Sabtu, November 13, 2010

Sempurnakan Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah : Kenapa Perlu Bertarekah? (3/3)


Apa yang penting dalam bertarekah adalah untuk mencapai hakikat Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ). Tasawwuf hanyalah istilah bagi mereka yang benar-benar mencapai manhaj ASWJ yang menghimpun padanya Iman, Islam dan Ihsan.
Kita tidak mahu akidah ASWJ hanya sekadar ilmu, fahaman, teori atau perbahasan semata-mata tanpa ada amal atau penghayatan dalam kehidupan seharian. Kita perlu mencapai Tauhid Syuhudiah dalam kehidupan kerana ia adalah kesempurnaan ASWJ secara praktikal.
Zahirnya tiada meninggalkan amal, usaha, ikhtiar, sebab dan musabab, namun batinnya sentiasa syuhud kepada kekuasaan Allah dalam setiap kelakuannya atau gerak diam di alam ini. Syuhudiah akan membawa kefakiran diri dan kefanaan akan kehebatan makhluk.
Maka hukum mengingati Allah adalah wajib dalam praktikal ASWJ agar dalam segala perbuatan tiada timbul wujud diri atau makhluk kerana itulah fahaman Qadariah yang syirik. Atau hanya akan terperangkap pada hukum logik sebab dan musabab tanpa meyakini kekuasaan Allah mengatasi hukum logik tersebut, inilah fahaman Muktazilah yang sesat.
Adapun melihat Tuhan semata-mata tanpa melihat adanya wujud diri, alam, hukum sebab dan musabab, ikhtiar dan usaha, maka inilah fahaman Jabariah dan Wahdatul Wujud yang mulhid (sesat).
Yang benarnya adalah, kita wajib berJabariah dalam batin yakni syuhud pada Allah dalam kekuasaanNya yang mengatasi segalanya, memfanakan segala kekuasaan yang lain melainkan semuanya dalam Genggaman (Qabdah) Sifat Allah dan kuasa Allah mengatasi hukum sebab dan musabab. Kta wajib berQadariah yakni melihat kepada kewujudan gerak dan usaha, wajib berMuktazilah yakni berfikir di atas SunnatuLlah dalam perancangan dan idea.
Penggabungan ketiga-tiga aspek inilah yang membawa kesempurnaan dalam praktikal ASWJ dan akidah inilah yang boleh membawa kekuatan dan kemajuan kepada Umat Islam!