|
Insan itu tiada boleh dipanggil Khalifah walaupun mereka telah berjaya memakmur dan memajukan bumi hasil dari kajian ilmu mereka. Mereka lakukan demikian kerana kehidupan, minat, nama, kejayaan dan kekayaan.
Mereka memiliki hanya dua cinta, (yakni) ilmu mereka untuk kebaikan manusia dan alam, kadangkala ia turut membawa kemusnahan. Mereka tiada cinta pada Allah dan Rasul yang menjadi teras utama kualiti seorang khalifah.
Insan khalifah wajib memiliki ilmu dan cinta Allah dan Rasul. Mereka mendalami ilmu kemajuan kehidupan manusia dan alam bukan sekadar atas dasar untuk kehidupan atau minat, tetapi kerana menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah.
Dampingi para ‘arifbiLlah yang mengajak kamu cinta Allah dan Rasul dan kitabNya. Dampingi para ilmuwan dunia yang mengajar kamu tentang bagaimana mahu memajukan bumi.
Sistem persekolahan dan universiti menanamkan cinta pada ilmu pengetahuan dunia, namun dalam jiwa pelajar kering cinta Allah dan Rasul. Mereka tiada hidup sebagai khalifah Allah dalam kerjaya mereka.
“Dialah (Allah) yang menjadikan kamu sebagai para khalifah di bumi, dan mengangkat beberapa darjat sesetengah kamu di atas sesetengah (yang lain) agar Dia dapat menguji kamu di atas apa yang kamu lakukan.” (Al-An'am: 165)
Petikan : Bisikan Sir 2