Oleh : Abi Azman (abulqhaiir@yahoo.com)
BismiLlah walhamduliLlah, Allahumma Solli a'la Muhammad wa a'la alihi…
Kata Guruku al faqir Tokku: "Carilah pengi'tirafan penghuni langit biarpun dihina seluruh makhluk di bumi."
Sebagai hamba yang berharap ampunan dan rahmat Tuhannya, kita sewajarnya meletakkan Allah sebagai matlamat kehidupan, pengharapan cinta dan pergantungan semata kepadaNya. Untuk mencapainya perlu melalui kasih sayang makhluk yang telah memperolehi I'tiraf Tuhan.
Kasih sayang Tuhan kepada hambaNya secara umum melimpah ruah, cuma perlu kita sedar bahawa cinta Allah kepada hamba sehingga diangkat darjat hamba di sisiNya memerlukan kita berusaha. Usaha kita mestilah selari dengan memahami kalam 'Guruku' yang dinyatakan di atas.
I'tiraf penghuni langit bermaksud kita mendapat doa sanjungan dari sekalian makhluk Tuhan di alam tinggi di kalangan anbiya', malaikat, dan auliya. Doa mereka yang sememangnya tinggi darjat di sisi Tuhan atau mereka yang telah mendapat pengi'tirafan ketinggian darjat akan memudahkan kita yang dhaif, lemah, malas dan lesu bermujahadah & beri'badah. Kuat mana kita mampu menuruti perjalanan kehambaan mereka sebelum kita?
Sedarlah jiwa yang lemah. Marilah mencari I'tiraf penghuni langit dengan menuruti perjalanan mereka yang banyak berkongsi keberkatan melalui amalan dan mujahadah jama'ie seperti majlis qasidah, salawat, manaqib, I'tiqaf, zikir dan munajat. Semoga perjalanan kita berbekal di atas dunia nan fana' ini dimudahkan olehNya. Tidak ramai mampu bermujahadah sendirian, jika mampu pun tidak ramai yang berupaya sampai ke penghujung jalan mujahadah, beroleh ma'rifah sehingga dicintai oleh Allah swt.
Bagaimana beroleh I'tiraf?
I'tiqafkan hati kita daripada dunia dengan jalan zikir. Melafazkan zikir La Ilaha IllaLLah dengan kaifiyat yang betul akan memberikan natijah yang sepatutnya serta beroleh hal dalam jangka waktu yang singkat. Zikir mesti diambil talkinnya dari Mursyid atau wakilnya yang sah.
Berzikir sebanyaknya memecahkan dzulumat di qalbi insan hingga terbit dalam batinnya rasa berdosa, menangisi diri yang berfoya dengan kehidupan yang berlalu. Subur keinginan dalam dirinya mencari keredhaan Allah semata-mata.
Kesan lain yang dapat dikesan ialah terhasilnya ketenangan hati terhadap dunia, sedangkan orang lain masih terkial-kial mencari damai di hati. Seterusnya bercahaya hatinya melihat seluruh yang ada pada alam ini adalah af'al Tuhannya yang Maha Berkuasa..
Kekuatan bersyari'at bukan sekadar melaksanakan hukum. Tanggungjawab ini menjadi lebih ringan kerana membuktikan kebaktian, kehambaan, kecintaan dan kerinduan kepada Tuhan. Rasa malu yang mendalam kepada Tuhan, bergantung harap hanya padaNya dan merasai kefakiran diri. Sehingga tiada rasa diri, lebur kesombongan dirinya. Cinta kepada akhirat, tiada bimbang penghinaan makhluk bahkan tiada ia menggemari pujian dan kemasyhuran. Seterusnya, terzahirlah adab dan akhlak nubuwwah dalam kehidupan sehariannya. Semakin hari, makin halus sehingga menjadi qudwatun hasanah. Kerana telah mendapat limpahan Nur Nubuwwah lantaran amalan yang bersalasilah dari Nabi صلى الله عليه وسلم.
Adab-adab lahir dengan sendirinya kerana pancaran Nur yang terbit dalam jiwanya.
Berniat hanya mencari redha Allah dalam semua gerak laku kehidupannya. Tiada mengharap balasan, tiada kebimbangan kepada dunia. Bertambah rasa syukurnya. Syukur bukan sekadar melafaz tapi bertambah kelapangan dadanya menghulur bantuan kepada yang memerlukan tanpa mengira-ngira sama ada harta, masa, dan tenaga. Kuat azamnya berjihad dan berda'wah menurut pimpinan mursyid yang diikutinya.
Sentiasa berwajah manis kerana nur batinnya. Tiada kegusaran pada batinnya maka wajahnya menzahirkan apa yang ada dalam jiwanya yang tenang itu. Gemar bertafakur bersendirian mencari ruang bertaqarrub dengan Tuhan. Subur bicara Sirrnya. Subur juga kecintaannya kepada Nabi صلى الله عليه وسلم dan para pencinta Nabi صلى الله عليه وسلم. Adab kasihnya kepada alim ulama' yang hak jiga subur. Tiada mengeluarkan pandangan sehingga menjatuhkan martabat ulama' tatkala berbicara.
Mengambil jalan sentiasa berbaik sangka, serta menghinakan diri tidak selayaknya memberi pandangan atau komentar dengan isu yang berlaku di kalangan ulama' kerana bukan ahlinya. Tawadhu' jiwanya. Senentiasa mendoakan sahabat, ikhwan yang kesusahan. Bahkan mendoakan masyarakat lebih dari untuk dirinya sendiri. Semakin mendalam pergantungannya kepada Allah. Sebati La Haula Wala Quwwata Illa Billah dalam usahanya pada segala urusan dunia mahupun ibadah.
WaLlahu 'alam.