Isnin, November 08, 2010

Sempurnakan Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah : Kenapa Perlu Bertarekah? (2/3)

MENCAPAI TAUHID SYUHUDIAH

Tasawwuf hanyalah istilah, sedangkan hakikatnya ia adalah pancaran atau buah daripada akidah yang benar. Kitab Hikam (Syeikh Ibnu ‘Atha’illah Askandary) adalah kitab mereka yang benar-benar berada dalam adab ASWJ. Mereka yang benar-benar beramal dengan ASWJ, mereka adalah auliya Allah dimana jiwa memiliki cahaya syuhudiah, mereka fana dan tenang dengan kelakuan Allah dalam setiap nafas mereka. Mereka inilah yang difirman oleh Allah :

“Ingatlah, sesungguhnya para Wali Allah tiada ketakutan pada diri mereka dan tiada pula mereka berduka cita.”  (Yunus : 62)

Mereka yang tiada memiliki jiwa tasawuf, mereka bukan ASWJ yang hakiki kerana tasawwuf adalah penghayatan dan praktik ASWJ dalam kehidupan. Golongan ini akan memiliki jiwa yang keras dan sombong kerana akidah mereka sebenarnya Qadariyah, manakala menolak hal kerohanian seperti karamah, barakah kerana mereka adalah Mu’tazilah.

Kaum Mu'tazilah cuba mentafsir ayat Al-Quran dengan akal terutama ayat Mutasyabihat (seperti ayat الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى maksudnya "Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang bersemayam di atas 'Arasy" [Thaha: 20] atau يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ maksudnya "Tangan Allah di atas tangan mereka" [al-Fath: 48]), lalu membawa kepada akidah Mujassimah yakni menjisimkan Allah. Gabungan Qadariyah dan Mu’tazilah adalah Khawarij ; manakala Wahabi adalah golongan Mu'tazilah, Mujassimah dan Khawarij

Mereka bukan ASWJ tetapi Mu’tazilah dan Mujassimah, sehingga Allah juga mahu ditafsir dengan logik akal. Maka beriktikad mereka itu bahawa Allah itu bertempat kerana bersesuaian dengan akal, dan mengkafirkan orang-orang yang mengatakan Allah tiada tempat kerana tiada sesuai dengan akal. 

Ulama ASWJ berpegang bahawa tiada perkataan yang dapat menjelaskan hakikat keberadaan Allah. Akal manusia terbatas dan tiada mampu untuk mengatakan apa-apa tentang keadaaan Diri Dzat Allah. Inilah yang dilarang oleh Rasulullah sallaLahu ‘alaihi wassalam dengan sabdaNya :

“Berfikirlah kamu pada makhluk (kejadian) Allah, dan janganlah kamu berfikir tentang (zat) Allah, kerana ía akan membinasakan kamu.” (Riwayat Abu Dzar r.a)

Kita hanya perlu fikir apa yang mampu akal kita memahami seperti wajib Allah bersifat Ada (Wujud), Melihat (Basar), Mendengar (Sama’), Berkata-Kata (Kalam), Berkuasa (Kudrat), Berilmu (Ilmu), Hidup (Hayat), Tiada Permulaan (Qidam), Tiada Binasa (Baqa’), Tiada Berhajat Pada Makhluk (Mukhallafatuhu lil hawadith), Tiada Menyerupai Apa Jua KeadaanNya (Laitha kamithlihi syai’) sama ada Sifat atau Dzat, hanya sama pada sebutan tetapi tiada sama dalam keadaaannya. Seperti sifat melihat makhluk dengan sifat Melihat Allah, sifat melihat makhluk boleh dibahas, tetapi sifat Melihat Allah tiada kita ketahui keadaaannya. 

Persoalannya, bagaimana mahu melepaskan diri daripada Qadariyah, Mu’tazilah kepada praktik ASWJ yakni jiwa mencapai tauhid syuhudiah? 

