“Kamu akan bersama dengan siapa yang kamu cintai di akhirat nanti..!” (H.R Bukhari), begitulah jawapan Nabi sallaLlahu ‘alaihi wassalam kepada seorang Badwi yang menyatakan bahawa ia tiada memiliki apa-apa untuk menghadapi hari Qiamat melainkan sekeping hati yang amat mencintai Baginda sallaLlahu ‘alaihi wassalam…
Orang yang bercinta adalah gila! Mereka dilihat gila atau menunjuk-nunjuk padahal kemabukan hati mereka yang menyebabkan mereka dilihat bagaikan tiada akal. Para fuqaha bergantung pada akal dan dalil naqli secara zahir, tapi para pencinta bergantung pada hati dan dalil secara batin.
Para penentang mengatakan bahawa bagaimana kita melakukan amalan yang tiada Rasul melakukannya dengan berpegang pada qaidah fiqh, “Sesuatu itu adalah haram selagi tiada nas atau hadis yang membenarkannya”, sedangkan para pengamalnya berpegang pada qaidah, “Sesuatu itu adalah harus selagi tiada nas atau hadis yang jelas mengharamkannya”. Justeru, hal ini tiada akan selesai melainkan dalam hati umat ini ada cinta untuk bersatu dan berlapang dada dalam masalah ijtihad dan khilafiah.
Para pencinta tidak mahu tenggelam dalam pergelutan fuqaha, biarkan mereka dengan hal mereka kerana itulah tugas mereka. Para fuqaha juga mengatakan mana mungkin lautan api dapat direnangi kerana ia memandang dengan akal, namun para pencinta tetap mengatakan bahawa mereka sanggup berenang di lautan api kerana ia memandang dengan jiwa.
Kalimah dan perbuatan orang yang bercinta adalah datang dari pancaran jiwa yang dalam, ia diluar batasan akal untuk memahaminya, sedangkan batasan akal hanya bertindak di atas logik. Kaum Muktazilah mentafsirkan al-Quran dan Nas berdasarkan huraian yang boleh diterima logik akal sedangkan logik akal amat terbatas untuk menyelami rahsia kalam Illahi dan sabda RasulNya.
Ramai kaum sufi yang menjadi mangsa fitnah disebabkan kalam-kalam cinta yang diungkapkan, malah para musuh mereka melihatnya sebagai makanan untuk dihidangkan pada umum agar racun fitnah dilihat benar. Berhati-hatilah wahai saudaraku di zaman ini, fahaman kaum Muktazilah yang berlindung di sebalik Ahlu Sunnah wal Jamaah!
Berkata Zainal Abidin yakni Ali bin Husain bin Ali bin Abu Talib ridwanuLlahi ‘alaihim ajma’in dalam syairnya :
“Dari berbagai ilmu dalam dadaku
ku sembunyikan permatanya
Supaya si jahil tidak melihatnya
kerana nanti ia akan memfitnahnya
Sesungguhnya Abu Hasan (Saidina Ali bin Abu Talib karramaLlahu wajhah) telahpun berpesan akan hal ini kepada (puteranya) Al-Husain
(bahkan) sebelum itu beliau juga telah berpesan kepada (puteranya) al-Hasan
Andainya aku hebahkan rahsia ilmu itu
Nescaya mereka akan menuduhku musyrik
dan menghalalkan darahku
Kerana menganggap perbuatan keji (membunuhku)
sebagai suatu kemuliaan”
Petikan : Bisikan Sir 2
Petikan : Bisikan Sir 2