(Kemaskini Isnin 14 Jun)
Ada sahabat yang bertanya saya, benarkah bila seseorang itu mengikuti tarekah tasawuf ia akan menjadi lemah dan perlahan dalam perjuangan Islam? Saya bertanya kembali, “Lemah dalam perjuangan Islam yang mana?”. “Perjuangan PAS...”, jawab beliau. Lalu beberapa contoh kes dikemukakannya untuk menyokong kenyataannya itu.
Saya menjawab bahawa lemah dengan perjuangan Pas tidak semestinya lemah dengan perjuangan Islam. ‘Lemah dengan perjuangan Pas’ juga hanya suatu persepsi dan kesimpulan mudah yang dibuat sesetengah pihak, tanpa melihat isu ini secara keseluruhannya.
Saya ada ramai sahabat dari pelbagai aliran tarekah sufiah, namun mereka tetap komited dengan perjuangan Pas. Ada di antaranya merupakan AJK Pas, Dewan Ulama, Dewan Pemuda (peringkat Pusat dan Negeri), Badan Perhubungan Pas Negeri, AJK Kawasan, ketua-ketua cawangan dan AJK pemuda cawangan. Semua mereka ini selesa dan komited serta amat mencintai berada dalam perjuangan Pas.
ASPEK PERIBADI
Isu bila mengikuti tarekah tasawuf maka seorang itu menjadi lemah atau perlahan dengan perjuangan Pas, pada saya ia lebih kepada masalah peribadi, bukan disebabkan tarekah. Ada kes dimana seorang itu tidak hadir mesyuarat Pas disebabkan ia tidak bersetuju dengan ketuanya, berselisih pendapat dan berjauh hati. Ada juga yang disebabkan perasaan tidak selesa dengan “politiking” sesama sendiri, berpuak-puak dalam jemaah.
Ada juga kes dimana mereka tiada hadir program usrah dan lainnya kerana ada masyaqqah peribadi disebabkan hal-hal keluarga. Setengahnya pula merasakan pengisian usrah sekadar untuk melengkapkan aktiviti jamaah, tiada memberi kesan kepada jiwa dan sebagainya. Banyak boleh dicoretkan di sini faktor-faktor sebenar mengapa isu ini timbul, yang tiada kaitan sama sekali dengan tarekah tasawuf.
Adalah tidak adil jika tohmahan itu dibuat secara melulu tanpa membuat kaji selidik secara mendalam, mendapatkan fakta dan dibuat statistik serta melihat isu itu secara keseluruhan. Tidak wajar sekadar mendengar khabar, pelbagai andaian dan kemudian terus membuat kesimpulan mudah.
Semua ini bagi mengelakkan salah sangka, fitnah dan permusuhan.
Saya melihat, mereka yang didakwa perlahan dalam perjuangan Pas itu kebanyakannya masih kuat mendukung dasar-dasar perjuangan Pas. Cuma mereka mempunyai kaedah dan pendekatan sendiri dalam dakwah dan tarbiyah mengikut citarasa dan keserasian mereka. Namun ia tetap menuju matlamat yang sama, untuk membimbing masyarakat kepada kesedaran agama dan mengajak mereka beramal dengan Islam dalam seluruh aspek kehidupan mereka.
ITMAM DAN USUL MENOLAK PERJUANGAN PAS
Semasa saya mengetuai ITMAM satu ketika dahulu, ada di kalangan mudir pondok (dari luar Terengganu) mengemukakan usul agar Majlis Syura ITMAM membuat pendirian tegas menolak perjuangan Pas. Hujah yang diberikannya, ‘Pas digunakan oleh golongan Wahhabi untuk mendapat kuasa dan menghapuskan Ahlus Sunnah wal Jamaah khususnya di Malaysia ini'.
Usul ini agak keras dan sedikit menggemparkan Ahli Majlis Syura. Namun kami muafakat menolak usul itu kerana pada kami bukan semua pimpinan dan ahli Pas Wahhabi, ramai juga yang masih mendokong Ahlus Sunnah wal Jamaah. Pas juga adalah jamaah yang paling terkehadapan dalam memperjuang dan mempertahankan Islam di negara ini. Sumbangan yang diberikan Pas amat besar terhadap kesedaran agama di kalangan rakyat.
Tanpa Pas, mungkin masyarakat tidak dapat membezakan antara akidah yang haq dan yang batil, ideologi-ideologi yang menyeleweng, kewajipan beramal dengan Islam yang syumul, kemungkaran-kemungkaran dalam sistem politik dan pemerintahan, kezaliman terhadap rakyat dan sebagainya. Bahkan di kalangan mereka ada yang terkorban, terpenjara, dizalimi demi perjuangan menegakkan Islam dan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.
MUFARAQAH
Disebabkan kami menolak usul beliau itu, akhirnya beliau mengambil keputusan mufaraqah dengan ITMAM dan kini menjadi penentang kuat Wahhabi dalam Pas di kawasannya dan mempunyai pengikut yang ramai.
Saya cuba menasihati beliau beberapa kali dan menyatakan pendirian saya yang tiada setuju dengan tindakannya itu. Ini dibimbangi akan berlakunya budaya kafir mengkafir, sesat menyesatkan antara pihaknya dan pihak Pas di kawasannya. Tapi, beliau tetap bertegas dengan prinsipnya dan disandarkan kepada hujah-hujah syari’e. Pada beliau, masalah Wahhabi adalah masalah akidah, tiada boleh dikompromi sekali-sekali… dan beliau tetap akan “memerangi” Wahhabi dalam Pas walau apapun yang akan terjadi!
