Oleh : Abi Azman (abulqhaiir@yahoo.com)
BismiLlah walhamduliLlah, Allahumma Solli a'la Muhammad wa a'la alihi…
Tasawuf difahami dengan pelbagai pengertian. Tidak mengapa, asal diambil dari ulama' sufi yang sebenar. Perlu juga kita teliti adakah tasawuf-amali atau sekadar tasawuf-falsafi. Sebaiknya kita mencari tasawuf amali. Jika sekadar tasawuf falsafi, maka kita hanya sekadar bicara sahaja. Bagai dongengan. Sedangkan tasawuf perlu dilalui dan memberi hasilnya. Kesucian hati, ketaatan & ketaqwaan. Semua itu berdiri di atas keyakinan yang benar. Bermula dari i'tiqad kepada musyahadah dan wujudiyah. Atau dari yaqin kepada ainul yaqin, kemudian ke peringkat haqqul yaqin dan kamalul yaqiin. Istilah je. Jangan pening.
Berbalik kepada kefahaman tadi, elok kita sama muhasabah kenapa kita tidak mampu memahami tasawuf menurut yang sebenarnya? Wujud pelbagai kefahaman dan pandangan tentangnya.Kerencaman kefahaman dan pandangan itu menunjukkan kepelbagaiaan tahap penerimaan, mungkin juga kerana kurangnya pendedahan, pengalaman atau 'tersilap ikut' mereka yang belum berkeahlian dalam bidang ini.
Pelbagai penjelasan ulama' sufi tentang tasawuf, kita ambil semuanya sekadar kefahaman kita. Paling penting berdampingan dengan yang ahlinya untuk membantu kita memahami tasawuf. Guru yang telah melalui perjalanan ilmu ini sehingga sempurna peribadinya dan boleh mendidik rohani kita, itulah sebaik-baik guru. Hati-hati jangan sampai terjebak dengan kebatinan bukan tasawuf sebenar. Ukuran kebenaran pada kesempurnaan (kehalusan) syari'at dan adab. Maka tasawuf bukan bicara tentang adab sahaja ye! Atau bicara pembukaan alam tinggi-tinggi ( hakikat ), cari kasyaf, ladunni, jazbah dan karamah. Tapi syari'at dan adab kelihatan amat longgar. Ciri-ciri ini menjadikan tasawuf tidak tulen. Berhati-hati. Saya sarankan kita kaji dan teliti kitab KeAslian Tasawuf dan Liku-liku Jalan KeTuhanan oleh Guru saya, al faqir Tokku Ibrahim Mohamad Asy-Syathariy.
Tajuk ini, kadangkala menjadi polemik yang tidak wajar. Kita terlarut dengan perbahasan yang tidak menguntungkan. Menegakkan pendirian masing-masing tentang kefahaman tasawuf begitu begini. Namun kejernihan hati, ketaqwaan tidak juga subur dalam diri. Bercanggah pendapat berterusan, amalan tidak juga ada peningkatan. Semoga kita semua dilindungiNya dari yang sia-sia.
Berguru dahulu dan terus berhubung dengan guru sangat membantu dalam hal ini. Syukurlah dikurniakan mursyid murabbi yang sebenar. Ini menjadi panduan sepanjang kita belajar dan beramal. Kekhilafan akan berlaku tanpa panduan dari guru apa yang kita fahami dan kita sebarkan kerapkali tidak menepati tujuan sebenar. Hanya guru yang mencapai tahapnya mampu menyedari kepincangan ini. Lalu mereka mampu menyucikan kekotoran yang terpalit pada pembawaan tasawuf kita.
Kurang penguasaan ilmu tasawuf mereka yang mengajar tasawuf menjadi punca masalah ini. Pengalaman peribadi penulis menyampaikan kuliah sambil-sambil belajar, memberi peluang baik kepada penulis meneliti dan menelusuri sendiri permasalahan ini. Cuba mencari yang terbaik, menghindari kekeruhan menjernih kefahaman. Mari kita kongsi bersama.
Pernah satu ketika penulis menerima undangan berkuliah maghrib di sebuah masjid. Maka dalam kuliah ini disampaikan penerangan yang biasa dibawa sebagai mukaddimah. Cuma bezanya kali ini terus menyentuh tentang mahabbah RasuluLlah saw sebagai antara cara terbaik mencapai maksud tasawuf.
Ekoran dari itu, penulis tidak menyedari tentang penerimaan jamaah bagaimana. Selesai majlis, penulis dinasihatkan di lain masa hanya menjurus kepada tajuk tasawuf sahaja. Baru penulis sedari dan fahami bahawa kadangkala kita yang menyampai ini bertindak mengikut emosi. Syok sendiri. Terlajak cakap masa mukhaddimah lagi. Itulah kelaziman yang penulis lalui. Terima kasih ingatan dari tuan nazir. Moga menjadi panduan di masa depan.
Kerapkali penulis ketika bersama mursyid ditegur tentang bertindak atas emosi. Nak tanya lanjut rasa tak wajar, ini juga emosi. Syukurlah pada kali ini Allah membukakan kefahaman bahawa unsur emosi yang dominasi mencelarukan kefahaman kita. Inilah antara aib diri yang mengharap diampuniNya.
Kedhaifan diri diakui, niat kita berkongsi kebaikan seringkali terhalang oleh kesilapan dan alpa kita sendiri. Mohon pertolonganNya jua. Mukhaddimah itu ringkasnya begini :
"Tasawuf inti pati pembawaannya adalah menuju taqwa. Taqwa hal qalbi yang wujud atas ketauhidan yang suci. Tauhid pula di atas keyakinan dan keimanan sejati. Maka mencapai kesempurnaan iman itu wajib. Kita renungi hadis berikut;
Sabda Baginda sallaLlahu alaihi wassalam : لايؤمن احدكم حت اكون احب اليه من ولده ووالده والناس اجمعين
"Tidak sempurna iman dikalangan kamu sehinggalah daku ini menjadi kecintaannya lebih dari orang tuanya, anak-anaknya dan manusia seluruhnya." (Bukhari & Muslim)
Penulis berniat membawa sidang jamaah yang mendengar untuk berkongsi jalan cepat menuju taqwa melalui mahabbah RasuluLlah saw. Jadi mungkin ada yang tidak mampu menerima kefahaman bahawa cinta Rasul itu boleh menbawa kepada taqwa. Wallahu a'lam. Syukurlah dengan teguran yang diberikan, moga mematangkan kita bahawa dalam berkongsi wajar tahu batasan dan halangan yang menanti.
Terima kasih guru yang membimbing rohani, juga mereka yang memberi teguran dan ingatan. Teruslah kita memohon Dia membantu kita mengesani aib diri untuk dibersihkan menuju redhaNya jua… Penulis sendiri berasa belum lagi bertasawuf, nak tunjuk pandai menyampaikan tasawuf. Masya Allah. Astaghfirullah. Ya Allah, ampunilah kami.