Isnin, Julai 05, 2010

Dr Asri dan Isu-Isu di Sekitarnya... (3)

KESILAPAN DALAM MEMAHAMI YANG TERSIRAT

Kelompok yang menyokong dan sealiran dengan Dr Asri menolak adanya barakah tempat seperti makam ulama atau auliya, bahkan ketawa jika hal ini disebut. Mereka juga merasa geli jika dilihat seorang murid meminum bekas minuman guru mereka kerana beranggapan ianya sifat taksub murid pada gurunya.

Beberapa bulan dahulu timbul isu dimana Dr Asri mendakwa berlakunya upacara orang ramai menelan air liur seorang tokoh agama di satu masjid di Selangor. Dalam tulisannya 'Telan air ludah ustaz!' di laman beliau dan Malaysiakini. Antara lain beliau menulis, “Pengikutnya atau hadirin yang menghadiri kuliah disuruh berbaris dalam masjid lalu ‘menikmati’ seorang sedikit air liur tokoh agama aliran tarekat itu yang di masukkan ke dalam mulut mereka. Beliau mendakwa inilah ajaran Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Kononnya untuk mendapatkan keberkatan beliau!”

Bagaimanapun, selepas disiasat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), didapati apa yang berlaku sebenarnya hanya sesi meminum air zam-zam yang dikongsi antara jemaah dalam satu cawan bersama tokoh agama berkenaan selepas tama ceramah beliau. Pihak JAIS turut menyatakan amalan yang sama turut berlaku ketika zaman Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم di mana para sahabat berkongsi meminum susu menggunakan satu gelas. Mungkin disebabkan sikap prejudis dan menolak hal-hal kerohanian menyebabkan timbulnya fitnah sedemikian yang akhirnya terbukti tidak benar.

RAHSIA ILMU DAN AMALAN SERTA BUKTI SAINTIFIK

Dr Asri dan yang sealiran dengannya mungkin tidak terdedah mengenai Ilmu Metafizik dan konsep Aura yang banyak dibincangkan masa kini. Ia turut digunakan sebagai kaedah rawatan alternatif bagi penyembuhan penyakit zahir dan batin.

Setiap orang memiliki aura yang berbeza antara satu sama lain. Orang soleh berbeza auranya dengan orang fasiq sehingga segala yang dipegangnya akan memiliki kesan aura sama ada positif atau negatif dan memberi kesan kebaikan atau keburukan. Hal ini telah dikaji secara saintifik terutama dalam bidang fizik dan dibuktikan kebenaran melalui pelbagai eksperimen menggunakan alatan moden berteknologi.

Begitu juga dengan penemuan oleh Dr Masaru Emoto dari Jepun bahawa air adalah suatu yang hidup dan dapat merakam tenaga atau aura yang dibacakan kepadanya. Kesan sama ada baik atau buruk itu diperlihatkan melalui pembentukan molekul-molekul air berkenaan. Ini membuktikan mengenai kewujudan aura yang mempunyai kesan-kesan tertentu sama ada berupa kebaikan atau keburukan.

Imam Abu Hanifah rahimahullah hanya mengirim sebelah terompah kakinya kepada khadam Raja untuk mengubat rasukan jin pada anak perempuannya. Begitu juga jubahnya yang dipakai ketika diseksa dalam penjara (kerana menafikan bahawa Al-Quran adalah makhluk), ia disimpan oleh Imam Syafi’e rahimahullah dan digunakan sebagai penyembuh pelbagai penyakit.

Pada masa pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab radhiaLlahu anhu berlaku satu peristiwa di Sungai Nil di Mesir yang menjadi nadi kehidupan rakyatnya tiba-tiba mulai surut dan tidak melimpah seperti biasa. Ini mencemaskan penduduknya yang batu memeluk Islam sehingga mereka berhasrat untuk mengorbankan seorang gadis sebagai ‘hadiah’ kepada ‘dewa’ Sungai Nil.

Gabenor Mesir Amru Al-‘As radhiaLlahu anhu lalu mengutus surat kepada Khalifah Umar Al-Khattab radhiaLlahu anhu bagi memaklumkan kejadian berkenaan. Khalifah kemudian membalas surat itu, tetapi ditujukan kepada Sungai Nil. Surat khalifah Umar al-Khattab radhiaLlahu anhu itu berbunyi antara lain maksudnya, "Surat ini dikirimkan oleh Umar, Amirul Mukminin kepada Sungai Nil, kalaulah air yang mengalir pada tubuhmu itu bukan dari kuasa Allah maka kami tidak sekali memerlukan engkau! Tetapi kami percaya Allah itu Maha Kuasa dan kepadaNyalah kami bermohon supaya engkau mengalir seperti sediakala".

Sebaik sahaja Amru Al-‘As radhiaLlahu anhu mencampakkan surat itu ke dalam Sungai Nil, airnya tiba-tiba mula naik dan melimpah-limpah ke kawasan tanah di sekelilingnya. Inilah yang dikatakan barakah atau kesan aura yang dimiliki Saidina Umar radhiaLlahu anhu. Jika orang lain menulis tiada akan memberi kesan kerana tiada memiliki aura yang kuat seperti beliau.

