Ada beberapa orang sahabat datang bertanya pandangan saya tentang ura-ura kemasukan Dr Mohd Asri Zainul Abidin bersama 100 orang ulama muda ke dalam UMNO baru-baru ini. Saya tidak memberi apa-apa komen ketika itu, hanya mengatakan memang wujud perbincangan khusus antara Dr Asri dan sahabatnya dengan pihak UMNO. Bahakan bukan rahsia umum lagi mantan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kasim merupakan ‘pemain utama’ dalam menjayakan agenda politik tersebut.
Shahidan Kasim adalah seorang ortodok UMNO, tentunya akan membisikkan kepada Dr Asri setiap masa bahawa dengan wadah UMNO sahaja Islam dapat didaulatkan secara hikmah di Malaysia. Kemasukannya ke dalam UMNO juga dapat menyelamatkan dirinya dari tekanan dan tindakan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri terutama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan NGO-NGO Islam lain yang mengaitkannya dengan penyebaran aliran Wahhabi di negara ini. Di samping itu, jika Dr Asri menjadi ahli UMNO, ia akan dapat mengembangkan pemikirannya kepada para pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang didakwa lebih 2 juta orang itu.
Dalam pemikiran saya waktu itu, Dr Asri tidak akan masuk UMNO ketika ini. Beliau bukanlah seorang pendakwah biasa, tetapi seorang ahli siasah yang bergerak dengan memiliki strategi dan memiliki tanzim (struktur dan sistem gerak kerja). Segalanya diteliti melalui siri-siri perbincangan dan pandangan dengan majlis syuranya berdasarkan situasi semasa.
Jangkaan saya tepat, hanya 40 orang ulama muda tanpa Dr Asri memasuki UMNO. (Ada juga pihak yang mendakwa tak sampai 40 orang). Namun perlu difahami bahawa semua mereka adalah pengikut atau ahli jemaahnya yang memperjuangkan visi yang sama. Inilah yang dikatakan strategi dimana segala peluang yang terbuka tidak dilepaskan tetapi tetap waspada agar ianya tidak memakan diri.
Dr Asri mewakilkan pada sahabatnya melakukan reformasi dakwah dalam UMNO dan dia terus dilihat tidak memihak kepada mana-mana parti. Tapi hakikatnya 40 orang tersebut ibarat mewakili dirinya.
Kenyataan tegas Dr Asri bahwa dia tidak berada dalam mana-mana parti disambut baik ramai pemerhati. Naib Presiden Pas, YB Salehuddin Ayub mengatakan ia sebagai langkah yang bijak. (Salehuddin Ayub merupakan tokoh yang amat saya minati akan plot pemikirannya. Walau seorang pemimpin parti tetapi pemikirannya tidak terikat dengan budaya parti yang sempit)
Tindakan yang dianggap bijak oleh Salehuddin terhadap tindakan Dr Asri tidak berpihak kepada mana-mana parti sebenarnya sudah lama dilakukan oleh para Syaikh Tarekah Tasawuf, Tuan-Tuan Guru pondok dan kalangan pemimpin NGO.
Tapi malangnya di sebelah Pantai Timur ini, sebahagian besar pemimpin PAS menganggap tindakan mereka itu tidak bijak malah tidak berjuang Islam. Setengahnya pula dengan mudah membuat tohmahan kelompok inilah yang melemahkan jiwa pejuang Islam dan menjadi agen UMNO. Padahal kebanyakan mereka inilah yang benteng utama kekuatan PAS.
Jika para Tuan Guru pondok yang dilihat tidak berparti dan didakwa hanya menumpukan kitab sahaja, atau para Syaikh Tarekah yang dilihat kerjanya sekadar memutar tasbih sahaja; jika mereka memulaukan sokongan kepada PAS, nescaya kekuatan PAS akan goyah dan kemenangan PAS di Kelantan belum tentu terjamin. Ini kerana mereka mempunyai murid yang ramai dan pengaruh yang besar di kalangan masyarakat. Maka yang ruginya adalah PAS, mereka tiada rugi apa-apa.
POLITIK BERUBAH TAPI AGAMA TETAP
Saya dan beberapa sahabat menubuhkan Kesatuan Madrasah Islam Se-Malaysia (Ittihad al-Madaris al-Islamiyyah atau ITMAM) pada 2007 agar golongan pondok tidak terikat dengan tanzim PAS. Adalah lebih baik mereka berdiri dengan tanzim atau organisasi sendiri dan hanya memberi kerjasama serta nasihat kepada parti-parti politik yang dilihat selari dengan perjalanan ilmu mereka.
Gerakan parti politik dibawa oleh manusia dan mereka yang mendukungnya boleh berubah walau mereka ulama sekalipun. Namun Islam datang dari Allah, ia tidak berubah.
