Telah berlaku satu diskusi saya dengan ustaz di kalangan sahabat yang terkena virus anti tarekah dan tasawwuf. Saya hanya tersenyum dengan persoalan tersebut, namun apa yang membanggakan beliau berani mengemukakan persoalan tersebut secara berhadapan. Selama ini beliau hanya menghentam saya dan tarekah secara jauh, tapi saya tetap berlapang dada kerana mengetahui niat baik mereka.
Mereka memusuhi bukan kerana mereka tidak baik tetapi kerana tiada kefahaman. Pepatah mengatakan 'manusia akan memusuhi apa yang mereka tiada ketahui’. Dalam surah al-Ahqaf, ayat 2, Allah berfirman : “Dan kerana mereka tidak mendapat petunjuk dengannya maka mereka akan berkata : “Ini adalah dusta yang lama”.
Bukan seorang dua, malah saya berdepan dengan ramai orang seperti sahabat ini yang memusuhi tarekah tasawuf tanpa ilmu. Namun alhamdulillah, ramai juga di kalangan mereka yang bersikap agak rasional apabila diberi penjelasan sebenar.
Saya bertanya kepadanya, 'apakah yang beliau faham tentang akidah Ahli Sunnah walj Jamaah (ASWJ)?’. Dia menjawab dengan kaedah Tauhid 3 serangkai, iaitu Tauhid Uluhiah, Tauhid Rububiah dan Tauhid Asma’ wa Sifat yang dimasyhurkan oleh Syaikh yang mulia, Ibnu Taimiyyah (semoga dalam keampunan Allah).
Konsep itu tiada salah jika difahami dengan jalan sifat ketuhanan yang benar. Malangnya ramai yang hanya memahaminya pada konsep penyaksian ketuhanan dan ibadah, sedang konsep rububiyah itu tidak difahami dengan baik. Menerima konsep rububiyah yakni ketuhanan sahaja belum sempurna jika tiada difahami sifat-sifat Allah yang dikehendaki dalam konteks Ahli Sunnah wal Jamaah.
AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
Beriman kepada Allah, Sifat dan Asma’nya perlu difahami kerana ia berpecah kepada 73 golongan dalam mentafsirkan akidah, justeru ia hendaklah dihurai mengikut pegangan kaum Salaf. Itulah yang diperjuangkan oleh Syaikh Abu Hassan Asy’ari rahimahullah (260H-324H) dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi rahimahullah (238H- 333H); yakni kembali kepada akidah Salaf dengan menjauhi kefahaman akidah yang berlainan dengan Salaf seperti Mu’tazilah, Jabariyah, Qadariyah, Mujassimah dan lainnya.
Semua akidah beriman kepada Allah tetapi berpecah kepada 73 qaul disebabkan perbezaan pnghuraian tentang Sifat-Sifat Allah. Seperti sifat Kuasa Allah, ada yang mentafsirkan bahawa Allah tiada kuasa lagi dalam hal manusia, manusia yang menentukan segala hal dirinya seperti yang difahami aliran Qadariyah. Ada yang memahami bahawa kuasa Allah yang mutlak dimana manusia ‘majbur’ ertinya tidak berdaya apa-apa, ‘kasab’ atau usaha tiada sama sekali, mereka bagaikan kapas sahaja, baik dan buruk adalah pilihan Allah seperti fahaman Jabariyah.
Maka di atas tafsiran manakah yang mahu dipegang oleh kita dalam bab Kuasa Allah? Hanya beriman kepada rububiyah Allah dengan tiada mengetahui tafsiran yang benar akan menjerumuskan kita kepada akidah yang batil.
Syaikh Abu Hassan Asy’ari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi adalah Imam ASWJ. Hal ini diakui oleh majoriti ulama di zamannya dan ulama di zaman kemudiannya. Mereka bukan membawa perkara baru tetapi mengajak kepada akidah kaum Salaf yakni generasi awal sahabat. Apa yang membezakan ialah dari sudut metodologi perbahasan sifat tersebut sahaja, agar mudah difahami oleh masyarakat zamannya dan zaman kemudian. Mereka menyimpulkan dalam ijtihad mereka bahawa akidah Salaf yakni ASWJ cukuplah difahami hanya dengan 13 atau 20 Sifat sebagai tunjang akidah ASWJ.
Apa yang menyedihkan, telah berlaku pemisahan ilmu di kalangan umat Islam sehingga dilihat ilmu akidah, fekah, tarekah dan tasawwuf berpecah. Sedang seorang muslim wajib berpegang pada Al-Quran dan Hadis secara keseluruhan, bukan juzuiah. Ilmu akidah, fekah, tarekah dan tasawwuf adalah bersumberkan Al-Quran dan Hadis yang wajib diamalkan untuk menjadi mukmin yang sejati.
Para ulama telah membahagikan tiga asas ilmu penting yang wajib menjadi pegangan seorang muslim iaitu ilmu fardhu ain yang berkaitan akidah, fekah dan ihsan atau adab. Kemudian ilmu fardhu kifayah berkaitan ekonomi, politik, keluarga, sosial, perundangan dan lainnya.
