati dan tidak melampaui batasan kerana orang awam akan menjadi mangsa di atas kekaburan sesuatu perkara. Mereka mungkin akan keliru yang mana haq dan yang mana batil sehingga dibimbangi generasi muda yang sudah jauh dengan agama akan lebih jauh lagi kerana keliru dan bosan dengan persengketaan tersebut.
Ibarat kata pepatah Melayu, ‘gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengahnya’. Kepada Allah kita bertawakal dan kita berdoa agar umat Islam tidak hancur dan lemah sehingga menjadi dagang di negara sendiri.
WaLlahu ‘alam.