Khamis, Jun 17, 2010

Fizik Moden Menemui Allah - 2

Siri Bicara Tauhid Dalam Dimensi Fizik

Oleh : Abi Ahmad [ Interaksi Dengan Allah ]


AL QURAN MESTI MEMIMPIN SAINS

Ayat-ayat Al Quran adalah panduan mutlak yang tidak boleh diganti dalam menggali semua ilmu, apa lagi Makrifatullah. Namun begitu, para saintis telah menemukan tafsiran kepada ayat-ayat Al Quran dalam kajian saintifik mereka. Penjelasan yang mereka berikan berdasarkan kajian bertajribah (experiment) banyak kali memberi kefahaman yang jelas dan terperinci tentang maksud Al Quran. Tetapi jika mereka cuba lari dari panduan langit ini maka mereka sebenarnya akan terus menyimpang dari hakikat  alam. Kita boleh lihat bagaimana saintis dari golongan evolutionist terkial-kial mencari spesis perantara yang boleh menyambung rantaian wujud makhluk dalam teori evolusi.[1]

Yang paling baik adalah para pengkaji alam mengambil Al Quran sebagai pemimpin dalam meneroka lubuk alam. Isyarat-isyarat yang terkandung dalam Al Quran memimpin manusia memahami sunnah Allah pada penciptaan dan perjalanan alam. Kefahaman tentang sunnah ini membawa manusia kepada tauhid dan ubudiah di samping teknologi yang ditiru (diilhamkan)dari sunnah ini. 

EDWIN HUBBLE MENEMUI BUKTI WUJUD ALLAH

Pengkajian saintis tentang kejadian alam semesta telah membawa mereka kepada hakikat penciptaan alam. Penemuan Edwin Hubble bahawa galaksi-galaksi dalam alam semesta ini semakin jauh dari satu sama lain[2] menyatakan bahawa alam ini sedang berkembang dan bermula dengan satu titik (point of singularity). Permulaan dari satu titik ini membuktikan bahawa wujud alam ini mempunyai permulaan. Yakni, alam ini asalnya tiada, kemudian diadakan. Jika ia diadakan makan wajiblah ia mempunyai pencipta. Penemuan ini memaksa dunia sains akur akan kewujudan Allah yang telah mencipta alam ini. Ummat Al Quran telah awal-awal lagi menerima hakikat ini sebagai satu pegangan kerana Allah telah memberitahu mereka dan Allah memang telah mencabar orang yang tidak beriman dengan ayat di bawah,

Tidakkah orang-orang kafir melihat bahawa langit dan bumi itu dahulunya sesuatu yang padu, sebelum kami pisahkan antara kedua-duanya. Ayat 30, Al Anbia’

Sehubungan dengan hal ini, Captain Abdul Wahid Baksh mengatakan bahawa dunia barat telah ketinggalan bas dan Islam adalah juara pemacu sains yang tiada tandingannya.[3]                                         

KONSEP MASA DAN RUANG MEMBUKA MAKRIFATULLAH

Wujudnya alam ini ini bermula dengan big bang. Bermula dengan Big Bang[4], wujudlah bahan bina paling asas kepada pembentukan jirim iaitu zarah (particle; quarks). Zarah-zarah pertama ini telah membentuk proton, elektron dan neutron atom. Seterusnya atom-atom ini telah membentuk molekul-molekul dan membina jirim semua alam ini. Bermula adanya alam telah menandakan permulaan masa. Sebelum big bang masa adalah sifar (T=0). Einstein telah menyatakan bahawa masa tidak boleh dipisahkan dengan ruang (space)[5]. Wujudnya alam ini adalah di atas platform masa dan ruang (spacetime). Alam ini tidak boleh wujud tanpa masa dan ruang. Masa menyediakan urutan peristiwa supaya kejadian tidak terjadi serentak. Manakala wujudnya jirim memerlukan panjang, lebar dan tinggi.

Bersambung...


[1] Evolution Deceit, Harun Yahya
[2] The fabric of The Cosmos, Brian Greene
[3] Islamic Sufism. Sedihnya muslimin sedunia telah kembali ketinggalan dalam bidang sains pada zaman kita ini, sehingga terpaksa meminjam hasil kajian barat untuk memahami alam.
[4] cesp10.phys.utk.edu/../expansion.html
[5] http://hawking.org.uk