Pendidikan yang pertama wajib dipelajari adalah akidah, sebagaimana yang ditunjuk dan diajar oleh Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wassalam di awal dakwah Baginda di Mekah. Ilmu akidah yang diajar bukan sekadar kefahaman tentang Sifat-Sifat Allah sahaja, tetapi menanam kefahaman tersebut ke dalam jiwa sehingga mencapai ihsan. Ihsan membuahkan kemanisan yang mendalam dalam perasaan keimanan kepada Allah dan Rasul serta segala Sifat-SifatNya.
MEMAHAMI DASAR ASWJ
Berbalik pada persoalan tersebut, ramai para ilmuwan aliran ilmu moden tiada memahami apakah dasar akidah ASWJ. ASWJ adalah akidah sederhana yang menolak melampau dalam pegangan seperti kekuasan diri tanpa perlu bertuhan, sebagaimana fahaman Qadiriah, kehebatan akal mengatasi rukun ketauhidan seperti pegangan Mu’tazilah dan Tuhan semata-mata seperti pegangan Jabariyah.
Hari ini ramai yang mengaku mereka adalah ASWJ, tetapi dalam praktik kehidupan mereka adalah Mu’tazilah, Qadariyah, Jabariyah dan Mujassimah. Dalam masalah praktik akidah, ramai para ulama sendiri mungkin tak lepas walaupun mereka menghafal puluhan matan kitab dan mengamalkan syariat dengan baik.
Sahabat saya bertanya, apakah kaitan tarekah dengan ASWJ? Saya tanya balik, apakah dikatakan seseorang itu sudah bersolat sedangkan dia hanya mengaji kitab bab solat, tapi tak bersolat? ‘Tidak’, katanya. Baiklah, saya tanya lagi, apakah seorang itu dikatakan ASWJ jika sekadar memahami Sifat Allah tetapi dalam kehidupannya lebih berpegang kepada logik akal, pergantungan kudrat diri dan makhluk daripada kekuasaan Allah? Dia menjawab agak lambat “mungkin tidak”.
Justeru, mempelajari Sifat 20 atau akidah ASWJ adalah ibarat memahami rukun dan syarat ASWJ sebagaimana memahami rukun sembahyang, yang belum tentu ia telah mengamalkan dengan jiwa dan perbuatan.
ASWJ ialah fahaman yang menggabungkan Qadariyah dan Jabariyah menjadi satu dalam setiap gerak kerjanya. Tiada boleh berdiri pada Qadariyah semata-mata kerana ialah adalah haram, tiada boleh berdiri di atas Jabariyah semata-mata kerana ia juga adalah haram. Namun apabila bergabung serentak antara Qadariyah dan Jabariyah, maka ia menjadi ASWJ yang hakiki. Ia barulah dipanggil ASWJ yang praktikal, bukan ASWJ dalam bentuk ilmu atau kefahaman semata-mata.
Sebagai contoh, tahi dan darah adalah najis (haram), tetapi diantaranya terdapat susu yang halal untuk diminum. Allah menyatakan, “Dan sesungguhnya pada binatang ternak itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu. Kami memberimu minum daripada apa yang berada dalam perutnya (berupa) susu yang bersih antara tahi dan darah, yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya.” (An-Nahl: 66)
ASWJ adalah mereka yang berpegang pada hukum sebab musabab dalam kehidupan, tetapi mata hatinya syuhud (memandang dengan cahaya hati) kepada kekuasaan Allah dalam segala gerak geri walau satu zarah sekalipun. ASWJ menggabungkan dua pandangan; mata zahir melihat nasi, mata batinnya melihat kepada Allah. Tiada ditinggalkan hukum asbab dan musabab seperti kenyang dengan makan nasi, tetapi mata hatinya melihat yang mengenyangkan adalah Allah. Mata batinnya fana melihat yang lain di alam ini melainkan hanya tersyuhud pada batinnya tajalli (kenyataan/penzahiran) Sifat dan Asma’ Allah.
Apabila solat hanya melihat pada gerak diam daripada kuasa diri, itulah solat kaum Qadariyah yang batil. Pada ilmu mengaku bahawa diri tiada kekuatan melainkan dengan kekuasaan Allah, tetapi dalam praktikal mereka melihat diri yang melakukannya, bukan hak Allah tetapi hak dirinya. Maka kesan dari ibadah atau banyak ilmu, kaya dan pangkat kaum Qadariyah adalah timbulnya takabur, riya’, ‘ujub, menghitung amal, memandang hina orang lain, buruk sangka dan lainnya. Camlah bahawa mereka yang kena penyakit ini, ia adalah kesan daripada akidah yang batil, maka ia akan menghasilkan buah (sifat) yang batil.
Berlainan dengan ASWJ, kesan mata batinnya syuhud pada Allah. Mereka sentiasa memandang apa jua kebaikan yang ada padanya adalah hak Allah, bukan hak dirinya, hanya kejahatan sahaja hak dirinya. Kesannya, mereka walaupun banyak harta, pangkat, ilmu, ibadah, karamah dan lainnya, mereka menjadi semakin merendah diri dan bersyukur kerana melihat nikmat Allah atas dirinya.
Bersambung...