Jumaat, Jun 18, 2010

Syarah Hikam Ibn Atho'illah oleh Tok Pulau Manis (Matan 1 - Bhgn. 3)

Sambungan... [ Bahagian 2 ]

Oleh Abduhu al Haqir (abduhul.haqir@gmail.com)

Bahagian 3

Syarah Tok Pulau Manis :
Adab khidmah[1] ialah fana dari melihat segala tandanya dan tiada memandang kepada yang demikian itu melainkan kepada anugerah Allah ta’ala jua. Kerana sebagai ahli khidmat wajib ke atasnya tiada berjabat kepada segala amal baktinya.

Adab  al haq ialah seperti engkau mengetahui apa yang bagimu dan apa yang bagi al Haqq ta’ala. Inilah sekalian ahli tahqiq (mereka yang benar-benar menjadi hamba Allah)[2]

Kerana hamba itu apabila ia mengenali apa yang bagi dirinya daripada sifat – sifat faqir , dhaif, lemah, hina dan kurang manakala bagi tuhannya daripada sifat-sifat kaya, kuat, kuasa , mulia dan sempurna, maka fanalah dia daripada setiap yang lain daripadaNya[3].

Ini adalah bagi orang yang melihat kesempurnaan (kamalat) kudrat tuhannya, kerana sesiapa yang tiada melihat kesempurnaan kudrat tuhannya dalam makrifat maka gugurlah ia daripada keadaan yang sempurna. Maka apabila engkau melihat kesempurnaan kudrat tuhanmu , maka fanalah engkau daripada setiap yang lain daripada Nya.

Dan engkau hendaklah mengetahui kehendak Nya daripadamu dalam setiap hal, maqal dan maqam. Dan inilah kesudahan segala adab, kerana yang dikehendaki al Haqq  ta’ala itu bahawa ada Dia tiada engkau. Maka dengan itu gugurlah ikhtiyar dan putuslah iradah engkau pada apa yang dikerjakan oleh engkau padanya daripada tajrid dan daripada segala sebab.[4]  


[1] Yakni ketika melaksanakan suruhan dan perintah Allah itu dia hanya melihat bahawa
 ia adalah anugerah Allah bukan kekuatan dan keupayaannya kerana tiada yang berbuat pada hakikat melainkan Allah jua.
[2] Yakni bagi tuhanmu itu menjadikan perbuatanmu yang ikhtiyari mahupun idtiroriy dan bagi dirimu pilihan dan usaha dan di atas keduanya dirimu ditaklifkan serta dihisab.
Firman Allah :
وما رميت إذ رميت ولكن الله رمى
"Bukan dirimu yang melontar ketika engkau melontar tetapi Allah yang melontar" (al-Anfal: )

Iaitu dirimu hanya memilih dan berusaha melontar dan yang menjadikan perbuatan melontar itu ialah Allah. Perkataan iz ramaita itu mengisbatkan usaha dan ikhtiyar bagi hamba dan walakinn Allah rama menunjukkan bahawa pada hakikatnya perbuatan itu diciptakan oleh Allah. Inilah pegangan ahli sunnah dalam masalah perbuatan ikhtiyari hamba iaitu pertengahan di antara jabariyyah dan qadariyyah.

[3] Keadaan ini menggambarkan perihal seseorang yang kesedaran ketuhanannya(makrifat) telah mencapai wilayah qabdah, iaitu suatu kesedaran di mana seorang itu merasakan dirinya terlalu fakir kepada Allah kerana dirinya dan apa yang ada di sekelilingnya berada dalam genggaman al Rahman. Ia sentiasa terdedah kepada kemusnahan pada setiap detik. Maka lahirlah perasaan fakir, dhaif, hina kepada Allah dan sebagainya.

Guru kami membahagikan kesedaran ketuhanan itu kepada lima wilayah;-
1-       Wilayah tiada kesedaran
2-       Wilayah mumkinat
3-       Wilayah qabdah
4-       Wilayah al hubb
5-       Wilayah al dzat

Setiap insan telahpun mempunyai kesedaran ketuhanan di alam roh lagi namun kegelapan kehidupan dunia itu menyebabkan kesedaran ketuhanan itu terpadam. Maka dakwah mesti difokuskan kepada membuka titik kesedaran ketuhanan yang telah sedia ada dalam diri setiap insan.

[4] Yakni seseorang yang telah mengenali bahawa Allah sebenarnya Maha Berkuasa, Berkehendak dan Berilmu dan lebur perasaannya dalam sifat – sifat tersebut maka tiada dia memilih dan berkehendak melainkan berdasarkan kepada kehendak dan pilihan Allah dalam segala hal dan maqal (perkataan). Iaitu rehat dirinya daripada tadbir dengan menyerahkannya kepada Allah kerana Dia lah tuhan sebelum dia dilahirkan ke dunia ini dan selepasnya. Jika dia dapat menyerahkan nasib dirinya kepada Allah ketika di alam rohani mengapa tidak di alam zahir...!! ia dibicarakan secara lanjut dalam kalam – kalam seterusnya.

Maka tajrid dan sebab itu semuanya dari Allah maka jika Dia meletakkanmu pada salah satu dari keduanya maka janganlah engkau cuba melarikan diri daripadanya berdasarkan perkiraan akal dan nafsumu yang singkat. Perbuatan mu itu adalah tanda kurang yakin mu pada pemeliharaan Nya.