Sabtu, Jun 19, 2010

Rentetan Kewujudan Majlis Muwasolah Baina al-'Ulama di Malaysia - 2

HABIB UMAR AL-HAFIZ, ULAMA BERTARAF AULIYA’


Bagi saya Habib Umar Al-Hafiz adalah seorang ulama yang amat tinggi ilmunya, hebat dakwahnya dan tinggi pengetahuannya dalam siasah dunia. Amat rugi jika kelebihan padanya tidak dimanfaatkan oleh para ulama di Malaysia dalam membangunkan agama berdasarkan manhaj Ahlus Sunnah wal Jamaah. Pada saya, beliau bukan milik di kalangan Habaib sahaja, tetapi beliau adalah anugerah Allah kepada umat Islam di seluruh dunia.

Latar Ringkas Habib Umar

Sorot matanya tajam, raut mukanya tampak bercahaya, bibirnya tersenyum mengembang, janggutnya hampir menutupi leher. Suaranya yang lantang, badannya yang tegak dengan dibalut jubah dan serban yang dikenakan semakin menambahkan kewibawaannya. (Habib Umar bin Hafidz, Singa Podium, Karisma Publishing, 2009)

Beliau mampu menghafal al-Quran di dalam usia yang masih muda. Selain itu juga menghafal ribuan hadis, matan-matan pelbagai ilmu dan juga syair-syair Arab. Bahkan beliau adalah seorang yang mahir dalam menghasilkan syair-syair kecintaan kepada Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم seperti yang terungkap di dalam kitab Dhiyaul Lami’ karya beliau. Syair-syair beliau mampu menyentuh hati siapa sahaja dan menyuburkan cinta terhadap Baginda صلى الله عليه وآله وسلم.

Ini semua adalah merupakan kurnia Allah kepada beliau dan juga hasil dari pendidikan di dalam pelbagai disiplin ilmu yang beliau perolehi dari sejumlah ulama besar di Hadramaut dan Haramain, dalam disiplin ilmu tauhid, fiqh, tasawuf, tafsir al-Quran, hadis dan lainnya.

Habib Umar seorang yang amat merendah diri, malam harinya beliau gunakan untuk beribadah dan bertafakur ke hadrat Allah serta sering mengkhatam Al-Quran dalam solat-solat tahajudnya. Manakala siangnya beliau pergunakan untuk khidmat kepada umat dengan berdakwah menyeru kepada agama Allah dan RasulNya.

Beliau sangat istiqamah di dalam melakukan sesuatu. Seorang yang sabar, peramah, lemah lembut dan penyayang. Tidak pernah letih di dalam menyampaikan dakwah. Setiap tarikan nafasnya beliau gunakan untuk beribadah, mengajar, mentarbiyah dan berdakwah. 

Beliau turut memiliki kelebihan dalam menyampaikan nasihat-nasihatnya, sehingga memukau dan menyentuh hati orang yang mendengarnya. Setiap orang yang mendengar ceramahnya, sekeras apapun hatinya pasti akan menitiskan air mata, walaupun mereka tidak mengerti bahasa Arab. Bahkan ada yang meninggal dunia mendengar syarahannya disebabkan kekuatan rohaninya yang menggetarkan jiwa para pendengarnya.

Kalau di Indonesia, setiap majlis yang beliau adakan, akan dihadiri oleh puluhan ribuan hadirin, bahkan pernah mencecah ratusan ribu. Oleh kerana itulah beliau diberi julukan Habib Sejuta Muhibbin, kerana sangat ramainya para pencintanya.

Dakwahnya melangkaui sempadan negara dan bangsa. Sebagai seorang da’ie ilaLlah, beliau menjelajah ke Jazirah ‘Arab seperti Oman, Bahrain Jordan dan lain-lain, Asia Tenggara, Eropah, Australia, Afrika dan lain-lain negara untuk berdakwah. Beliau juga pernah diwawancara oleh CNN dan BBC.

Pada tahun 1414H/1994 Habib Umar mula merintis penubuhan pusat pengajian yang di beri nama Dar al-Musthafa, yang kemudiannya secara rasmi berdiri pada hari Selasa 29 Dhulhijjah 1417 bersamaan 6 Mei 1997. Ia diasaskan bersama kekandanya Habib ‘Ali al-Masyhur (Ketua Majlis Ulama Tarim) dan menerima pelajar sulungnya pada tahun 1994. Angkatan pertama yang mula datang belajar di Dar al-Musthafa, Tarim adalah sekitar 30 orang pelajar yang berasal dari Indonesia. Antara murid awal dan kini menjadi kader dakwah yang terkenal ialah :
  • Habib Munzir Fuad al-Musawa (Jakarta) – Pemimpin Majelis Rasulullah di Jakarta.
  • Habib Jindan bin Naufal bin Jindan (Jakarta) – Pengasuh Pondok Pesantren Al-Fakhriyah, Tangerang, Indonesia
  • Habib ‘Ali Zainal ‘Abidin al-Hamid (Jember) – kini menetap di Malaysia dan sedang menamatkan pengajian PhDnya di UIAM. Beliau terkenal sebagai seorang penterjemah ketikamana ada kunjungan para Habaib ataupun ulama dari Timur Tengah. Turut diamanahkan oleh Habib Umar untuk mengajar di Madrasah Nur yang diasaskan oleh Habib Umar di Malaysia dan juga mengajar kitab di beberapa tempat.
  • Habib Sholeh al-Jufri (Solo) – seorang penterjemah yang terkenal di Indonesia. Sering dijemput untuk memberi ceramahnya di Malaysia.
Dasar pendidikan di Dar al-Musthafa adalah :
  1. Mengajar ilmu agama secara bertalaqqi dan menerimanya daripada ahlinya yang bersanad;
  2. Mentazkiyah diri dan memperbaikkan akhlak; dan
  3. Menyebarkan ilmu yang bermanfaat serta berdakwah menyeru kepada Allah Ta’ala.
Selain daripada mengadakan pengajian formal, Dar al-Musthafa juga mengadakan daurah musim panas pada setiap tahun. Pesertanya datang dari seluruh pelusuk dunia seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Norway, Austria, British, Amerika, Tanzania Kepulauan Comoro, Tanzania, Kenya, Mesir, Pakistan, Kanada, Australia, Jordan dan lain-lain.

Dar al-Musthafa sekarang ini sudah bertaraf Universiti Antarabangsa yang diiktiraf pelbagai pihak. Antara syarat utama mereka yang ingin memohon belajar di situ adalah wajib hafaz Al-Quran dan kitab Hadis Riyadus Solihin, disamping kelayakan-kelayakan lain.

Ramai yang telah bertaubat di tangan Habib Umar sehingga kerajaan Mesir melarang beliau memasuki negara itu kerana ramai artis telah meninggalkan dunia hiburan apabila mendengar syarahannya. Banyak juga karamah-karamah Habib Umar yang diperkatakan orang yang menunjukkan beliau seorang ulama bertaraf auliya’.

Bersambung... [ Majlis Muwasolah Ke-1 di Malaysia ]