Aku hanya menyeru :
• Berpegang teguh pada akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah berdasarkan Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah
• Berpegang pada mazhab yang muktabar dan menghormati khilaf
• Memiliki Ihsan (tasawwuf) dalam rukun Iman dan Islam
• Berpegang pada ilmu yang bersanad, memuliakan ulama yang haq dan mencintai para auliya’
• Berzikir agar menghasilkan cinta Allah dan memecahkan mazmumah nafsu
• Berpuasa pada setiap Isnin dengan memaafkan kesalahan, menahan marah, infaq pada anak yatim, fakir miskin dan fi sabilillah, ziarah kasih sayang, qiamullail pada malamnya, memperbanyakkan membaca Al-Quran dan mengadakan Majlis Maulud demi memuliakan dan menzahirkan cinta terhadap Nabi sallaLlahu صلى الله عليه وآله وسلم.
• Menyebarkan dakwah kasih sayang tanpa mengira fahaman dan kumpulan
• Membantu perjuangan Islam, amal ma’ruf dan nahi mungkar
• Memberi kekuasaan pemerintahan kepada golongan yang bertakwa
• Kuat berusaha, berfikir jauh dan istiqamah serta tidak menentang kemajuan
• Tidak menyinsing lengan kepada mereka yang menentang
• Bersikap air dengan api yang menyala, tidak menyerang walau diserang. Menjauhi marah walau dimarah, menjauhi permusuhan walau dimusuhi, tiada memfitnah walau difitnah, membetulkan kesilapan jika disedari
Jika seruan ku diterima, pada Allah aku rafakkan syukur. Jika aku ditolak, dihina dan dipulau, aku akan berkhalwah dengan Tuhanku. Hanya pada Dzat Yang Maha Agung, Allah Yang Maha Esa tempat ku mengadu.
Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم adalah penghibur hatiku. Teman yang setia adalah harta kekayaanku, keluarga adalah penyejuk hatiku, murid-murid adalah penyambung perjuanganku
Semoga bumi ini, kembali kuat dengan agama, raja memayungi rakyat dengan iman, pemimpin memerintah dengan amanah dan adil, rakyat hidup hormat menghormati dan berkasih sayang walaupun berbeza pendapat, masjid dan surau kembali bersinar, kemungkaran menjadi lemah kerana tiada peminatnya, khazanah kekayaan melimpah diberkati Allah, generasi muda beriman dan berilmu, kemajuan terkawal dengan ketakwaan!