Selasa, Jun 15, 2010

Syarah Hikam Ibn Atho'illah oleh Tok Pulau Manis (Matan 1 - Bhgn. 2)

Sambungan... [ Bahagian 1 ]

Oleh : Abduhu al Haqir (abduhul.haqir@gmail.com)
Bahagian 2

Syarah Tok Pulau Manis :

Dan adalah hal manusia itu atas tiga bahagi[3] :-

a. Yang berjabat atas amal dan alamatnya itu kurang harapnya kepada Allah tatkala tiada hasil yang dimaksudkannya.
b. Yang berjabat atas anugerah Allah Ta’ala dan alamatnya itu rujuk ia kepada Allah dalam kesukaan dan kesakitan. Dan tatkala suka dengan mengata alhamdulillah dan syukur dan tatkala duka dengan berlindung dan minta tolong.

c. Yang berjabat atas bahagian yang telah dahulu (bersandar kepada suratan takdir), dan alamatnya tiadalah gundah kerana ketiadaan sebab[4]. Maka tiadalah bertambah harapnya kerana sesuatu dan tiada kurang harapnya kerana suatu, jikalau ditimbang nescaya bersamaan dalam tiap-tiap hal daripada segala ahwalnya tetapi adalah ia sentiasa suka.
Berkata setengah daripada orang muhaqqiq ; sesiapa yang sampai kepada hakikat Islam maka ia tiada berkuasa berhenti daripada melakukan amal ibadat. Dan sesiapa yang sampai kepada hakikat iman maka tiada berkuasa berpaling daripada melakukan amal ibadat, dan sesiapa yang sampai kepada hakikat ihsan maka tiada ia berkuasa berpaling selain daripada Allah Ta’ala.

Dan adab bagi ahli tariq (mengamalkan tarekah sufiyyah) pada sesuatu waktu itu adab syariah dan dalam suatu waktu adab khidmah dan dalam suatu waktu adab al Haqq.

Adab syariah ialah mendirikan segala tandanya[6] iaitu permulaan bagi sekalian orang yang menjalani jalan kepada Al Haqq Ta’ala.
_________________

[3] Menurut Syeikhuna (al faqir Tokku): Tauhid dipandang dari sudut penghayatan seseorang dibahagi kepada tiga :

1- Tauhid I’tiqadiy atau ilmiy iaitu ketauhidan seseorang itu hanya bersifat ilmu semata-mata namun dalam penghayatan masih belum benar-benar bertauhid. Contohnya dia akan merasakan kekuatan imannya dan bertambah rapatnya kepada Allah dengan meningkatnya ketaatan.

2- Tauhid Syuhudiy iaitu ia memandang segala perilakunya itu adalah anugerah Allah semata-mata dan mereka berperanan sebagai orang yang berusaha dan berikhtiyar sebaliknya yang menjadikannya ialah Allah. Inilah tauhid yang dapat melepaskan seseorang dari syirik kecil seperti ‘ujub, riya’, takabbur dan selainnya. Menurut Syeikh kami, umat Islam wajib mencapai martabat tauhid ini bagi membebaskan diri dari syirik dan ananiyyah atau keakuan diri.

3- Tauhid Wujudiy iaitu seseorang itu memandang pada dzauqinya segala sesuatu itu qaim biLLah tiada yang lain melainkan menyatakan wujudNya. Golongan ini lebur perasaannya dalam kewujudan Allah sehingga tiada dia merasai kewujudan diri kerana kuatnya pandangan sarirahnya pada cahaya kewujudan Allah.

[4] Taat atau maksiat dan sebagainya.

[5] Di sinilah terzahirnya peri pentingnya seseorang itu menghayati ad Deen secara bersepadu tanpa meringankan satu bahagian dari satu bahagian yang lain. Maksud perkataan ini wallahu’alam ; Seseorang yang telah mencapai hakikat Islam maka dia akan menjunjung dengan penuh taat setia segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah tidak kira ia kecil atau besar perintah dan larangan itu. Hal ini kerana Islam itu bermaksud melaksanakan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.

Maksud iman pula ialah membenar dan patuh dengan ajaran yang dibawa oleh baginda SAW, jadi orang yang telah mencapai hakikat iman pasti tidak akan meninggalkan amal ibadat.

