Kesedaran cintakan agama dan negara perlu dimiliki oleh para mahasiswa agar mereka dapat memelihara keduanya dengan baik. Walau apapun bidang yang dipelajari, wajib diniatkan kepada kebaikan agama, negara dan ummah.
Firman Allah :
“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama dari kalangan kamu beberapa darjat.” (Al-Mujaadilah : 11)
Islam amat memuliakan segala ahli ilmu dalam apa jua bidang asalkan mereka bertakwa kepada Allah. Mereka adalah penentu kebaikan dan keburukan negara dan umat Islam. Dengan segala pengetahuan yang dimiliki, seseorang hendaklah menjadi pejuang dalam bidang yang diceburinya.
JANGAN HANYA DI KAMPUS
Jangan hanya menjadi pejuang di dalam kampus sahaja, bersemangat dan penuh dengan idealisme perjuangan… tetapi bila berada di medan luar dan berpisah dengan sahabat seperjuangan, semangat perjuangan mula pudar, hatinya mula asyik dengan kehendak-kehendak duniawi. Akhirnya ia berubah dari seorang yang mementingkan agama kepada mengutamakan kepentingan diri, kerjaya dan rumahtangganya. Kepentingan memperjuangkan kebenaran dan menentang kebatilan sepertimana yang diwariskan Nabi SAW dan Sahabat r.a diketepikan.
Walaupun kita hidup di zaman yang berbeza dengan para sahabat r.a tetapi kita memiliki Allah, Rasul dan Kitab yang sama. Sahabat r.a. yang setengahnya berasal dari golongan Badwi, tetapi dengan semangat cinta Allah dan Rasul, akhirnya mereka menjadi pemimpin dunia yang dihormati dalam pelbagai bidang kehidupan.
Mereka itu adalah para pejuang Allah. Setiap detik kehidupan mereka adalah untuk Allah dan Rasul, hatta tidur mereka sekalipun. Semangat dan jihad seperti inilah yang perlu ada pada setiap para mukmin walau dalam apa keadaan dan zaman sekalipun.
Dalam peperangan diharuskan mengambil senjata musuh untuk menyerang musuh. Begitu juga dengan ilmu, harus mengambil ilmu yang telah dirosakkan oleh musuh dengan niat memperbetulkan dan menggunakannya untuk menaikkan Islam dan menjatuhkan musuh. Biar ilmu mereka sahaja yang kita pelajari, tetapi jiwa dan akal kita bebas daripada dimiliki oleh musuh Allah.
Segala tamadun ilmu berasal dari Islam namun mereka telah menyelewengkannya dengan menghilangkan Allah dan Rasul di dalamnya. Maka kita wajib menjadikan agama sebagai ruh bagi segala kehebatan ilmu dan kemajuan dunia.
Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wassalam bersabda: “Hikmah adalah hak orang mukmin yang telah hilang. Oleh itu di mana sahaja dia menemuinya dia adalah orang yang paling berhak untuk memilikinya.” (HR. Tirmidzi & Ibnu Majah)
IKTIBAR DARI PERJUANGAN NABI MUSA A.S
Jadikan dirimu sebagai pengikut jejak Nabi Musa a.s. Walaupun Baginda dibelai dengan pelbagai ilmu dan kemewahan oleh Firaun, namun Baginda tetap mempunyai harga diri dalam menilai antara kebenaran dan kebatilan.
Kita wajib mengenang jasa dan membalas kebaikan orang kepada kita, tetapi membalas budi bukannya dengan mengampu, diam dan bersubahat membiarkan mereka terus melakukan kesalahan. Kita wajib menegur, menasihati dan memimpin mereka pada jalan yang benar di sisi Allah dan Rasul, demi kasih sayang dan kebaikan yang mereka berikan kepada kita. Berkata “tidak “ bukannya derhaka jika ianya membawa kebaikan, berkata “ya” tidak semestinya taat jika ianya membawa kepada kemusnahan. Segalanya akan dinilai mengikut kehendak Illahi, bukannya dinilai dengan persepsi akal dan adat budaya manusia yang lemah ini.
Selagi Islam tidak didaulatkan dengan sepenuhnya di negara dan dunia ini, maka wajib bagi kita untuk meneruskan usaha dakwah, tarbiyah, gerak kerja dalam rangka jihad untuk menyampaikan matlamat tersebut. Tiada boleh kita diam atau berhenti. Tiada istilah rehat apabila keluar daripada kampus atau apabila tiada jawatan.
Jawatan dan tempat hanyalah pada sistem manusia, tetapi dalam sistem Allah, jawatan dan tempat tiada nilai. Dalam sistem Allah, kamu adalah hambaNya yang ditaklifkan untuk perjuangan demi kebenaran sebuah cinta. Di akhirat nanti adalah kehidupan yang abadi. Dunia bukan untuk kesenangan dirimu, dunia adalah tempat perjuanganmu dan syurga-lah tempat kesenanganmu sebagai ganjaran dari Allah.
Jangan biarkan walau satu saatmu dalam hidupmu sebagai detik yang tiada amal jihad di dalamnya. Tanamkan keyakinan sepenuhnya bahawa disitulah kamu akan perolehi redha serta cinta Allah dan Rasul.
Amat rugi jika para pensyarah, dalam memberi kuliah kepada pelajarnya, menganggap ia sebagai suatu kerja untuk mencari duit dan pangkat di sisi manusia. Para pelajar dan mahasiswa juga, jika belajar itu dengan maksud untuk mendapat segulung ijazah dan pekerjaaan buat menjamin masa depan, mereka juga dalam kerugian.
Alangkah baiknya jika pensyarah dan pelajar mempunyai suatu azam dan matlamat yang sama, iaitu bagi meneruskan perjuangan sahabat r.a. dalam mengotakan cinta Allah dan Rasul, dalam membangunkan agama demi kebaikan manusia dan alam serta kehidupannya di akhirat, Di tangan para sahabat r.a. Islam benar-benar memberi kerahmatan bagi seluruh penghuni bumi, dan di akhirat nanti, mereka menjadi manusia yang mulia di sisi Allah dan Rasul.
Yakinlah bahawa kebaikan agama dan negara di masa hadapan berada pada pilihan langkahmu kini...
Renung-renungkanlah kata-kata di bawah ini...
Renung-renungkanlah kata-kata di bawah ini...
Cahaya tiada di istana Firaun, maka Nabi Musa mendapatkannya di Bukit Thursina. Cahaya juga tiada di universiti, maka carilah cahaya Thursina di mana-mana jua, yang dapat membawa kamu kepada Ad-Deen yang sebenar!