Isnin, Jun 21, 2010

Daurah Rohani : Hakikat Solat Berdasarkan Isra' Mi'raj (1)

Catatan oleh : 'Ibadur Rahman

(Ini adalah sebahagian transkrip kuliah al faqir Tokku semasa majlis Daurah Rohani kali ke-1 19-20 Jun baru-baru ini. Mohon sahabat maklumkan sebarang kesilapan dan sebagainya. Insya Allah bicara kuliah pertama ini akan dibahagi kepada 3 bahagian)

[ Bahagian 1 ]

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan yang bersifat dengan segala sifat Keagungan dan Kesempurnaan. Sama-samalah kita tenggelamkan diri dalam lautan ubudiah sedalam-dalamnya kepada Allah.

Selawat dan salam ke atas Junjungan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم, ahli keluarga Baginda, para Sahabat, para auliya, ulama, pendakwah, pemimpin yang bertaqwa dan sekelian orang mengikut jejak Baginda صلى الله عليه وآله وسلم.

Kita berada di bulan Rejab, inilah bulan pengembaraan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dari Mekah ke Baitul Muqaddis sehingga berhadap dengan Allah di Sidratul Muntaha. Ini adalah pengembaraan kerohanian dimana Allah menunjukkan hal-hal ghaib di sepanjang pengembaraan tersebut sehingga Baginda berhadap kepada Allah.

Para ulama sufi, syeikh-syeikh tarekah yang benar, menjadikan bulan Rejab sebagai bulan khalwah, bermusafir dan berziarah di kalangan mereka. Begitu juga para salik, mereka saling menziarahi satu sama lain sebagai mengambil keberkatan bulan Rejab.

ZAMAN KITA DAN SAHABAT radiaLlahu anhum ajma'in

Kita berada pada zaman yang sudah jauh dengan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dan sahabat radiaLlahu anhum ajma'in. Tiada kita akan sampai pada martabat ibadah para sahabat radiaLlahu anhum ajma'in, Nabi صلى الله عليه وآله وسلم jauh sekali. Walaupun kita beribadah, solat dan zikir siang dan malam tapi kedudukannya amat jauh dengan ibadah para sahabat. Walaupun sedekah kita segunung uhud, tak sama dengan 1 dinar sedekah mereka. Justeru itu, walau pun kita jauh dengan zaman Nabi صلى الله عليه وآله وسلم dan sahabat radiaLlahu anhum ajma'in, kita mesti berusaha sungguh-sungguh agar benar-benar berada di atas petunjuk Baginda صلى الله عليه وآله وسلم.


Tiadalah nikmat paling besar melainkan dengan kewujuan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, dengannya cahaya alam ini yang kegelapan bersinar kembali. Manusia yang hidup seperti haiwan dan menyembah berhala, dengan kelahiran Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, kembali mereka itu kepada fitrah menyembah Allah SWT.

Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلمdan para sahabat radiaLlahu anhum ajma'in berjuang meruntuhkan berhala-berhala di zaman mereka, yang paling besar ialah Latta dan Uzza. Tapi di zaman kita ini, walau pun manusia tidak lagi menyembah Latta dan Uzza, tapi mereka kini menyembah berhala dalam bentuk kebendaan atau duit.

Duit menjadi berhala baru, ia dijadikan matlamat hidup. Mereka percaya duit boleh memberi kebahagiaan, dengannya boleh mereka lakukan apa saja. Ia dijadikan kepercayaan atau aqidah, inilah ajaran jahiliyah yang menyelinap masuk ke dalam hati manusia. Sebab itulah Nabi صلى الله عليه وآله وسلم mengingatkan kita dengan sabdanya, “Celakalah hamba dinar, celakalah hamba dirham…” (petikan dari hadis yang panjang riwayat Bukhari)

Maka berhala itu sudah berada dalam batin kita sekarang, sama ada kita sedar atau tidak. Luqmanul Hakim berpesan anaknya seperti disebut dalam al-Quran:
وإذ قال لقمان لابنه وهو يعظه يبني لاتشرك بالله إن الشرك لظلم عظيم
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, diwaktu ia memberi pelajaran kepada anaknya: “Hai anakku, janganlah kamu mensekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah adalah benar-benar kedzaliman yang besar”. (QS. Luqman : 13)
Walaupun anaknya tidak lagi menyembah berhala dalam bentuk zahir namun berhala syirik itu juga menghuni batin manusia.

