Selasa, Jun 01, 2010

Bingkisan Mahasiswa: Carilah Cahaya Thursina di Mana-Mana Jua... (1/2)

“Nabi Musa a.s dipelihara oleh Firaun namun Baginda menjadi pejuang dalam menentang kebatilan Firaun. Musa as-Samiri pula dipelihara dan disusu oleh Jibril menggunakan jarinya, namun beliau menjadi ketua dan dalang dalam membangunkan kebatilan dan menghancurkan kebenaran. Nabi Musa dipelihara oleh musuh Allah tetapi menjadi kekasih Allah, manakala Musa As-Samiri dipelihara oleh kekasih Allah, tetapi menjadi musuh Allah.”

(baca sejarahnya di sini : http://ms.wikipedia.org/wiki/Nabi_Musa_a.s.)
 
SISTEM PENDIDIKAN SEKULAR, AGAMA

Apa yang ingin saya nyatakan dari petunjuk Allah berdasarkan peristiwa di atas ialah tidak semestinya golongan yang berada dalam sistem pendidikan sekular akan menjadi musuh Allah, malah ramai yang mempunyai kesedaran menjadi pejuang agama.

Begitulah juga dengan mereka yang berada dalam sistem pendidikan agama, tidak semestinya mereka menjadi pejuang agama, malah ramai yang menjadi pejuang nafsu dan kebatilan. Mereka membawa fahaman, akidah dan akhlak yang menghancurkan agama.

Saya mempunyai ramai sahabat yang lahir dari pendidikan sekular, sama ada di IPTA/IPTS di dalam negara atau di luar negara seumpama UK, Amerika, German dan lainnya. Namun mereka ini mempunyai kefahaman agama yang baik, akhlak yang mulia dan keikhlasan dalam perjuangan. Allah mengurniakan hidayahNya kepada sesiapa yang ikhlas mencarinya.

Dalam peristiwa di atas, tiada timbul soal Nabi Musa a.s tidak mengenangkan jasa dan budi Firaun yang membesarkannya tetapi Baginda diperintahkan untuk memperbetulkan kebatilan dan menegakkan kebenaran.

Dalam konteks para pelajar atau mahasiswa di Pusat Pendidikan Tinggi (IPTA/IPTS) atau mereka yang menyambung pengajian di luar negara, bilamana mereka tidak sehaluan dengan pihak yang menaja atau menolong mereka (baca: kerajaan), maka akan diungkit bahawa mereka itu golongan yang tidak pandai berterima kasih kepada pihak berkenaan. Maka disenandungkan pepatah, “seperti kacang lupakan kulit” dan sebagainya.

Pada saya, pelajar atau mahasiswa yang memperjuangkan prinsip yang sama dengan Nabi Musa a.s ini tidak boleh dianggap sebagai tiada mengenang jasa atau tidak pandai berterima kasih. Ini kerana yang benar tetap benar dan salah tetap salah, dan inilah prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم.

Nabi Musa a.s bukan mahu menjadi penentang, Baginda mahu menasihati ayahandanya Firaun agar kembali kepada kebenaran. Begitu juga dengan para pelajar atau mahasiswa yang berani berkata “tidak” kepada kemungkaran, mereka bukan penentang tetapi hakikatnya adalah penasihat yang baik. Mereka lakukan itu bukan untuk diri mereka, tapi untuk mendaulatkan agama, mendatangkan kebaikan pada masyarakat, negara dan ummah seluruhnya.

"Cahaya tiada di istana Firaun, maka Nabi Musa a.s mendapatkannya di Bukit Thursina. Cahaya juga tiada di universiti, maka carilah Cahaya Thursina di mana-mana yang membawa kamu kepada Ad-Deen!"

