Saya banyak membaca tulisan Dr Asri dan mendengar kuliahnya dalam siri “Bahtera Penyelamat” Astro Oasis. Ada beberapa perkara yang saya setuju dengannya berhubung kritikannya pada masyarakat, sikap sesetengah ulama dan amalan golongan tarekat. Namun sikap prejudisnya terhadap ilmu dan amalan ulama Kaum Tua dan golongan tarekat menyebabkan beliau tidak rasional walaupun cuba bersikap rasional.
Dasar dan disiplin ilmunya sama ada dalam Usul Fiqh, Hadis dan Tafsir agak bertentangan dengan golongan ilmuan yang belajar secara bersanad dengan para ulama ASWJ. Apabila Usul sudah lari, maka cabang-cabang yang lain dengan sendirinya akan lari walaupun dilihat ada ketikanya mempunyai persamaan pendapat.
Beliau menjadikan Muhammad Nasiruddin Bin Nuh Al-Albani (Albani) sebagai sumber rujukan hadisnya dan menganggap Albani sebagai ahlu hadis zaman ini. Namun golongan Kaum Tua tidak menerima Albani sebagai tokoh hadis dimana banyak tashih Albani terhadap hadis sahih Bukhari dan Muslim ditolak oleh mereka, malah banyak fatwa Albani bercanggah dengan pegangan jumhur ulama ASWJ. Ibarat landasan keretapi yang tidak sama, walaupun bergerak bersama dalam masa-masa tertentu tetapi penghujunganya tetap tidak sama.
Seorang yang pakar hadis tidak semestinya boleh berfatwa kerana ia memerlukan banyak lagi kaedah yang perlu diketahui. Berkata Imam Al-A’amasy, “Hadis yang diterima pakai oleh para fuqaha Mujtahidin itu lebih baik daripada yang diterima pakai oleh ulama Muhaddithin.” (Kitab Hadis Imam At-Tirmizi pada bab mandi mayat: “Wa kazalika qala al fuqaha wa hum a’lam bima’na al hadis”)
(Bab ini memerlukan perbahasan yang agak panjang, insya Allah jika diizinkan akan ditulis dan dibincang dalam majlis Daurah akan datang)
Dr Asri berjaya menonjolkan dirinya sebagai tokoh agama yang diperlukan pada zaman moden dengan pandangannya yang dilihat relevan dengan zaman ini. Justeru itu tidak hairan (Datin Paduka) Marina Mahathir sebagai seorang liberal agama juga adalah penyokongnya.
Baginya pemikiran ulama dulu banyak yang tidak relevan malah para pengikut mereka akan ketawa jika kita menyebut nama ulama muktabar yang masyhur. Ini berlaku dalam satu rakaman forum Al-Kuliyyah TV3 bertajuk Malaysia : 1 Akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah pada tahun lepas. Ahli forum terdiri dari Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady (Fellow Amat Utama ISTAC), Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (bekas Mufti Perlis) dan Dr. Fauzi Deraman (UM). Ketika Dr. Fauzi Deraman menyokong hujah Dr. Asri, beliau telah menjadikan pendapat Imam Syafie’ dalam bab wukuf di Arafah dan pembelajaran Ilmu Sifat 20 sebagai bahan untuk diketawakan oleh para penonton (penyokong Dr Asri).
Aliran ini amat bahaya jika ia berkembang kerana akan mematikan ruh dan adab Islam yang dibina oleh para ulama yang diambil dasarnya dari Al-Quran dan As-Sunnah.
Jangan hairan nanti para murid dan guru mereka atau dengan para ulama akan bercakap ‘I' dan ‘You’ sahaja kerana kononnya tidak mahu terikat dengan pemikiran konservatif. Memelihara adab dengan ulama dianggap perkara-perkara melampau yang direka-reka yang boleh melahirkan budaya taksub membabi buta.
Adab dan pemikiran adalah perkara yang berbeza. Anak hendaklah mempunyai adab dengan ibu bapa mereka, jika bersalam digalakkan mencium tangan keduanya agar ada perbezaan adab bersalaman antara anak dan ibu bapa, antara adik beradik dan teman-teman. Ini kerana memuliakan mereka sebagaimana yang diperintahkan Allah dan Rasul.
Memuliakan adab dengan ibu bapa tidaklah menyebabkan anak-anak tidak boleh berbeza pendapat dengan mereka. Jika ibu bapa membesarkan tubuh dengan makan minum, para guru juga dianggap seperti ibu bapa kerana membesarkan jiwa mereka dengan ilmu dan amal. Maka guru-guru juga dimuliakan dengan adabiah, apatah lagi terhadap para ulama yang Haq yang merupakan pewaris Nabi صلى الله عليه وآله وسلم. Malah, sewajarnya pewaris Nabi ini lebih dimuliakan di atas sifat memuliakan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم.
SYAIKH TAREKAT MENGONGKONG PEMIKIRAN MURID ?
Golongan Syaikh Tarekat yang terlalu mengongkong pemikiran murid dengan tiada menghormati perbezaan pendapat adalah tidak menepati dengan jalan tasawwuf yang sebenar. Justeru itu, jika ada juga golongan seperti itu yang menutup pintu perbezaan pendapat dan lainnya, ia adalah pembawaan individu yang bergelar syaikh dalam tarekat tersebut sahaja. Ia bukanlah dasar dalam sistem tarekat dan tidak adil jika ditasbitkan masalah itu kepada seluruh tarekat tasawwuf.
Saya sendiri menolak dan menentang keras aliran membekukan pemikiran murid tanpa menghormati adab perbezaan pendapat dalam perkara yang dibolehkan dan kepakaran yang mereka miliki. Jika ini tiada berlaku, maka keduanya akan rosak dimana syaikh akan merosakkan murid dengan kesombongannya dan murid merosakkan syaikhnya dengan kebodohannya.
Para syaikh yang dusta sentiasa menekankan murid kepatuhan membabi buta dengan dikaitkan kisah Nabi Khidir a.s dengan Nabi Musa a.s. Jika ianya dalam bentuk tarbiyah ia adalah benar kerana seorang murid tidak akan mengetahui tentang rahsia sesuatu amalan atau mujahadah dalam pembinaan jiwanya. Namun dalam kehidupan tiadalah seorang syaikh itu mengetahui semuanya melainkan hanya memberi nasihat berdasarkan pengamatannya yang mungkin tepat dan mungkin salah.
Disinilah murid perlu rasional dalam pemikirannya, tiada takut-takut atau teragak-agak untuk memberi pandangan kepada syaikhnya dalam hal-hal yang dirasakan syaikhnya itu tidak mendapat maklumat yang tepat dalam membuat keputusan atau apa-apa tindakan berhubung perkara-perkara semasa. Namun adabiah wajib dipelihara dengan tiada disertakan kesombongan ketika menyatakan pendapatnya itu.
Nabi صلى الله عليه وآله وسلم sentiasa bermusyawarah dengan para Sahabat dalam perkara-perkara yang tiada diwahyukan kerana disitulah peranan kemuliaan akal perlu diguna dan disyukuri. Justeru, dalam disiplin tarekah tasawuf menyatakan jika seorang itu mendakwa sentiasa dalam kasyaf dan menerima warid, ia sebenarnya dipengaruhi kasyaf jin dan bisikan syaitan.
Bersambung...