Isnin, November 15, 2010

Khutbah Aidil Adha 1431H/2010


Petikan Khutbah Aidil Adha 1431H/2010
Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kesetiaan dan kebenaran cinta Nabi Allah Ibrahim a.s. Keimanan tanpa cinta tiada sempurna, cinta tanpa pengorbanan adalah dusta. Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Ismail a.s adalah mereka yang telah membuktikan kebenaran keimanan, kesetiaan, kecintaan dan pengorbanan.. Maka Allah amat mencintai mereka sehingga diberi kemuliaan untuk mendirikan Kaabah (rumah Allah) untuk seluruh manusia yang datang dari segenap penjuru dunia untuk beribadah kepada Allah, dengan penuh kecintaan dan kerinduan di sisi Kaabah.

Kaabah adalah simbol agama, hanya mereka yang benar dalam ketauhidan dan ikhlas dalam kecintaan yang layak untuk membangunkan agama. Di tangan mereka Allah akan memberi kemenangan agama sehingga kebatilan akan jatuh. 

Imam Al-Ghazali rahimahullah menyebut dalam kitab Minhajul ‘Abidin bahawa empat halangan yang akan ditempuh oleh mereka yang benar menuju agamanya iaitu makhluk, dunia, nafsu dan syaitan. Mereka perlu bersungguh bermujahadah dalam ‘menyembelih’ empat halangan tersebut dengan memiliki kekentalan jiwa dan sanggup berkorban apa saja.

Apabila mereka berjaya menyembelihnya dengan penuh kesabaran, nescaya rumah Allah akan terbangun dalam jiwanya, cahaya Ihsan atau tirai makrifat secara kasyaf akan terbuka dalam batin qalbinya. Mereka akan mencapai kemanisan dan kelazatan dalam musyahadah dan muraqabahnya. Mereka akan mencapai kelazatan dalam ibadah, mencapai buah-buah yang enak dalam sifat mahmudah, tiada akan mudah tergoncang dengan ujian-ujian dan tiada gentar dalam perjuangan!


Khutbah Aidil Adha 2010 - format buku (akan dikemaskini kemudian, insya Allah)