IKTIBAR SEJARAH HIKAYAT HANG TUAH

Sejarah Kerajaan Melayu Melaka di zaman Sultan Mansor Syah (1456-1477) merakamkan betapa sikap mementingkan nafsu, ketaatan melulu dan penentangan melampau akan membawa kehancuran pada negara. Tiga watak utama dalam sejarah itu adalah Patih Karma Wijaya, Hang Tuah dan Hang Jebat.

Patih Karwa Wijaya merupakan perancang komplot yang membuat fitnah ke atas Hang Tuah demi untuk nafsunya yang ingin berkuasa. Hang Tuah seorang yang hanya tahu taat pada Sultan walaupun titah Sultan batil. Keberanian Hang Jebat pula dalam membela Hang Tuah dan menentang kebatilan Sultan suatu sifat yang terpuji, namun membunuh orang-orang yang tidak bersalah merupakan satu sifat yang keji.

(Baca di sini : http://ms.wikipedia.org/wiki/Hang_Tuah)

Justeru, semua pihak harus memastikan agar ketiga-tiga watak ini tidak muncul lagi dalam negara kita hari ini bagi mengelakkan sejarah hitam berulang.

KEMULIAAN DENGAN AGAMA

Kita hendaklah fokus pada perjuangan menentang kebatilan dan golongan yang bersungguh-sungguh mempertahankan kebatilan, bukannya menyerang dan bermusuh dengan masyarakat yang tiada bersalah. Kebanyakan mereka tidak memiliki maklumat yang benar, disuakan dengan propaganda dan sandiwara setengah pemimpin yang berwajah manis konon pembela rakyat.

Kesedaran perlu diberi kepada rakyat tentang nilai dan harga diri mereka, agar tiada mudah diperdaya dan dipermainkan lagi dengan janji manis berupa pembangunan dan taburan wang. Ini kerana rakyat juga mempunyai tanggungjawab terhadap Allah, Rasul, kebaikan negara dan generasi akan datang. Mereka tidak boleh hanya memikirkan kepentingan diri sehingga buta akan kepentingan agama dan terus membiarkan penyelewengan yang membawa kehancuran pada negara.

Nilaian kebenaran mestilah berdasarkan wahyu Allah, bukannya ketaksuban kepada pemimpin, parti atau bangsa. Sayang pada pemimpin, bangsa dan negara adalah juga tuntutan agama. Tapi jika sifat sayang menyebabkan agama tidak dijadikan sebagai dasar utama, maka ia bukan perjalanan agama bahkan akan menuju kehinaan.

Sayyidina Umar al-Khattab r.a pernah berkata : “Kemuliaan Umar bukan kerana Umar, mulianya Umar kerana Umar memilih Islam.”

Oleh itu, wajiblah kita berjuang untuk kembalikan masyarakat dan negara kepada kemuliaan dengan Islam. Pembunuhan, membuang bayi, dadah, jenayah ragut dan pelbagai lagi gejala dahsyat dalam masyarakat adalah berpunca dari sikap mengejar kemajuan tanpa meletakkan agama sebagai teras utamanya.

Dalam masa yang sama tidak dinafikan, pihak pemerintah masa kini mempunyai sedikit kesedaran pentingnya kembali kepada agama, dengan diberikan peruntukan yang banyak kepada badan-badan Islam sama ada di pihak kerajaan atau swasta, untuk membimbing masyarakat pada agama. Tapi semuanya ini tidak akan memberi makna jika para pemimpin di atas, baik dari golongan istana dan lainnya tidak mengubah pemikiran dan budaya penjajah dalam kehidupan mereka.

Agama rakyat mengikut pemimpin. Rakyat bagaikan anak-anak, jika baik ibu bapa mereka, maka baiklah mereka. Jika ibu bapa sendiri menunjukkan sikap tiada memuliakan firman Allah dan sabda Nabi صلى الله عليه وسلم seperti menjaga aurat dan sebagainya, maka bagaimana mahu mendidik anak-anak menghormati, mencintai dan memuliakan firman Allah dan Rasul صلى الله عليه وسلم?