Saya tertarik dengan kata-kata Allahyarham Dr Burhanuddin al-Helmy, bekas pemimpin PAS (1956-1965). Salah satu catatannya dalam karya Agama dan Politik pada tahun 1954 menyebut:
Politik itu berubah-rubah tetapi agama tetap. Agama tidak boleh disesuaikan dengan politik, tetapi politik itulah yang mesti disesuaikan dengan agama. Agama dengan sendirinya berisi berbagai-bagai ragam politik tetapi politik itu bukan agama (Kamarudin 1980: 158)
Kebiasaannya, gerakan parti perlu menjadikan dirinya liberal dalam apa jua fahaman demi memastikan ia mendapat sokongan ramai dan menjatuhkan musuhnya untuk mencapai kekuasaan. Mereka tidak boleh bertegas dengan satu-satu aliran ilmu dan perlu berlapang dada dengan aliran-aliran ilmu yang lain walaupun ianya jelas mengandungi perkara syubhah dalam aspek akidah dan fiqh.
Pada saya kepimpinan PAS masa kini agak baik kerana didukung oleh para ulama. Namun rentak PAS akan berbeza satu masa akan datang bila ia dipimpin oleh golongan liberal yang semakin hari mendapat tempat dalam saf kepimpinannya. Ini semua kemungkinan yang boleh berlaku kerana PAS adalah gerakan politik parti yang memerlukan ia berubah mengikut waqi’ semasa demi mendapat sokongan bagi meraih kemenangan.
Banyak pihak yang mengatakan banyak budaya-budaya negatif dalam UMNO kini meresap ke dalam PAS seperti dalam soal pemilihan pemimpin, budaya cantas mencantas, fitnah memfitnah, budaya hidup mewah dan akan banyak lagi akan berubah apabila PAS diuji Allah dengan kekuasaan dan kemewahan.
Kita mungkin tidak dapat membaca sepenuhnya pemikiran orang politik kerana variasi pemikiran dalam setiap tindak tanduk mereka. Umpamanya pergi makan kenduri, menziarahi kematian, memberi sumbangan, menghadiri majlis ilmu dan lain-lainnya. Hanya Allah jua Yang Maha Mengetahui apa yang tersirat di lubuk hati mereka.
KEBIMBANGAN PARA PEJUANG MANHAJ AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH
Saya memahami kebimbangan para sahabat-sahabat saya yang bersungguh-sungguh memperjuangkan manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah (ASWJ) perkembangan ura-ura kemasukan Dr Asri ke dalam UMNO. Sebelum ini pun pelbagai usaha dibuat untuk mengekang aliran fahaman yang diperjuangkan Dr Asri, namun dilihat beliau dapat menepis semua itu malah bergerak dengan lebih ke depan.
Bagi saya, masalah utama gerakan memperjuangkan manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah ialah ianya tidak bergerak secara tanzim yang mantap walaupun mereka memiliki kekuatan hujah yang lebih kuat berbanding Dr Asri dan jemaahnya. Ini menyebabkan usaha yang dilakukan setakat ini belum dapat menghalang Dr Asri dari menyebarkan fahaman dan pemikirannya.
Saya dimaklumkan bahawa satu pertemuan tertutup diadakan di Kelantan baru-baru ini dimana tokoh-tokoh reformis ini tiada hujah untuk mematahkan hujah dari pihak ilmuan ASWJ, sehingga mengatakan mereka tidak redha jika rakaman perbincangan tersebut disebarkan keluar. Justeru itu, banyak perubahan perlu dilakukan dalam pendekatan perjuangan ASWJ agar ianya sentiasa dilihat relevan dan jauh dari syubhah serta penyelewengan.
Fiqh adalah perkara yang boleh berubah berdasarkan suasana semasa, tempat dan keperluan, namun akidah dan dasar tasawwuf adalah perbicaraan yang tiada boleh diubah walau dalam apa jua keadaan.
Seorang pendekar yang handal bukanlah semata-mata pandai menggunakan gerakan silatnya, tetapi handal itu ialah dengan bijak ia mencari helah untuk mengenal kelemahan pihak musuh jika tiada dapat menjatuhkannya dengan tenaga dan teknik zahir semata-mata.
Inilah kepakaran yang ada pada Barat, mereka memahami bahawa mereka tidak akan dapat menjatuhkan orang Islam dengan perdebatan ilmu dan ketenteraan semata-mata tetapi mereka boleh menjatuhkan umat Islam dengan jalan siasah tipu helah. Dengan siasah yang terancang, mereka dapat pecahkan ummah yang bersatu, dibonekakan para pemimpin Islam agar tunduk pada mereka, mengikat negara-negara umat Islam dengan kuasa ekonomi serta menghancurkan generasi muda dengan hiburan, budaya kuning dan dadah serta pelbagai lagi teknik yang digunakan mereka.
Bersambung...