Isnin, Januari 10, 2011

Aplikasi Qaidah Fiqh dalam Kehidupan Masa Kini - (1/4)

(Artikel ini adalah berdasarkan beberapa prinsip Qaidah Fiqh seperti senarai di bawah. Ia akan diterbitkan dalam 3 bahagian, insya Allah)

"Fiqh adalah ilmu yang berhubung dengan Tauhid pada perbuatan"
 
Beberapa Qaidah Fiqh :
  1. "Mudharat kecil harus ditempuh untuk menghindarkan mudharat yang besar"
  2. "Bila harus memilih antara dua mudharat maka pilih yang paling ringan"
  3. "Jalan yang menuju haram juga haram"
  4. "Kemudharatan harus dihilangkan dan jalan yang menuju ke arahnya harus ditutup"
  5. "Bila tidak boleh melaksanakan semuanya maka jangan ditinggalkan seluruhnya"
  6. "Hukum asal segala sesuatu mubah/boleh selagi tiada dalil yang jelas melarangnya"
  7. "Tidak boleh disangkal berlaku perubahan hukum dengan sebab perubahan masa"  


1-    الضَّرَرُ الأشَدُّ يُزَالُ باَلضَّرَرِ الأَخَفِّ
2-     إذَا تَعَارَضَ مَفْسِدَتاَنِ رُوْعِيَ أعْظَمُهُمَا بِإرْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا
3-    سَدُّ الزَّرَائِعِ
4-    الضَّرَرُ يُزَالُ
5-    مَا لَا يُدْرَكُ كُلُّهُ وَلاَ يُتْرَكُ كُلُّهُ
6-    الأصْلُ فِيْ الأَشْيَاءِ الإبَاحَة ُحَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيْلُ عَلىَ تَحْرِيْمِهِ
7-    لاَ يُنْكَرُ تَغَيُّرُ الأحْكاَمِ بِتَغَيُّرِ الأزْمَانِ
Kitab Rujukan :
  1. Al-Asybah wa al-Nazoir oleh Imam al-Suyuti
  2. Qawaid al-Ahkam fi Masolih al-Anam oleh Sultan al-Ulama’ Izzuddin bin Abdul Salam.
  3. Al-Furuq oleh Imam al-Qarafi
  4. Al-Fawaid al-Janiyyah oleh Syeikh Yasin al-Fadani
  5. Al-Fawaid al-Bahiyyah fi Talkhis al-Qawa’id al-Fiqhiyyah oleh Syeikh Nuruddin al-Banjari
  6. Al-Qawa’id al-Fiqhiyyah oleh al-Nadwi 

MUKADIMAH

Mendidik para sahabat yang mempunyai pelbagai latar belakang berbeza mengundang banyak keadaan serba salah dalam jiwa saya. Ada yang terlalu keras pandangannya dan ada yang terlalu longgar. Jika terlalu keras, ia mudah menjadi jumud dan mudah pula menghukum orang lain. Sebaliknya, jika terlalu longgar, ia mudah terlarut dalam sistem yang rosak.

Dahulu saya merupakan seorang yang berpendirian keras dalam segala hukum sehingga tiada  dapat bergaul dengan keluarga, saudara mara dan masyarakat dengan baik. Saya sendiri merasa tertekan dengan pendirian tersebut dan merasa kepayahan untuk hidup di zaman ini. 

Perguruan saya dengan almarhum Baba Najmuddin (Mudir Madrasah Kerandang, Besut, Terengganu. Seorang ulama fiqh empat mazhab yang diakui kealimannya) dan almarhum Tuan Guru Hj Ismail (Bukit Payung, K. Terengganu), muzakarah dengan teman seperguruan, musafir dan berdamping dengan para Kiyai dan para alim ulama yang benar telah merubah pendirian saya dalam masalah fiqh. Maka saya kini mengambil pendirian untuk berada di tengah-tengah (wasatiyyah) dan terserah pada para sahabat membuat keputusan dalam masalah fiqh. Selagi mereka ada hujah, saya tetap menghormatinya walaupun berbeza pandangan.

Kefahaman Ilmu Fiqh amat penting agar tidak mudah terjatuh dalam perkara yang diharamkan Allah. Malangnya ada sesetengahnya tidak merasa berdosa dengan dosa yang dilakukan kerana dianggap biasa atau sudah menjadi budaya akibat kecetekan ilmu fiqh. Maka hiduplah ia dalam keadaan dosa sehingga menyebabkan kelam mata hati. Setiap dosa yang dilakukan anak Adam akan mendatangkan titik hitam pada hati dan akan terus menebal jika tiada bertaubat. Manakala dosa yang dilakukan anak-anak akan ditanggung ibu bapanya.