Seseorang yang memiliki akidah dengan pergantungan yang bulat pada Allah dan hukum sunnatullah juga merupakan kekuasaan Allah yang dizahirkan dalam pelbagai bentuk supaya manusia hidup dalam hukum sebab dan musabab. Justeru itu pendidikan sufi mendidik tauhid mencapai fana hanya Allah dalam pandangan jiwa ketika melakukan hukum usah dan ikhtiar. Menfanakan kuasa Allah yang mengenyangkan tanpa meninggalkan makan nasi kerana nasi adalah kenyataan kuasa Allah dalam memberi hukum rezeki bagi mengenyangkan hambanya.

Barakah atau aura juga adalah hukum sunnatullah dan ia dapat dibuktikan secara saintifik akan kewujudannya. Oleh itu, sejadah yang digunakan orang bertakwa memiliki aura yang berbeza dengan orang fasik. Orang yang beramal dengan ilmunya berbeza auranya berbanding dengan orang yang berilmu tapi tiada beramal. Serban yang digunakan oleh para syaikh mempunyai aura yang kadang-kadang boleh digunakan untuk tujuan pengubatan gangguan sihir dan sebagainya.

Sahabat saya Prof Emeritus Dr. Sir Norhisyam Wahab pengasas kepada perubatan Colour Vibration Therapy menjadikan sebutan kalimah “Allah” oleh seorang guru yang mencapai makrifat yang tinggi sebagai aura penyembuhan. Caranya, ketika guru itu menyebut nama “Allah”, getaran gelombang atau frekuensinya diperangkap menggunakan alatan berteknologi. Gelombang itu kemudiannya dimasukkan ke dalam produk Aromatherapy yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan seperti memperbaiki aura diri, membuang gangguan jin, sihir, saka atau penyakit-penyakit zahir melalui kaedah mandian dan sebagainya.

Sebenarnya banyak perkara yang diutarakan oleh ulama kasyaf yang tidak difahami oleh akal sehingga menganggap ianya karut atau sesat. Namun jika diselidiki dan dikaji secara moden, nescaya akan ditemui hakikat bahawa amalan mereka itu begitu saintifik dan membawa kebaikan. Zikir-zikir tarekah juga sama ada secara jihar (lisan) atau sirr (disebut dalam hati) telah dibuktikan mengeluarkan aura atau getaran pada frekuensi-frekuensi tertentu yang boleh menyembuhkan penyakit fizikal, mental, emosi dan spiritual.

Dalam posting Dr Burhanuddin Al-Helmy (pemimpin PAS) menceritakan bagaimana beliau pada mulanya mengganggap banyak amalan ayahnya (pengamal tarekah Naqsyabandi) sebagai karut dan sesat berdasarkan aliran ilmu Kaum Muda. Namun bagi menyiapkan tesisnya, beliau terpaksa mengkaji banyak kitab-kitab tasawuf sebagaimana catatannya : “Kemudian masuklah saya ke dalam perguruan psikologi-metafizik, ilmu al-ruhani juga falsafah dan perbezaan-perbezaan agama besar di dunia ini. Apabila menyusun-nyusun tesis untuk kedoktoran failasuf (Ph.D) maka terpaksalah saya berfikir mendalam mengambil di mana titik berat, inti sari dan pati punca perbezaan dan perbalahan. Maka termasuklah membahaskan berkenaan dengan sufi itu termasuk dalam falsafah. Saya pelajari sufi dari bahasa-bahasa Eropah. Terpaksalah balik saya mengenal al-Ghazali, al-Badawi, al-Rifa‘i, al-Rumi, al-Qushairi, Ibnu ‘Ata’illah dan lain-lain…Hebatlah sungguh perlawanan di dalam diri saya sendiri pertentangan-pertentangan yang saya katakan dahulu itu tasawwuf kolot dan jumud dengan Islam progresif dan saintifik.”

Akhirnya Dr Burhanuddin kembali masuk ke dunia sufi dan membawa intipati ajaran tasawuf melalui jalur politiknya dalam beberapa pertubuhan dan parti politik PAS.

Di masa ini, sudah ada generasi muda yang mempersendakan bapanya yang mengamalkan wirid lepas solat dan mengkafirkan golongan ahli tasawwuf. Mereka dengan mudah menyatakan amalan-amalan yang diwarisi oleh para ulam silam (ASWJ) sebagai bida’ah yang membawa kesesatan dan kekufuran.

Pernah saya mendengar cerita bagaimana seorang anak dihantar ayahnya belajar di Timur Tengah. Beberapa tahun kemudian ia pulang dan mula bercakap mengenai bida’ah dan kesesatan dalam amalan masyarakat Islam seperti tahlil arwah, baca Yasin di malam Jumaat, menyambut Maulidur Rasul صلى الله عليه وآله وسلم dan sebagainya. Akhirnya ayahnya yang sebelum itu mengamalkan zikir dan amalan lainnya, lebih-lebih lagi dia belajar di pondok, akhirnya turut senada dengan anaknya mempertikaikan kembali amalan-amalan tersebut dan menyatakan kekesalan kerana belajar di pondok dahulu.

Semua ini adalah kesan gerakan pembaharuan yang dicetuskan Muhammad Abdul Wahhab dari Najd (Pengasas fahaman Wahhabi yang telah menimbulkan kacau bilau masyarakat Islam sehingga berlakunya kafir mengkafir dan pembunuhan ulama dan orang awam. (sila rujuk Sejarah Kewujudan Wahhabi)

Laungan kembali kepada Al-Quran dan Hadis menjadi racun kepada seseorang jika tiada diambil kefahaman tafsirannya dari ulama yang benar-benar mencapai taraf waris Nabi صلى الله عليه وآله وسلم pada sudut ilmu, amal dan ketakwaan.

Bersambung...