Selasa, November 30, 2010

Hukum KeTuhanan dan Teknologi Rohaniah (1/2)

Dunia tidak akan menjanjikan kegembiraan sepenuhnya. Manusia yang mencari kegembiraan dengan dunia bagaikan mengejar bayang-bayang. Ia pada hakikatnya tiada kenikmatan.

Sering manusia tertipu dengan kalimat, 'kemiskinan adalah ujian dan kekayaan adalah nikmat', padahal keduanya adalah sama sahaja iaitu ujian kehidupan. Kenikmatan yang hakiki adalah pemberian Allah yang abadi, bukan dalam bentuk ujian. Jika ia dipanggil ujian, ia bukan kenikmatan tetapi suatu perkara yang boleh mencelakakan kita.

Semua di sisi kita adalah bala Allah dan dunia adalah tempat mujahadah. Bala hanya menjadi kebaikan jika manusia bersyukur padanya, sama ada kenyang atau lapar, miskin atau kaya, susah atau senang.

Kita tidak boleh melihat hanya dengan menggunakan mata kasar, tetapi perlu juga melihat dengan mata hati. Mata kasar mudah tertipu… bagaikan melihat indahnya bulan, tetapi jika dilihat dengan dekat, ia penuh dengan lubang-lubang.

Begitu juga dengan kehidupan. Seringkali kita melihat sesuatu itu indah pada zahirnya, tetapi di dalamnya penuh dengan wajah yang menakutkan.

HUKUM AKAL vs HUKUM KETUHANAN

Akal perlu dipandu dengan wahyu Allah kerana ia amat lemah dalam menilai baik dan buruk sesuatu. Mereka yang bertuhan pada akal, hidupnya akan sesat dari kebenaran. "Siapakah" akal untuk menghurai tentang bagaimana keberadaan Allah, mentafsir tentang kehidupan, mentakwil  tentang hukum Allah?

Manusia dihijab oleh 'seketul daging' dalam kepalanya (otak), sedangkan mereka sendiri tidak bertanya dari manakah datangnya 'fikiran' itu.. adakah datang dari daging dan saraf-saraf pada otak tersebut, ataupun ia hanya alat untuk datangnya gerak fikir?

Gerak fikir adalah kurniaan Allah, ia dalam genggaman kekuasaan Allah, bahkan ia telah dibataskan Allah dalam had-had tertentu sebagaimana panca indera kita yang lain. Mata tak mampu melihat di sebalik tabir, telinga tak mampu mendengar melebihi batas yang dihadkan.

Akal tak akan mampu memahami Allah, akal tak akan mampu memahami kehidupan yang baik dan buruk sepenuhnya, akal tak mampu memahami apakah rahsia di sebalik kematian, akal tak akan mampu memahami segala hukum dan takdir Allah!

Akal memerlukan jawaban tentang rahsia alam, maka akal amat berhajat pada Rasul yakni manusia utusan Allah yang mampu memberi jawaban bagi segala persoalan akal. Manusia yang meninggalkan Rasul akan tersesat dalam kelemahan akal, mereka akan tersesat dalam mentafsir kehidupan dan rahsia di sebalik kehidupan.

Maka timbul pelbagai aliran kepercayaan yang sesat yang dianuti diatas nama agama, sedangkan agama yang lain daripada Islam bukannya agama. Ia semata-mata datang dari khayalan akal manusia yang cuba mentafsir kehidupan, ketuhanan, kematian, alam ghaib dengan 'seketul daging' dalam kepalanya yang amat terhad keupayaannya.

Kita wajib menggunakan sepenuhnya potensi akal yang dikurniakan, namun bukannya bertuhankan pada akal!
Nabi Zakaria a.s berdoa agar isterinya dikurniakan anak sedangkan isterinya sudah pun putus haid (monopaus). Ini adalah perkara mustahil pada hukum akal, tapi tidak pada hukum ketuhanan. Akhirnya Allah memberikan zuriat kepada mereka walau usia keduanya sudah senja.
Banyak penyakit hari ini tidak mampu disembuhkan dengan kaedah perubatan moden, namun dapat disembuhkan dengan air zam-zam. Walau akal tidak menerimanya namun hukum ketuhanan adalah harus ianya berlaku.

Alam dan segala makhluk adalah ciptaan Allah, justeru Dia menetapkan hukum sebab dan musabab agar manusia hidup berlandaskan syariat. Kita wajib bersyariat di atas hukum sebab dan musabab, tetapi bukan bertuhan pada hukum itu. Meninggalkan hukum sebab dan musabab adalah Jabariyyah, manakala bertuhan padanya pula adalah Qadariyyah dan Muktazillah.

Manusia wajib makan nasi untuk menjadi penyebab kenyang, tetapi bertuhan bahawa nasi yang mengenyangkan adalah syirik.
Nabi Musa a.s pernah mengalami sakit bengkak pipi, lalu kata kaumnya, "Wahai Nabi Allah, kaum kami jika sakit seperti ini, kami menggunakan daun ini (sejenis daun di gunung) untuk mengubatinya".

Bersabda Nabi Allah Musa a.s, “Aku tiada mahu menggunakannya, Allah akan menyembuhkan aku". Lalu Allah berfirman, “Wahai Musa, aku tidak akan menyembuhkannya melainkan engkau menggunakan daun tersebut.”