TELEVISYEN (TV)
Dalam masalah TV, saya tidak mahu menjadi golongan yang mengharam dan  membuang TV. Saya tidak mahu menjadi penentang pada teknologi, tetapi menjadi penentang pada penyalahgunaan teknologi. Bagi saya, bukan masalah peti TV yang mahu dihukum tetapi program yang disiarkannya. Sama seperti internet, bukan komputer dan ‘broadband’ yang mahu dihukum, tetapi isi kandungannya yang berunsur lucah, fitnah dan maki hamun yang perlu diharamkan.

Bagi seorang dewasa yang mampu membezakan baik dan buruk, TV mempunyai kebaikan yang boleh diambil. Maka hukum bagi mereka adalah harus. Tetapi bagi anak-anak, melihat tanpa kawalan adalah jelas membawa mudharat pada akidah, akhlak, pemikiran dan jiwa, justeru hukumnya menghampiri kepada haram.
Filem-filem atau rancangan yang disiarkan walau kartun sekalipun, perlu diperhatikan sama ada ia ada unsur negatif atau tidak. Jika ada, ia boleh membahayakan aqidah dan merosakkan akhlak pada anak-anak yang lemah jiwanya apabila terpengaruh.

Sebaiknya dibelikan alat VCD/DVD agar kita dapat memilih filem atau cerita yang sesuai untuk anak-anak. Ini kerana wajib menjaga anak-anak daripada pengaruh yang haram melalui TV. Bahkan di kalangan orang dewasa pun perlu diperhatikan juga kadangkala, kerana tidak semestinya orang dewasa berfikiran dan berjiwa dewasa. Hukum akan berubah mengikut mengikut keadaan dan tempat atau ilat.

Sikap tidak peduli dan jahil akan masalah hukum akan melahirkan pak-pak lebai yang menitiskan air mata dalam masjid, dalam zikir dan khawat mereka. Sedangkan anak-anak mereka dibiarkan menonton rancangan hiburan atau filem yang jelas haram hukumnya. Ayah menjadi malaikat, anak pula menjadi syaitan. Lebih malang lagi, ibu bapa melihat ‘syaitan’ yang ada pada diri anak mereka itu disebabkan kejahatannya, bukan berpunca kesalahan diri ibu bapa yang menjadikan TV sebagai ‘guru mursyid’ pada anak-anak mereka.

Ketika saya menziarahi rumah para muhibbin pada Aidilfitri lalu, ada di kalangan mereka yang membiarkan TV bersiaran dengan pelbagai aneka hiburan tanpa menutupnya, walaupun saya dan rombongan berada dalam rumah mereka saat itu. Mungkin bagi mereka ianya perkara biasa, tapi keadaan itu amat menggelisahkan jiwa saya.

Meletakkan TV sebagai keperluan hiburan yang wajib ada untuk anak-anak adalah amat salah. Masa lapang adalah pembunuh utama. Jika kita tiada pandai menguruskan masa lapang anak-anak dengan perancangan program yang baik, maka TV atau Video Games atau lainnya yang tiada memberi manfaat akan menjadi sahabat mereka untuk mengisi kelapangan tersebut.

Kita sebagai hamba Allah yang dibekalkan minda, sepatutnya tidak sukar untuk menyusun program yang bermanfaat untuk anak-anak, tanpa perlu kepada TV. Kalau kena caranya, kesibukan mereka dengan perkara bermanfaat itu akan menjadikan mereka tiada masa untuk mengisi masa lapang dengan perkara yang lalai.

Ada sahabat saya yang membuka madrasah. Pada waktu lapang, pelajar-pelajarnya yang masih muda diajak melihat cerita Ultraman sebagai hiburan. Saya menegurnya kerana ia tiada manfaat pada pembangunan jiwa dan minda, bahkan ia bertentangan dengan fiqh Tarbiyah. Seterusnya saya sarankan beliau mendapatkan filem-filem yang baik seperti kisah para Nabi, pahlawan Islam, kisah para ulama, para auliya dan seumpamanya.

TV sepatutnya dijadikan alat maklumat, bukan alat hiburan yang tiada faedah. Jika mahu berhibur dalam apa bentuk jua, pastikan hiburan tersebut memberi maklumat atau mengandungi mesej-mesej yang baik. 

Rangkaian baru Al-Hijrah yang dilancarkan pada Awal Muharram baru-baru ini, disamping Astro Awani, Astro Oasis dan rangkaian berita al-Jazeera (sekadar menyebut beberapa contoh), adalah usaha  murni yang perlu didukung dalam memanfaatkan teknologi sedia ada ke arah kebaikan.

Begitu juga permainan video games. Bukan alat permainan itu yang mahu dibahaskan, tetapi kandungan program yang dimasukkan dalam permainan. Ia perlu diawasi kerana dibimbangi mengandungi nilai-nilai negatif yang ditanam ke jiwa dan pemikiran anak-anak, yang seterusnya boleh merosakkan akidah dan akhlak anak-anak. Jika negatif dan boleh membawa kerosakan akidah dan akhlak, maka hukumnya adalah haram.

Bersambung --- SISTEM PENDIDIKAN & PERSEKOLAHAN ZAMAN INI