“Barangsiapa yang melihat diri tanpa melihat Allah di sebaliknya, maka ia adalah terhijab, malah dibimbangi jatuh ke lembah syirik apabila merasai atau melihat sifatnya berdiri dengan sendirinya tanpa Allah.”
Hakikat sebenar wujud tanpa berhajat kepada wujud yang lain hanyalah Allah. Wujud makhluk dan alam adalah berhajat pada wujud Allah, ia adalah wujud mumkinat, antara harus ada dan tiada. Menafikan ada wujud diri adalah salah, mengaku ada wujud diri sepenuhnya pun salah.
Diri kita wujud tetapi bukan wujud milik sepenuhnya. Wujud kita diwujudkan, bukannya wujud yang boleh berdiri dengan sendiri. Setiap saat kita diwujudkan dan setiap saat kita boleh dihilangkan wujudnya. Wujud dan segala sifat kita sentiasa diperbaharui setiap detik. Begitulah lemah, faqir dan dhaifnya segala makhlukNya dalam segala hal.
Wujud makhluk bagaikan bayang-bayang, ia tiada wujud dengan dirinya sendiri. Apabila tiada tuan empunya bayang, maka bayang tiada wujud. Sedangkan empunya bayang tetap wujud walaupun tiada bayang.
Sekelian ciptaanNya adalah bayang atau bekas bagi menunjukkan KewujudanNya, SifatNya, Asma’Nya dan Af’alNya. Maka tiada berpisah semua ciptaanNya dengan DiriNya.
Jika Allah tiada Sifat, maka ‘kita’ tiada... tiada melihat, mendengar, berkata-kata, berfikir, hidup dan berkehendak. Begitu juga tanpa wujudnya Af’al Allah, maka tiada akan wujud pergerakan alam, tiada berlakunya kestabilan alam, tiada berlakunya hukum sistem yang teratur (asbab dan musabab), tiada berlakunya takdir baik dan buruk, tidak ada gerak dan diam dan sebagainya.
Bagaikan api dengan asap. Asap datang dari api, ia tiada berpisah. Tapi api bukannya asap, asap bukannya api. Kewujudan asap menunjukkan kewujudan api, namun api tetap wujud walau tiada kelihatan asap sekalipun. Tiada berpisah dan tiada bersatu, hamba tiada berpisah dengan Allah tetapi tiada bersatu dengan Allah.[1]
Asap menyampaikan kita pada api walaupun kita tiada melihat api. Sekelian kewujdan makhluk menyampaikan kita pada Allah walaupun kita tiada melihatNya. Wujud kita dan alam adalah bekas kepada Sifat dan Af’alNya.
Maka segala pergerakan yang ada pada alam bumi atau langit, zahir atau ghaib, berada dalam Qabdah yakni “Genggaman Ar-Rahman”. Justeru itu makhluk diharamkan takbur (ananiah) dengan segala apa yang dimiliki kerana apa yang dimilikinya adalah berada antara harus ada dan tiada, segala-galanya mumkinat dalam Genggaman Ar-Rahman, pada setiap saat sama ada untuk mengadakan atau meniadakan.
[ Petikan kitab "Allah : Syariat & Hakikat - Satu Penghuraian" ]
[1] Maha Suci Allah daripada segala misal.