Imam Al-Ghazali rahimahullah memulakan pendidikan ASWJ dengan kitab Bidayatul Bidayah, dimana mengajak peringkat mubtadi (permulaan) bertarekah menghafal doa-doa dalam semua perbuatan, agar seorang mukmin itu setiap mengingati Allah dalam segala hal. Ia akan menghancurkan kekuasaan diri dimana amalan doa itu mendidik kepada sentiasa bergantung diri kepada Allah. 

Tahap kedua ialah melatih agar sentiasa mengingati Allah pada qalbinya, agar sentiasa mengingati Allah dalam segala keadaan untuk menghancurkan Qadariyah dan Mu’tazilahnya. Latihan mengingati Allah dinamakan Tarekah yakni mujahadah untuk mencapai hakikat yang dikehendaki. Tahap ketiga ialah mereka yang telah benar mencapai hakikat ASWJ iaitu mata hatinya memiliki cahaya syuhudiah atau ihsan dimana jiwanya sentiasa seolah-olah berpandangan pada Allah atau merasai Allah sentiasa bersamanya dimana ia berada. Zahir mereka beribadah tapi batin mereka syuhud pada kurniaan Allah, bukan kudrat mereka. 
Ramai orang yang berjaya dalam program atau kerjaya merasa bahawa kejayaan tersebut adalah disebabkan kebijaksanaan dan usaha ikhtiar mereka. Ini menunjukkan mata hati mereka tiada cahaya untuk memandang kepada Allah, mereka telah menjadi kaum Qadariyah yang sesat. Inilah pentingnya kita bertarekah dengan mendidik diri agar sentiasa mengingati Allah, merasai bersama dengan Allah, syuhud pada segala Sifat Allah agar kita berada dalam ASWJ. 
SEMPURNA AKIDAH BEROLEH ‘KARAMAH’

ASWJ adalah akidah yang berjalan atas akidah Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam dan para sahabat radhiaLlahu anhum, maka akidah ini akan melahirkan pelbagai karamah dalam kehidupan mereka. 
Para sahabat penuh yakin bertempur dengan musuh dalam Perang Badar walau hanya 313 orang dan bersenjatakan pelepah kurma melawan 1000 musuh lengkap bersenjata, sehingga diberi kejayaan oleh Allah. Tentera Saad bin Abi Waqqas r.a dapat menyeberangi lautan tanpa tenggelam. Ikan di laut tiba-tiba terdampar ke darat menghampiri tentera Islam yang kelaparan.
Sahabat tidak memiliki kekayaan, senjata yang hebat atau jumlah yang banyak, tetapi akidah ASWJ telah membawa mereka mencapai kejayaan yang tak sampai akal memikirkannya. Tapi dengan akidah inilah sahabat dapat menguasai dua pertiga dunia!

Akidah ini juga yang telah menunjangi kejayaan 9 Wali Songo mengIslamkan seluruh Indonesia yang asalnya Hindu dan Budha. Akidah ini telah membawa keyakinan  pada Syaikh Abdul Qadir Jailani yang dapat menghidupkan orang mati apabila dicabar rahib Kristian, yang telah membawa Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) sekelip mata pulang ke Terengganu dari Mekah mengambil durian dan telah membawa kegerunan Inggeris dengan ‘keganjilan’ (karamah) Sayyid Abdul Rahman Muhammad al-Idrus (Tokku Paloh) sehingga armada kapal mereka meninggalkan bumi Terengganu. Sesungguhnya akidah ini membawa manusia kepada kehebatan yang mengatasi logik akal! 
ASWJ tiada berhenti pada akal tetapi meyakini Kuasa Allah boleh menjadikan sesuatu sama ada mengikut hukum sebab musabab atau tidak. Ia bergantung kepada situasi dan permohonan hamba yang amat memerlukan pertolongan Allah. Mohonlah apa saja dengan penuh keyakinan nescaya dimakbulkan oleh Allah (kecuali apa yang dilarang seperti mohon tiada mati, tiada berlaku kiamat dan lainnya). 