Siti Mariam lemah lepas bersalin, lalu melihat buah di atas kepalanya, maka bermunajat ia pada Allah agar mengugurkan buahnya untuk dimakan demi mendapat kekuatan tubuhnya. Allah menyuruh Siti Mariam bersyariat (melakukan usaha ikhtiar), ia cuba menggoncangkan pohon tersebut tapi tak mampu juga. Akhirnya Allah sekadar menyuruh menepuk pada pohon tersebut, lalu gugurlah buah tersebut walaupun pada hukum adat ia tidak mungkin gugur.
Syariat ibarat ‘lakonan’ Allah untuk menguji manusia. Kadangkala Allah membatalkan ‘lakonan’Nya untuk menunjukkan kuasaNya seperti menjadikan anak bagi Siti Mariam tanpa ada suami, menjadikan api tidak membakar Nabi Ibrahim a.s, orang mati dapat dihidup kembali oleh Nabi Isa a.s dan lain-lain lagi yang disebut mukjizat, karamah dan maunah.

Ia melanggar hukum sebab musabab dan hukum akal. Mereka yang bertuhan pada akal akan kebingungan, tetapi mereka yang bertuhan pada hukum kekuasaan Allah melihatnya sebagai perkara kecil di sisi Allah. Allah yang mencipta segala hukum, hukum itu hanya takluk pada makhlukNya bukan pada diriNya.

Kadangkala Allah menjadikan sesuatu melalui hukum sebab musabab (atas hukum logik akal), namun ada ketikanya Allah menjadikan sesuatu tanpa melalui hukum tersebut, tanpa melalui hukum logik akal. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.

Firman Allah :

“Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: "Jadilah engkau!", maka terjadilah ia!” (Yasin: 82)
Abu Lahab tidak dapat menerima Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam pergi ke Baitul Maqdis (di Palestin) dan ke langit tujuh hanya pada satu malam. Malah hal itu menjadi bahan sendaan dan gurauan, ini kerana dia bertuhan pada hukum akal. Manakala Saidina Abu Bakar r.a menerimanya tanpa ragu sedikitpun kerana beliau bertuhan pada hukum ketuhanan, bukannya akal.
Mereka yang bertuhan pada akal menolak karamah, kisah para wali, barakah dan lainnya, malah selalunya ia menjadi bahan ketawa dan ejeken para ustaz penyembah akal dalam kuliah mereka, sedangkan dalam hukum ketuhanan tiada apa yang pelik jika ia dikehendaki oleh Allah.

TEKNOLOGI ROHANIAH vs TEKNOLOGI DAJJAL

Selagi umat Islam bertuhan pada akal, mereka akan terus lemah dan tak akan mampu menentang teknologi  (Dajjal) yang berasaskan hukum akal, hukum sebab dan musabab di alam zahir. Dajjal dan kuncu-kuncunya mendalami rahsia cahaya dan gelombang bagi mewujudkan kekuatan mereka sehingga terpukau dunia dengan kehebatan yang dicipta. Sedangkan umat Islam yang benar-benar mendalami rahsia Allah memiliki kehebatan yang berkali-kali ganda menggunakan teknologi gelombang dan cahaya rohaniah.

Asif Bakhtiar di zaman Nabi Allah Sulaiman a.s dapat mengalihkan istana Ratu Balqis menggunakan teknolgi cahaya rohaniah. Komunikasi arahan antara kem tentera di zaman Sultan Salahuddin al-Ayubi turut menggunakan teknologi zikir pada qalbu. Begitu juga Kiyai di Jawa yang  memindahkan kubah ke binaan masjid yang sedang disiapkan menggunakan teknologi cahaya zikir.

Barat hanya mampu menggunakan gelombang akal dalam melakukan komunikasi rahsia, sebagaimana digunakan oleh agen CIA, MOSSAD, KGB dan lainnya. Mereka tidak mampu mencapai kekuatan rohaniah kerana ia hanya dimiliki umat yang mengucap dua kalimah syahadah dengan faham dan beramal dengan ikhlas.

Kursus “Mind Power” dan “Tenaga Dalam” (dengan pelbagai nama) masih lagi dalam hukum sebab musabab, ia dalam frekuensi gelombang yang rendah. Sebab itulah ia dapat digunakan oleh semua manusia tanpa mengira agama dan cara hidup. Cuma, bagi yang Islam diajarkan zikir pada wajah luarnya.

Ada juga di kalangan mereka yang cuba ‘mengIslamkan’ aliran ilmu tersebut dengan dibelakangnya ditampal perkataan “Islam”, “Sufi”, “Makrifat” dan seumpamanya, malah setengahnya mendakwa ianya ilmu ulama dan wali Allah… sedangkan hakikatnya ia tetap berasaskan ajaran bertuhankan kuasa diri, kuasa akal, kuasa alam yang sama dengan orang kafir.

Mereka ini sebenarnya terperangkap dengan ajaran Dajjal melalui kuncu-kuncunya yang berusaha mengheret umat Islam berada dalam gelanggang mereka iaitu teknologi berasaskan akal, diri dan alam. Dengan cara ini, mereka dapat melemahkan umat Islam dan  sampai bila pun umat Islam tak akan mampu menewaskan mereka. Teknologi akal mereka sudah jauh ke depan, kita hanya menjadi pengikut sahaja.

Jika mahu berperang pula, kita perlu membeli senjata mereka dan mereka akan menjual senjata yang second class kepada kita. Mereka memberi kita pesawat yang tidak boleh bertahan lama untuk terbang, atau kapal selam yang tak berapa boleh menyelam.

Kita bukannya mahu meninggalkan teknologi akal, bahkan perlu mengambil sepenuhnya jika mampu. Tapi kita jangan sampai meninggalkan kekuatan kita yang sebenarnya iaitu kekuatan teknologi rohaniah. 

Bersambung...