Sementara hakikat ihsan itu ialah hatinya sentiasa berhubungan dengan Allah dan dia hanya mencari keredhaan Allah dalam melaksanakan amal salehnya. Oleh kerana itu seseorang yang telah mencapai hakikat ihsan pasti tiada akan berpaling kepada selain Nya.

Bagi menggambarkan peri pentingnya prinsip kesepaduan ad Deen ini dikemukan satu contoh perintah solat lima waktu sehari semalam. Firman Allah :

أقم الصلاة لذكري

Dirikanlah solat untuk mengingati Ku

Pada ayat ini terdapat perintah menunaikan solat dengan maksud bagi mengingati Allah. Seorang yang melaksanakan solat ialah seorang yang beriman yakni membenar dan mematuhi ajaran yang dibawa oleh Rasulullah. Maka untuk membuktikan keimanannya maka dia melaksanakan solat dengan mengikut kaifiyat yang telah ditetapkan oleh Allah dan ditunjukkan oleh Rasulullah saw (Islam). Maka bagi merealisasikan maksud solat agar dapat mengingati Nya maka dia mesti menghubungkan hatinya dengan Allah yakni mesti ada ihsan. Tidak cukup seseorang itu hanya percaya dan melaksanakan solat tetapi hatinya tiada berhubungan dengan Allah. Guru kami mengibaratkan seperti seorang anak yang mempunyai ibu dan bapa tetapi tiada mempunyai hubungan hati dengan mereka berdua yakni menyintai, merindui dan sebagainya.

Ilmu tentang bagaimana menghubungkan hati dengan Allah agar sentiasa perhubungan itu intim dibahaskan dalam ilmu tarekah. Tarekah sufiyyah tiada lain melainkan mazhab pengamalan ilmu tasawwuf sebagaimana ilmu tauhid dan ilmu fekah yang ada mazhabnya yang tersendiri.

[6] Maksudnya melaksanakan segala suruhan dan menjauhi segala tegahan syarak atau fana’ fi al syariah. Istilah fana’ bukan bermakna insan bersatu menjadi tuhan tetapi ia bermaksud kepatuhan mutlak seseorang itu pada perintah dan larangan Allah. Firman Allah mengenainya :

بلى من أسلم وجهه لله..

Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya (fana’) kepada Allah..

Fana itu mempunyai beberapa tingkatan :-

1- Fana pada syariat-menjunjung perintah dan menjauhi larangan Allah

2- Fana pada tarekah – melaksanakan syariat dengan penuh rasa cinta.

3- Fana pada hakikat – sentiasa merasa fakir kepada Allah dengan menyedari bahawa segala sesuatu itu datang dari dengan dan kepada Allah.

4- Fana pada makrifat-sentiasa merasa syukur dengan segala takdir yang berlaku ke atasnya dalam setiap hal.

Sementara jalan menuju fana’ pula ialah :-

1- Zikir yang berterusan tanpa mengenal erti penat dan lelah.

2- Natijahnya dia akan merasai dirinya sentiasa dalam pengawasan Allah (muraqabah).

3- Perasaan riqabatuLLah yang bersangatan itu menyebabkan dia merasakan seolah – olah menyaksikan Allah dalam gerak dan diamnya dan dalam setiap zarah alam ini(musyahadah). Sebagai contoh seorang yang bersangatan merindui kekasihnya dia akan merasakan seolah-olah sentiasa bersama kekasihnya sehinggakan dia melihat pada batu di hadapannya bayangan kekasihnya.

4- Justeru menyebabkan dia lebur (fana) dalam kecintaan dan kerinduannya kepada kekasih dan dia akan mengutamakan kekasihnya lebih dari dirinya sendiri hatta sanggup bergadai nyawa demi kekasihnya.

5- Keleburan diri atau mazmumah menjadikan dirinya orang yang patuh pada segala perintah dan larangan (fana fil fana’ atau baqa’) di sinilah menyatunya hakikat muhammad dan syariat Muhammad dan seorang itu telah mencapai martabat insan kamil.

Syeikh kami menegaskan : Tiada nilai fana’ jika tiada lebur mazmumah di dalam diri kerana kesempurnaan maqam kehambaan itu ialah pada leburnya sifat-sifat mazmumah, hanya Allah yang dicari tiada yang lain . Ilahi anta maqsudi wa ridha ka matlubi mudah-mudahan Allah menjadikan saya dan tuan-tuan sebagai hamba Nya yang sebenar, amin.
Bersambung...