Wahai sahabatku, 
Mengingati Allah bukan dalam solat sahaja atau waktu berzikir, tetapi Allah mewajibkan kepada kita mengingatinya 24 jam sehari semalam, kecuali waktu tidur dan tiada sedar diri. Dengan jiwa yang sentiasa mengingati Allah secara syuhud, maka hancurlah Qadariyah dan Mu’tazilah.
Firman Allah :
"... (iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia." (Ali-'Imran:191)
Inilah kedudukan dan maqam para Sahabat radhiaLlahu anhum, sentiasa mereka itu syuhud pada Allah dalam setiap nafas dan detik kehidupan mereka. 

Saidina Ali k.w.j tidak jadi membunuh seorang musuh apabila musuh itu meludah ke muka beliau. Bila ditanya kenapa, dijawab beliau, "Tadi aku memang mahu membunuhmu, tapi bila kamu meludah ke muka ku, aku bimbang kalau membunuhmu ia kerana nafsu ammarah ku, bukan kerana Allah!"
Khalid al-Walid r.a ketika sedang memimpin satu peperangan menerima surat pemecatan sebagai panglima perang oleh Khalifah Umar al-Khattab r.a. Namun beliau terus berjuang sebagai tentera biasa. Yang menghairankan, beliau semakin berani dan bersemngat bertempur dengan musuh walau bukan lagi menjadi panglima. Lalu ditanya kenapa demikian, jawab Khalid r.a, "Aku berjuang kerana Allah, bukan kerana Umar!"
Inilah perjalanan Ahli Sunnah wal Jamaah!


Apabila kita dalam ingatan pada Allah, maka kita bergerak dan melakukan apa jua aktiviti dengan merasai dalam kekuasaan Allah. Kita memiliki wujud tetapi wujud kita bukan hakiki tetapi diwujudkan oleh Allah. Segala sifat yang kita miliki dalam Qabdah, yakni Genggaman kuasa Allah, tiada berfungsi dengan sendiri melainkan dengan izin Allah. 

Inilah jawaban saya kenapa kita orang awam perlu bertarekah. Namun wajib berbaik sangka pada mereka yang tiada bertarekah kerana Allah berkuasa mengurniakan tauhid syuhudiah kepadanya atas keikhlasan hatinya pada Allah. Cuma bezanya tarekah memiliki silibus yang tersusun untuk mencapai tauhid syuhudiah yang boleh dipelajari oleh sesiapa demi kesempurnaan akidah ASWJ. 
Itulah tujuan hakiki bertarekah yang saya ajarkan pada diri dan segala ikhwan saya iaitu untuk mencapai hakikat ASWJ dalam praktikal, bukan sekadar ilmu atau kefahaman semata-mata. Adapun kasyaf, firasat, ilham adalah kesan daripada akidah yang benar dan ibadah yang sahih. Ia tiada perlu dikejar kerana apabila ada lampu dengan sendirinya ada cahaya. 
Ilmu yang benar menghasilkan akidah yang benar, akidah yang benar menghasilkan ibadah yang sahih, ibadah yang sahih menghasilkan akhlak mahmudah dan menghancurkan mazmumah, akhlak yang benar akan menghasilkan amal ma’aruf dan nahi mungkar dalam diri, keluarga, pendidikan, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.
Sahabat saya begitu tekun mendengar hujah-hujah yang saya berikan (saya  tak tulis semuanya di sini kerana agak panjang). Namun apa yang positifnya, sahabat saya itu akhirnya mengatakan bahawa ia ‘perlu berfikir kembali di atas penjelasan saya yang benar-benar memukul dirinya itu’.

Apa yang penting dalam bertarekah adalah untuk mencapai hakikat ASWJ. Tasawuf hanyalah istilah bagi mereka yang benar-benar mencapai manhaj ASWJ yang menghimpun keImanan, Islam dan Ihsan. Kita tidak mahu ASWJ hanya pada ilmu, fahaman, teori atau perbahasan semata-mata tanpa adanya praktik atau penghayatan dalam kehidupan seharian.

Bersambung...