Saya kurang selesa dengan pendekatannya tapi menghormati pendirian beliau. Ini kerana memikirkan golongan awam yang jahil akan menjadi mangsa, manakala pemimpin dan ahli parti yang sememangnya tidak senang dengan pergerakannya akan memanipulasi isu tersebut dan menjadikannya hujah bahawa beliau dan pendokongnya menentang parti dan agen Umno. Dalam masa yang sama mereka menyembunyikan isu sebenar dan punca kenapa berlakunya penentangan tersebut.
Amat malang lagi jika ahli parti ditanam kebencian terhadap pondok tersebut dengan pelbagai fitnah yang sengaja diapi-apikan. Biasanya ahli-ahli bawahan akan mempercayai sepenuhnya maklumat itu tanpa usul periksa. Kadang-kadang mereka menganggap ulama mereka suci dari kesalahan (maksum) dan cepat percaya apa yang mereka dengar walaupun ianya seperti cerita Pak Pandir sekalipun.
Amat malang lagi jika ahli parti ditanam kebencian terhadap pondok tersebut dengan pelbagai fitnah yang sengaja diapi-apikan. Biasanya ahli-ahli bawahan akan mempercayai sepenuhnya maklumat itu tanpa usul periksa. Kadang-kadang mereka menganggap ulama mereka suci dari kesalahan (maksum) dan cepat percaya apa yang mereka dengar walaupun ianya seperti cerita Pak Pandir sekalipun.
Saya sebutkan disini rentetan peristiwa ini berlaku supaya tiada pihak yang tersalah anggap bahawa itu pembawaan ITMAM atau adanya kaitan dengan tarekah tasawuf. Ia adalah masalah prinsip dan pendirian peribadi semata-mata.
Adapun sahabat-sahabat saya yang mendirikan pondok masa kini, mereka mengambil sesuatu sikap atau pendirian itu berdasarkan tradisi tuan-tuan guru tua mereka. Dimana tuan-tuan guru ini tiada terlibat dengan parti tetapi menjadi pendokong kuat kepada perjuangan Islam. Mereka mempunyai cara sendiri untuk bersama-sama dalam perjuangan menegakkan Islam, walaupun ada pihak yang mempertikaikan cara mereka yang tidak terlibat dengan parti.
TIDAK BERPARTI DAN BERJAWATAN TIADA BERJUANG ISLAM?
Tidak keterlaluan jika saya katakan setengah yang taksub pada Pas menganggap dengan berada dalam parti, menjadi ahli atau memegang jawatan parti barulah dianggap berjuang Islam. Adakah benar begitu?
Ini samalah dengan jemaah Tabligh yang mendakwa hanya cara mereka sahaja barulah dipanggil berdakwah, cara merekalah paling sunnah dalam mencontohi dakwah Nabi sallaLlahu 'alaihi wassalam.
Begitu juga dengan golongan yang taksub pada Al-Arqam. Bagi mereka, cara mereka paling benar bahkan merekalah thoifah (jamaah) akhir zaman. Orang yang tidak bersama mereka atau meninggalkan jemaah mereka, akidahnya dikira rosak dan setengahnya dianggap kufur kerana menolak jemaah Imam Mahdi.
Hizbut Tahrir, satu pertubuhan yang mendakwa memperjuangkan tertegaknya Khilafah Islamiyah juga menolak perjuangan Pas. Pas dianggap bersubahat dengan sistem kafir kerana terlibat dengan sistem demokrasi dan pilihanraya. Tuduhan mereka itu adakalanya sampai ke tahap mengkafirkan Pas disebabkan hal ini.
Apa yang dapat difahami daripada analogi ini? Adakah ini membawa kebaikan atau perpecahan? Bilamana virus taksub ini merebak dalam satu-satu kumpulan, tidak kira sama ada di kalangan jemaah dakwah, jemaah politik, jemaah tarekah dan lainnya, nescaya akan terbit kesombongan, dengki, fitnah, tuduh menuduh, memperlekehkan kumpulan lain yang mendatangkan perpecahan dan permusuhan. Ini amat merugikan ummah di kala musuh-musuh Islam semakin giat merosakkan akidah dan sahsiah ummah.
Saya amat gembira mendengar ucapan dasar Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang (Presiden PAS) dalam Muktamar Tahunan ke-56 2010 di Putik, Kelantan baru-baru ini. Antara lain Tuan Guru menyebut :
Bersambung...
Saya amat gembira mendengar ucapan dasar Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang (Presiden PAS) dalam Muktamar Tahunan ke-56 2010 di Putik, Kelantan baru-baru ini. Antara lain Tuan Guru menyebut :
"Penglibatan PAS dalam harakah Islamiyyah juga mewajibkan kita untuk meneruskan ukhuwwah dengan semua kumpulan Islam dengan penuh tasamuh, sehingga PAS terus diterima menjadi satu sahaja parti yang berwadah Islam yang syumul berada dalam gelanggang politik dalam negara kita ini. Inilah yang mewajibkan semua kumpulan Islam berada dalam saf perjuangan Islam bersama PAS. Ukhuwwah yang dibina ini pula, wajar untuk digerakkan ke arah melaksanakan tanggungjawab ‘amal Islami yang syumul di segenap pelusuk negara."Ini suatu penegasan yang amat positif dari Presiden Pas dan jika dihayati seluruh kepimpinan dan ahli Pas, insya Allah usaha menegakkan Islam di negara ini akan lebih mudah, dilandasi sifat keterbukaan, kasih sayang, bersatu atas titik pertemuan yang sama dan menghormati apa jua perbezaan, demi mencapai matlamat membawa kebaikan kepada agama, negara dan ummah seluruhnya.
Bersambung...