Alangkah ruginya seorang itu bila keluar pada paginya tiada diniatkan melainkan untuk mencari harta benda, mencari ilmu untuk mencari dunia, bekerja siang dan malam untuk mengejar matlamat kesenangan jasmaniah. Ini berlaku kerana dalam hatinya meyakini bahawa duit dan kekayaan boleh memberi kebahagiaan kepadanya. Inilah berhala yang kita anuti dan sembah hari ini, sebab itulah kena perbanyakkan zikir laa ilaha illaLlah, “tiada yang lain melainkan Allah, tiada tujuan hidupku melainkan Allah, tiada cintaku melainkan Allah”… para ahli sufi sentiasa mengucapkan ilahi anta maqsudi wa ridhoka mathlubi… “ya Allah hanya dikaulah maksud kami, dan keredhaanMu lah yang kami cari.”

Begitulah, setiap melangkah atau keluar rumah, sentiasa pelihara niat dan tujuan pekerjaan yang kita lakukan, niatkan sebagai ibadah kepada Allah. Cari rezeki yang halal dengan niat untuk selamatkan agama diri dan ahli keluarga, menuntut imu sama ada ilmu dunia atau akhirat dengan maksud memberi kebaikan kepada agama, agar tiada ditindas dan diperbodohkan musuh Allah.

Kita mesti ada semangat perjuangan, semangat cinta agama melebihi diri sendiri, keluarga dan segala yang lain, tiada meletakkan kepentingan diri dan keluarga dihadapan lebih dari Allah, tiada kecintaan lebih dari cinta terhadap Rasul SAW. Kalau kita cintai yang lain lebih dari Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, itu tanda tidak bersyukur dengan nikmat yang diberi Allah, maka kita telah tersesat jalan kerana cahaya itu hanyalah pada Baginda SAW, yang ditunjukkan Allah kepada kita.


Allah SWT berfirman :
Sesungguhnya telah datang kepadamu CAHAYA dari Allah, dan Kitab (Al-Quran) yang menerangkan.” (al-Maidah: 15)

Berdasarkan kepada ayat di atas, ramai di kalangan para Mufassirin (Ahli Ilmu Tafsir) yang mengatakan bahawa erti “Nur (cahaya)” di dalam ayat tersebut itu adalah diri Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم.

HAKIKAT SOLAT BERDASARKAN ISRA' DAN MI'RAJ

Dalam Isra dan Mi’raj Nabi صلى الله عليه وآله وسلم telah diperjalankan dari Mekah ke Baitul Muqaddis hingga ke Sidratul Muntaha. Dalam solat, kita juga melakukan isra’ dan mi’raj 5 kali sehari semalam. Apakah isyarat peristiwa ini dengan solat yang kita lakukan?

Mekah ketika itu yang dipenuhi patung-patung berhala ditafsirkn ulama sufi sebagai jasmani, tempat yang penuh zulmah. Dari Mekah berpindah ke Baitul Muqaddis yang menjadi tempat Nabi صلى الله عليه وآله وسلم mengimamkan solat yang para Nabi dan Rasul menjadi makmumnya, yakni berpindah dari alam jasmani ke alam rohani. Kemudian berpindah ke Sidratul Muntaha menghadap Allah dengan makna rohani itu bermuraqabah dan bermusyahadah dengan Allah.

Maka dalam solat kita, mesti isra’kan iaitu isra’kan jasmani menjadi rohani dan kita mesti mi’rajkan rohani ke Sidratul Muntaha dalam bermusyahadah dengan Allah. Kalau tiada lakukan hal tersebut maka ia dikatakan solat syariat yang tiada hakikat, maka solat demikian tiada nilai di sisi Allah. Tanda ditolak Allah ialah solatnya itu tak ubah sifat batin dan akhlaknya, walaupun ia dilakukan dengan rajin dan penuh tekun. Solat tanpa hakikat rohani itu tiada mendatangkan cahaya pada qalbinya menyebabkan tidak berlaku perubahan dirinya, bahkan ia semakin jauh dari Allah.

Allah berfirman :
“… Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.” (Al-Ankabut: 45)

Nabi صلى الله عليه وآله وسلم bersabda :
Siapa yang dengan solatnya tidak dapat mencegah fahsya’ dan munkar, tidak akan bertambah daripada Allah melainkan semakin jauh dariNya.(Riwayat Tabrani dari Ibnu Abbas)

Bila kita takbiratul ihram, “Allahu Akbar” bermakna kita telah berpindah dari alam jasmani ke alam rohani. Maksudnya selepas takbir, kita tidak dibenarkan lagi melakukan pekerjaan jasmani, tiada boleh makan, minum dan lain-lain perbuatan badaniah. Adapun qalbi tiada boleh lagi mengingati hal-hal duniawi, akal juga tiada boleh berkhayal kepada perkara-perkara lain, kerana kita sudah berpindah dari jasmani kepada rohani, dari alam dunia ke alam rohani untuk muraqabah dan musyahadah dengan Allah.

Bersambung...