Kejayaan kerohanian dan dakwah terhimpun di atas tiga perkara iaitu :
1. Taat pada pemimpin yang benar
2. Memuliakan kepimpinan dan ikhwan dengan adab yang menepati syariat
3. Khidmat yakni melatih diri dengan kepatuhan, sifat bantu membantu dan melatih kehinaan diri untuk memecahkan mazmumah.
Wahai saudaraku,
Jika engkau bertemu dengan seorang yang menepati syarat Guru Mursyid, maka taatlah kamu dengan segala tarbiyahnya, pelihara adab sehalusnya agar menyenangkan hatinya dan perbanyakkan khidmat padanya.
Ketiga-tiga perkara tersebut mempunyai rahsia yang tinggi dalam kerohanian. Didalamnya terungkai intipati kitab Minhajul ‘Abidin (Imam Al-Ghazali), Al-Hikam (Syeikh Ibnu ‘Athaillah), Durrun Nafis (Syeikh Muhamad Nafis Idris Al-Banjari), Al-Futuhat Al-Makkiyah (Syeikh Muhyiddin Ibnu ‘Arabi) dan lainnya dalam membicarakan rahsia tasawwuf yang halus-halus. Jika kamu tiada bertemu dgn mursyid, tiadalah kamu akan dapat menyelami hakikat tasawwuf sebenar.
Kitab hanya memberi gambaran tentang tasawwuf, bukan hakikatnya. Ibarat gambaran tentang lautan dan apa yang ada di dalamnya seperti dalam buku-buku atau dibentangkan dalam kursus-kursus. Tapi jika kamu mahu menyelami hakikat keindahannya dan mencapai apa yang ada di dalamnya, maka wajib kamu memiliki pemandunya kerana banyak bahayanya. Tapi jika hanya mahu mandi di permukaannya, ‘sunat’ ada penjaga kerana sedikit bahayanya.
Mereka yang memahami tasawwuf dengan pengajaran dan pembacaan hanya memahami dalam bentuk gambaran semata. Justeru itu untuk menyelami rahsianya, wajib memiliki seorang mursyid yang boleh membuka hijab-hijab pada pintu qalbi, ruh, sirr dan sirrus sirr. Di dalamnya penuh dengan keindahan yang sukar difahami dengan akal, namun jalannya penuh bahaya.
Maka jika tiada bertemu dengan mursyid yang benar, sebaiknya jangan menyelam di dalamnya kerana ia akan membawa mudharat pada dirimu. Berenanglah di tepian dengan menjaga hati agar sentiasa ikhlas dalam amalan.
Mempelajari kitab tasawwuf walaupun berpuluh kali khatam tidak akan menghapuskan sifat takabur dan cinta dunia. Namun dengan bersuhbah dan berkhidmat dengan para mursyid, sifat tersebut akan tercabut dari hatimu sehingga hatimu layak menerima rahsia-rahsia yang halus.
Hari ini ramai yang minat jalan tasawwuf, namun mereka menjadikannya sebagai bahan kajian atau penulisan atau untuk memenuhi keperluan akademik mereka. Mereka menjauhi para mursyid yang haq malah ada setengahnya pernah mempunyai mursyid tetapi meninggalkannya kerana mencintai nafsu.
Mereka ini golongan yang tertipu, merasakan diri sebagai ahli tasawwuf sedangkan hakikatnya mereka tidak mampu menyelami lautan tasawwuf. Mereka golongan yang berbicara, berkuliah dan menulis seperti ahli-ahli tasawwuf namun hakikatnya batin mereka kosong dengan sifat dan rahsia tasawwuf. Mereka menyarung gamis tasawwuf sedangkan badan mereka pencinta dunia. Golongan ini tidak akan ke mana-mana dalam perjalanan rohani mereka, bahkan akan terus tertipu dan menipu diri sendiri.
Kerana mereka tahu di sana ada cahaya, namun cinta pada kegelapan nafsu dan dunia menyebabkan mereka takut untuk mendekatinya. ‘Biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya’, begitulah kata pepatah yang sesuai untuk mereka. Di akhir kalam nanti mereka akan menyesal dengan sesalan yang tiada berguna lagi.
Semoga Allah mengampuni mereka yang sudah melihat petunjuk tetapi meninggalkan petunjuk kerana mengejar dunia yang penuh ilusi ini.
“Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.” (Al-Baqarah: 16)